Category: Semasa

  • Kesihatan Tun M semakin pulih-Mukhriz

    Kesihatan Tun M semakin pulih-Mukhriz

    KEADAAN kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semakin pulih berbanding minggu lalu selepas pulang dari Institut Jantung Negara (IJN).

    Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, itu merupakan satu petanda baik dan ayahandanya kini berehat di rumah.

    Bagaimanapun katanya, Pengerusi Pejuang itu masih perlu menjalani rawatan sesi fisioterapi di Institut Jantung Negara (IJN).

    “Tun M sekarang ini dah dibenarkan pulang ke rumah walaupun masih lagi menjalani rawatan di IJN.

    “Jadi kekadang itu, setiap hari atau setiap dua hari, beliau akan diminta IJN untuk (menjalani sesi rawatan) fisioterapi.

    Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Jadi bagi saya itu satu petanda yang sangat baik dan keadaannya dah banyak pulih berbanding dengan seminggu dua minggu lepas,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Terdahulu beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Sepetang Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir di D’Sultanaa Bazaar, Jalan Tun Abdul Razak, hari ini.

    Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari dan beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut tersebut dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Januari.

  • Sempadan negara dibuka selepas bincang dengan 3 agensi

    Sempadan negara dibuka selepas bincang dengan 3 agensi

    SEMPADAN negara hanya akan dibuka selepas diadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Jabatan Imigresen dan dibawa kepada jawatankuasa khas yang dipengerusikan perdana menteri, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata, hasil perbincangan antara ketiga-tiga pihak itu akan dibawa ke mesyuarat kuartet untuk diperhalusi terlebih dahulu, sebelum dibawa ke peringkat jemaah menteri atau Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

    Bagaimanapun, katanya, dua kementerian itu dan Jabatan Imigresen telah diarah untuk membuat persiapan bagi pembukaan sempadan negara.

    “Pembukaan semula sempadan negara adalah satu keputusan yang besar terutamanya melibatkan negara yang mempunyai hubungan dua hala yang masih lagi menutup sempadan terhadap warga Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang mengesyorkan agar sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

    Menurut Muhyiddin, syor yang dikemukakan dalam mesyuarat MPN itu adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini.

    Mengulas sama ada sempadan negara boleh dibuka mengikut tarikh yang disyorkan oleh MPN, Hishammuddin berkata, ia bergantung kepada perbincangan dengan dua kementerian dan Jabatan Imigresen.

    “Tarikh berkenaan (1 Mac) hanyalah syor MPN, dan kaedah kita, apa juga syor dan cadangan daripada MPN akan dibawa semula ke kabinet (jemaah menteri) untuk mendapat keputusan yang muktamad,” katanya.

    Sementara itu Hishammuddin berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk kembali memainkan peranan penting dalam menangani COVID-19 seperti sebelum ini dengan pengaktifan semula National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF).

    Menurutnya, penubuhan semula RRTF adalah tepat ketika negara sedang menghadapi peningkatan kes COVID-19 akibat varian Omicron, dan ATM bersedia untuk terus terlibat, bersedia pada bila-bila masa untuk mendirikan hospital medan di mana-mana lokasi di seluruh negara jika diperlukan.

    “Ia hanya mengambil masa selama seminggu untuk kita dirikan hospital medan ini, tetapi untuk masa sekarang ia tidak perlu kerana hospital di seluruh negara tidak berada dalam keadaan tertekan dengan jumlah pesakit COVID-19, jadi orang ramai jangan bimbang, kita tidak berada dalam keadaan seperti dahulu,” katanya. – BERNAMA

  • Ribut landa Pulau Pinang, bumbung stadium mini tercabut, pokok tumbang

    Ribut landa Pulau Pinang, bumbung stadium mini tercabut, pokok tumbang

    KEJADIAN ribut dan angin kuat yang melanda Pulau Pinang kira-kira pukul 5 petang tadi menyebabkan berlakunya kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan di negeri itu.

    Sehingga pukul malam 7 malam ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima sekurang-kurangnya 16 laporan kejadian pokok tumbang termasuk satu kejadian yang menimpa kenderaan.

    Antara lokasi itu termasuk di Gerbang Midlands; Jalan Cheeseman Masjid Negeri; Solok Tengku; Jalan Air Itam, Taman Sri Bayan, Bayan Lepas; Jalan Zainal Abidin; Relau dan Taman Tunas Muda Bayan Baru.

