Category: Semasa

  • PDRM nafi keluar amaran berhubung sindiket culik kanak-kanak

    PDRM nafi keluar amaran berhubung sindiket culik kanak-kanak

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan ada mengeluarkan amaran berhubung satu sindiket culik kanak-kanak bagi mendapatkan organ.

    PDRM mengesan sebaran mesej palsu itu dalam media sosial yang kononnya dikeluarkan Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman.

    Superintendan Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Superintendan A. Skandaguru berkata, mMesej itu kononnya memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya berwaspada dengan sindiket penculikan menggunakan Proton Wira dan sebuah van putih.

    “Mereka dikatakan menyasarkan kanak-kanak serta remaja berusia di bawah 15 tahun bagi mendapatkan organ tertentu untuk dijual.

    “Mesej sama juga menyenaraikan harga bagi organ dijual seperti jantung, hati, paru-paru, buah pinggang dan mata,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata, tiada laporan polis diterima berkaitan kes penculikan dan penjualan organ manusia seperti didakwa.

    Tambahnya, semakan mendapati mesej palsu itu tular sejak 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial, malah tiada sebarang amaran sedemikian pernah dikeluarkan oleh pihak Bukit Aman.

    Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

    Katanya, tindakan berkongsi atau menyebar berita sedemikian akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat.

  • Meninggal dunia ketika daki bukit di Georgetown

    Meninggal dunia ketika daki bukit di Georgetown

    SEORANG lelaki meninggal dunia ketika melakukan aktiviti pendakian di bukit berhampiran Taman Botani, Jalan Kebun Bunga di Georgetown, semalam.

    Mangsa berusia 54 tahun ditemukan tidak sedarkan diri pada ketinggian 200 meter dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

    Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal Safry Romli, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 4.10 petang.

    Katanya, sepasukan lima anggota mendaki kira-kira 20 minit iaitu sejauh 450 meter ke lokasi mangsa ditemukan pengsan.

    “Ketika tiba di tempat kejadian, didapati mangsa tidak sedarkan diri pada ketinggian 200 meter bukit berkenaan.

    “Pasukan penyelamat memberi bantuan kecemasan jantung dan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR) selama 30 minit kepada mangsa,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

    Safry berkata, anggota bomba menurunkan mangsa ke kaki bukit menggunakan pengusung.

    “Mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.

    Difahamkan mangsa dari Sungai Ara, Bayan Lepas, sebelum itu melakukan aktiviti mendaki bersama kira-kira 10 rakannya sebelum didapati tidak sedarkan diri.

  • Sektor ekonomi dijamin tidak terjejas

    Sektor ekonomi dijamin tidak terjejas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEKTOR ekonomi terutama pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dijamin tidak akan terjejas walaupun angka kes positif Covid-19 ketika ini merekodkan kenaikan mendadak.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia mengambil kira kesan negatif terhadap ekonomi dan kadar pengangguran yang berlaku rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.

    Beliau berkata, langkah itu juga selari dengan keputusan kerajaan untuk tidak lagi akan melaksanakan ‘total lockdown’.

    “Ya, kerajaan umum tak akan PKP kerana kesan kepada ekonomi dan pengangguran negara pada awal 2020 meningkat kepada 5.3 peratus sehingga 826,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan.

    “Kita tak boleh lagi melakukan ‘total lockdown’, apa yang kita buat berdasarkan data dan sains untuk langkah-langkah kawalan. Kita lebih bersasar sekiranya ada kenaikan (kes).

    “MITI akan turut memastikan kumpulan peniaga juga tidak akan berdepan impak ekonomi sehingga memaksa beberapa sektor perniagan terpaksa gulung tikar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama IKS kawasan Tangkak, Pagoh dan Muar di Bandar Tangkak, malam tadi.

    Turut serta dalam majlis itu ialah Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd. Solihan Badri dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr. Chong Fat Full.

    Tambah Mohamed Azmin, program vaksinasi termasuk Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) yang telah menyuntik hampir dua juta pekerja sektor pembuatan antara inisiatif yang dilakukan MITI dalam memastikan sektor ekonomi tidak lagi terjejas dengan wabak Covid-19.

    Katanya, golongan itu terdedah dalam risiko yang tinggi dan ketika ramai boleh bekerja dari rumah, pekerja sektor pembuatan terpaksa berada di bahagian pengeluaran di kilang untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

    Katanya, inisiatif itu dilakukan bagi memastikan penghasilan bekalan tidak akan terganggu khususnya untuk barangan keperluan dan perkhidmatan.

