Category: Semasa

  • Mayat nelayan bot karam ditemukan

    Mayat nelayan bot karam ditemukan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Mayat seorang nelayan ditemui dalam bot yang karam di kedudukan kira-kira lima batu nautika barat laut Pulau Payar di Langkawi semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui penyelam bebas kira-kira pukul 12.05 tengah hari tadi di bilik jentera bot berkenaan.

    “Usaha mencari dan menyelamat diteruskan seawal pukul 8.00 pagi tadi dengan penglibatan sebuah aset Maritim Malaysia, bot Perkasa 1225 dan lima buah bot nelayan tempatan.

    “Keluasan sektor operasi pencarian merangkumi kawasan seluas 2.8 batu nautika. Pada pukul 11 pagi, seramai empat penyelam bebas melakukan kerja-kerja menyelam ke dasar laut untuk menjejaki mangsa yang disyaki masih terperangkap dalam bot karam dan satu mayat ditemui di kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi semalam, seramai 16 kru bot nelayan tempatan Kelas A atau bot bilis terselamat manakala seorang lagi hilang selepas bot tersebut tenggelam akibat kerosakan pada hos salur masuk air laut.

    Kesemua mangsa berusia antara 27 hingga 57 tahun berjaya diselamatkan dua bot nelayan tempatan yang berada berhampiran kawasan kejadian.

    Salah seorang mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan dada dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk rawatan.

    Mohd Zawawi berkata, mayat tersebut dibawa ke jeti Maritim Malaysia, Bukit Malut menggunakan bot Perkasa 1225.

    “Sejurus tiba di jeti pada pukul 1.10 tengah hari, pengecaman mayat dilakukan oleh pihak majikan dan diserahkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya.

    “Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 2.00 petang,” katanya.

  • Hampir 14,000 kes baharu COVID-19 hari ini

    Hampir 14,000 kes baharu COVID-19 hari ini

    MALAYSIA merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi paras 10,000 untuk tiga hari berturut-turut apabila 13,944 kes dilaporkan setakat 12 tengah hari ini berbanding 11,034 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata, jumlah itu menjadikan kumulatif kes COVID-19 kini 2,939,198 kes. Kali terakhir Malaysia mencatatkan kes melepasi 13,000 adalah pada 26 Sept lepas (13,104).

    Menerusi laman sosial Twitter rasminya, Dr Noor Hisham berkata, 99.48 peratus atau 13,871 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori Satu dan Dua manakala 73 kes lagi atau 0.52 peratus berada dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima.

    Beliau berkata, Kategori Satu mencatat sebanyak 3,942 kes atau 28.27 peratus; Kategori Dua (9,929 kes atau 71.21 peratus); Kategori Tiga (54 kes atau 0.39 peratus); Kategori Empat (11 kes atau 0.08 peratus) dan Kategori Lima (lapan kes atau 0.05 peratus).

    Terdahulu, menerusi laman sosial Twitter rasminya Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) negara mencatatkan 1.32 berbanding 1.27 semalam dengan Sabah dan Perlis merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.54 diikuti Sarawak 1.48 dan Terengganu 1.36.

    Sementara itu dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan COVID-19, Dr Noor Hisham berkata bagi Minggu Epidemiologi (ME) 5/2022 yang bermula dari 30 Jan hingga 5 Feb, jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan adalah 43,062 kes berbanding ME sebelumnya iaitu 31,980 kes dengan peningkatan sebanyak 34.7 peratus. 

    Beliau berkata jumlah kes kematian pula menunjukkan penurunan sebanyak 8.1 peratus dan purata kes aktif adalah sebanyak 58,099 kes, manakala jumlah kes sembuh COVID-19 yang dilaporkan turut menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus dalam ME 5/2022. 

    Dr Noor Hisham berkata daripada 13,944 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 153 kes import dan 13,791 kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 138 kes dengan 71 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

    Menurutnya sebanyak 5,421 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh setakat ini ialah 2,824,071. 

