Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain menafikan tuduhan beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang Ahli Jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi.

Jelas beliau, dakwaan wanita tersebut tidak benar dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasinya.

“Pada lebih kurang 2 petang Isnin, saya telah dimaklumkan bahawa terdapat satu laporan polis telah dibuat terhadap saya oleh seorang individu yang merupakan Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Bahagian Kota Tinggi.

“Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dalam laporan tersebut dan menyatakan ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan merupakan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi saya selaku seorang wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Laporan polis terhadap Rasman dibuat mangsa, 26, pada Isnin sebelum tular dalam media sosial yang mendakwa diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit semasa terlibat dalam aktiviti bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Sungai Ara, Mersing dan Bukit Kepong, Muar baru-baru ini.

Dalam laporan tersebut, mangsa mendakwa kejadian itu berlaku beberapa kali dalam kenderaan dinaiki bersama-sama wakil rakyat tersebut semasa pulang memberi bantuan kepada mangsa banjir iaitu pada 2 dan 3 Januari kemudian pada 12 dan 13 Januari lalu.

Rasman berkata, pihaknya sedia untuk memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Beliau juga telah berbincang dengan barisan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imejnya dengan cara seperti ini.

“Saya dengan ini menegaskan bahawa konspirasi politik seperti ini tidak akan sekali-kali melemahkan semangat saya untuk terus berjuang dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya melalui mandat rakyat.

“Semoga kebenaran akan dirungkai akhirnya serta perjuangan saya ini dimudahkan dan diredhai oleh Allah SWT,” katanya.

Warta Rakyat difahamkan Rasman sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi semalam berhubung dakwaan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here