Category: Semasa

  • Polis jamin keselamatan kediaman penduduk terpaksa berpindah ekoran kebakaran tapak sampah

    Polis jamin keselamatan kediaman penduduk terpaksa berpindah ekoran kebakaran tapak sampah

    PENDUDUK di kawasan perumahan yang diarahkan berpindah ekoran kebakaran tapak pelupusan sampah Sungai Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang diingatkan tidak bimbang dengan keselamatan kediaman masing-masing.

    Ini kerana kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, anggota polis akan sentiasa melakukan rondaan berkala di kawasan kediaman mereka.

    Jelas beliau, pemantauan itu akan dilakukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) Daerah Seberang Perai Selatan.

    “Pihak polis sama ada dari anggota sektor bertugas, URB dan MPV Daerah akan membuat rondaan berkala di kawasan perumahan penduduk yang telah diarahkan berpindah,” katanya menerusi Facebook PDRM Pulau Pinang di sini.

    Terdahulu, Mohd. Shuhaily turut menjalankan tinjauan di lokasi kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung itu yang memasuki hari keenam hari ini.

    anggota polis akan sentiasa melakukan rondaan berkala di kawasan kediaman mereka

    Kebakaran tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.2 hektar itu berlaku pukul 4.40 petang Rabu lalu membabitkan kawasan seluas 6.5 hektar.

    Ekoran itu, kira-kira 400 individu daripada 86 ahli keluarga yang tinggal berdekatan tapak pelupusan sampah terbabit terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat.

    Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily turut mengingatkan orang ramai terutama penduduk berdekatan supaya tidak membuat sebarang aktiviti pembakaran secara terbuka dengan sengaja.

    “Ini kerana jika perbuatan ini dikesan oleh pihak berkuasa, mereka boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pelaku tersebut,” katanya.

  • Dollah Salleh, keluarga kemalangan MPV jatuh gaung

    Dollah Salleh, keluarga kemalangan MPV jatuh gaung

    PENGURUS pasukan Sri Pahang FC Dollah Salleh dan tujuh anggota keluarganya terlibat kemalangan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 8 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dekat sini, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 9 malam itu, Dollah, 59, yang juga bekas jurulatih kebangsaan itu mengalami kecederaan di bahagian belakang tengkuk manakala isterinya, Roslina Ibrahim, 58, cedera di bahagian dada.

    “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan MPV Toyota Velfire yang dipandu menantunya Muhammad Shafiq Shukaimi, 34, hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan arah bertentangan sebelum kenderaan itu terbalik ke dalam gaung,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

    Lima lagi penumpang kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

    Mereka ialah isteri Muhammad Shafiq, Nurdian Dollah, 34, dan empat anak pasangan itu, Nur Sarah Amanda, 10, Nur Shffiya Ayra, 9, Nursabrina Adeena, 5, dan Muhammad Sulaiman Adeen berusia sembilan bulan.

    Menurut Amran, ketika kejadian keluarga terbabit dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah, Pahang menuju ke Shah Alam, Selangor.

    “Akibat kejadian itu, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan dilaporkan telah keluar daripada wad pagi tadi. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya menambah kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

    Kemalangan membabitkan Dollah dan anggota keluarganya itu turut tular di laman sosial sejak malam tadi, dipercayai dirakamkan penduduk di lokasi kejadian. – Bernama

  • ADUN Sedili nafi lakukan gangguan seksual

    ADUN Sedili nafi lakukan gangguan seksual

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain menafikan tuduhan beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang Ahli Jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi.

    Jelas beliau, dakwaan wanita tersebut tidak benar dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasinya.

    “Pada lebih kurang 2 petang Isnin, saya telah dimaklumkan bahawa terdapat satu laporan polis telah dibuat terhadap saya oleh seorang individu yang merupakan Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Bahagian Kota Tinggi.

    “Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dalam laporan tersebut dan menyatakan ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan merupakan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi saya selaku seorang wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Laporan polis terhadap Rasman dibuat mangsa, 26, pada Isnin sebelum tular dalam media sosial yang mendakwa diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit semasa terlibat dalam aktiviti bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Sungai Ara, Mersing dan Bukit Kepong, Muar baru-baru ini.

    Dalam laporan tersebut, mangsa mendakwa kejadian itu berlaku beberapa kali dalam kenderaan dinaiki bersama-sama wakil rakyat tersebut semasa pulang memberi bantuan kepada mangsa banjir iaitu pada 2 dan 3 Januari kemudian pada 12 dan 13 Januari lalu.

    Rasman berkata, pihaknya sedia untuk memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

    Beliau juga telah berbincang dengan barisan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imejnya dengan cara seperti ini.