    MBPP menerima sekurang-kurangnya 16 laporan kejadian pokok tumbang termasuk satu kejadian yang menimpa kenderaan.

    Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan kemalangan atau kehilangan jiwa dilaporkan akibat kejadian ribut itu yang berlaku dalam tempoh kurang 20 minit.

    Dalam pada itu, kejadian sama turut menyebabkan bumbung sebuah stadium mini di Sungai Ara, Bayan Lepas diterbangkan angin dan menimpa beberapa buah kenderaan di flat Seri Delima yang terletak berhampiran.

    Bagaimanapun, kejadian itu juga tidak melibatkan kecederaan kerana difahamkan penduduk yang berada di lokasi kejadian sempat menyelamatkan diri.

    Video mengenai kejadian itu juga turut tular di dalam media sosial sejurus selepas kejadian tersebut.

  • SOP baharu wajib dos penggalak bagi jemaah umrah

    SOP baharu wajib dos penggalak bagi jemaah umrah

    JEMAAH umrah kini diwajibkan menerima dos penggalak yang merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) baharu, berkuat kuasa 14 Feb ini, menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata, selain itu, jemaah umrah dibenar menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan portal Permohonan Kuarantin Di Rumah (HQA).

    “Jemaah juga dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.

    Selain itu, mereka yang dipertanggungjawabkan dari ejen pelancongan perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di PMA (pintu masuk antarabangsa) Malaysia,” katanya dalam sidang media mengenai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, jemaah umrah yang akan berangkat ke Tanah Suci hari ini sehingga 13 Feb terikat dengan SOP sedia ada namun apabila pulang semula ke tanah air, mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang dikuatkuasakan.

    Pada 26 Jan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan Kabinet membuat keputusan membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb (hari ini).

    Keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Jan lepas berikutan penularan jangkitan varian Omicron. – BERNAMA

  • Bayi baru lahir maut dengan kesan tikam di dada

    Bayi baru lahir maut dengan kesan tikam di dada

    SEORANG bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkan, ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di dada, dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam, di sebuah rumah di Felcra Seri Bandi, Chukai di Kemaman, Terengganu pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 10 pagi tadi berhubung kejadian itu.

    Katanya bayi itu dilahirkan oleh seorang remaja berusia 15 tahun di rumahnya, dipercayai dengan bantuan seorang rakan, yang kemudiannya bergegas untuk memaklumkan kelahiran bayi itu kepada klinik berdekatan, meninggalkan remaja itu dengan bayinya.

    “Namun apabila petugas klinik sampai di rumah remaja itu, mereka ternampak bayi itu mengalami pendarahan dengan kesan kecederaan di dada,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata bayi itu kemudiannya dibawa ke klinik yang terletak kurang 100 meter dari rumah berkenaan dan diberikan bantuan kecemasan, namun disahkan telah meninggal dunia.

    “Siasatan awal polis di rumah remaja itu menemukan beberapa peralatan tajam dengan kesan darah. Ketika kejadian, ibu kepada remaja itu tiada di rumah kerana bekerja di Chukai,” katanya.

    Hanyan berkata remaja berkenaan juga sudah tidak bersekolah dan dikatakan hanya tinggal bersama ibunya di rumah itu selepas bapanya meninggal dunia.

    Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat, manakala remaja berkenaan turut mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • Ahli Parlimen Labuan mohon batal pertuduhan guna kedudukan

    Ahli Parlimen Labuan mohon batal pertuduhan guna kedudukan

    AHLI Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli memohon untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan untuk sebuah syarikat di mana ahli keluarganya mempunyai kepentingan serta dibebaskan atas dakwaan itu.

    Rozman selaku pemohon memfailkan permohonan itu semalam menerusi Tetuan Law Practice of Rafique dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

    Pihak media memperoleh notis permohonan daripada peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman selepas pengurusan kes itu, hari ini, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

    Berdasarkan permohonan itu, beliau juga memohon supaya prosiding kesnya di Mahkamah Sesyen digantung sementara sehingga selesai permohonan tersebut.

    Permohonan itu dibuat antaranya atas alasan pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikenakan terhadapnya tidak berasas sama ada dari segi fakta mahupun perundangan dan dilakukan dengan niat jahat selain menyalahgunakan proses mahkamah.

