ALASAN UMNO konon memberi tumpuan kepada pengisian manifesto daripada meletakkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘poster boy’ membuktikan parti itu buntu kerana dua pemimpin tersebut tidak lagi mempunyai nilai yang boleh ditonjol serta diperjuangkan bagi menarik sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketika membuat penegasan itu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional Johor Mohd Solihan Badri berkata,  tindakan itu turut menguatkan lagi andaian bahawa UMNO tidak mahu mempertaruhkan nasib calonnya dalam PRN Johor bersandarkan poster Najib yang telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RN42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd. 

‘’UMNO juga kini semakin bimbang penerimaan pengundi selepas reputasi Ahmad Zahid tercalar apabila diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah Amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Solihan Badri

Beliau juga menegaskan, kewibawaan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh itu juga ‘mereput’ kerana tidak dicalonkan sebagai Perdana Menteri, tahun lalu apabila secara tradisinya Presiden UMNO menyandang jawatan tertinggi itu.

‘’Harus diingat, dalam mana-mana kempen pilihan raya, ‘poster boy’ memainkan peranan penting sebagai jenama dan imej parti malah membawa nilai yang hendak diperjuangkan sesebuah parti apatah lagi apabila menyasarkan mahu membentuk kerajaan negeri selepas itu.

‘’Oleh itu, memang tidak ada sebarang nilai yang hendak dibawa oleh UMNO khususnya Najib dan Ahmad Zahid untuk rakyat Johor. Ataupun, UMNO malu mempunyai kedua-dua pemimpin tersebut sehingga posternya pun tidak perlu diketengahkan dalam PRN Johor?,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau mempersoalkan, kalau UMNO takut hendak meletakkan Najib dan Ahmad Zahid sebagai ‘Poster Boy’, apakah lagi medium akan digunakan oleh parti itu untuk mengeketengahkan pemimpinnya?

‘’Sebaliknya, dalam konteks Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membawa nilai-nilai yang diakui iaitu integriti, kejujuran, keikhlasan, kerja keras, anti-rasuah, prihatin rakyat serta menampilkan sebuah kerajaan lebih bersih bagi mentadbir urus serta memakmurkan negara. Inilah nilai-nilai yang Bersatu tawarkan kepada rakyat Johor,’’ katanya.

Pada masa sama, beliau berkata nilainya adalah berbeza dengan manifesto pilihan raya yang berupa satu perisytiharan dasar dan matlamat oleh parti yang bertanding dan mahu membentuk kerajaan.

‘’Johor sebuah negeri yang penuh dengan sumber dan potensi. Justeru, untuk memajukannya, kita perlu menggabungkan nilai-nilai yang diangkat oleh pemimpin dan diamalkan jentera pentadbiran awam dalam tadbir urusnya iaitu anti-rasuah serta nilai-nilai integriti lain yang didambakan rakyat,’’ katanya.

Selain itu, kata beliau, ia bagi memastikan pembangunan di Johor dilaksanakan dengan cekap dan pantas, mencapai tahap pertumbuhan yang mampan serta mampu bersaing dengan negara jiran di samping menghindarkan berlaku ketirisan dalam kerajaan serta menyembunyikan penyelewengan pegawai atau pemimpin daripada rakyat.

‘’Pada masa sama, wakil Bersatu juga menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Johor dan sentiasa memerhatikan tindak-tanduk pemimpin UMNO serta kenyataan mereka,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here