Category: Semasa

  • Najib didakwa petik berita palsu berhubung MIT akan buka kampus di Indonesia

    Najib didakwa petik berita palsu berhubung MIT akan buka kampus di Indonesia

    LAPORAN berita dikongsi Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan Massachusetts Institute of Technology (MIT) akan membuka kampusnya bersama sebuah universiti terkemuka China di Indonesia adalah palsu, susulan kenyataan yang dikeluarkan universiti berprestij Amerika Syarikat (AS) itu menafikan dakwaan yang diterbitkan media Indonesia.

    Ketika memetik laporan tersebut, bekas Perdana Menteri itu berkata keputusan MIT dan Tsinghua University untuk membina kampusnya di Bali menunjukkan dua universiti terkemuka dunia itu lebih memilih Indonesia berbanding Malaysia sambil menambah ia adalah satu perkara yang mengecewakan ketika negara dalam usaha menjadi sebuah hab pendidikan antarabangsa.

    Beliau turut berkata sepanjang beliau memegang jawatan menteri pendidikan dan perdana menteri, sejumlah 11 universiti luar membina kampusnya di Malaysia.

    “Ratusan ribu anak Malaysia mendapat manfaat disamping menjimat kos pendidikan mereka.

    “Tapi rancangan ini seperti terhenti selepas PRU14,” katanya dalam sebuah hantaran Facebook semalam dan menambah rancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan terhenti selepas tumbang pada 2018.

    Najib berkata idea bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membawa universiti Jepun ke Malaysia juga tidak menerima tindakan susulan.

    “Jadi, saya harap menteri pendidikan hari ini akan berusaha untuk menarik Universiti Tsukuba dan lain-lain universiti terkenal dunia untuk mendirikan kampus di Malaysia agar negara teruskan hasrat bagi menjadi hab pendidikan antarabangsa serta menaikkan modal insan negara.”

    Bagaimanapun, MIT menafikan laporan tersebut, lapor portal MalaysiaNow

    Dalam sebuah respons terhadap dakwaan yang dibuat media Indonesia, MIT berkata ia tidak pernah menandatangani sebarang kerjasama dengan Tsinghua University untuk membina kampus di Bali, sambil menambah pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan kompleks universiti yang sedang dibina di pulau peranginan itu.

    Disember lalu, bekas Gabenor Bali Made Mangku Pastika memberitahu media bahawa sebuah universiti teknologi sedang dibina dengan kerjasama dua universiti.

    Difahamkan, universiti yang dinamakan Upaya Indonesia Damai itu akan dirasmikan Presiden Joko Widodo sekitar pertengahan tahun ini.

    Dalam pada itu, pemeriksaan turut menunjukkan bahawa MIT sudah menjalin sebuah bentuk kerjasama pendidikan dengan Malaysia yang membawa kepada penubuhan Asia Business School (ASB), sebuah kerjasama antara Bank Negara dan MIT Sloan School of Management.

    Fakulti ASB dan ahli lembaganya turut terdiri daripada ahli akademik terkemuka Amerika, termasuk pengasas MIT Sloan Charles Fine, Athanasios Orphanides dan Richard Schmalensee serta Davids Schmittlein.

  • Lelaki dicekup polis ketika leka proses air ketum

    Lelaki dicekup polis ketika leka proses air ketum

    SEORANG lelaki ditahan ketika leka memproses bahan untuk menjual air ketum dalam satu serbuan di Kampung Permatang Raja, Padang Gajah dekat Taiping malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat berkata, dalam serbuan pada 11.15 malam itu, pihaknya berjaya merampas air ketum bernilai kira-kira RM7,000 yang disimpan di dalam plastik dan tong untuk dijual di pasaran tempatan.

    “Semasa ditahan lelaki berumur 51 tahun itu sedang memproses bahan untuk menjual air ketum yang sudah dibotolkan.

    “Suspek, yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak, telah terlibat dengan kegiatan penjualan air ketum hampir empat tahun di kawasan itu sejak 2018,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping hari ini.

    Beliau berkata bekalan air ketum yang dirampas dijual pada harga RM10 seliter.

