TAN Sri Tommy Thomas menegaskan, beliau tidak akan bekerjasama dengan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Memetik laporan Malaysiakini, bekas Peguam Negara itu memaklumkan demikian melalui surat kepada Pengerusi Pasukan Petugas Khas Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, Fong Soo Chung.

Menurut Tommy, pertimbangan tersebut diambilnya kerana merasakan pasukan petugas khas itu boleh menjejaskan kebebasan Pejabat Peguam Negara.

“Saya menganggap bahawa Pasukan Khas ingin meneliti keputusan keputusan saya untuk menuduh semasa saya memegang jawatan Peguam Negara.

“Keputusan-keputusan ini telah pun dijelaskan di dalam buku saya, dan penjelasan ini seterusnya mengakibatkan kontroversi bersifat politik,” tulisnya.

Tommy turut memaklumkan kepada Soo Chung bahawa beliau akan mendedahkan surat ini kepada media.

Dalam surat itu juga, beliau turut mengingatkan Soo Chung bahawa jawatan Peguam Negara di bawah Perlembagaan.

“Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri.

“Di bawah Perkara 145(3) Peguam Negara sebagai pendakwa raya diberi kuasa mengikut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan kecuali prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

“Budi bicara pendakwa raya telah dibangunkan selama berabad-abad di England dan telah diterima pakai serata Komanwel. la wujud di Malaysia sebelum merdeka.

“Selanjutnya, dalam perkara-perkara operasi berkenaan kes-kes spesifik dan berindividu, pendakwa raya, walaupun jika beliau adalah seorang Ahli Parlimen dalam tempoh-tempoh selepas merdeka, tidak perlu bertanggungjawab kepada parlimen atau kepada media,” tulis beliau.

Tommy menambah, Pejabat Peguam Negara juga tidak bertanggungjawab kepada kabinet atau bahagian eksekutif lain berkenaan keputusan mengenai pendakwaan.

Beliau memberitahu, Peguam Negara tidak terlibat dalam proses siasatan yang dijalankan oleh polis.

“Pasukan khas ini menetapkan suatu dahuluan yang berbahaya dengan meletakkan risiko kepada kebebasan jawatan Peguam Negara. Saya perlu melindungi penyandang dan bakal Peguam-peguam Negara.

“Penyertaan saya dalam pasukan khas akan mengesahkan tujuannya yang tidak berpelembagaan dan akan menetapkan preseden berbahaya yang akan memudaratkan kesemua mereka. Ini bercanggahan dengan kepentingan awam.

“Bagi sebab-sebab tersebut saya tidak berniat bekerjasama atau mengambil bahagian dalam pertimbangan-pertimbangan anda,” katanya.

Pasukan Petugas telah mengadakan mesyuarat pertamanya di Kuala Lumpur pada 24 Disember lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan khas itu ditubuhkan bagi menjalankan kajian awal terhadap beberapa dakwaan dalam buku itu termasuk mengenai pelantikan hakim, campur tangan berlebihan oleh eksekutif dalam badan kehakiman dan pendakwaan terpilih.

“Pasukan petugas khas akan mengemukakan penemuan dan syornya kepada kabinet dalam tempoh enam bulan dari tarikh pelantikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here