POLIS Marin Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenama rokok seludup dan minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM133,000 dalam serbuan di Bukit Mertajam semalam.

Dalam operasi khas sempena Tahun Baharu Cina oleh Unit Risikan Marin, Pasukan Polis Marin Batu Uban itu, seorang lelaki warga Bangladesh turut ditahan bagi membantu siasatan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menjumpai sebanyak 11 peti rokok dan 17 peti minuman keras yang disyaki tidak bercukai.

Hasil pemeriksaan lanjut katanya, peti-peti rokok itu didapati mengandungi sebanyak 590 karton atau 216,800 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM123,490.

“Turut dirampas ialah pelbagai jenama minuman keras sebanyak 143.4 liter bernilai RM9,970 dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM133,460,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shamsol, suspek dan kesemua barang rampasan itu kemudian diserahkan kepada ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967m

“Kejayaan ini adalah sebahagian daripada  beberapa siri tangkapan di bawah Op Khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang dijalankan pasukan Polis Marin Wilayah 1 sejak dilaksanakan bermula Jumaat lalu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi-operasi yang sama pada masa depan dalam mengekang aktiviti penyeludupan serta penjualan rokok dan minuman keras tanpa cukai yang merugikan kerajaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti penyeludupan boleh menyalurkannya dengan menghubungi talian 04-6558222,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here