Category: Semasa

  • Bersatu tak akan buat langkah bodoh tarik sokongan kepada kerajaan – Muhyiddin

    Bersatu tak akan buat langkah bodoh tarik sokongan kepada kerajaan – Muhyiddin

    PARTI Bersatu memikirkan kepentingan rakyat dan negara justeru tidak akan melakukan langkah bodoh dengan menarik sokongan kepada kerajaan.

    Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  situasi semasa Covid-19 masih meruncing dan rakyat bergelut untuk membina semula kehidupan.

     ‘’Atas sebab itu, Bersatu tidak akan mengambil langkah yang sekadar mengutamakan tembolok parti sehingga sanggup menjejaskan rakyat.

    “Bersatu fikir kepentingan rakyat dan negara, supaya rakyat tak terkorban disebabkan langkah bodoh kita dan hanya fikir kepentingan parti. Nanti rakyat akan cakap ‘apa yang cuba anda lakukan?’, pasal ‘push button’ (tekan butang), tarik sokongan ini, adakah wajar? Hanya untuk kepentingan saya atau parti tertentu saja?

    “Kerana rakyat akan fikir apalah sikap ahli politik ini yang asyik fikirkan soal kuasa saja,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar (MPDP), Institut Masa Depan Malaysia (MASA), di Kuala Lumpur hari ini.

    Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan sama ada parti lain turut memberi jaminan tidak terbabit dalam rasuah.

    “Seperti PRN Melaka, parti saya angkat sumpah untuk tolak rasuah, tetapi parti lain ada buat perkara sama?,” katanya.

    Sehubungan itu, katanya, pengundi di Johor wajar menggunakan mandat mereka untuk ‘membersihkan’ kepemimpinan negeri berkenaan pada PRN akan datang.

  • Omicron bukan “konspirasi KJ” nafikan sambutan Hari Raya – Khairy

    Omicron bukan “konspirasi KJ” nafikan sambutan Hari Raya – Khairy

    PENINGKATAN kes COVID-19 melibatkan varian Omicron di negara ini bukan satu konspirasi untuk menangguhkan perayaan Aidilfitri pada Mei depan, sebaliknya dihadapi setiap negara.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, gelombang Omicron bukan sahaja dihadapi di Malaysia tetapi turut menyaksikan peningkatan di negara-negara lain termasuk Eropah.

    “Gelombang Omicron ini bukanlah hanya berada di Malaysia sahaja, bukanlah konspirasi “KJ” untuk menafikan Hari Raya lagi. Namun, ia sebenarnya telah kena di semua negara,” katanya. 

     “Singapura melaporkan lebih 13,208 kes baharu jangkitan COVID-19 pada 4 Februari 2022, tiga kali ganda berbanding hari sebelumnya.

    “Pada 5 Februari, Korea pula melaporkan kes harian sebanyak 38,670 kes, Indonesia (33,729 kes), Thailand (10,879 kes), Filipina (7,469 kes), Australia (22,985) kes dan Jepun 102,275 kes,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di Putrajaya, hari ini, lapor Astro Awani.

    Sehubungan itu, kes harian COVID-19 di negara ini terus merekodkan trend peningkatan apabila mencatatkan sebanyak 11,034 kes hari ini berbanding 10,089 semalam sekali gus menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 2,925,254.

    Menjawab satu soalan beliau berkata, emilihan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech dibuat selepas mendapat pandangan daripada pakar dan data yang menunjukkan keberkesanan vaksin jenis berkenaan sebagai dos penggalak.

    Katanyam keputusan itu dibuat kerana pada awalnya kerajaan memilih vaksin berdasarkan keberkesanan vaksin terbabit.

    “Mesti saya nak beri yang terbaik kepada rakyat. Walaupun begitu, Kementerian Kesihatan (KKM) sediakan vaksin keluaran Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mereka yang mempunyai alahan. Sekarang, saya buat keputusan untuk memberikan dos penggalak Sinovac kerana ada segelintir penduduk yang tidak mahu menerima Pfizer. Yang penting, semua penduduk mengambil dos penggalak..apa jenis pun,” katanya.

