POLIS Terengganu mengesan modus operandi (MO) baharu penyeludup dadah iaitu melalui jalan laut di perairan negeri itu, setelah berjaya merampas 18.7 kilogram syabu bernilai lebih RM674,000 di Marang Ahad lepas. 

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata rampasan di tepi pantai di Kampung Rhu Kubur, Jambu Bongkok di Marang kira-kira 8 malam itu, adalah susulan daripada laporan awam yang menemukan satu guni dipercayai ditinggalkan tiga individu mencurigakan di kawasan itu.

“Orang awam ini terlihat suspek sedang mengangkat sesuatu objek dengan tergesa-gesa, namun bila suspek ternampak orang awam, mereka melarikan diri dengan sebuah kenderaan dan meninggalkan satu guni di situ.

“Orang awam itu kemudiannya memeriksa guni yang diikat dengan pelampung dan mengesyaki terdapat bahan terlarang di dalam guni tersebut lalu segera menghubungi pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan polis kemudiannya menemukan 17 peket yang berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu, dibungkus dalam plastik teh Cina, terdapat di dalam guni berkenaan.

“Penyeludupan melalui jalan laut pesisir pantai ini bukanlah kelaziman di Terengganu, ini yang pertama kami kesan, jadi polis percaya ekoran operasi besar-besaran termasuk Op Benteng, ia telah mendorong suspek mengubah MO mereka.

“Polis percaya guni berkenaan telah terapung selama beberapa hari (sebelum diangkut ke darat). Kami juga syak suspek menggunakan pesisir pantai ini sebagai transit sebelum mengedarkan dadah itu ke pasaran tempatan termasuk di luar Terengganu,”  katanya yang turut mengesyaki dadah itu diseludup dari luar negara.

Menurut Rohaimi syabu itu dianggarkan boleh menampung lebih kurang 94,000 penagih.

“Setakat ini belum ada tangkapan, semua ketua polis daerah yang mempunyai pesisir pantai sudah diminta untuk melakukan risikan lanjut dan bekerjasama rapat dengan masyarakat setempat dan meminta mereka melaporkan segera kepada polis jika terdapat sebarang kegiatan mencurigakan,” katanya.

Beliau berkata lokasi kejadian yang gelap dan jauh dari kediaman penduduk merupakan antara faktor yang dipercayai mendorong suspek melakukan kegiatan jenayah di kawasan terbabit.

“Mungkin selepas ini kami boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya memasang lampu di kawasan atau spot yang kami syaki berpotensi berlaku kegiatan jenayah,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here