    Sementara itu, Muhammad Rafique ketika dihubungi pemberita berkata mahkamah menetapkan 2 Mac ini untuk mendengar permohonan tersebut dan perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan lima hari bermula 9 Mei ini untuk perbicaraan kes itu dan seramai 42 saksi pendakwaan akan memberi keterangan.

    Rozman, 58, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara jam 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Peningkatan kes Covid-19 tidak halang penganjuran Sukma

    Peningkatan kes Covid-19 tidak halang penganjuran Sukma

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENINGKATAN kes Covid-19 bukan satu halangan untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk meneruskan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun ini.

    Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin, penganjurannya boleh dilaksanakan sekiranya mengikut prosedur operasi standard (SOP), namun skala pelaksanaannya tertakluk kepada kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Saya percaya kalau kita terus menjaga SOP sebagainya, tiada acara yang boleh terganggu.

    “Malangnya ia hanya akan terganggu jika orang ramai tidak patuh kepada SOP
    dan akan menyebabkan banyak jangkitan, dan apabila itu berlaku tentunya akan merencatkan kemeriahan apa juga penganjuran,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara, Kota Tinggi, hari ini.

    Beliau mengulas sama ada peningkatan kes Covid-19 akan menjejaskan penganjuran Sukma Kuala Lumpur.

    Sementara itu, beliau memberitahu, tarikh penganjuran Sukma Kuala Lumpur serta acara yang akan dipertandingkan dijangka dapat muktamadkan pada akhir bulan ini.

    “Kita juga masih tunggu memorandum daripada jemaah menteri untuk kita mohon daripada kerajaan agar menyediakan satu jumlah peruntukan untuk kita mengadakan Sukma Kuala Lumpur,” katanya.

    Berkenan keadaan fasiliti bagi Sukma Johor yang bakal diadakan pada 2024, Ahmad Faizal berkata, pihak berkaitan diminta agar sentiasa melakukan penyelenggaraan dan berharap agar fasiliti tersebut dapat digunakan untuk kegunaan ramai.

    “Maintainence kalau pun tidak ada Sukma, kita tetap kena selenggara…saya mohon semua pihak sebagai penyelenggara fasiliti hendak lah menjaga dengan baik.

    “Kerana semua fasiliti kita bina adalah menggunakan kantung (peruntukan) daripada kerajaan dan ia wang rakyat amat perlu kita jaga sebaik mungkin,” katanya.

  • 39 bot penumpang ditahan atas pelbagai kesalahan

    39 bot penumpang ditahan atas pelbagai kesalahan

    SEBANYAK 39 buah bot penumpang di sekitar perairan Pulau Langkawi, Kedah; Perak; Pulau Pinang dan Selangor ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya beroperasi dengan lesen yang tidak sah; tidak mempunyai sijil kompentensi (C.O.C); tidak memiliki insurans dan beberapa kesalahan lain.

    Kesemua bot itu ditahan dalam operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu sempena Tahun Baharu Cina bermula 21 Januari sehingga di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

    Komander Pasukan Marin Wilayah Satu, Asisten Komissioner Shamsol Kassim berkata, kesemua bot penumpang itu kemudian telah diserahkan kepada Jabatan Laut untuk tindakan selanjutnya

    Menurut beliau, dalam operasi itu juga pihaknya turut melakukan pemeriksaan dan menahan sebanyak 52 buah bot pukat tunda yang beroperasi di kawasan perairan  sama.

    “Kesemua bot itu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

    “Kesalahan-kesalahan tersebut adalah seperti menggunakan pekerja asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan, menggunakan bot ikan tanpa permit yang sah atau lesen orang lain.

    “Selain itu, terdapat bot dikesan menjalankan aktiviti penundaan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Shamsol, kesemua rampasan dan tahanan bot itu turut diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan selanjutnya.

  • KPDNHEP, MAFI bincang isu kekurangan bekalan telur ayam

    KPDNHEP, MAFI bincang isu kekurangan bekalan telur ayam

    ISU kekurangan bekalan telur ayam di pasaran akan diselesaikan segera di mana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan perbincangan secara bersama.

    Menurut Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, pelbagai rungutan dan kebimbangan diluahkan masyarakat susulan kekurangan bekalan telur di pasaran terutama menjelang Ramadan dan Syawal nanti, lapor Berita Harian.

    Menurut Rosol, jika harga sudah ada tetapi bekalan telur tiada, akan timbul juga masalah. Jadi, ia perlu dipastikan kedua-dua isu ini dapat diselesaikan supaya tidak berbangkit pada masa depan.