    “Sebab itu kita laksanakan PIKAS dan ia masih dalam pemantauan kita dengan banyak syarikat dan industri ambil langkah proaktif melindungi kesihatan pekerja mereka.

    “Kita juga meminda Akta 446 untuk memastikan tempat tinggal pekerja ini kondusif, tidak seperti sebelum-sebelumnya.

    “Ini langkah proaktif kita ambil supaya kita dapat menangani masalah Covid-19 dengan cara lebih efektif pada masa akan datang.

  • Ayah maut, anak cedera motosikal dirempuh kereta di Tapah

    Ayah maut, anak cedera motosikal dirempuh kereta di Tapah

    SEORANG bapa maut manakala anak lelakinya berusia empat tahun cedera selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 50, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Chenderiang, Tapah, hari ini.

    Kemalangan jam 4 petang menyebabkan Annuar Zakariah, 48, parah dan disahkan maut di tempat kejadian.

    Anaknya yang juga pembonceng patah tulang kaki kanan dan kini masih dirawat di Hospital Tapah.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan mendapati dua beranak terbabit menaiki motosikal jenis Modenas Kriss manakala kereta jenis Perodua Axia dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun.

    Menurutnya, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya Kampung Batu Masjid, Temoh, Perak.

    “Siasatan awal mendapati kereta terbabit dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, memasuki lorong bertentangan dan merempuh motosikal terbabit.

    “Penunggang cedera parah dan mayatnya dibawa ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, bedah siasat dijalankan esok selepas menerima keputusan ujian Covid-19 bagi mengetahui punca kematian.

    “Pemandu kereta terbabit tidak cedera dan ditahan untuk siasatan untuk menjalani ujian saringan air kencing dan lain-lain,” katanya sambil menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • UMNO bimbang Zahid, Najib tiada nilai boleh tarik pengundi –  Solihan

    UMNO bimbang Zahid, Najib tiada nilai boleh tarik pengundi – Solihan

    ALASAN UMNO konon memberi tumpuan kepada pengisian manifesto daripada meletakkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘poster boy’ membuktikan parti itu buntu kerana dua pemimpin tersebut tidak lagi mempunyai nilai yang boleh ditonjol serta diperjuangkan bagi menarik sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketika membuat penegasan itu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional Johor Mohd Solihan Badri berkata,  tindakan itu turut menguatkan lagi andaian bahawa UMNO tidak mahu mempertaruhkan nasib calonnya dalam PRN Johor bersandarkan poster Najib yang telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RN42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd. 

    ‘’UMNO juga kini semakin bimbang penerimaan pengundi selepas reputasi Ahmad Zahid tercalar apabila diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah Amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Solihan Badri

    Beliau juga menegaskan, kewibawaan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh itu juga ‘mereput’ kerana tidak dicalonkan sebagai Perdana Menteri, tahun lalu apabila secara tradisinya Presiden UMNO menyandang jawatan tertinggi itu.

    ‘’Harus diingat, dalam mana-mana kempen pilihan raya, ‘poster boy’ memainkan peranan penting sebagai jenama dan imej parti malah membawa nilai yang hendak diperjuangkan sesebuah parti apatah lagi apabila menyasarkan mahu membentuk kerajaan negeri selepas itu.

    ‘’Oleh itu, memang tidak ada sebarang nilai yang hendak dibawa oleh UMNO khususnya Najib dan Ahmad Zahid untuk rakyat Johor. Ataupun, UMNO malu mempunyai kedua-dua pemimpin tersebut sehingga posternya pun tidak perlu diketengahkan dalam PRN Johor?,’’ katanya.

    Sehubungan itu beliau mempersoalkan, kalau UMNO takut hendak meletakkan Najib dan Ahmad Zahid sebagai ‘Poster Boy’, apakah lagi medium akan digunakan oleh parti itu untuk mengeketengahkan pemimpinnya?

    ‘’Sebaliknya, dalam konteks Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membawa nilai-nilai yang diakui iaitu integriti, kejujuran, keikhlasan, kerja keras, anti-rasuah, prihatin rakyat serta menampilkan sebuah kerajaan lebih bersih bagi mentadbir urus serta memakmurkan negara. Inilah nilai-nilai yang Bersatu tawarkan kepada rakyat Johor,’’ katanya.

    Pada masa sama, beliau berkata nilainya adalah berbeza dengan manifesto pilihan raya yang berupa satu perisytiharan dasar dan matlamat oleh parti yang bertanding dan mahu membentuk kerajaan.

