Category: Semasa

  • Lelaki terbakar, ibu dan anak kecil maut kemalangan 2 kereta

    Lelaki terbakar, ibu dan anak kecil maut kemalangan 2 kereta

    TIGA individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 Tanah Putih, di Kuantan malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan pada kira-kira 11.30 malam itu mengakibatkan pemandu kereta jenis Proton Iswara, Adzarul Fadzlie Ahmad Roki, 33, meninggal dunia akibat terbakar di seluruh badan.

    Beliau berkata turut maut adalah penumpang hadapan kereta jenis Proton Saga, Azura Iskandar Mohamad, 32, dan anak perempuannya, Nur Izara Al Aishah Mohd Fairus, 5, akibat kecederaan di kepala.

    “Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarulzaman berkata suami Azura, Mohd Fairus Md Yusof, 40, dan tiga lagi anak mereka iaitu Mohamad Al Hafiz Ikram,11, Nurul Al Aziana Ashikin, 10, dan Mohamad Al Alif Ikmal, 9, yang cedera di kepala, kaki dan tangan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati Adzarul Fadzlie yang merupakan pekerja kilang, hilang kawalan ke atas keretanya yang sedang dipandu dari arah Gambang menghala Kuantan lalu bergesel dengan Proton Saga dipandu Mohd Fairus yang berada di sebelah kiri jalan.

    Katanya, akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan tersebut terbabas ke bahu kiri jalan lalu menyebabkan Proton Iswara itu remuk dan terbakar.

    Beliau berkata, kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta tampil membantu siasatan.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Ismail Abdul Ghani dalam kenyataan berkata 16 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba Indera Mahkota, Taman Tas dan Kuantan digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 11.34 malam.

    Katanya, mayat wanita yang tersepit telah dikeluarkan dengan menggunakan Hydraulic Power Unit dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala kereta tersebut mengalami kebakaran 100 peratus. – BERNAMA

  • Polis panggil geng kereta FCCM-FC Club Malaysia

    Polis panggil geng kereta FCCM-FC Club Malaysia

    POLIS akan memanggil sekumpulan individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta untuk memberi keterangan dalam masa terdekat selepas gambar mereka berkumpul di lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang-Pantai, Nilai tular, semalam.

    Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengesan hantaran menerusi Facebook yang memaparkan sekumpulan individu daripada kelab kereta ‘FCCM-FC Club Malaysia’ memberhentikan kereta untuk bergambar di lebuh raya berkenaan kira-kira 6.30 petang, Sabtu lepas.

    “Untuk permulaan kita akan panggil ketua kelab itu dahulu, kita dah kenal pasti kira-kira 48 kereta setakat ini. Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab yang munasabah seperti yang tular itu merupakan satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

    “Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu mengikut Kaedah 53(1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan daripada apa-apa kelas diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata hukuman denda juga boleh dikenakan ke atas individu yang terlibat di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

    Sehubungan itu, Mohd Fazley menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

    Beliau berkata perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan akan dilakukan bagi menyelaraskan tindakan lanjut selain cadangan bagi menyediakan tempat khusus di kawasan berkenaan untuk orang ramai bergambar serta menjaja.

    “Lebuhraya Temiang-Pantai merupakan lokasi yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai berhenti untuk mengambil gambar kerana keindahan pemandangan di lokasi terbabit tetapi tindakan mengambil gambar seperti yang tular itu boleh mengundang bahaya,” katanya.

    Semalam, kelab kereta itu menerusi akaun mereka di Facebook memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan deretan kenderaan dipercayai milik ahli kelab berhenti di laluan kecemasan kedua-dua arah untuk mengambil gambar yang didakwa merupakan sebahagian daripada aktiviti lepak santai mereka. – Bernama

  • Zahid diperintah bela diri atas kesemua 47 pertuduhan

    Zahid diperintah bela diri atas kesemua 47 pertuduhan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, yang dimiliki Ahmad Zahid.

    Mahkamah menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan, bermula 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei, 27-30 Jun, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22, 26-29 Sept , 17-20 dan 31 Okt serta 1-3 dan 7-10 Nov.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang memegang jawatan timbalan perdana menteri dari 2015 hingga 2018, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

    Ahmad Zahid, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, dijadual memberi keterangan pada 26 April ini.