    Osman berkata, siasatan mendapati suspek memiliki empat kesalahan lampau berkaitan ketum dan ditahan reman tiga hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

    Katanya, polis telah menahan seramai 1,254 pengedar dan penagih dadah dengan nilai sitaan berjumlah RM657,632 sepanjang tahun lepas. – BERNAMA

  • Pekerja putus jari, majikan didenda RM20,000

    Pekerja putus jari, majikan didenda RM20,000

    SEBUAH syarikat pembuatan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh di sini selepas seorang pekerjanya putus jari telunjuk tangan kiri akibat terkena mata ketam yang sedang berputar semasa menjalankan kerja-kerja mengetam kayu di tempat kerja.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan menyebut syarikat MSBB Engineering Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikatnya, Liew Chee Weng, 53, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Norashima Khalid.

    “MSBB Engineering Sdn Bhd sebagai majikan telah gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja iaitu gagal mengadakan sistem  kerja selamat bagi aktiviti kerja pengendalian jentera ‘surface planer’ sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada seorang pekerja tempatan berusia 19 tahun. 

    “Kemalangan yang berlaku pada pukul 8.40 pagi 19 Mac tahun lepas telah menyebabkan mangsa mendapat kecederaan akibat terkena mata ketam yang sedang berputar ketika sedang menjalankan kerja-kerja mengetam kayu menggunakan mesin ‘surface planer’,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menjelaskan mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan dan disahkan putus sepenuhnya hujung ruas jari telunjuk dan tisu terpotong pada hujung jari tengah di  tangan kiri mangsa.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA

  • Polis tahan tukang paip disyaki curi meter air, peralatan paip di Kota Bharu

    Polis tahan tukang paip disyaki curi meter air, peralatan paip di Kota Bharu

    POLIS  menahan seorang tukang paip di sebuah rumah di Jalan Sultanah Zainab di Kota Bharu yang disyaki terlibat dengan beberapa kes curi kepala paip dan meter air di belakang premis sekitar bandar itu, semalam.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 4.30 petang, dan semasa ditahan polis turut menemukan meter air serta pelbagai peralatan membaiki paip bersama suspek.

    “Siasatan mendapati lelaki itu bekerja sebagai seorang tukang paip dan disyaki menggunakan peralatan yang dirampas untuk menjalankan kegiatannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata suspek yang didapati positif dadah jenis Methamphetamin mengaku mencuri meter air serta peralatan paip di sekitar daerah Kota Bharu sejak setahun yang lepas, dan dia juga didapati memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan dadah di Pengkalan Chepa dan Pasir Mas.

    “Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

    — BERNAMA


  • Long Tiger mengaku salah, dipenjara 12 bulan

    Long Tiger mengaku salah, dipenjara 12 bulan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LONG Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak hari ini kerana melarikan diri daripada tahanan polis pada 15 Disember lalu.

    Tertuduh yang merupakan seorang lelaki berketurunan Rohingya berusia 33 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Zaridah Y. Abdul Jaapar.

    Zaridah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Disember 2021 di Penjara Kluang.

    Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana tertuduh ditahan secara atas kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Tangkak di sini pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember 2021.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

    Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri dari lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan meminta anggota polis yang ditugaskan membuka gari.

    Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan untuk lolos daripada tahanan ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.

    Ketika melarikan diri, tertuduh juga telah dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.

    Dalam prosiding sama, mahkamah turut menetapkan tarikh 14 dan 16 Februari ini bagi bicara empat kes melibatkan Abdul Hamim iaitu mengikut Seksyen 388, 342 dan 506 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Tangkak.

    Pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyum Rahman.

    Tertuduh pula diwakili peguam, Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md. Yusoff.

  • Jangan beri laluan mudah pengeluaran wang KWSP – Anwar

    Jangan beri laluan mudah pengeluaran wang KWSP – Anwar

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak boleh diberi laluan secara mudah kerana ia adalah jaminan masa depan pencarum.

    Beliau berkata, daripada memberi kebenaran mengeluarkan KWSP apabila bencana menimpa negara khususnya banjir, kerajaan boleh menyalurkan pelbagai bantuan kepada mangsa.

    “Ada pandangan bahawa perlu beri kelonggaran bagi pencarum mengambil wang mereka sendiri… tetapi saya cenderung walaupun (pandangan) tidak popular, kita tidak boleh beri laluan mudah kerana wang ini yang sedikit adalah untuk menjamin masa depan mereka.

    “… dan ini kumpulan agak miskin, kalau diambil wang (KWSP) ini, dalam tempoh lima, enam tahun selepas bersara tidak ada jaminan keselamatan hidup mereka dan keluarga,” katanya ketika perbahasan mengenai bencana banjir pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar berkata, kerajaan seharusnya menyalurkan bantuan kewangan tambahan antara RM5,000 dan RM10,000 bagi mengurangkan beban golongan yang terjejas banjir.