    “Saya dengan ini menegaskan bahawa konspirasi politik seperti ini tidak akan sekali-kali melemahkan semangat saya untuk terus berjuang dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya melalui mandat rakyat.

    “Semoga kebenaran akan dirungkai akhirnya serta perjuangan saya ini dimudahkan dan diredhai oleh Allah SWT,” katanya.

    Warta Rakyat difahamkan Rasman sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi semalam berhubung dakwaan tersebut.

  • Kisah Rohana tular di Indonesia

    Kisah Rohana tular di Indonesia

    Kisah anak pekerja Indonesia Rohana Abdullah yang diasuh wanita Malaysia berlainan bangsa tular di pelbagai platform media di republik itu sehingga kini dan mengundang simpati masyarakat Indonesia.

    Apatah lagi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri memberikan perhatian segera dengan menghubungi Rohana dan berjanji membantu menguruskan dokumentasi status kewarganegaraan beliau.

    Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia menyokong sepenuhnya inisiatif perdana menteri, yang juga sebahagian daripada usaha dalam mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia terutama dalam soal kemanusiaan yang sangat universal.

    “Saya terharu dengan kisah Rohana dan sangat menghargai usaha perdana menteri dan kerajaan Malaysia apabila dapat sepenuhnya membantu Rohana sehingga dia mendapatkan statusnya yang pasti,” kata Ketua ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan.

    ISWAMI Indonesia turut memuji dan menzahirkan rasa hormat kepada Chee Hoi Lan, 83, guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai kakitangan pembersihan kerana menjaga Rohana seperti anak sendiri sehingga kini.

    “Ini soal kemanusiaan yang menjadi perhatian kita bersama,” kata Asro kepada Bernama hari ini ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar di Malaysia yang mendedahkan dilema yang dihadapi Rohana kerana tidak mempunyai status warganegara.

    Rohana ketika berusia dua bulan ditinggalkan ibunya 22 tahun lalu di tadika yang terletak di ibu kota Kuala Lumpur kerana terpaksa pulang ke kampung halaman di Indonesia.

    Chee menanggung segala keperluan Rohana dengan wang simpanannya sendiri termasuk menghantarnya ke Kelas Asas Fardu Ain bagi memastikan dia terjaga sebagai seorang Muslim.

    Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata siasatan menyeluruh akan dilakukan sebelum dokumen identiti diberikan kepada Rohana.

    Beliau turut difahamkan bapa kepada gadis itu adalah warganegara.

    Kisah Rohana turut mengundang pelbagi komen positif warga Indonesia termasuk pengamal media sambilan di Jakarta, David Andreas, yang menyatakan perjalanan hidup Chee dan Rohana berdua sangat mengharukan.

    “Patut menjadi contoh ketika perbezaan tidak menjadi halangan bagi sesiapapun untuk berbuat baik dan bersatu,” katanya, sambil berharap kebaikan Chee akan dikenang dan semoga Rohana dapat bertemu dengan ibunya hasil berita yang viral di seluruh republik.

    “Terharu membaca cerita ini, Rohana harus bersyukur mendapat ibu angkat yang baik hati,” kata kerani pentadbiran, Herning Rini.

    “Semoga urusan status (kerakyatan) dan mencari ibu kandungnya dipermudahkan.” – Bernama

  • Pegawai Perhilitan bebas tuduhan buat tuntutan palsu

    Pegawai Perhilitan bebas tuduhan buat tuntutan palsu

    SEORANG pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melakukan ‘sujud syukur’ selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman penjara empat tahun dan denda RM117,000 yang dijatuhkan ke atasnya kerana mengemukakan tuntutan palsu.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan bahawa rayuan Abu Zahrim Ismail, 48, memiliki merit dan anggapan statutori di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak terpakai dalam kes ini.

    “Timbalan Pendakwa Raya telah menggesa agar mahkamah ini memerintahkan perbicaraan semula. Kami berpendapat perintah itu akan menyebabkan ketidakadilan dan memprejudis perayu (Abu Zahrim).

    “Justeru, rayuan perayu dibenarkan dan perintah Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Tinggi diketepikan,” kata Vazeer Alam yang bersidang bersama-sama Datuk Supang Lian dan Datuk Seri Mariana Yahya.

    Beliau turut memerintahkan agar perayu dibebaskan daripada pertuduhan itu, manakala denda dan jaminan yang sudah dibayar dikembalikan kepada Abu Zahrim, yang telah digantung perkhidmatan sejak 2013.

