Category: Semasa

  • Tular lori tanah rempuh enam kenderaan

    Tular lori tanah rempuh enam kenderaan

    SEBUAH lori yang mengalami masalah brek merempuh enam buah kenderaan berhampiran Kondominium Pantai Hill Park, Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Kuala Lumpur Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya menjalankan siasatan selepas menerima video tular berkaitan kejadian pukul 4.20 petang.

    Kejadian tersebut dirakam penduduk berhampiran sebelum tular dalam Facebook sejak semalam.

    “Siasatan mendapati kemalangan kira-kira jam 1.30 petang itu berlaku semasa sebuah lori yang membawa muatan tanah dari arah tapak pembinaan berhampiran Kondominium Pantai Hill Park.

    “Ketika melalui Jalan Kerinchi berhampiran lampu isyarat pejalan kaki, sistem brek lori berkenaan dipercayai gagal berfungsi lalu melanggar kenderan yang sedang dipakir di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan kenderaan terbabit menggelongsor serta melanggar kenderaan lain.

    “Siasatan turut mendapati lori tersebut juga telah melanggar tiga kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.

    “Bagaimanapun, semua pemandu kenderaan terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Menurutnya, pemandu lori berusia 49 tahun itu ditahan selepas kejadian dan menjalani ujian pernafasan alkohol (EBA).

    “Hasil dari ujian mendapati pemandu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing dan keputusannya negatif,” katanya.

    Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999.

    “Selain itu, orang ramai turut boleh menghubungi Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Tercampak 14 meter, suami isteri maut nahas jalan raya

    Tercampak 14 meter, suami isteri maut nahas jalan raya

    SEPASANG suami isteri terbunuh dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di jalan Inderasabah, Tawau, semalam.

    Semasa kejadian pukul 1.30 petang, Al Sebal Warid, 29, dan isterinya Nurul Aidil Fitri Nordin, 29, menaiki motosikal dari Inderasabah menuju ke Taman Sawit.

    Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, sementara kenderaan Isuzu Jeep dipandu lelaki berumur 29 tahun yang bekerja sebagai nelayan, sedang dalam perjalanan dari Taman Sawit ke Inderasabah.

    “Tiba di lokasi kejadian, Isuzu Jeep berkenaan cuba memotong dua buah kenderaan dihadapannya sebelum bertembung dengan motosikal yang dinaiki mangsa.

    “Isuzu Jeep tersebut cuba mengelak ke bahu jalan, namun kerana jarak yang terlalu dekat, motosikal yang dipandu mangsa terlanggar hadapan kiri kenderaan tersebut.

    “Akibat nahas itu, pembonceng motosikal tercampak lebih kurang 14 meter dari bahu jalan dan maut di lokasi kejadian,” katanya.

    Sementara penunggang motosikal dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal di Wad Kecemasan Hospital Tawau ketika menerima rawatan.

    Bagaimanapun, pemandu Isuzu Jeep bersama seorang lagi penumpang kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Pemandu Isuzu Jeep kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Tular banjir lagi di Taman Sri Muda

    Tular banjir lagi di Taman Sri Muda

    TIDAK sampai sebulan beberapa kawasan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam sekali lagi dinaiki air susulan hujan lebat 3 petang tadi.

    Difahamkan limpahan air berlaku berikutan longkang yang tersumbat sehingga menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir dengan lancar.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam mendapati limpahan air berlaku berdekatan kolam kumbahan berhampiran sebuah pangsapuri.

    “Jalan berkenaan masih boleh dilalui kenderaan dan air melimpah berkemungkinan akibat longkang yang tersumbat.

    “Tinjauan juga mendapati air sudah mula surut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Terdahulu satu rakaman tular dalam Twitter menunjukkan kenaikan air di sebuah jalan di kawasan Taman Sri Muda bagaimanapun ia masih boleh dilalui kenderaan.

    Pada Disember tahun lalu, kawasan Taman Sri Muda antara yang terkesan teruk akibat banjir yang menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

    Banjir yang tidak dijangka itu dikatakan berpunca daripada hujan lebat luar biasa.

  • Babi hutan ‘serang’ Kampung Kelongkong

    Babi hutan ‘serang’ Kampung Kelongkong

    KIRA-KIRA 400 penduduk Kampung Kelongkong, Tanjung Kling, Melaka resah apabila penempatan mereka ‘diserang’ sekumpulan babi hutan sejak sebulan lepas.

    Seorang pemilik kebun, Abu Bakar Japar, 65, berkata beliau mengalami kerugian apabila pokok pisang dan ubi yang ditanamnya musnah akibat disondol haiwan itu yang berkeliaran mencari makanan di kawasan kebunnya.

    “Rasa seperti hendak putus asa pun ada, sebab sudah berbulan saya usahakan kebun itu,” katanya dan menambah beliau juga terpaksa membawa lastik setiap kali keluar rumah sebagai langkah berjaga-jaga jika diserang haiwan itu.