    Anwar turut mencadangkan supaya kerajaan menghentikan sementara pembalakan termasuk yang telah diluluskan sehinggalah kajian berkaitan risiko aktiviti tersebut selesai dijalankan bagi mengelak kawasan tadahan hujan terjejas.

    “Janganlah beri kelulusan baharu pembalakan tanpa mengira kedudukan, darjat, pengaruh politik. Kalau ada ketegasan, Parlimen akan beri sokongan penuh tanpa kira siapa,” katanya. – BERNAMA

  • Hak ADUN Perak untuk buat ujian air kencing kedua – polis

    Hak ADUN Perak untuk buat ujian air kencing kedua – polis

    ADALAH hak seorang Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Perak untuk membuat ujian kedua air kencingnya, selepas ujian pertama didapati mendapati positif dadah ketika ditahan di sebuah pusat hiburan di Perai, dekat sini 13 Jan lepas.

    Namun Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata pihaknya tidak boleh menguna pakai keputusan tersebut, walaupun ujian kedua air kencing yang dibuat oleh lelaki berusia 54 tahun itu, negatif.

    “Polis masih menunggu laporan patologi sampel air kencing ADUN itu bagi memastikan sama ada ia negatif atau positif, selepas dapat keputusan baru kita tahu macam mana (negatif atau positif), kami juga sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu.

    “Berdasarkan laporan berita, beliau telah membuat ujian kedua air kencingnya di sebuah klinik swasta dan ia negatif, itu adalah haknya (untuk buat ujian kedua), siasatan kami berdasarkan keputusan patologi yang dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga tiga bulan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Terence Naidu, mendakwa ujian kedua air kencing yang dilakukan di sebuah klinik swasta – Klinik 02 di Pulau Pinang didapati negatif.

    Peguamnya Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan hari ini di laporkan berkata ujian itu dilakukan pada 15 Jan lepas, sehari selepas dia dibebaskan dengan jaminan polis dan berdasarkan perkembangan tersebut, siasatan lanjut perlu dibuat oleh pihak polis dengan kadar segera, demi kepentingan dan keadilan kepada Terence.

    Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata polis memang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu termasuk laporan polis dibuat ADUN tersebut, yang mendakwa minumannya telah dicampur dengan dadah dan ditambah semasa beliau ke tandas di ruang karaoke.

    “Polis menjalankan siasatan selengkap-lengkapnya sebelum kertas siasatan disiapkan, dihantar kepada DPP (Timbalan Pendakwa Raya) untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya juga masih menunggu laporan patologi 35 lagi individu, termasuk dua anggota polis yang turut positif ketika ditahan dalam serbuan pukul 9 malam tersebut.

    Dua anggota polis yang ditahan dalam serbuan itu adalah anggota polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Perak dan Pulau Pinang.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai itu, seramai 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah.

  • Jururawat rugi RM350,000 diperdaya ‘Datuk Nurul Huda’

    Jururawat rugi RM350,000 diperdaya ‘Datuk Nurul Huda’

    SEORANG jururawat wanita kerugian RM350,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa tidak membayar cukai pendapatan berjumlah RM55,800.82.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 53 tahun yang menetap di Pokok Sena itu dihubungi seorang individu yang mengaku daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan pembayaran selama 15 bulan.

    “Mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu dan memberitahu dia tidak pernah membuka akaun syarikat perniagaan (SSM) dengan nama syarikat AR Maju Trading yang didaftar di Kelantan. Namun, individu terbabit kemudian meminta mangsa untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk menafikan mangsa tidak terbabit dengan kes berkenaan.

    “Mangsa yang panik membuat panggilan itu dan disambung dengan ‘Datuk Nurul Huda Saleh’ dari IPK Kelantan yang kemudian meminta nombor Mykad mangsa untuk membuat pemeriksaan,” katanya seperti dilapor Astro AWANI.

    Beliau berkata, individu itu kemudian meminta mangsa memberi nombor kad ATM serta nombor akaun Tabung Haji dan akaun Bank Islam milik mangsa.

    “Mangsa menyedari ditipu selepas mangsa pergi ke Bank Islam cawangan Alor Setar untuk mengeluarkan wang dan terkejut apabila membuat semakan baki mendapati wang simpanannya berkurangan,” katanya.

    Semakan yang dilakukan mangsa mendapati wang sebanyak RM350,000 telah lesap.

    Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena, pada 18 Januari.

    Beliau berkata, berikutan itu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • 3 kes samun bersenjata parang, 4 lelaki ditahan

    3 kes samun bersenjata parang, 4 lelaki ditahan

    POLIS Melaka menahan empat lelaki berusia antara 32 dan 42 tahun dipercayai terbabit dalam tiga kes samun bersenjatakan parang di sekitar Ayer Keroh dan Batu Berendam di sini pada 9 hingga 15 Jan lepas.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan di sekitar Bukit Beruang dan Bukit Katil pada Selasa lepas.

    “Semasa tangkapan dilakukan, seorang suspek telah melarikan diri ke atas bumbung bangunan rumah pangsa empat tingkat namun berjaya ditahan.

    “Polis terpaksa meminta bantuan Bomba Ayer Keroh bagi menangkap lelaki tersebut yang bersembunyi di dalam tangki air di atas bumbung bangunan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kumpulan samun bersenjata itu terdiri daripada orang tempatan dan warga asing membabitkan kerugian wang tunai, telefon bimbit serta dokumen penting.

    Menurutnya, turut dirampas dua kenderaan, dua parang dan empat telefon bimbit dipercayai digunakan bagi kegiatan samun bersenjata itu.

    Christopher berkata, kesemua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 394, Seksyen 395/397 serta Seksyen 393 Kanun Keseksaan

    “Polis percaya dengan tumpasnya kumpulan samun bersenjatakan parang ini, tiga kes samun di daerah Melaka Tengah yang berlaku sejak awal Januari lepas berjaya diselesaikan.

    “Kami juga ingin mengingatkan bahawa sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” katanya. – BERNAMA

  • Seludup dadah melalui laut, modus operandi baharu di Terengganu

    Seludup dadah melalui laut, modus operandi baharu di Terengganu

    POLIS Terengganu mengesan modus operandi (MO) baharu penyeludup dadah iaitu melalui jalan laut di perairan negeri itu, setelah berjaya merampas 18.7 kilogram syabu bernilai lebih RM674,000 di Marang Ahad lepas. 

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata rampasan di tepi pantai di Kampung Rhu Kubur, Jambu Bongkok di Marang kira-kira 8 malam itu, adalah susulan daripada laporan awam yang menemukan satu guni dipercayai ditinggalkan tiga individu mencurigakan di kawasan itu.

    “Orang awam ini terlihat suspek sedang mengangkat sesuatu objek dengan tergesa-gesa, namun bila suspek ternampak orang awam, mereka melarikan diri dengan sebuah kenderaan dan meninggalkan satu guni di situ.

    “Orang awam itu kemudiannya memeriksa guni yang diikat dengan pelampung dan mengesyaki terdapat bahan terlarang di dalam guni tersebut lalu segera menghubungi pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

    Beliau berkata pemeriksaan polis kemudiannya menemukan 17 peket yang berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu, dibungkus dalam plastik teh Cina, terdapat di dalam guni berkenaan.

    “Penyeludupan melalui jalan laut pesisir pantai ini bukanlah kelaziman di Terengganu, ini yang pertama kami kesan, jadi polis percaya ekoran operasi besar-besaran termasuk Op Benteng, ia telah mendorong suspek mengubah MO mereka.

    “Polis percaya guni berkenaan telah terapung selama beberapa hari (sebelum diangkut ke darat). Kami juga syak suspek menggunakan pesisir pantai ini sebagai transit sebelum mengedarkan dadah itu ke pasaran tempatan termasuk di luar Terengganu,”  katanya yang turut mengesyaki dadah itu diseludup dari luar negara.

    Menurut Rohaimi syabu itu dianggarkan boleh menampung lebih kurang 94,000 penagih.

    “Setakat ini belum ada tangkapan, semua ketua polis daerah yang mempunyai pesisir pantai sudah diminta untuk melakukan risikan lanjut dan bekerjasama rapat dengan masyarakat setempat dan meminta mereka melaporkan segera kepada polis jika terdapat sebarang kegiatan mencurigakan,” katanya.

    Beliau berkata lokasi kejadian yang gelap dan jauh dari kediaman penduduk merupakan antara faktor yang dipercayai mendorong suspek melakukan kegiatan jenayah di kawasan terbabit.

    “Mungkin selepas ini kami boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya memasang lampu di kawasan atau spot yang kami syaki berpotensi berlaku kegiatan jenayah,” katanya.

    — BERNAMA