    Selain itu, Dr Noor Hisham berkata 17 kluster baharu direkodkan dengan 375 kluster masih aktif setakat ini. 

    “Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemas kini pada jam 12 tengah malam setiap hari,” katanya. – BERNAMA

  • Pendaftaran PICKids meningkat 663,641 setakat semalam – Khairy

    Pendaftaran PICKids meningkat 663,641 setakat semalam – Khairy

    PENDAFTARAN Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) kini meningkat kepada 663,641 setakat semalam (7 Feb), kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Menerusi akaun Twitternya hari ini, beliau berkata, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 untuk kanak-kanak (CITF-C) akan mengumumkan pelaksanaan program itu di peringkat sekolah.

    “Pendaftaran dibuat oleh sekolah dan suntikan juga di sekolah dengan rakan-rakan,” katanya yang turut berkongsi info grafik mengenai pendaftaran PICKids setakat semalam menerusi catatan tersebut dengan pendaftaran tertinggi di Kuala Lumpur iaitu 70,900 kanak-kanak.

    Menurut Khairy bagi warga emas status vaksinasi akan menjadi tidak lengkap (warna putih dalam sijil digital MySejahtera) sekiranya tidak menerima dos penggalak sebelum 1 Mac.

    “Sama juga kepada semua penerima Sinovac tidak kira umur. Tingkatkan perlindungan anda untuk selamat daripada Omicron,” katanya dalam akaun Twitternya.

    Khairy berkata, sistem ujian dan isolasi COVID-19 kini sudah diautomasi secara digital dan seseorang yang mendapat keputusan positif COVID-19, perlu melapor terus di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan Arahan Pemantauan di rumah (HSO) secara digital.

    “Jika tiada gejala atau gejala ringan (2A) tak perlu pergi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Kementerian Kesihatan. Pengasingan diri dan kemas kini status kesihatan menerusi MySejahtera,” katanya.

    Beliau berkata, pengasingan diri dan HSO bertujuan mengelakkan kesesakan di CAC yang perlu melakukan saringan ke atas kes-kes yang bergejala teruk sahaja.

    “Jika anda bergejala atau mempunyai simptom ringan, duduk di rumah untuk pulih. Jika gejala yang dialami semakin teruk, maka dapatkan bantuan perubatan,” kata Khairy. – BERNAMA

  • Penyelia mengaku bersalah muat naik gambar, video lucah

    Penyelia mengaku bersalah muat naik gambar, video lucah

    SEORANG penyelia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana memuat naik kandungan gambar dan video lucah lima tahun lalu.

    Tertuduh, Ahmad Tarmizi Mohd yang berdepan dengan dua pertuduhan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nooriah Osman.

    Sejurus pengakuan direkodkan, Nooriah menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh fakta kes dan hukuman serta membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, pemuda berusia 28 tahun itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan menggunakan perkhidmatan aplikasi Google Drive dan dilihat pengadu pada pukul 12 malam, 11 Mei 2017 di sebuah rumah di Kampung Sena, Kuala Terengganu.

    Bagi pertuduhan itu, Ahmad Tarmizi didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Nazrul Nizan Mohd Zameri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Bayi 5 bulan maut kereta dipandu bapa terbabas

    Bayi 5 bulan maut kereta dipandu bapa terbabas

    SEORANG bayi perempuan berusia lima bulan maut selepas kereta dinaiki lima sekeluarga terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 33, Jalan Jerantut-Temerloh, Temerloh, Pahang malam tadi.

    Memetik laporan Sinar Harian, dalam kemalangan pada pukul 8 malam itu, mangsa, Miszara Amira Jaffery disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian dada.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud, pemandu kereta, Jaffery Abdullah, 54, dilaporkan patah kaki serta cedera di muka dan dada manakala isterinya, Noor Azlina Mohd Shariff, 42, pula cedera di perut.

    Katanya, dua lagi anak pasangan berkenaan, Miszara Husna, 6, dan Miszara Halisya, 5, turut cedera.

    Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, lima sekeluarga yang menaiki kereta jenis Proton Saga itu dalam perjalanan dari arah Jerantut menghala ke arah Temerloh.

    Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian berhampiran jambatan Kuala Krau, kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan ekoran keadaan laluan yang licin lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan di tengah laluan.

    “Akibat kejadian, kenderaan berkenaan remuk pada bahagian hadapan menyebabkan pemandu dan penumpang tersepit dan mengalami kecederaan,” katanya.

    Menurut Kamarulzaman, bayi berkenaan yang berada dalam pangkuan ibunya di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

    Ujarnya, mayat mangsa serta semua yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.

    Tambah beliau, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Pasangan suami isteri antara 3 individu ditahan dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah

    Pasangan suami isteri antara 3 individu ditahan dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah

    SEPASANG suami isteri antara tiga individu warga tempatan yang ditahan polis Pulau Pinang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam tiga serbuan di sekitar Air Itam, Ahad lalu.

    Dalam operasi bermula kira-kira pukul 9 malam itu, polis turut merampas dadah iaitu masing-masing ganja seberat 22 kilogram (kg) bernilai RM55,697.50 dan syabu seberat 61.50 gram (RM6,150) dengan nilai keseluruhan RM61,847.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sindiket itu terbongkar selepas polis menahan dua lelaki tempatan di sebuah rumah flat di Air Itam dan menjumpai empat ketul ganja serta pelbagai peralatan untuk membungkus dadah.

    Ujar beliau, kedua-dua suspek berusia 38 dan 40 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah berkenaan di unit kediaman berkenaan yang disewa oleh abang salah seorang suspek.

    Jelasnya, serbuan itu kemudian membawa kepada penemuan sebuah kereta jenis Proton Waja yang diparkir di kawasan flat berkenaan yang mana polis menjumpai 18 bungkusan ganja yang disimpan di dalam kereta tersebut.

    “Polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah flat berhampiran yang merupakan rumah  suspek pertama dan merampas sejumlah dadah jenis ganja dan methamphetamine serta peralatan menghisap dadah.

    “Dalam serbuan itu, kita turut menahan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek.

    “Siasatan awal bagaimanapun mendapati wanita berkenaan tidak mengetahui mengenai aktiviti suaminya bersama rakannya itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Timur Laut hari ini.

    Menurut Soffian, suspek berusia 38 tahun merupakan penganggur dan mempunyai empat rekod jenayah lampau manakala rakannya yang bekerja sebagai pencuci kereta mempunyai tujuh rekod lampau dengan kedua-duanya positif dadah.

    Tambahnya, polis kini juga sedang mengesan abang kepada salah suspek yang ditahan kerana dipercayai merupakan dalang utama sindiket pengedaran dadah tersebut.

    Selain itu katanya, dalam operasi sama polis turut menyita sebuah kereta Toyota Vios; motosikal KTN Duke dan Yamaha LC135 dengan nilai keseluruhan dadah dan sitaan sebanyak RM151,047.

    “Dadah yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan kesemua suspek direman sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Langgar SOP Covid-19; Polis Timur Laut keluar 49 kompaun bernilai RM49,000

    Langgar SOP Covid-19; Polis Timur Laut keluar 49 kompaun bernilai RM49,000

    POLIS daerah Timur Laut, Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 49 kompaun berjumlah RM49,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19 sepanjang Januari lalu.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 27 kompaun membabitkan mereka yang tidak mengamalkan penjarakan sosial; gagal mengimbas daftar masuk (17), tidak memakai pelitup muka (1) dan melakukan aktiviti terlarang (4).

    Kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 167 premis-premis perniagaan, lokasi pelancongan dan sebagainya hasil kerjasama antara dengan Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan lain

    “Daripada pemantauan kita, orang ramai didapati mula berasa selesa dengan situasi pandemik Covid-19 apabila kes positif menunjukkan penurunan sebelum ini.

    “Jadi, kebanyakan daripada mereka semakin leka dan mengabaikan SOP pencegahan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

    Sehubungan itu, Soffian mengingatkan orang ramai yang mana polis tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu yang didapati melanggar SOP.