    ‘’Johor sebuah negeri yang penuh dengan sumber dan potensi. Justeru, untuk memajukannya, kita perlu menggabungkan nilai-nilai yang diangkat oleh pemimpin dan diamalkan jentera pentadbiran awam dalam tadbir urusnya iaitu anti-rasuah serta nilai-nilai integriti lain yang didambakan rakyat,’’ katanya.

    Selain itu, kata beliau, ia bagi memastikan pembangunan di Johor dilaksanakan dengan cekap dan pantas, mencapai tahap pertumbuhan yang mampan serta mampu bersaing dengan negara jiran di samping menghindarkan berlaku ketirisan dalam kerajaan serta menyembunyikan penyelewengan pegawai atau pemimpin daripada rakyat.

    ‘’Pada masa sama, wakil Bersatu juga menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Johor dan sentiasa memerhatikan tindak-tanduk pemimpin UMNO serta kenyataan mereka,’’ katanya.

  • Perdana Menteri tunai impian ‘wartawan cilik’ Muhammad Haziq

    Perdana Menteri tunai impian ‘wartawan cilik’ Muhammad Haziq

    IMPIAN ‘wartawan cilik’ Muhammad Haziq Mohd Asyraf dari Bukit Selambau, Sungai Petani yang ingin bertemu dan menemu ramah Perdana Menteri menjadi kenyataan hari ini.

    Kanak-Kanak berusia 12 tahun itu dipertemukan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel di Alor Setar dan diberi kesempatan menemu ramah pemimpin nombor satu negara berkenaan.

    Dalam sesi temu ramah itu, Muhammad Haziq bertanyakan beberapa soalan kepada Perdana Menteri berkaitan makanan kegemaran, rutin harian dan sama ada beliau mengenali juadah kampung.

    Perdana Menteri turut ditanya mengenai perancangannya jika diberi peluang menerajui negara 10 tahun lagi dan Ismail Sabri menjawab beliau berharap dapat menghapuskan kemiskinan serta miskin tegar menjelang 2025.

    “Yang pertamanya kita beri fokus untuk menjadikan ekonomi kita negara berpendapatan tinggi, yang keduanya supaya kita boleh bantu masyarakat luar bandar, kita dapat hapuskan kemiskinan supaya tidak ada lagi orang miskin, miskin tegar, kita nak hapuskan dalam tahun 2025 nanti.

    “Negara kita pun ke arah neutral karbon supaya tidak ada lagi kalau kita tengok kilang-kilang, asap dan sebagainya, jadi nak jadikan negara kita neutral karbon. Ini semua perancangan masa depan untuk rakyat seperti Haziq,” katanya.

    Selepas sesi temu ramah itu, Muhammad Haziq yang ditemani ibunya Nur Shakilla Zainol, 33, dan beberapa ahli keluarga lain memberitahu Bernama bahawa dia amat berbesar hati dapat berjumpa serta menemu ramah Perdana Menteri.

    “Saya sangat berbesar hati dapat jumpa Perdana Menteri. Seronok dapat berjumpa Perdana Menteri Malaysia. Memang rezeki dapat jumpa Perdana Menteri.

    “Saya lihat beliau seorang yang baik, penyayang dan handsome orangnya,” kata Muhammad Haziq.

    Sebelum ini, Bernama melaporkan hasrat Muhammad Haziq untuk bertemu Ismail Sabri dan menemu ramah beliau jika diberi kesempatan.

    Ismail Sabri berada di Kedah untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dan merasmikan projek Kedah Rubber City di Kuala Nerang esok.

    Muhammad Haziq sebelum ini meraih perhatian warganet dan menjadi popular selepas videonya yang melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani tular.

    Video itu, yang dimuat naik di Facebook Putra Mar pada 24 Jan lepas, telah mendapat 1.2 juta tontonan.

    Penghidap talasemia itu turut mendapat perhatian Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan menghadiahkannya telefon bimbit.

    Muhammad Haziq juga dihadiahkan sebuah tablet oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa selain menerima sumbangan persekolahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan serta individu.

    — BERNAMA

  • ‘’ Jangan buat SOP macam Melaka, benar kempen semuka di Johor’’, kata Anwar

    ‘’ Jangan buat SOP macam Melaka, benar kempen semuka di Johor’’, kata Anwar

    KETUA Pembangkang Datuk Anwar Ibrahim tidak bersetuju sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan SOP kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sama seperti di Melaka termasuk larangan kempen secara bersemuka susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

    Mengakui peningkatan jangkitan Covid-19 yang dijangka mencecah 15,000 kes sehari membimbangkan, Anwar berharap SOP kempen termasuk secara bersemuka perlu dibenarkan dengan beberapa garis panduan ketat dilaksanakan KKM.