  • Zuraida masih Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu – Muhyiddin

    Zuraida masih Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu – Muhyiddin

    PARTI Bersatu belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata setakat ini Ahli Parlimen Ampang itu masih lagi anggota parti yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

    “Kita belum lagi dapat membuat apa-apa keputusan tentang kedudukan beliau walaupun banyak yang menyatakan beliau sudah menyertai parti lain. Setakat ini saya tidak dapat lagi (tahu) keadaan sebenar.

     “Ringkasnya beliau masih lagi ahli MPT dan kalau ada apa-apa perkembangan mungkin kita nanti akan buat penilaian bagaimana status beliau kerana bukan sahaja kedudukanya dalam MPT malah sebagai menteri,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Masa (MPDP), di Kuala Lumpur, hari ini.

    Status Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hangat diperkatakan selepas terdapat laporan beliau terbabit menubuhkan PBM dan bakal meninggalkan Bersatu. Beliau juga dilaporkan sudah lama tidak menghadiri mesyuarat penting Bersatu.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin mengakui turut dimaklumkan mengenai dakwaan membabitkan Zuraida walaupun tiada kenyataan dan laporan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak.

    Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Disiplin Bersatu sedang menyiasat dakwaan ‘tindakan meragukan’ Zuraida yang dikatakan terbabit dengan PBM.

    Ahli MPT Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata ia susulan isu itu dibangkitkan ketika Mesyuarat MPT parti pada 25 Januari lalu, yang antara lain menyentuh kemungkinan Zuraida perlu dipecat kerana pembabitannya dengan PBM.

  • Muhyiddin harap lebih ramai penyelidik hasilkan penulisan penyelidikan berimpak tinggi

    Muhyiddin harap lebih ramai penyelidik hasilkan penulisan penyelidikan berimpak tinggi

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap lebih ramai penyelidik di IPTA dan IPTS di Malaysia dapat menghasilkan penulisan penyelidikan baharu berimpak tinggi, diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seterusnya menjana potensi nilai tambah kepada sosioekonomi negara.

    Katanya, masih banyak ruang dan peluang bagi negara kita untuk memacu ekonomi inovatif berlandaskan penyelidikan dan pembangunan.

    Oleh itu beliau berharap Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Masa (MPDP) yang diperkenalkan oleh Institut MASA akan memberi motivasi dan menjadi pembakar semangat kepada para penyelidik tempatan.

    ‘’Ia untuk menghasilkan penyelidikan yang memberi impak besar bukan hanya kepada rakyat negara ini  bahkan masyarakat  antarabangsa – terutama ke arah penambahbaikan dasar dan strategi dalam aspek pembangunan sosioekonomi rakyat dan negara, seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipandang tinggi dalam aspek penyelidikan dan pembangunan,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis penganugerahan tersebut di Kuala Lumpur, hari ini.

    Muhyiddin turut berharap inisiatif penyelidikan MPDP dapat memberi ruang dan peluang kepada ahli akademik dan pakar-pakar dalam bidang masing-masing untuk melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara 2.0 yang sedang dirangka oleh MPN.

    Beliau yang juga Pengerusi Institut MASA memberitahu, geran MPDP merupakan salah satu fokus utama institut itu untuk menggalakkan kajian tentang aspek-aspek pemulihan dalam pelbagai sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain sektor yang boleh dijadikan panduan oleh MPN dalam melaksanakan dasar dan strategi pemulihan pasca pandemik.

    ‘’Inisiatif ini juga menyediakan platform kepada penyelidik dari IPTA dan IPTS tempatan untuk menjalankan penyelidikan yang berimpak tinggi, khususnya dalam bidang ekonomi, sosial dan pembangunan lestari.

    ‘’Melihat kepada kepelbagaian tajuk dan kertas cadangan yang diterima Institut MASA dalam bidang-bidang berkaitan Pelan Pemulihan Negara, saya yakin bahawa program MPDP ini telah dirangka secara teliti dan komprehensif – sekali gus membuktikan kemampuan MASA dalam menarik minat penyelidik dari pelbagai latar belakang untuk terlibat aktif dalam memberikan cadangan dan input dalam merangka strategi dan inisiatif Pelan Pemulihan Negara,’’ katanya.

    MASA Policy Development Programme (MPDP) merupakan geran penyelidikan yang diperkenalkan buat pertama kalinya oleh MASA pada tahun lalu dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila menerima sejumlah 134 kertas cadangan daripada 21 institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan.

    Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 kertas cadangan merangkumi topik kajian dalam bidang ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan serta pembangunan lestari telah disenarai pendek dan diputuskan layak oleh panel penilai untuk menerima geran penyelidikan MPDP.

  • 11,034 kes baharu, Kategori 1 dan 2A tak perlu ke pusat penilaian – KP Kesihatan

    11,034 kes baharu, Kategori 1 dan 2A tak perlu ke pusat penilaian – KP Kesihatan

    MALAYSIA merekodkan kes baharu Covid-19 melebihi paras 10,000 untuk dua hari berturut-turut apabila 11,034 kes dilaporkan setakat 12 tengah hari ini berbanding 10,089 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata jumlah itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 sebanyak 2,925,254,

    Menerusi laman sosial Twitter rasminya beliau berkata 99.47 peratus atau 10,976 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori Satu dan Dua, manakala 58 kes lagi atau 0.53 peratus berada dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima.

    Menurutnya, Kategori Satu mencatat sebanyak 2,819 kes atau 25.55 peratus; Kategori Dua (8,157 kes atau 73.92 peratus); Kategori Tiga (43 kes atau 0.39 peratus); Kategori Empat (11 kes atau 0.1 peratus) dan Kategori Lima (empat kes atau 0.04 peratus).

    Menurut infografik yang turut dimuat naik, Kategori Tiga melibatkan jangkitan paru-paru, sementara Kategori Empat membabitkan jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen, manakalan Kategori Lima adalah kritikal, organ rosak serta memerlukan bantuan ventilator.

    Sementara itu  dalam catatan Facebooknya hari ini Dr Noor Hisham berkata, individu yang positif Covid-19 dalam kategori 1 dan 2A serta tidak berisiko tinggi, tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) namun, harus melakukan pemantauan kesihatan kendiri dengan melengkapkan Peralatan Penilaian di rumah (HAT) menerusi aplikasi MySejahtera.

    Beliau berkata, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan daripada perkhidmatan rakaman suara automatik (panggilan robot)  akan diterima jika mereka belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri secara harian.

    Beliau berkata, individu yang positif bagi kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mengalami simptom yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC.

    Kategori 1 Covid-19 ialah tiada gejala, kategori 2A Covid-19 iaitu sakit tekak atau selesema tanpa demam atau sesak nafas, batuk tanpa demam atau sesak nafas, hilang deria rasa tetapi masih mempunyai selera makan, hilang deria bau, cirit birit dua kali atau kurang dalam 24 jam, loya dan muntah, keletihan tetapi masih boleh melakukan aktiviti harian, sakit otot tetapi masih boleh melakukan aktiviti harian.

    Sementara kategori 2B adalah individu yang mengalami demam berpanjangan dua hari dan lebih atau baru demam, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sakit dada, hilang selera makan, berasa letih terutamanya semasa melakukan aktiviti harian atau semasa baru bangun dari tidur, perlu berjalan dengan bantuan, gelaja semakin teruk (batuk,loya, muntah atau cirit birit), tahap kesedaran berkurangan dan juga semakin kurang kencing dalam masa 24 jam.

    “Individu yang perlu menghadiri CAC terdekat untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi oleh CAC melalui SMS atau panggilan telefon.

    “Tempoh pengasingan (pengasingan) bagi individu positif Covid-19 yang tidak bergejala dan telah selesai vaksinasi ialah tujuh hari, manakala tempoh pengasingan bagi individu positif Covid-19, vaksinasi bergejala dan tidak lengkap atau tiada vaksin adalah selama 10 hari,” katanya.

    Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan termasuk Amalkan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform, and, Seek) sebelum menghadiri aktiviti sosial atau jika bergejala dan dapatkan ujian Covid-19 dengan segera jika mereka mempunyai simptom.

    — BERNAMA

  • Syed Saddiq bertemu Anwar bincang strategi hadapi PRN Johor

    Syed Saddiq bertemu Anwar bincang strategi hadapi PRN Johor

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan telah bertemu Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

    Anwar dalam ciapan di Twitternya berkata, beliau menerima kunjungan Ahli Parlimen Muar itu di pejabatnya hari ini.