    Dalam masa sama, beliau juga menasihatkan para peniaga supaya turut memainkan peranan dengan mengehadkan jumlah pelanggan ke premis masing-masing supaya tidak terlalu ramai.

    “Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelak berada di kawasan-kawasan yang sesak dan sentiasa patuh dengan SOP dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan untuk memutuskan rantaian Covid-19 terutama membabitkan varian Omicron,” katanya.

  • Lucut hak hampir RM16 juta: AGC tolak representasi keluarga Azeez Rahim

    Lucut hak hampir RM16 juta: AGC tolak representasi keluarga Azeez Rahim

    JABATAN Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan ahli keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta membabitkan wang tunai dan aset bernilai RM16 juta yang didakwa hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim berkata ,surat makluman berhubung penolakan representasi itu telah dihantar kepada peguam responden (ahli keluarga Abdul Azeez) pada 4 Feb lepas.

    “Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi status representasi oleh pihak responden dan dukacita dimaklumkan bahawa representasi yang difailkan pada 16 Nov lepas telah ditolak oleh AGC,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.

    Peguam Datuk Prem Ramachandran yang mewakili keluarga Abdul Azeez mengesahkan telah menerima surat makluman itu.

    Mahkamah memerintahkan pihak-pihak memfailkan hujuhan bertulis pada pertengahan Mei ini dan menetapkan 21 Jun untuk pendengaran kes lucut hak.

    Pada September 2019, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

    Pada 18 Dis 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ahli keluarga Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap Ahli Parlimen Baling itu yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selesai.

    Abdul Azeez, 55, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

    Perbicaraan tersebut, bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan. – BERNAMA

  • Agong seru rakyat ambil vaksin, dos penggalak

    Agong seru rakyat ambil vaksin, dos penggalak

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa menyeru rakyat yang belum mendapatkan vaksinasi COVID-19 supaya berbuat demikian.

    Seri Paduka bertitah ia termasuklah mendapatkan dos penggalak bagi memastikan negara dapat mengawal pandemik COVID-19.

    “Negara masih lagi belum bebas daripada pandemik COVID-19, justeru marilah kita bersama-sama mematuhi panduan dan peraturan dalam usaha untuk memerangi COVID-19 yang telah digariskan oleh kerajaan beta,” titah baginda sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara Kuala Lumpur hari ini.

    Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

    Pada majlis itu, Seri Paduka berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 263 penerima bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022.

    Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya rakyat Malaysia bersama-sama mengulangi iltizam untuk terus mengeratkan perpaduan dan menghindari perpecahan.

    “Sesungguhnya asas kekuatan sebuah negara adalah ikatan perpaduan serta semangat seia dan sekata dalam menjunjung prinsip Rukun Negara demi memastikan kedaulatan tanah tumpahnya darah ini terus terpelihara,” titah baginda. – Bernama

  • Bicara kes Shahrir Samad bermula 26 Julai

    Bicara kes Shahrir Samad bermula 26 Julai

    PERBICARAAN kes bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan bermula 26 Julai depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan hakim lain.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes tersebut, hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata, kes itu dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Jenayah lima (MTJ 5) untuk didengar di hadapan Hakim Muhammad Jamil.

    “Tarikh bicara sebelum ini telah ditetapkan di MTJ 5 (Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh),” katanya yang turut memaklumkan akan memanggil 19 saksi pada perbicaraan kes itu.

    Hakim Muhammad Jamil berkata, tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini terpaksa dijadualkan semula kerana beliau perlu mendengar beberapa kes lain dan menetapkan 26 hingga 28 Julai, 8 hingga 11 Ogos, 5 hingga 8 September dan 3 hingga 6 Oktober untuk perbicaraan.

    Hakim Ahmad Shahrir yang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil mulai semalam sebelum ini menetapkan perbicaraan bermula pada 6 April.

    Shahrir, 72, yang diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin hadir pada prosiding hari ini.

    Shahrir didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama