Category: Semasa

  • MyCC pantau pelaksanaan RFID jika ada isu persaingan

    MyCC pantau pelaksanaan RFID jika ada isu persaingan

    SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) akan memantau pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di bawah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go Sdn Bhd agar kepentingan pengguna lebuh raya terpelihara.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail berkata, walaupun inovasi seperti pengenalan RFID dalam sistem kutipan tol ini dialu-alukan, MyCC percaya bahawa pelaksanaan sistem itu perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mencapai objektifnya.

    Menurut beliau, MyCC mengambil maklum tentang rancangan untuk memastikan peralihan lancar kepada RFID untuk pengguna lebuh raya dan kerjasama antara PLUS dan Touch ‘n Go dalam sistem kutipan tol.

    “Memandangkan terdapatnya peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya dalam mesyuarat yang sama mengenai pelaksanaan tersebut termasuk memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit tetapi juga sistem e-dompet yang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Iskandar mengulas tentang hasil perjumpaan antara MyCC dengan PLUS dan Touch ‘n Go pada 17 Januari lalu berhubung pelaksanaan RFID.

    Perbincangan itu merupakan satu inisiatif yang diambil oleh MyCC untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut berkenaan perlaksanaan tersebut serta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID.

    Beliau menambah, MyCC juga akan menumpukan usahanya dengan memantau secara konsisten perkembangan pelaksanaan tersebut selaras dengan peranannya dalam memperjuangkan dan mempromosikan persaingan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.

    “Dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang ada pada kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran-pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari masa ke semasa dan apabila sebarang isu persaingan telah dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan.

    “Seterusnya, adalah penting untuk diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian.

    “Oleh itu, MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna,” jelasnya.

    Sejak Isnin lalu, ramai netizen berkongsi kekesalan mereka akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk akibat kegagalan beberapa kenderaan melepasi imbasan RFID di plaza tol.

    Kesesakan bertambah teruk pada waktu puncak ketika ramai pengguna lebuh raya mahu ke tempat kerja masing-masing.

    Kelmarin, PLUS dalam satu kenyataan menjelaskan, pengguna lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.

    Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go (TNG) yang terdekat akan disediakan dan jika masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TNG akan menggantikannya dengan tag RFID baru secara percuma.

    PLUS juga berjanji akan melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan RFID.

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, baru-baru ini memaklumkan sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.

  • Terence dakwa ujian kedua air kencing negatif dadah

    Terence dakwa ujian kedua air kencing negatif dadah

    AHLI  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Terence Naidu, mendakwa ujian kedua air kencing yang dilakukan di sebuah klinik swasta mendapati dirinya negatif dadah, kata Peguamnya Ramkarpal Singh.

    Ramkarpal dalam kenyataannya, selepas dibebaskan atas jaminan polis pada 14 Jan, Terence melakukan ujian saringan dadah dalam air kencingnya di sebuah klinik di Pulau Pinang, keesokannya.

    “Saya juga telah pun dimaklumkan oleh YB Terence bahawa beliau telahpun membuat ujian kedua tersebut sendiri di Klinik O2 oleh kerana beliau tidak berpuas hati dengan keputusan pertama polis yang mendapati terdapatnya kesan dadah dalam air kencingnya.

    “…dan juga oleh kerana permintaannya kepada pihak polis untuk melakukan ujian kedua tidak dibenarkan,” katanya seperti dilapor portal Free Malaysia Today.

    Beliau berkata, menurut Terence sampel air kencing diambil di klinik berkenaan dianalisa di makmal Pathlab dan keputusan menunjukkan tiada sebarang jenis dadah dikesan dalam air kencingnya.

    Ramkarpal ketika mengulas lanjut, berkata keputusan berhubung air kencing negatif dadah, diperoleh hari ini.

    “Justeru, YB Terence telah pun membuat satu laporan polis hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi melaporkan keputusan negatif ujian Pathlab tersebut dan memohon agar siasatan lanjutan dibuat,” katanya.

    Katanya, justeru, susulan perkembangan baharu ini, pihaknya menggesa polis bertindak segera.

    “YB Terence bersedia memberi segala kerjasama bagi tujuan tersebut,” katanya.

    Pada 15 Jan lalu, Terence mendakwa beliau dihidangkan minuman aneh sebelum ditahan kerana didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di Pulau Pinang.