    “Pagi tadi saya dikunjungi Presiden Muda dan Ahli Parlimen Muar YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di pejabat.  Kami berbincang soal masa depan dan perihal pembangunan anak muda di negara ini,” jelasnya.

    Tambah Anwar, turut disentuh dalam perbincangan itu berhubung strategi dan perjalanan pihak pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “Kami juga turut menyentuh tentang strategi dan perjalanan Pilihan Raya Negeri Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi,” kata Anwar lagi.

    Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Syed Saddiq berkata, Muda mahu pembangkang kekal bersatu.

    “Kami mahu pembangkang bersatu untuk melawan keangkuhan BN dalam memaksa pilihan raya diadakan ketika gelombang wabak Omicron. Semua urusan rundingan saya akan buat secara tertutup dengan sahabat sahabat di pihak pembangkang,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perbincangan kerjasama PH dengan Muda bagi menghadapi PRN Johor termasuk mengenai pembahagian kerusi, masih belum dimuktamadkan.

    Beliau berkata PH turut akan mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain dalam masa terdekat berhubung kerjasama itu sejurus selesai rundingan dengan Muda.

    “Kita mahu berbincang dengan semua parti untuk elak pertembungan tetapi buat masa ini perbincangan dengan Muda lebih realistik.

    “Jadi kami harap kalau kita berjaya, kita boleh buat barisan atau pentas kerana kita bukan nak menang kerusi sahaja tapi kita nak menang kerajaan. Itu yang rakyat hendak…kita boleh buat perubahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ibu pejabat baru DAP Johor di Kulai hari ini.

  • SPRM tahan bekas pengarah kolej swasta, buat tuntutan palsu RM300,000

    SPRM tahan bekas pengarah kolej swasta, buat tuntutan palsu RM300,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas pengarah sebuah kolej swasta di Kota Kinabalu, hari ini bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan membuat tuntutan palsu.

    Harian Metro melaporkan, lelaki berusia 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu pada 10 pagi hari ini, selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

    Suspek dipercayai melakukan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu bernilai keseluruhan lebih RM300,000 kepada sebuah agensi kerajaan sekitar 2018 membabitkan tiga tuntutan berasingan.

    Tuntutan itu membabitkan tiga program dilaksanakan di kolejnya dengan membuat tuntutan penuh kehadiran serta elaun pelajar sedangkan terdapat pelajar tidak pernah hadir serta tidak menghabiskan kursus berkenaan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    “Tiada permohonan reman dan suspek dibebaskan pada hari sama selepas selesai memberi keterangan.

    “Wang jaminan ditetapkan RM5,000 dengan seorang penjamin dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada satu tarikh akan ditetapkan kemudian,” katanya.

  • Patuh SOP ubat terbaik lawan Covid-19  – Dr Izani.

    Patuh SOP ubat terbaik lawan Covid-19  – Dr Izani.

    RAKYAT Kelantan dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana ia  merupakan ‘ubat’ terbaik untuk melawan jangkitan Covid-19 yang dijangka naik di negeri ini.

    Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ia penting kerana setiap kali cuti dan berlaku mobilisasi manusia terutama dari luar Kelantan yang masuk ke negeri itu dalam jumlah yang ramai, secara automatik kes akan merebak, lapor Sinar Harian.

    Katanya, itu fakta  yang tidak boleh ditolak memandangkan apabila berlaku pergerakan rentas negeri akan berlaku peningkatan kes.

    “Situasi itu dapat dilihat pada peringkat awal jangkitan Covid-19 lagi,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

    Menurut Izani,  peningkatan berlaku  disebabkan  aktiviti ziarah serta program keramaian yang menyaksikan SOP gagal dipatuhi.

    Oleh itu katanya,  kerajaan negeri menjangkakan kes jangkitan Covid-19 di Kelantan terus naik mencanak sekiranya rakyat terus lalai tidak mematuhi SOP.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, walaupun jumlah kemasukan ke hospital dan PKRC akibat jangkitan Covid-19 masih rendah namun ia bukan tiket untuk tidak mematuhi SOP.

