Category: Semasa

  • Tun M semakin sihat, masih dirawat di IJN

    Tun M semakin sihat, masih dirawat di IJN

    PERKEMBANGAN kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) semakin baik dan menunjukkan peningkatan.

    Anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir memaklumkan, selera makan Ahli Parlimen Langkawi itu juga bertambah baik dan sempat berseloroh dengan ahli keluarga yang berada di sisi beliau di IJN.

    “Tun Dr Mahathir juga diberitahu mengenai ucapan selamat yang disampaikan oleh begitu ramai pihak termasuk pemimpin-pemimpin negara asing serta orang ramai.

    “Tun Dr Mahathir berserta keluarga berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan agar beliau segera pulih.
    “Beliau juga memohon agar orang ramai tidak terlalu bimbang mengenai keadaan kesihatannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelas Marina, Dr Mahathir akan terus mendapatkan rawatan di IJN di bawah pengawasan pakar tempatan dan buat masa ini, pihak IJN masih tidak membenarkan pelawat selain dari keluarga terdekat.

    Dr. Mahathir sebelum ini dilaporkan berada di Rawatan Rapi Koronari, IJN dan berada di bawah pemantauan rapat oleh pakar perubatan di situ.

    Negarawan itu dimasukkan ke IJN pada 7 Januari lalu bagi menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar pada 13 Januari.

    Pada 16 Disember tahun lalu, beliau dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

  • Lapan warga asing dipenjara 12 bulan miliki minyak masak tanpa lesen

    Lapan warga asing dipenjara 12 bulan miliki minyak masak tanpa lesen

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Kubu Bharu, Selangor hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas tujuh rakyat Myanmar dan seorang warga Thailand   kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu 31,630 kilogram minyak masak secara borong tanpa lesen, tahun lepas.

    Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu ke atas Shofi Habi Ullah, Adumujib Ismail, Mohammad Ali Ali Ahmad, Hamid Hussein Nobi Husson, Abdul Mubarik Abdul Malik, Nor Hamod Basir Ahmed dan Mohammad Ali Harun Ali yang kesemuanya warga Myanmar serta Doloh Cheloh, rakyat Thailand selepas mereka mengekalkan pengakuan bersalah pada hari ini.

    Mahkamah memerintahkan kesemua lelaki berusia antara 18 hingga 45 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 11 Oktober 2021. 

    Nurul Mardhiah turut menjatuhkan hukuman denda RM200,000 ke atas lelaki warga tempatan, Ku Mohd Fahmi Ku Mat, 44, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah atas kesalahan sama dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

    Kesemua mereka mengaku bersalah sebelum ini pada 15 Oktober  2021 dan hari ini merupakan hari mahkamah menjatuhkan hukuman. 

    Kesemua mereka didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas telah ada dalam kawalan mereka barangan berjadual iaitu 31,630 kilogram minyak masak dalam keadaan yang mendatangkan syak.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen di sebuah premis tanpa nama di Bandar Bukit Beruntung, Rawang di sini, pada 11.30 pagi, 11 Oktober 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya hendaklah didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.- Bernama

  • Norza beri restu bergerak secara profesional – Zii Jia

    Norza beri restu bergerak secara profesional – Zii Jia

    JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia mengesahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sudah memberi restu untuknya bergerak secara profesional.

    Juara Seluruh England 2021 itu mendedahkan perkembangan positif itu menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi BAM.

    “Saya sangat gembira apabila dapat mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Tan Sri Norza bersama dengan keluarga saya. Saya gembira apabila kami dapat menyelesaikan masalah yang timbul selepas mendapat restu daripada Tan Sri untuk saya menjadi pemain profesional.

    “Pencapaian yang saya raih sebelum dan selepas ini akan sentiasa menjadi produk daripada Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia. Saya sangat bertuah apabila mendapat bimbingan Tan Sri dan memberi saya peluang bagi berkhidmat kepada negara yang tercinta,” kata pemain berusia 23 tahun itu, lapor Berita Harian.