    Dalam penghakimannya, Sequerah berkata pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

    “Pertamanya berkenaan dengan isu imuniti, selepas mempertimbangkan hujahan oleh kedua-dua pihak, saya mendapati tiada merit kepada soal imuniti,” katanya.

    Sebelum ini, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berhujah bahawa Ahmad Zahid telah membuat dua kenyataan pada 2 dan 3 Julai 2018, dan berkata dengan membuat pendedahan melalui dua kenyataan itu, Presiden UMNO itu sepatutnya mempunyai imuniti daripada pendakwaan.

    Mengenai 12 pertuduhan CBT di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, hakim berkata selepas membuat penilaian maksimum terhadap keterangan pihak pendakwaan, beliau mendapati pendakwaan telah membuktikan unsur kesemua 12 pertuduhan dan telah berjaya membuat kes prima facie terhadap semua 12 pertuduhan.

    “Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua 12 pertuduhan,” katanya.

    Bagi lapan pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hakim juga mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie bagi kesemua lapan pertuduhan tersebut.

    “Saya juga mendapati ada unsur di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM terhadap tertuduh, oleh itu saya memerintahkan tertuduh membela diri atas kesemua lapan pertuduhan itu,” kata hakim itu.

    Beliau turut memerintahkan Ahmad Zahid supaya membela diri atas kesemua 27 pertuduhan pengubahan wang haram bagi penemuan yang sama.

    Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Ahmad Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Ahmad Zahid juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

    Ahmad Zahid kelihatan tenang semasa hakim menyampaikan keputusannya.

    Hakim  berkata Ahmad Zahid mempunyai tiga pilihan untuk membela diri – memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi, atau memberikan keterangan tidak bersumpah dari tempat tertuduh, atau berdiam diri.

    Peguam Hamidi Mohd Noh yang juga mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah. 

     Hisyam berkata pembelaan akan memanggil kira-kira 20 saksi untuk memberi keterangan.

    “Yang Arif, pihak pendakwaan telah menawarkan kepada kami sebanyak 37 orang saksi. Kami memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan pembelaan, kami perlu menemu bual serta menyediakan kenyataan saksi.

    “Oleh itu, kami tidak dapat memulakan pembelaan pada 28 Mac seperti yang ditetapkan sebelum ini. Bolehkah saya mencadangkan kepada mahkamah supaya memulakan perbicaraan pada 26 April ini,” kata peguam itu.

    Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran.

    Ahmad Zahid juga menghadapi 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara, menjadikan jumlah pertuduhan terhadapnya kepada 87. Kes itu ditetapkan untuk sambungan perbicaraan pada  3 Feb. – BERNAMA

  • Yakin menang majoriti dua pertiga, BN Johor tanding solo

    Yakin menang majoriti dua pertiga, BN Johor tanding solo

    BARISAN Nasional (BN) Johor bercadang bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad berkata namun keputusan itu tertakluk kepada pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.

    “Sebagai parti di peringkat negeri kita telah pun mencadangkan untuk bergerak secara solo iaitu BN secara bersendirian, kita akan bertanding di semua 56 kerusi.

    “Tapi ia bukan kuasa kita kerana perkara kerjasama parti dalam hadapi PRN ditentukan pucuk pimpinan di peringkat pusat,” kata Menteri Besar Johor selepas merasmikan majlis penutup Taklimat Pilihan Raya MIC negeri di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran.

    Mengenai keputusan membubarkan DUN Johor bagi mengadakan PRN yang dibuat secara unilateral tanpa melibatkan perbincangan antara parti membentuk kerajaan negeri sedia ada, Hasni berkata tiada keperluan untuk mendapatkan persetujuan parti lain.

     “Perkara itu tidak berbangkit kerana ia mengikut Fasal 23 Bahagian Kedua dan Ketiga Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang diperkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim.

    “Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) negeri hanya dimaklumkan tentang hasrat ketua kerajaan untuk mencadangkan atau mengemukakan permintaan kepada raja (untuk mempertimbangkan cadangan pembubaran DUN), bukan perlu mendapat persetujuan MMK. Tidak, ia bukan begitu,” katanya.

    Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu Johor Mohd Solihan Badri dilaporkan berkata keputusan membubarkan DUN Johor bagi mengadakan PRN, dibuat secara unilateral tanpa melibatkan perbincangan antara parti yang membentuk kerajaan negeri sedia ada, sekali gus mengetepikan Bersatu dan PAS.

    Kerajaan negeri sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi); MIC (dua); Bersatu (11); dan PAS (satu) manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14); PKR (tujuh); dan Amanah (enam).

    Ditanya mengenai Johor menjadi medan pertama pengundi 18 tahun, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata pihaknya tidak akan memandang remeh kuasa mengundi golongan muda dalam PRN itu dan akan menyusun strategi bagi mendapatkan sokongan daripada golongan itu.

    Beliau berkata PRN Johor akan menyaksikan lebih 150,000 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun yang layak mengundi buat pertama kali dalam sejarah.

    — BERNAMA

  • Suami maut ditikam isteri di Negeri Sembilan

    Suami maut ditikam isteri di Negeri Sembilan

    Seorang lelaki maut disyaki  ditikam isteri  sendiri di sebuah rumah di Rasah Kemayan, Seremban 2 di Seremban, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata dalam kejadian kira-kira 4.11 petang itu berkata mangsa yang berusia 55 tahun ditemukan maut di dapur rumah berkenaan selepas disyaki ditikam dua kali di bahagian dada serta pinggang oleh isterinya yang juga berusia 55 tahun.

    “Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban telah terima panggilan MERS 999 daripada anak perempuan mangsa berumur 18 tahun membuat aduan seorang lelaki ditikam di bahagian dada dipercayai suspek adalah isteri mangsa di  Rasah Kemayan, Seremban 2.

    “Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa terdapat dua kesan tikaman di dada kiri dan pinggang kiri.  Mangsa dan isteri mempunyai empat orang anak. Pada ketika kejadian anak ketiga dan keempat merupakan saksi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, motif kejadian berpunca daripada masalah kewangan dan polis menahan isteri mangsa serta senjata tajam turut dirampas. Wanita itu akan direman esok.

    Beliau berkata bedah siasat mangsa akan dilakukan esok. – BERNAMA

  • Muhyiddin minta rakyat doakan rawatan Dr Mahathir dipermudahkan, diberi kesembuhan

    Muhyiddin minta rakyat doakan rawatan Dr Mahathir dipermudahkan, diberi kesembuhan

    TAN Sri Muhyiddin Yassin memohon supaya seluruh rakyat mendoakan agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) diberi kesembuhan dan kembali sihat.

    Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut berdoa supaya Dr. Mahathir dipermudahkan urusan rawatan.

    “Marilah kita sama-sama berdoa agar urusan rawatan Dr. Mahathir dipermudahkan dan beliau diberi kesembuhan serta kesihatan,” katanya dalam poster dimuat naik dalam media sosial, hari ini.

    Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Jan selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor daripada institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Jan.

    Semalam Datin Paduka Marina dalam kenyataan memaklumkan keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan.

    Hari ini beliau memaklumkan mereka sekeluarga telah berinteraksi dengan Dr. Mahathir Mohamad.

    Marina yang mewakili pihak ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di dalam dan luar negara, yang menganjurkan majlis bacaan yasin dan doa selamat untuk kesembuhan Dr Mahathir.

    Ucapan terima kasih turut dipanjangkan kepada orang ramai daripada pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Tun Dr Mahathir cepat sembuh.

    “Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih.

    “Pihak IJN dan keluarga Tun Dr Mahathir akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa. Sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada semua,” kata anak sulung Dr Mahathir itu dalam satu kenyataan hari ini.

  • Jangan endah khabar angin tentang Tun Mahathir

    Jangan endah khabar angin tentang Tun Mahathir

    KELUARGA Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berinteraksi dengan bekas Perdana Menteri itu yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

    Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir dalam kenyataan media, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau dah ahli-ahli keluarga yang lain berharap orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih mengenai keadaan Dr Mahathir.

    “Bagi pihak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, di dalam dan luar negara, yang telah menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin dan juga orang ramai dari pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Tun Dr Mahathir cepat sembuh.