    “Kerajaan negeri berharap rakyat terus mematuhi SOP dalam apa jua keadaan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

    “Selain itu, rakyat di negeri ini juga disaran untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah supaya wabak ini segera hilang,” jelas beliau.

  • BN digesa letak calon ikut majoriti kaum pengundi, bukan kerusi tradisi

    BN digesa letak calon ikut majoriti kaum pengundi, bukan kerusi tradisi

    KEPEMIMPINAN Barisan Nasional (BN) diharap melakukan pembaharuan dalam pemilihan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan tidak lagi mengambil kira kerusi tradisi sebagai kriteria utama.

    Ketika membuat gesaan itu, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Senator Datuk Jefridin Atan, berkata kriteria itu tidak lagi relevan berikutan perubahan kehendak dan keperluan pengundi masa kini.

    Katanya, BN perlu lebih terbuka mengikut selera pengundi berdasarkan majoriti kaum di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Istilah kerusi tradisi sama ada bagi UMNO, MCA dan MIC tidak lagi relevan digunakan pucuk pimpinan tertinggi BN dalam pembahagian kerusi pada PRN Johor. Jika majoriti di sesuatu kawasan DUN itu Melayu, sudah tentu, kena akur wakil rakyat di situ mestilah daripada UMNO begitu juga sekiranya kawasan itu majoritinya masyarakat Cina, MCA yang perlu bertanding, janganlah sesekali diletak calon Melayu.

    “Kehendak rakyat perlu diberikan keutamaan, kita sudah tidak boleh terima parti-parti komponen yang rakyat sendiri sudah tidak selesa dengan mereka,” katanya lapor Berita Harian.

    Jefridin berkata, pimpinan tertinggi BN seharusnya tidak lagi perlu terikat isu kerusi tradisi sewaktu membuat keputusan berhubung pengagihan kerusi untuk PRN Johor.

    “Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan presiden komponen parti perlu fikirkan perkara ini, jika kehendak rakyat tidak diikuti, saya risau rakyat akan beralih sokongan berikutan mempunyai banyak lagi parti politik yang boleh dipilih,” katanya.

    Dalam pada itu, Jefridin berharap UMNO Bahagian Tanjung Piai diberikan dua kerusi sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen bagi PRN atau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

    “UMNO Bahagian Tanjung Piai cuma mempunyai satu kerusi DUN di Kukup. Manakala kerusi DUN Pekan Nanas dan Parlimen Tanjung Piai adalah kerusi MCA.

    “Masyarakat Melayu kini menjadi majoriti di Pekan Nanas apabila merekodkan peningkatan 57 peratus manakala di Kukup meningkat 60 peratus perlu dipandang serius pucuk pimpinan BN sewaktu membuat pertimbangan sebelum sebarang keputusan berhubung parti dan calon diputuskan,” katanya

  • Shidee kemalangan ketika mahu ke surau

    Shidee kemalangan ketika mahu ke surau

    PENYANYI popular era 1980-an, Shidee terlibat dalam kemalangan apabila skuter eletrik yang ditunggang terbabas ketika mahu menunaikan solat Asar di sebuah surau.

    Dalam kejadian tersebut, Shidee dibantu oleh orang ramai yang terus dibawa ke Hospital Cencelor Tunku Mukhriz (HTCM) Cheras untuk mendapatkan rawatan.

    Menurut kenyataan isterinya, Siti Fairunnisa Aziz, dia dihubungi seseorang yang memaklumkan suaminya terlibat dalam kemalangan.

    “Ada orang maklumkan kepada abang terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan ke surau. Bila sampai ke tempat kejadian dia sudah terbaring.

    “Mereka terus bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Syukur tiada apa-apa yang serius,” tambahnya lagi.

    Mengulas mengenai perkembangan terkini penyanyi itu, isterinya mendedahkan dia sudah menjalani beberapa ujian termasuklah x-ray namun tiada kecederaan serius.

    “Alhamdulillah tiada kecederaan berat, sebaliknya suami luka kecil dan juga bengkak di bahagian muka akibat terjatuh.

    “Selepas menjalani ujian imbasan sinar X dan didapati tiada keretakan di mana-mana bahagian tulang, abang dibenarkan pulang,” katanya.

    Terdahulu, nama Shidee kembali popular apabila menyertai Gegar Vaganza musim ke-8.