    “Jangan buat (SOP) macam Melaka, perlu bagi syarat-syarat contoh kempen (ceramah) di dewan, di luar, di kawasan padang (perlu dibenarkan) tetapi dihadkan jumlah kehadiran, ia patut dibolehkan dalam PRN Johor.

    “Saya gesa Menteri Kesihatan mengambil langkah proaktif supaya kalau kes naik 10,000 itu kita bimbang, selain itu kepada masyarakat, rakyat, termasuk ketika kempen ini tak perlu salam jangan salam, jaga jarak,” katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor (Serve) 2022 di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor, lapor portal Free Malaysia Today.

    Anwar berkata, SOP akan dilaksanakan pada PRN Johor perlu adil kepada semua parti bertanding bukannya memberi kelebihan kepada parti kerajaan sahaja.

    “Jangan mereka (parti kerajaan) boleh kempen di media, kita pembangkang bagi minum kopi, ini politik apa, bagi saya jangan kerana (kes naik) ini dijadikan (alasan) menekan kita untuk berkempen,” katanya.

    Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, jangkitan Covid-19 akan mencecah sehingga 15,000 kes tidak lama lagi susulan negara kini berdepan gelombang Omicron.

    Hari ini KKM melaporkan sebanyak 10,089 kes Covid-19, meningkat daripada 9,117 jangkitan semalam.

  • PRN Johor: Semboyan belum bunyi, aktiviti politik sudah rancak

    PRN Johor: Semboyan belum bunyi, aktiviti politik sudah rancak

    BAGAIKAN semboyan ‘perang’ seolah-olah telah dibunyikan, Johor yang sunyi dua hari sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina tiba-tiba kembali meriah dengan pelbagai aktiviti politik, seolah-olah tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telahpun ditetapkan.

    Hakikatnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum pun bermesyuarat untuk menentukan tarikh PRN, namun parti-parti politik dilihat seperti sudah berkempen di lapangan dengan pelbagai aktiviti dalam usaha menawan hati masyarakat Johor.

    Segelintir pemimpin parti politik turut menyifatkan tempoh penetapan tarikh PRN Johor agak panjang memandangkan sudah lebih dua minggu sejak Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 dibubarkan pada 22 Jan lepas.

    Ramai pemimpin daripada gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti baharu seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta Parti Warisan (Warisan) dilihat mulai turun padang sejak Jumaat.

    BN bermula dengan pelancaran jentera zon Wilayah Barat di Iskandar Puteri pada Jumaat yang dihadiri beberapa pemimpin tertinggi UMNO, MCA dan MIC termasuk Pengerusi BN dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Mereka turut dijadual melancarkan jentera di empat zon lagi dalam tempoh dua minggu ini dengan Zon Utara dilancarkan di Kompleks Seri Pekembar Pagoh malam ini.

    Ketika ditanya mengenai kerancakan parti-parti politik turun padang meskipun SPR belum menamakan tarikh PRN, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata ia adalah cerminan kepada betapa pentingnya PRN Johor kepada parti-parti politik.

    “Walaupun tarikh (PRN) belum diumumkan dan prosedur operasi standard (SOP) belum betul-betul jelas tetapi kita dah turun dengan agresif dari peringkat awal,” katanya yang ditemui Bernama semalam.

    Sementara itu, Bersatu memulakan program turun padang mereka dengan Jelajah Penerangan Isu Semasa yang diketuai Ketua Penerangan Bersatu Pusat Datuk Wan Saiful Wan Jan, bermula di Muar lima hari lepas, disusuli beberapa siri jelajah di Kluang dan Pontian selain turut melancarkan jentera mereka di beberapa kawasan.

    Tidak ketinggalan, Pengerusi PH dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dua hari di negeri ini dengan menghadiri beberapa acara rakyat dan melancarkan jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor.

    Menerusi ucapan pada satu majlis, Anwar menyeru jentera PH supaya bekerja lebih keras mulai sekarang tanpa memikirkan siapa calon yang akan bertanding.

     “Tidak kira pasal calon, kita bercakap sekarang ini soal jentera-jentera untuk persiapan PRN, tetapi kita ada beberapa hari lagi (sebelum SPR umum tarikh mengundi dan perincian PRN Johor), (gerak kerja) itu perlu jalan seolah-olah pilihan raya dalam dua atau tiga hari lagi,” katanya.