    Zii Jia yang menduduki ranking ketujuh dunia itu juga memberi perkhabaran gembira kepada skuad badminton kebangsaan apabila turut menyatakan komitmennya untuk beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, bulan depan.

    “Buat masa sekarang, saya menyatakan komitmen untuk beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia. Saya berharap penyelesaian ini akan menyatukan sebagai rakyat Malaysia dan peminat sukan badminton.

    “Teruskan sokongan kepada BAM dan pemain profesional negara yang juga lahir daripada BAM kerana akhirnya kita semua adalah satu,” kata Zii Jia.

  • Dua premis judi di Baling tamat operasi

    Dua premis judi di Baling tamat operasi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian mula dilaksanakan apabila dua buah premis perjudian di Baling sudah menamatkan operasi mereka baru-baru ini.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, terdapat lebih 50 premis perjudian di negeri ini turut akan menamatkan operasi secara berperingkat selepas ini.

    Ini berikutan katanya, keputusan itu sudah dikuatkuasa kerajaan negeri serta merta pada November lalu.

    “Saya difahamkan baru-baru ini dua premis ini sudah menghentikan operasi mereka di Baling. Jumlah sebenar saya belum dapat lagi. Tapi di Kedah ini ada lebih 50 premis perjudian akan tamat operasi mereka berperingkat pada tahun ini,” katanya selepas menyerahkan hamper dan ang pau sempena Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

    Pada 14 November lalu, media melaporkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kedah tidak lagi akan memberikan kelulusan lesen baharu bagi pengoperasian premis perjudian di negeri itu, berkuat kuasa serta merta.

    Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah memaklumkan kepada Kementerian Kewangan mengenai dasar kerajaan negeri untuk tidak lagi memperharui lesen premis perjudian.

    Katanya, surat mengenainya sudah dihantar SUB Kerajaan Tempatan negeri agar kementerian terbabit tidak lagi mengeluarkan lesen berkenaan.

    “Prosesnya memang begitu, kita perlu maklumkan kepada Kementerian Kewangan yang kita tidak lagi memperharui lesen premis perjudian, jadi kita harap Kementerian Kewangan tidak lagi perbaharui lesen premis perjudian di Kedah..Ini adalah jalan yang betul kita ambil,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memberitahu pihaknya mengesan terdapat aktiviti menyiram pokok durian menggunakan sumber bekalan air terawat pada waktu malam sehingga dikhuatiri menjadi antara punca berlaku tekanan air rendah yang lebih serius di daerah Sik .

    Katanya keadaan itu berlaku berikutan kedudukan dusun ini jauh dari kawasan sumber air seperti tali air.

    Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan luas kawasan dusun durian terbabit.

    “Tekanan air ini selalunya kuat pada tengah malam, jadi penduduk akan simpan air dalam tangki untuk kegunaan waktu siang tapi yang kita kesan ada juga petani yang siram dan simpan air untuk siram pokok durian di dusun mereka guna air terawat ini. Walaupun petani ini bayar bil air, saya harap mereka dapat guna alternatif lain untuk siram pokok durian mereka,” katanya.

    Pada majlis itu seramai 20 warga emas dan keluarga miskin berketurunan Cina menerima sumbangan berkenaan.
    Habis….

  • Lebih RM133,000 rokok seludup, minuman keras tidak bercukai dirampas

    Lebih RM133,000 rokok seludup, minuman keras tidak bercukai dirampas

    POLIS Marin Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenama rokok seludup dan minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM133,000 dalam serbuan di Bukit Mertajam semalam.

    Dalam operasi khas sempena Tahun Baharu Cina oleh Unit Risikan Marin, Pasukan Polis Marin Batu Uban itu, seorang lelaki warga Bangladesh turut ditahan bagi membantu siasatan.

    Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menjumpai sebanyak 11 peti rokok dan 17 peti minuman keras yang disyaki tidak bercukai.

    Hasil pemeriksaan lanjut katanya, peti-peti rokok itu didapati mengandungi sebanyak 590 karton atau 216,800 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM123,490.