    Seorang lagi penduduk, Rahimah Kassim, 76, berkata dia tidak pernah melihat kemunculan babi dengan jumlah yang banyak dan kerap sepanjang lebih 50 tahun tinggal di kampung berkenaan, dan kehadiran haiwan itu sejak bulan lepas amat mengejutkan.

    “Dah lama mak cik duduk (tinggal) sini… memang perasan sejak bulan lepas banyak babi berkeliaran. Setiap hari ada sahaja mak cik nampak penduduk berlari ke sana sini kejar babi,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling Khairulazni Baharuddin berkata perkara itu telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka bagi tindakan lanjut.

    Semalam, tular di laman sosial klip video dirakam penduduk yang memaparkan babi hutan berkeliaran di hadapan sebuah rumah sehingga menimbulkan suasana cemas.- Bernama

  • Muhyiddin harap SOP PRN Johor seimbang, cegah penularan Covid-19, beri ruang parti berkempen

    Muhyiddin harap SOP PRN Johor seimbang, cegah penularan Covid-19, beri ruang parti berkempen

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap SOP yang akan ditetapkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah seimbang dari segi keutamaan untuk mencegah penularan Covid-19 dan memberi ruang kepada parti-parti politik untuk berkempen secara bebas, adil dan selamat.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga menegaskan, jika diberi mandat oleh rakyat Johor dalam pilihan raya itu, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri tersebut keseluruhannya.

    ‘’Saya menyeru semua pengundi yang layak untuk mengundi dalam PRN Johor kali ini supaya keluar mengundi dengan mematuhi SOP yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    ‘’Saya juga mengalu-alukan semua pengundi baharu termasuk pengundi berumur 18 tahun ke atas yang akan mengamalkan hak demokrasi mereka sebagai pengundi buat pertama kali dalam PRN Johor. Tunaikanlah hak dan tanggungjawab anda secara bijaksana,’’ katanya dalam satu kenyataan mala mini.

    Muhyiddin berkata, PN bersedia menghadapi PRN itu dan menegaskan walaupun PN adalah sebahagian daripada Kerajaan Negeri Johor sebelum ini, keputusan pembubaran DUN dibuat tanpa perundingan dengan PN negeri tersebut.

    ‘’Sebagai persediaan menghadapi pilihan raya, PN akan mengadakan rundingan dengan parti-parti anggota PN bagi memuktamadkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi selain memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti,” katanya.

    SPR dijangka mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi menetapkan hari penamaan dan pengundian.

  • Masalah penduduk Kampung Pemberian Kuala Krai terputus hubungan setiap kali banjir selesai

    Masalah penduduk Kampung Pemberian Kuala Krai terputus hubungan setiap kali banjir selesai

    LEBIH 2,000 penduduk di sekitar Kampung Pemberian, Kuala Krai, Kelantan lega apabila jambatan baharu kampung itu siap dibina pada hujung tahun lalu.

    Jambatan itu dibina dengan kos RM28.6 juta itu bagi menggantikan jambatan lama yang tidak selamat dan sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh menyebabkan penduduk terputus hubungan.

    Ia mula dibina pada tahun 2016 di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)

    Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kuala Krai hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Datuk Nik Mohammad Abduh Nik Aziz.

    Terletak kira-kira 28 kilometer dari bandar Kuala Krai dan 1 kilometer dari Simpang Jalan Utama Kuala Krai-Gua Musang dari Kg. Manjor ke Kg. Pemberian, jambatan sepanjang 240 meter itu akan memudahkan perhubungan dan keselamatan penduduk sekitarnya.

    Mahdzir dalam kenyataan media berkata, jambatan itu dinaikkan ketinggiannya daripada jambatan lama.

    ”InshaAllah kalau banjir besar melanda ia tak akan sampai ke paras jambatan ini berdasarkan jangkaan dan perkiraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

    Penduduk kampung terbabit sebelum ini sering terputus hubungan setiap kali banjir melanda di musim tengkujuh yang menenggelamkan jambatan besi yang dibina rendah.

  • Himpunan haram: Adam Adli, 7 individu lain dipanggil

    Himpunan haram: Adam Adli, 7 individu lain dipanggil

    SERAMAI lapan individu hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini bagi memberi keterangan berhubung penglibatan ceramah berkait himpunan #TangkapAzamBaki, pada Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua mereka antara dipanggil bagi membantu siasatan susulan program ceramah yang diadakan sehari sebelum himpunan terbabit dianjurkan pada Sabtu.

    “Polis menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan peraturan-peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika dihubungi.

    Amihizam berkata, sehubungan itu akan ada beberapa lagi individu lain dipanggil selepas ini untuk membantu siasatan.

    Antara yang hadir pada petang ini termasuk aktivis Adam Adli Abdul Halim; Ketua Pemuda DAP Howard Lee dan Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Dr Thanussha Francis Xavier.