    DAP juga agresif dengan menamakan calon-calon yang akan bertanding di bawah tiket PH bermula sejak Jumaat dengan Naib Pengerusi DAP Johor yang juga penyandang kerusi DUN Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali menjadi calon pertama dinamakan.

    MUDA yang baru sahaja didaftarkan tahun lepas dan diketuai Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga giat menjalankan aktiviti bersama rakyat dalam usaha meraih undi khususnya golongan muda.

    Apa yang pasti, semua parti dilihat bekerja keras dalam memastikan kemenangan mereka pada PRN akan datang, terutama dengan Johor menjadi negeri pertama merasai pelaksanaan pendaftaran automatik dan Undi18 dengan pertambahan 28 peratus pengundi iaitu 749,731 orang kepada 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN tersebut.

    Di sebalik ‘keghairahan’ parti-parti tersebut berkempen, yang penting janganlah dilupa SOP COVID-19 yang perlu dipatuhi apatah lagi kes baharu semakin meningkat memandangkan Johor mencatatkan antara kes tertinggi dalam negara setiap hari.

    SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mesyuarat khas pada Rabu ini.

    — BERNAMA

  • Tipu pakej perkahwinan: Bapa, anak lelaki ditahan

    Tipu pakej perkahwinan: Bapa, anak lelaki ditahan

    SEORANG lelaki dan anaknya ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan perkhidmatan pakej perkahwinan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata kedua-dua lelaki berusia 57 dan 25 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang, susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita berusia 24 tahun pada Januari lepas.

    Beliau berkata wanita itu tertarik untuk mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan dari sebuah syarikat yang dikendalikan dua beranak itu pada sekitar Mei tahun lepas yang meliputi tawaran pakej perkahwinan termasuk dewan, katering, pakaian pasangan pengantin dan jurugambar.

    Wanita itu membayar deposit RM7,265 bagi mendapatkan perkhidmatan itu, namun tidak diberikan perkhidmatan seperti yang dijanjikan untuk majlis perkahwinannya.

    “Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur menerima laporan polis daripada wanita itu pada 3 Jan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Mahidisham berkata kedua-dua lelaki terbabit direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Berdasarkan hasil siasatan, polis mengesyaki terdapat ramai lagi mangsa ditipu dan meminta mereka tampil untuk membuat laporan polis, katanya.

    Beliau turut menasihati peniaga supaya tidak menawarkan perkhidmatan atau menjual barangan sekiranya tidak ada kemampuan dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan alasan pandemik COVID-19 kepada pelanggan jika gagal menunaikan janji mereka.

    — BERNAMA

  • Malaysia kini berdepan dengan gelombang Omicron sepenuhnya – Khairy

    Malaysia kini berdepan dengan gelombang Omicron sepenuhnya – Khairy

    MALAYSIA kini sudah sepenuhnya berdepan dengan gelombang varian Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Menerusi satu hantaran di Twitter rasminya, beliau berkata kes harian COVID-19 dijangka akan mencecah 15,000 tidak lama lagi.

    “Masih satu juta warga emas di negara belum menerima dos penggalak (vaksin COVID-19). Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” menurut hantaran itu hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai maklum balas perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Twitternya mengenai imej Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) kes harian COVID-19 dan unjuran kes dari 31 Ogos 2021 hingga 31 Mac ini.

    Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Khairy turut menyeru orang ramai untuk mengambil dos penggalak dan menekankan tujuan utama vaksin COVID-19 adalah bagi mengurangkan keseriusan gejala.

    “Dengan dos penggalak perlindungan anda daripada gejala serius yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital/ICU (unit rawatan rapi) lebih baik. Dapatkan suntikan dos penggalak,” katanya.

    Malaysia kembali merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi 10,000 apabila 10,089 kes baharu dilaporkan hari ini berbanding 9,117 semalam, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini meningkat kepada 2,914,220 kes.

    KKM nafi saran warga emas tidak keluar mengundi pada PRN Johor

    SEMENTARA ITU, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menafikan telah mengeluarkan saranan hebahan kepada warga emas berumur lebih 60 tahun supaya tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor akan datang, seperti ditularkan di media sosial baru-baru ini.

    Menurut hebahan palsu tersebut, kumpulan berkenaan disarankan agar berbuat demikian bagi mencegah penyebaran wabak COVID-19 dalam kalangan golongan warga emas.

    Bagaimanapun, KKM memaklumkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan saranan itu dan berharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu terbabit.

    — BERNAMA