    “Turut dirampas ialah pelbagai jenama minuman keras sebanyak 143.4 liter bernilai RM9,970 dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM133,460,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Shamsol, suspek dan kesemua barang rampasan itu kemudian diserahkan kepada ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) untuk tindakan lanjut.

    Jelasnya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967m

    “Kejayaan ini adalah sebahagian daripada  beberapa siri tangkapan di bawah Op Khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang dijalankan pasukan Polis Marin Wilayah 1 sejak dilaksanakan bermula Jumaat lalu,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi-operasi yang sama pada masa depan dalam mengekang aktiviti penyeludupan serta penjualan rokok dan minuman keras tanpa cukai yang merugikan kerajaan.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti penyeludupan boleh menyalurkannya dengan menghubungi talian 04-6558222,” katanya.

  • JDT dijangka ambil seorang lagi pemain import-TMJ

    JDT dijangka ambil seorang lagi pemain import-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KELAB bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dijangka membawa masuk seorang lagi pemain import sebagai persiapan untuk saingan Liga Super dan Liga Juara-juara Asia (ACL) musim ini.

    Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan perkara itu selepas laman Malaysia Football League memaklumkan, pemain kelahiran Mali, Moussa Sidibe adalah pemain import terakhir ditandatangani bagi menyertai skuad Harimau Selatan.

    “Pemain terakhir yang akan menyertai JDT, Moussa Sidibe. Dari Divisyen Dua Liga Sepanyol ke Liga Malaysia. Selamat datang @moussajr10,” tulis halaman sukan tersebut.

    Membalas tulisan itu, Tunku Ismail menulis, “ada lagi seorang,” yang mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati dan peminat bolasepak tanahair ini.

    Sebelum ini, Tunku memberi bayangan pemain tersebut adalah pemain kelahiran Sepanyol seperti yang dikongsikan sebelum ini dalam akaun Instagram miliknya.

    Ramai juga dalam kalangan peminat setia JDT menjangkakan Gonzalo Cabrera yang dilepaskan sebelum ini akan kembali menyertai pasukan.

    Setakat ini, JDT mempunyai sembilan pemain import termasuk termasuk import bagi kuota Asia dan Asia Tenggara (ASEAN).

    Selain Sidibe, tiga lagi muka baharu yang diperkenalkan ialah pemain kelahiran Fernando Forestieri dan dua pemain kelahiran Sepanyol iaitu Carli De Murga dan Bienvenido Maranon.

    De Murga dan Maranon merupakan pemain import bagi kuota ASEAN setelah kedua-dua mereka beraksi bersama skuad kebangsaan Filipina.

    Sementara itu, pemain import sedia ada yang masih dikekalkan ialah Bergson Da Silva, Mauricio Dos Santos, Leandro Valesquez, Shane Lowry dan Fernando Rodriguez yang beraksi bersama JDT II.

    JDT turut diperkuatkan dengan enam pemain naturalisasi iaitu Guilherme De Paula, Mohamadou Sumareh, Natxo Insa, Matt Davies, Corbin Ong, Nathaniel Shio Hong Wan.

  • ‘’UMNO tawar 4 daripada 56 kerusi kepada Pas, bukan cara baik’’ – Tuan Ibrahim

    ‘’UMNO tawar 4 daripada 56 kerusi kepada Pas, bukan cara baik’’ – Tuan Ibrahim

    HARAPAN Pas untuk menjalin kerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi berkecai selepas UMNO menawarkan hanya empat daripada 56 kerusi yang dipertandingkan kepada Pas.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu berminat untuk meletakkan calon mereka di semua kerusi yang gagal ditawan oleh Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu namun mereka kemudian hanya ditawarkan empat kerusi

    Beliau berkata, cadangan tersebut dibawa kepada UMNO dengan matlamat mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini mempertemukan kedua-dua parti ketika mereka masih pembangkang.

    Katanya, formula yang dibawa Pas itu dikemukakan dengan matlamat mahu menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di Johor.