  • ”Kita terimalah keputusan SC…Jangan fikir ikut kehendak kita” – PM ingatkan pembangkang

    ”Kita terimalah keputusan SC…Jangan fikir ikut kehendak kita” – PM ingatkan pembangkang

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pembangkang menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak menemui kepastian muktamad yang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki melakukan kesalahan berhubung pemilikan saham.

    Beliau berkata, SC sebagai badan profesional telah menjalankan siasatannya dan membuat keputusan.

    “Kita terimalah keputusan SC. Jangan kita minta supaya dia (Azam) disiasat dan apabila dia disiasat, keputusan dibuat, kita masih tak puas hati. Jangan kita fikir kita ikut kehendak kita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi.

    Terdahulu, Suruhanjaya Sekuriti mendedahkan bahawa Azam sendiri yang menyampaikan arahan untuk menjual, membeli, serta memindahkan saham daripada akaun dagangan atas namanya itu.

    Oleh yang demikian, SC memutuskan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).

    Sebelum ini, SC memulakan inkuiri selepas Azam menjelaskan bahawa adiknya, Nasir Baki, melakukan pembelian empat juta saham dan waran dalam syarikat tersenarai awam, pada 2015-2016 menggunakan akaun dagangan beliau.

    SC dalam kenyataan semalam, mengumumkan ia tidak dapat memastikan “secara konklusif” sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu melakukan tindakan menyalahi Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).

    Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan tidak boleh mengikut kehendak pembangkang dalam isu Azam.

    Katanya, apa-apa isu berhubung Azam itu boleh ditanya kepada SC.

    “Kalau pembangkang rasa kita mesti ikut kehendak pembangkang, tidak boleh.

    “Jadi saya rasa, kalau ada apa-apa nak tanya SC punya keputusan, boleh tanya SC. Kita sebagai orang biasa di luar sana, keputusan SC jadi panduan untuk kita,” katanya.

  • Akaun dagangan Azam Baki tidak langgar akta – SC

    Akaun dagangan Azam Baki tidak langgar akta – SC

    SURUHANJAYA Sekuriti (SC) memutuskan tiada pelanggaran bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Dalam satu kenyataan, hari ini, SC menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpulkan hasil siasatan, menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan terbabit.

    “Bukti juga menunjukkan bahawa Azam mengendalikan akaun yang dibukanya kerana beliau telah memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun berkenaan,” katanya.

    SC dalam kenyataan dikeluarkan, semalam, berkata suruhanjaya itu sudah menamatkan inkuiri berkaitan dengan akaun dagangan Azam dan berdasarkan keterangan yang dikumpulkan, ia tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa berlakunya pelanggaran bawah Seksyen 25(4) SICDA.

    Sebagai pengawal selia pasaran modal, SC berkata, bidang kuasa kawal selianya adalah sebagaimana yang terkandung bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

    Suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan media berkenaan sebagai menjawab pertanyaan media yang diterima, hari ini, mengenai hasil siasatan SC bawah Seksyen 25(4) SICDA berhubung akaun dagangan Azam (dirujuk sebagai ‘siasatan terbabit’).

    “Sehubungan ini, siasatan terbabit adalah berkaitan dengan isu sama ada telah berlaku pelanggaran bawah Seksyen 25(4) SICDA.

    “Seksyen 25(4) menyatakan bahawa suatu akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa,” kata SC dalam kenyataan, hari ini. – BERNAMA

  • Agong perkenan tubuh RCI siasat isu Tabung Haji

    Agong perkenan tubuh RCI siasat isu Tabung Haji

    KERAJAAN mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

    Beliau berkata, Seri Paduka juga memperkenan pelantikan enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi.

    Lima lagi ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams), Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon.

    Wan Junaidi berkata, ahli RCI yang dilantik merupakan tokoh berwibawa, mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing iaitu kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam serta perakaunan.

    “Mereka yang dilantik ini telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.