    Hakim itu juga berkata, Mahkamah Sesyen ketika memutuskan bahawa satu kes prima facie telah dibuktikan dan mengguna pakai Seksyen 50, telah mengenakan beban pembuktian lebih tinggi ke atas tertuduh yang mengakibatkan prejudis yang serius kepadanya dan mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

    Panel itu turut memutuskan bahawa keperluan agar perayu memberi penjelasan berhubung pertuduhan terhadapnya adalah di luar kehendak undang-undang.

    “Undang-Undang hanya menghendaki perayu menimbulkan keraguan yang munasabah,” kata Vazeer Alam.

    Pada 27 Ogos 2018, Abu Zahrim dijatuhkan hukuman itu oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didapati bersalah mengemukakan tuntutan palsu.
    Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 10 Mei 2019.

    Abu Zahrim dituduh mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembelian 28 unit beg jenama Deuter 75 liter dan 60 unit beg jenama Dry Pack 30 liter.

    Dia didakwa memperdayakan ketua pengarahnya berhubung pembekalan beg sandang bernilai RM23,400 menggunakan syarikat Baraplas Kreatif Enterprise di Pejabat Penguasa Perhilitan Taman Negara di Jerantut pada 28 November 2013.

    Abu Zahrim didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan mengikut mana lebih tinggi. – Bernama

  • 2 pemancing dikhuatiri lemas di Pulau Mataking

    2 pemancing dikhuatiri lemas di Pulau Mataking

    DUA lelaki dikhuatiri lemas ketika keluar memancing di kawasan perairan Pulau Mataking, Semporna, sejak petang kelmarin.

    Kedua-dua mangsa, Makbul Haja, 50, bersama rakannya, Sajid Armani, 39, keluar memancing sekitar pukul 3.30 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua pemancing terbabit bagaimanapun dilaporkan tidak pulang ke rumah masing-masing selepas tempoh 24 jam.

    “Ahli keluarga mangsa yang bimbang sesuatu yang buruk berlaku kemudian membuat laporan polis pada jam 4.41 petang semalam,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

    Mohd. Farhan berkata, susulan laporan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi diaktifkan bermula petang semalam, namun gagal menemukan sebarang petunjuk.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar kawasan perairan Pulau Kulapuan dan Pulau Mataking.

    “Setakat hari ini, kedua-dua mangsa belum ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 5 petang berikutan keadaan laut bergelora dan hujan,” katanya sambil memaklumkan operasi SAR akan disambung semula pagi esok.

  • Pengarah syarikat mengaku salah tipu projek jutaan ringgit

    Pengarah syarikat mengaku salah tipu projek jutaan ringgit

    SEORANG pengarah syarikat dihukum penjara 15 tahun dan sembilan sebatan selepas mengaku salah atas tujuh kesalahan menipu membabitkan projek bernilai jutaan ringgit di Sabah, dua tahun lalu.

    Mohammad Shah Soep, 41, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan ke atasnya ketika dihadapkan di dua Mahkamah Majistret berasingan di Kota Kinabalu, hari ini, lapor BH online.

    Dia didakwa menipu enam kontraktor untuk menyerahkan wang berjumlah RM600,000 yang dikatakan sebagai bayaran untuk mendapatkan projek, antara 25 Februari dan 4 November 2020 di beberapa hotel dan sebuah rumah, di Kota Kinabalu.

    Wang hasil penipuan itu diserahkan kepada tertuduh sama ada melalui cek atau secara pindahan bank.

    Projek yang dikatakan ditawarkan tertuduh kepada kontraktor terbabit ialah kerja mengganti lampu jalan di seluruh Sabah dan kerja pembersihan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

    Bagi pertuduhan pertama hingga keenam, Majistret Jessica Ombou Kakayun memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang dilaksanakan secara berturutan.

    Untuk pertuduhan ketujuh, tertuduh dihukum penjara tiga tahun dan tiga sebatan selepas mengaku bersalah di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Abdurrahman Abrar Jarni yang bertindak sebagai Majistret.

    Tertuduh turut didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membuat bayaran dan diperintah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan pada 7 Januari tahun ini.

    Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh antara lain menawarkan projek kepada mangsa dan meminta mereka membayar sejumlah wang bagi mendapatkan projek terbabit.

    Bagaimanapun, selepas berbulan menunggu, mangsa akhirnya sedar yang mereka ditipu apabila gagal menghubungi tertuduh sebelum membuat laporan polis yang kemudiannya membawa kepada penahanan tertuduh.

    Pendakwaan dikendalikan Inspektor Albert Basiri dan Inspektor Kumar Vijayan.