    “Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih,” katanya.

    Marina berkata, IJN dan keluarganya akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan rawatan Dr Mahathir.

    Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berada di Rawatan Rapi Koronari, IJN dan berada di bawah pemantauan rapat oleh pakar perubatan di situ.

    Sebelum ini, beliau dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur perubatan elektif pada Jan 7 lalu sebelum dibenarkan pulang pada 13 Januari.

  • Kerajaan lulus RM2 juta bina masjid baharu Kg Felda Belara

    Kerajaan lulus RM2 juta bina masjid baharu Kg Felda Belara

    KERAJAAN meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan Masjid Felda Belara yang baharu, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

    Beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan dana pembinaan masjid itu bagi menampung pertambahan jumlah jemaah di kawasan berkenaan.

    “Saya menyampaikan hasrat ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri selepas ahli kariah bertemu dengan saya sebelum ini bagi mengemukakan permohonan untuk membina masjid baharu, alhamdulillah beliau memberikan reaksi yang amat positif.

    “Jadi sukacita saya umumkan bahawa kerajaan telah bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan masjid baharu,” katanya di Kampung Felda Belara, Kuala Nerus.

    Mohd Khairuddin berkata, usaha segera dilakukan oleh pihaknya selepas menerima permohonan berkenaan memandangkan masjid yang sedia ada hanya mampu menampung seramai 500 jemaah sahaja.

    “Saya mencuba sedaya-upaya untuk membantu bagi merealisasikan hasrat rakyat di kampung ini apatah lagi masjid adalah simbol kekuatan syiar Islam,” katanya.

    Beliau mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana merealisasikan hasrat penduduk kempung berkenaan.

    “Penduduk kampung ini turut bersyukur di atas keprihatinan kerajaan atas permintaan mereka,” katanya.

  • Agong jalani pemeriksaan kesihatan, rawatan susulan di IJN

    Agong jalani pemeriksaan kesihatan, rawatan susulan di IJN

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN), untuk tempoh beberapa hari bermula semalam.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan dengan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 Sept lepas.

    Menurutnya, intervensi itu dibuat setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.

    “Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh itu ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di hospital awam, termasuk IJN. Pada masa sama, Seri Paduka juga berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN,” menurut Ahmad Fadil dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Ahmad Fadil berkata, kesihatan Seri Paduka secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan, seterusnya baginda dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan itu.

    “Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya. – BERNAMA

  • Sembilan diberkas sindiket penipuan dalam talian

    Sembilan diberkas sindiket penipuan dalam talian

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menahan sembilan individu dalam empat serbuan berasingan di sekitar Kedah dan Pulau Pinang Khamis lalu kerana disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian.

    Lapan lelaki serta seorang wanita berusia 19 hingga 51 tahun itu diberkas dalam operasi dijalankan sepasukan anggota risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman kira-kira jam 1.15 petang.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil serbuan itu, polis turut merampas tiga buah kereta, 21 telefon pintar, dua buah komputer, 18 buku catatan, kad kredit, kad bank serta wang tunai berjumlah lebih RM14,000.

    “Ada yang ditangkap di rumah dan kawasan-kawasan lain, setakat ini kumpulan ini dikenal pasti terlibat dalam enam kes dengan anggaran kerugian RM150,000.

    “Modus operandi mereka adalah dengan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta menyamar menjadi agensi penguat kuasa yang lain termasuk polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

    Wan Hassan berkata hasil siasatan mendapati sindiket penipuan ini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan Melayu Yong dan Kumpulan India Yong.

    Katanya, polis kini sedang mengesan dua lagi individu disyaki terbabit dalam kes ini dan berkemungkinan adalah dalang sindiket terbabit.

    “Mereka ini sering berubah tempat operasi bagi mengelak kegiatan mereka terkesan, namun kita yakin penahanan kesemua suspek ini akan membantu polis menyelesaikan lebih banyak kes penipuan dalam talian,” katanya.

    Beliau berkata les ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, densa atau sebat atau kedua duanya sekali.

    Katanya, kesemua suspek telah direman dan akan disambung reman hingga Selasa ini,” jelas beliau.