    Bagaimanapun kata Tuan Ibrahim, apabila cadangan Pas tidak diterima rundingan dengan BN akhirnya gagal mencapai titik persefahaman.

    Bahkan kata Tuan Ibrahim tawaran empat kerusi kepada PAS di Johor bukanlah penyelesaian yang baik buat mereka.

    “Pas menghormati pendirian UMNO (dan BN) untuk bergerak solo. Bagi Pas, kami sudah hulurkan salam muafakat dan penyatuan ummah. Menawarkan empat dari 56 kerusi itu, saya fikir bukan cara baik,” katanya lapor portal Malaysiakini.

    Portal itu turut melaporkan, terdahulu tular satu video dipercayai dirakam semasa mesyuarat pimpinan UMNO bahagian di Johor.

    Pada majlis itu Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan bahawa parti itu menawarkan empat kerusi boleh menang kepada Pas malah memberi jaminan ia akan dimenangi mereka.

    Kata Hasni, tawaran itu dibuat dalam pertemuannya dengan Tuan Ibrahim.

    Bagaimana pun kata Hasni, Pas menolak tawaran diberi UMNO kerana Bersatu sebaliknya menawarkan 15 kerusi untuk Pas tandingi.

    Mengulas lanjut,  Tuan Ibrahim berkata, kerusi yang diinginkan Pas itu adalah milik pembangkang, khususnya Amanah.

    “Tawaran itu bagi memperkukuhkan muafakat dan penyatuan ummah. Ia bagi memastikan PH tidak kembali berkuasa di Johor,” katanya.

    Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, Perikatan Nasional (PN) akan turun dengan segala kekuatan yang ada bagi menghadapi PRN Johor selepas UMNO membuat keputusan untuk bergerak solo.

    “Pas akan adakan perbincangan dalam masa terdekat dengan semua parti dalam PN bagi menyusun strategi menghadapi PRN ini,” katanya.

  • Warga emas didenda RM1,900 buat video jelik

    Warga emas didenda RM1,900 buat video jelik

    SEORANG aktivis didenda RM1,900 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pindaan membuat video bersifat jelik mengaitkan pendatang asing dan jenayah di Pasar Borong Selayang, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Mustapa Mansor Amer Mohd. Isa, 60, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim MM Edwin Paramjothy..

    Mahkamah turut memerintahkan Mustapa Mansor selaku orang kena saman (OKS) dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya di aplikasi Youtube dengan niat untuk menyakiti hati orang lain, pada 26 April 2020.

    Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

    Mengikut fakta kes, video itu dimuat naik yang mana kandungannya adalah mengenai kegiatan jenayah seperti dadah, gengsterisme serta pemerdagangan manusia di Pasar Borong Selayang.

    Hasil siasatan mendapati kandungan video itu mengandungi hantaran yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Peguam Jadadish Chandra yang mewakili OKS, merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda minima dengan alasan video yang dimuat naik berhubung isu rakyat.

    “OKS juga merupakan bapa lapan orang anak dan kesalahan kali pertama dilakukan. OKS berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dan akan lebih berhati-hati dalam menbangkitkan sesuatu isu,” katanya.

    Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS

  • KPLB, Kerajaan Kelantan capai persetujuan percepat proses pengambilan tanah

    KPLB, Kerajaan Kelantan capai persetujuan percepat proses pengambilan tanah

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan negeri Kelantan hari ini bersetuju mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi projek berkepentingan rakyat.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengambilan tanah itu membabitkan projek di bawah agensi kementerian itu, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR)

    “Saya bersama Ketua Setiausaha KPLB dan juga Pengarah KPLB Kelantan serta Pengurus Besar KESEDAR membincangkan hal-hal berkaitan dengan kolaborasi kerjasama antara negeri dan Persekutuan yang melibatkan projek-projek khususnya di KESEDAR.