  • RFID: PLUS perlu selesai isu kesesakan plaza tol

    RFID: PLUS perlu selesai isu kesesakan plaza tol

    MENTERI Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan PLUS Malaysia Bhd (PLUS), mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

    Menurutnya, RFID itu sedang dilaksanakan secara rintis oleh syarikat konsesi PLUS dan ia dibekalkan oleh syarikat Touch ‘n Go Sdn Bhd (TnG).

    “Saya telah hubungi mereka (PLUS dan TnG) selepas mendapat aduan, dan meminta mereka jelaskan kepada orang ramai serta cari penyelesaian…penyelesaian kepada segala isu berbangkit kepada pelaksanaan (RFID) ini,” katanya.

    “Apabila ia projek rintis, ada beberapa perkara akan lalui dan perlu selesaikan,” kata Fadillah ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 di Dengkil hari ini

    Media dalam talian dan warga net melaporkan keadaan trafik di beberapa plaza tol seperti di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Besi dikatakan sesak, didakwa berpunca daripada penggunaan RFID.

    Pada 16 Dis 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Jan 2022.

    Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

    RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet, tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai,

    Fadillah berkata, pelaksanaan RFID itu adalah projek rintis iaitu dengan bilangan tol terhad dipasang teknologi RFID, manakala lorong kad TnG dan SmartTAG masih lagi dikekalkan.

    “Kita belum wajibkan untuk gunakan RFID dan ia terserah kepada orang ramai untuk gunakan,” katanya.

    Beliau memberi jaminan bahawa KKR akan sentiasa memantau perkara tersebut dan mengambil serius aduan, supaya ia tidak menyusahkan pengguna sebaliknya kemudahan. – BERNAMA

  • Wanita dakwa diganggu seksual oleh ADUN Johor

    Wanita dakwa diganggu seksual oleh ADUN Johor

    POLIS menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan salah laku ADUN terbabit terhadap wanita berumur 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi pada kira-kira 11.30 pagi tadi.

    “Ya, ada terima. Kes berkenaan sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana belum meneliti laporan itu.

    Laporan polis mengenai gangguan seksual itu tular di media sosial.

    Mangsa, yang dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit. – BERNAMA

  • Keputusan rayuan Khairy 7 Februari

    Keputusan rayuan Khairy 7 Februari

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 7 Februari untuk memutuskan rayuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi mencabar saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya berhubung kenyataan beliau mengenai perlakuan tidak bermoral, 14 tahun lalu.

    Tarikh itu ditetapkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha dalam prosiding yang berlangsung secara maya hari ini.

    “Terima kasih kepada kedua-dua pihak yang mengemukakan hujahan bertulis dan lisan kepada mahkamah. Kami memerlukan masa untuk meneliti perkara ini,” kata Lee selepas mendengar hujah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Khairy, dan Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi pihak Anwar.

    Panel itu turut menetapkan 24 Januari untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis mengenai kos.

    Anwar, yang juga Presiden PKR, menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, pada 7 Mac 2008 mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di portal berita.

    Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan membenarkan saman Anwar terhadap Khairy dan memerintahkan beliau membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

    Hakim itu turut menolak permohonan Khairy untuk meminda penyataan pembelaannya bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau adalah komen yang wajar.

    Khairy kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi namun pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan membatalkannya selepas membenarkan permohonan Anwar.

    Pada 15 Disember tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy supaya merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan.

    Terdahulu, Sri Ram berhujah perkataan yang diucapkan oleh Khairy membawa maksud memfitnah terhadap Anwar.

    “Dalam hal ini, adalah penting untuk diingat bahawa perkataan atau kenyataan yang dikompelin oleh Anwar ialah: ‘Anwar main dua-dua ikut belakang.’

    “Dalam pengertian Bahasa Melayu yang biasa dan difahami oleh rakyat Malaysia (sama ada beliau Melayu atau tidak) perkataan itu merujuk kepada hanya satu perlakuan iaitu, dalam konteks ia diucapkan, homoseksualiti,” kata Sri Ram.

    Beliau juga berkata aduan Anwar dalam kes ini hanya berkaitan dengan satu pertuduhan iaitu Anwar didakwa sebagai seorang homoseksual atau berkecenderungan untuk melakukan perbuatan sedemikian.

    Pada prosiding sebelum ini iaitu 2 November 2021, Muhammad Shafee berhujah ucapan Khairy semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 adalah merujuk kepada gabungan atau kerjasama antara parti pembangkang bagi menghadapi pilihan raya itu dan tidak mempunyai kaitan dengan kes liwat Anwar.

    Beliau juga berhujah Khairy bercakap mengenai gabungan atau kerjasama antara parti pembangkang iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semata-mata bagi tujuan menghadapi pilihan raya. – Bernama