    “Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama serta mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak yang berkaitan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata pelantikan itu berkuat kuasa mulai esok hingga 19 Julai dan suruhanjaya itu diberikan tempoh enam bulan bagi melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Al-Sultan Abdullah. – BERNAMA

  • SPRM tahan pengurus syarikat kemuka butiran palsu

    SPRM tahan pengurus syarikat kemuka butiran palsu

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Batu Pahat telah menahan seorang pengurus sebuah syarikat bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan butiran palsu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di sebuah daerah bagi mendapatkan kerja-kerja membaik pulih jambatan di Yong Peng bernilai lebih RM150,000.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira pada pukul 5 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, suspek telah mengemukakan kebenaran menyertai tender yang mengandungi butiran palsu kepada PBT terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja berkenaan pada April tahun lalu.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009)

    Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM Batu Pahat juga telah menahan seorang warga Bangladesh berusia 34 tahun kerana disyaki menyogok pegawai penguat kuasa sebuah PBT berjumlah hampir RM300.

    Suspek lelaki yang juga bekerja sebagai seorang pembantu kedai runcit di Skudai telah melakukan perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak dikenakan kompaun oleh pegawai penguat kuasa terbabit kerana telah menjual arak dan rokok tanpa cukai yang melanggar Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    Suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Johor pada pukul kira-kira 2.30 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 17 (b) ASPRM 2009

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Dato’ Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit.

  • Tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar diisytihar kawasan bencana tahap satu

    Tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar diisytihar kawasan bencana tahap satu

    TAPAK pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang terbakar sejak lebih seminggu lalu kini diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, semua aktiviti keluar masuk ke kawasan itu kini dipantau bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

    Bagaimanapun jelas beliau, polis selaku komandan operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana setakat ini belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu sama ada daripada mana-mana pihak.

    “Meskipun api pada atas permukaan kawasan yang terbakar telah dipadamkan, namun masih terdapat kebakaran pada lapisan bawah dan mengeluarkan asap.

    “Sebab itu kerja-kerja pemadaman api mengambil masa untuk dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Yang turut hadir, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang; Hafiz Hafizal Timaradin dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab.

    Sementara itu Hafiz Hafizal berkata, ketika ini kira-kira 35 peratus kawasan yang terbakar telah dipadamkan sejak kerja-kerja pemadaman dimulakan minggu lepas.

    Menurut beliau, selain kaedah pengeboman air atau ‘water bombing’ yang bermula hari ini, pihaknya juga menggunakan tanah untuk ‘melemahkan’ api sekali gus cuba mengawal kebakaran tersebut.

  • Didakwa fitnah hakim, Lokman Adam disaman RM30 juta

    Didakwa fitnah hakim, Lokman Adam disaman RM30 juta

    KETUA Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang ‘Datin.’

    Mohd Na’im, 54, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 17 Jan lepas dan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa defendan telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Jan dan 13 Jan lepas.

    Plaintif mendakwa Lokman juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Jan dan 14 Jan selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Jan dan 13 Jan lepas.

    Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin yang berkredibiliti dengan akhlak yang terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

    Mohd Na’im mendakwa siaran langsung dan hantaran itu telah tersebar kepada pihak ketiga kerana Facebook serta YouTube milik defendan dapat ditonton dan dikomen oleh masyarakat umum.

    “Defendan menerbitkan kenyataan itu dengan matlamat bahawa perkara yang sama akan diterbitkan dalam negara dan di peringkat antarabangsa melalui media elektronik serta media cetak,” dakwa plaintif dalam tuntutan itu.

    Menurut plaintif, satu laporan polis telah dibuat pada 12 Dis tahun lepas bagi menafikan dakwaan dan tuduhan palsu Datin terbabit terhadapnya dan beliau juga telah membuat laporan polis terhadap Lokman agar pihak polis membuat siasatan berhubung tindakan defendan.

    Plaintif berkata notis tuntutan bertarikh 13 Jan lepas dikeluarkan terhadap defendan supaya menarik balik kenyataan fitnah serta memadamkan hantaran di Facebook selain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam namun sehingga hari ini, defendan tidak mengendahkan laporan polis dan notis itu.

    Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu telah menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, mencalarkan imej, menjatuhkan maruah dan merendahkan statusnya di mata masyarakat umum.

    Oleh itu, plaintif memohon suatu injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.