    ‘’ Contohnya ada pengambilan tanah, projek itu adalah projek Persekutuan bawah KPLB, kerajaan negeri buat pengambilan tanah, jadi kita buat kolaborasi Task force,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim, di Kota Bharu hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

    Mahdzir memberitahu, mereka bersetuju untuk mempercepatkan proses projek seperti jururunding dan sebagainya, di peringkat kementerian diketuai Ketua Setiausaha manakala di peringkat  diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

    Selain itu jelas Mahdzir, perbincangan kedua-dua pihak turut merangkumi program-program pembangunan di wilayah KESEDAR.

    “Kami juga berbincang untuk menyelesaikan perkara berbangkit lama di dalam kawasan KESEDAR, sebab di KESEDAR ada tanah yang diusahakan khususnya dalam tanaman kelapa sawit dan ada lagi sedang diusahakan untuk buat ukuran tanah bagi membolehkan kita serahkan kepada peserta dalam masa jangka panjang,’’ katanya.

    Di peringkat KPLB kata beliau, pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini akan diperkemaskan  susulan persetujuan yang dicapai hari ini.

    Beliau menetapkan sasaran dalam tempoh lima bulan untuk menggerakkan inisiatif yang dipersetujui tersebut.

  • Armada desak SPR umum langkah pastikan PRN Johor lebih adil, telus berintegriti

    Armada desak SPR umum langkah pastikan PRN Johor lebih adil, telus berintegriti

    Oleh MUHAMMAD SHAMSUDDIN PAIJAN

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Johor mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan langkah-langkah meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan, sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menjamin pilihan raya yang lebih adil, telus serta berintegriti.

    Armada Johor mahu PRN Johor dijadikan kayu pengukur mahupun platform memulakan sebahagian daripada aspirasi perubahan dan pembaharuan politik negara yang dicetuskan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan merupakan satu proses perubahan yang sangat signifikan kepada landskap politik negara.

    Kami mahu kualiti keadilan, ketelusan dan integriti dalam pilihan raya di negara ini ditingkatkan bermula dengan PRN Johor supaya terhasil sebuah kerajaan yang bermaruah, sifar rasuah serta bebas penyelewengan sepertimana aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

    Muhammad Shamsuddin Paijan

    Jika proses pilihan raya itu dipengaruhi perkara-perkara yang dikaitkan dengan rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, maka dibimbangi kerajaan yang akan ditubuhkan selepas PRN itu tidak mampu menegakkan prinsip integriti mahupun kedaulatan undang-undang. 

    Justeru, Armada Johor mahu SPR mengumumkan segera langkah itu menerusi platform sedia ada seperti mengeluarkan kenyataan media, memuat naik kenyataan dalam media sosial ataupun mengadakan sidang media supaya pengundi lebih yakin PRN Johor akan diadakan mengikut lunas-lunas integriti serta menjunjung kedaulatan undang-undang.

    Kami melihat masih ada kelompongan atau ruang yang mesti ditambah baik oleh SPR dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan yang bermula daripada sebelum pengumuman tarikh penamaan calon sehingga peringkat pengumuman calon yang menang pilihan raya.

    Proses di antara dua perkara itu juga sangat kritikal dan mesti dipantau dengan teliti terutama ketika berlangsung kempen dan kemudiannya proses pengiraan undi.

    Bagi mencapai demokrasi dan kerajaan yang berkualiti, ia mesti dimulakan dengan pilihan raya yang bersih supaya kemenangan dicapai secara bermaruah, bebas rasuah dan penyelewengan serta tidak memanipulasi jentera atau logistik kerajaan.

    Armada Johor juga berharap badan bebas atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) serta Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik memainkan peranan lebih aktif pada PRN Johor serta mengemukakan input penambahbaikan proses pilihan raya kepada kerajaan.

    Kami juga berharap jentera pilihan raya Bersatu Johor mewujudkan kaedah pemantauan tersendiri bagi memastikan calon parti sendiri mempamerkan politik yang bersih seiring perubahan dan pembaharuan politik negara yang sedang diperjuangkan oleh gagasan Perikatan Nasional.

    • Muhammad Shamsuddin Paijan adalah Ketua Armada Negeri Johor