    “Kerajaan sedar dan ambil berat dengan mereka yang terbabit seperti pengusaha biskut raya jika masalah ini berlarutan, sedangkan kita memerlukan bekalan telur lebih banyak berbanding biasa.

    “Ia berikutan pertambahan permintaan memandangkan ramai peniaga dan pengusaha menjalankan perniagaan makanan di bulan puasa serta raya, malah rakyat Malaysia menggunakan 30 juta biji telur sehari,” katanya selepas merasmikan stesen minyak 5Petrol Batu Balai, Jerantut Pahang, hari ini.

    Turut hadir, Pengarah Urusan Five Petroleum Malaysia Sdn Bhd, Datuk Seri Dr King Lim Chub Fui dan Pengerusi Five Petroleum Malaysia, Datuk Juhari Abdul Ghani.

    Menyentuh isu kenaikan harga dedak ayam, Rosol berkata, ia akan meningkatkan harga ayam di pasaran, tetapi kerajaan melakukan kawalan harga dengan menetapkan harga siling RM8.90, selain MAFI membekalkan daging ayam import bagi menstabilkan harga ayam di pasaran.

    “Saya difahamkan setakat ini 29 permit daging ayam import dikeluarkan MAFI dalam usaha mengimbangkan harga ayam di pasaran,” katanya.

    Sementara itu, Rosol berkata, sebanyak 2,410 premis diperiksa dengan tiga kes dicatatkan setakat Isnin lalu sepanjang pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.

    “Jika terdapat unsur pencatutan harga, kita akan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit,” ujar beliau.

  • Hanya 12 peratus daftar PICKids di Terengganu

    Hanya 12 peratus daftar PICKids di Terengganu

    PENDAFTARAN bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Terengganu setakat ini masih lagi rendah.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak, hanya 12 peratus atau 21,901 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Terengganu yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin bawah program tersebut, lapor Berita Harian.

    Menurut beliau, jumlah tersebut masih rendah berbanding 124,206 kanak-kanak yang disasarkan untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.

    Beliau berkata, pemberian vaksin itu amat penting bagi melindungi golongan itu daripada mortaliti dan morbiditi akibat jangkitan COVID-19, serta membolehkan mereka menjalani aktiviti harian dengan lebih selamat, terutama di luar rumah dan tempat belajar.

    Selain itu katanya, ia juga bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada kanak-kanak lain yang tidak layak menerima vaksin COVID-19.

    Menurut Dr Alias, pemberian vaksin kepada kanak-kanak akan mengurangkan kemungkinan mereka untuk mendapat jangkitan serius atau mengalami komplikasi jangka panjang akibat jangkitan COVID-19.

    “PICKids yang dilaksanakan sejak 3 Februari lalu di mana bagi negeri Terengganu, ia bermula secara rasmi hari ini dengan 20 kanak-kanak terbabit menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin COVID-19,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PICKids Peringkat Terengganu di Kompleks Pusat Rawatan Harian, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong.

    Mengulas lanjut, Dr Alias berkata, sebanyak 141 pusat pemberian vaksin (PPV) dibuka di seluruh Terengganu, mulai esok, bagi menjayakan PICKids.

    Menurut beliau, ia membabitkan enam PPV di hospital, 24 PPV klinik kesihatan, 39 PPV klinik swasta, lapan PPV ‘off site’ dan 64 PPV sekolah.

    “Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Terengganu dalam melaksanakan PPV di sekolah, dengan menyasarkan seramai 110,000 kanak-kanak menerima vaksin di sana.

    “Selain itu, kita turut mengenal pasti seramai 7,200 kanak-kanak tergolong dalam kumpulan komobid serta berisiko tinggi, dan mereka perlu mengambil vaksin di PPV hospital bagi memudahkan pemantauan dibuat,” ujar beliau.

    Dr Alias turut menasihati ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak berusia antara lima hingga 11 tahun, supaya membenarkan kanak-kanak itu diberi suntikan vaksin COVID-19 sama ada di PPV sekolah atau mendaftar melalui MySejahtera.

    “Dengan kewujudan gelombang penularan varian Omicron ketika ini, kita melihat kenaikan kes secara mendadak dari sehari ke sehari.
    “Kanak-kanak adalah golongan rentan yang paling terdedah kepada jangkitan COVID-19,” katanya.