    Plaintif juga menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah atas jumlah penghakiman sebanyak lima peratus setahun yang dikira dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

    Menerusi semakan mahkamah, permohonan injunksi itu akan didengar esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff manakala pengurusan kes ditetapkan pada 21 Feb ini. – BERNAMA

  • Tahun Baharu Cina: Makan keluarga, ziarah dibenarkan

    Tahun Baharu Cina: Makan keluarga, ziarah dibenarkan

    PUTRAJAYA hari ini mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Tahun Baharu Cina 2022 yang lebih longgar berbanding tahun lepas termasuk berkaitan kebenaran acara makan keluarga (‘family reunion dinner’) dan aktiviti ziarah.

    Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, acara makan keluarga pada 31 Jan ini dibenarkan bersama ahli keluarga dan saudara-mara, tidak seperti tahun lepas dihadkan hanya 15 ahli keluarga yang tinggal dalam jarak 10 kilometer radius.

    Beliau berkata, penganjuran rumah terbuka bagi perayaan itu bagaimanapun tidak dibenarkan tetapi resepsi Tahun Baru Cina dibenarkan melibatkan individu yang mendapat jemputan sahaja dengan 50 peratus kapasiti ruang.

    Halimah berkata, resepsi yang dianjurkan syarikat atau persatuan perlu dilakukan di dalam dewan atau restoran dan bukan di tempat terbuka serta sesi majlis tidak boleh dibuat secara berterusan seperti rumah terbuka.

    “Resepsi hanya bagi mereka yang dijemput sahaja boleh hadir dan selepas habis aktiviti makan, tiada pusingan kedua,” katanya dalam sidang media mengenai SOP Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di sini hari ini.

    Halimah berkata, upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam pada 1 dan 2 Feb adalah dibenarkan dengan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, selain sembahyang khas ‘Hokkien Clan’ pada 8 dan 9 Feb serta aktiviti keagamaan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam.

    Sembahyang Chap Goh Mei di rumah ibadat pada 15 Feb juga dibenarkan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, katanya.

    Halimah berkata turut, dibenarkan adalah persembahan tarian singa, naga dan harimau yang tertakluk kepada SOP industri kreatif.

    “SOP disediakan demi keselamatan masyarakat dan penganut,” katanya yang berharap perayaan itu disambut dengan kemeriahan dalam suasana selamat.

    Sementara itu, Ka Siong berkata, SOP sambutan Tahun Baru Cina kali ini lebih longgar tidak seperti tahun lepas yang hanya disambut di rumah.

    “SOP ini telah dibincangkan dengan teliti dalam tiga kali perbincangan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

    Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata parti itu akan menganjurkan resepsi Tahun Baharu Cina tahun ini tetapi hanya melibatkan jemputan yang terhad.

    Maklumat lanjut berhubung resepsi itu akan diumumkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, katanya serta menambah, MCA akan mematuhi SOP untuk memberikan contoh yang baik pada resepsi itu. – BERNAMA

  • Zii Jia tinggalkan BAM, mahu capai impian sendiri

    Zii Jia tinggalkan BAM, mahu capai impian sendiri

    PERSEORANGAN utama negara, Lee Zii Jia, sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

    Peletakan jawatan pemain nombor tujuh dunia itu, disahkan oleh Presiden BAM Norza Zakaria kepada portal Free Malaysia Today.

    “Dia tidak dapat menerima tekanan dan dia mahu mencapai impiannya sendiri mengikut rentaknya sendiri,” kata Norza.

    Terdahulu, pemain badminton itu, ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia pada Selasa, tidak mendedahkan butiran masa depannya dengan badan kebangsaan itu, namun berkata, “Jika saya seorang pemberontak, anda tidak akan melihat saya dalam pusat latihan ini.”

    Ketika itu, katanya, sebarang pengumuman berhubung masa depannya dengan badan berkenaan akan dibuat oleh BAM sendiri.

    “Tugas saya hanya untuk berlatih, perform, menghasilkan keputusan yang baik dan membanggakan negara saya. Saya tidak ada komen mengenai khabar angin itu,” katanya apabila diminta menjawab isu khabar angin meninggalkan BAM.

    Pemain perseorangan utama negara itu, kini berada pada kedudukan ketujuh dunia, dalam rangking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

    Pemain berasal dari Kedah berusia 23 tahun itu, menjadi pemain perseorangan lelaki ketiga Malaysia memenangi gelaran juara All England selepas menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen, pada perlawanan akhir, Mac tahun lalu.