    Selain itu, turut hadir Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Pejuang Muda, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin; Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Zubair Rahim dan Pengarah Strategik Pemuda Amanah, Asmaalif Abdul Adam.

    Terdahulu, kesemua yang hadir memberi keterangan pada 2.10 petang dengan diwakili peguam masing-masing serta dilihat meninggalkan IPD berkenaan pada 4.15 petang.

    Sabtu lalu, media melaporkan polis memeriksa butiran diri kira-kira 40 individu termasuk 12 aktivis yang hadir pada perhimpunan program Pentas Anak Muda #TangkapAzamBaki anjuran Pemuda Amanah Nasional di Dewan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, di sini.

    Hasil siasatan awal polis mendapati kesemua individu terbabit diipercayai berhimpun kira-kira 9 malam pada Jumaat bagi mengajak orang ramai untuk turut hadir pada perhimpunan berkenaan yang dijadualkan diadakan berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar. – BERNAMA

  • Warga emas ditemui mati dengan dua kesan tikaman

    Warga emas ditemui mati dengan dua kesan tikaman

    SEORANG warga Filipina ditemukan mati dengan dua kesan tikaman dalam kejadian di sebuah pondok berhampiran Jambatan 15, Kampung Sim-Sim, Sandakan, hari ini.

    Lelaki warga emas berusia 69 tahun itu ditemui dalam keadaan terlantar dan berlumuran darah oleh anaknya pada pukul 6 pagi.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 7.40 pagi dan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba, terdapat mayat seorang lelaki terlantar dengan kesan tikaman di bahagian dada.

    “Kejadian disedari oleh anak lelakinya yang pergi ke pondok itu untuk berniaga dan sebaik tiba didapati mangsa telah mati dengan kesan darah di dada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa merupakan seorang peniaga sayur-sayuran dan sudah berkahwin serta mempunyai dua anak.

    “Mangsa kali terakhir ditemui masih hidup kira-kira pukul 5.30 petang semalam, di mana anak mangsa ada berjumpa serta berbual dengannya di hadapan gerai mereka.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil memberikan maklumat.

  • Guru KEMAS dibenar berpolitik, kembalikan peraturan lama…tidak ada masalah – Mahdzir

    Guru KEMAS dibenar berpolitik, kembalikan peraturan lama…tidak ada masalah – Mahdzir

    KEBENARAN kepada guru-guru Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terbabit dalam politik adalah bersifat mengembalikan semula peraturan lama.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kebenaran itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ia telah diamalkan sebelum ini.

    “Guru KEMAS dan juga Penyelia KEMAS, mereka bukan kategori DG, mereka di bawah KEMAS seperti Perdana Menteri sebut dibolehkan. Guru kemas tiada masalah dari dahulu (terlibat dalam politik), tetapi zaman PH (Pakatan Harapan) dia keluarkan satu pekeliling, sekarang bukan zaman PH, macam dahulu baliklah sebenarnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Lembagan Kemajuan Kelantan Selatan, KESEDAR, di sini hari ini.

    Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lalu yang membenarkan guru KEMAS terbabit dalam politik.

    Kata Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, isu pembabitan guru dalam politik bukanlah perkara baharu.

    “Sebenarnya dari dahulu guru-guru boleh terlibat dengan politik, di zaman Pakatan Harapan, dia keluarkan Pekeliling dia hentikan terus kalau siapa yang pegang jawatan akan ambil tindakan, sedangkan dahulu tidak ada macam itu. Kalau sebut parti politik, maksudnya aktif dalam semua parti politik, ada yang jadi kerajaan dan ada yang jadi pembangkang,” katanya.

    Kebenaran itu kata beliau bagaimanapun ada sedikit berlainan berbanding guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan yang mempunyai struktur perjawatan yang membabitkan jawatan di peringkat pengurusan.

    “Maksudnya guru-guru yang tidak memegang jawatan pengurusan, guru-guru ini paling ramai dari DG41, akan naik hingga ke DG54 dan ke Jusa, dalam perkhidmatan guru tidak banyak yang boleh naik hingga ke Jusa sebab tidak banyak perjawatan itu, jadi dia akan berhenti di DG54.

    Tetapi kalau DG54 dia jadi PPD (Pegawai Pendidikan Daerah) atau Pengetua Sekolah atau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri, itu ada masalah sikit kalau nak pegang jawatan dalam politik sebab dia ada jawatan yang dia pegang,” jelas Mahdzir.

  • Bekas pengarah penguat kuasa direman kes rasuah RM3.1 juta

    Bekas pengarah penguat kuasa direman kes rasuah RM3.1 juta

    SEORANG bekas pengarah penguat kuasa agensi kerajaan direman tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan tender kontrak kerja pembersihan bernilai RM3.1 juta.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nadia Othman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut hari ini.

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah pada jam 2 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Lelaki itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan sejak Julai 2019 sehingga Mac 2021 daripada syarikat kontraktor dalam membantu mendapatkan tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.