Category: Semasa

  • Budak lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10

    Budak lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan lima atau enam tahun maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 10 sebuah kuarters Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di Kuala Lumpur hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 8.20 pagi di pekarangan kuarters terbabit dan telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia menggunakan ambulans Briged Tengah PGA.

    Beliau berkata, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di hospital tersebut.

    “Ketika kejadian, mangsa yang merupakan anak anggota polis dikatakan tinggal seorang diri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kesalahan pengabaian,” katanya kepada Bernama.

    Mohd Zaid meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan.

    Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pengabaian terhadap anak di bawah umur bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku. – BERNAMA

  • PM tentukan pembukaan semula sempadan negara

    PM tentukan pembukaan semula sempadan negara

    KEPUTUSAN akhir pembukaan semula sempadan negara akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri atau mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Pemulihan COVID-19.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, isu pembukaan semula sempadan negara itu bukan perkara mudah dan memerlukan pertimbangan menyeluruh dari semua aspek.

    Dalam masa sama, beliau menegaskan tidak timbul isu perbezaan pendapat berhubung cadangan itu yang disyorkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan Menteri Kuartet Covid-19 seperti dibangkitkan pihak tertentu memandangkan ada dalam kalangan anggota MPN dan Menteri Kuartet Covid-19 itu merupakan individu sama.

    “Itu perkara biasa jika ada pihak cuba melaga-lagakan kita. Ia tidak pelik dan mudah dijawab kerana Jawatankuasa Pemulihan Negara turut dianggotai Menteri Kesihatan, Menteri Kanan Pertahanan dan Menteri Kewangan yang juga ahli kuartet.

    “Kalau nak kata kita tidak berkomunikasi, ahlinya sama. Cuma di peringkat jawatankuasa pemulihan tiada mandat membuat keputusan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Pengenalan Pesawat AW139 dan meninjau projek perumahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang selesai dinaik taraf di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Kelmarin, MPN mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

    Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, syor itu adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan selain mampu menarik pelabur asing ke negara ini.

    Bagaimanapun, syor itu mendapat reaksi pelbagai dengan ada yang mempertikaikannya memandangkan peningkatan kes Covid-19 yang meningkat mendadak ketika ini ekoran penularan varian Omicron.

    Dalam masa sama, pihak-pihak yang terbabit dalam sektor penerbangan dan perhotelan pula menyambut baik syor itu yang disifatkan mampu merancakkan semula ekonomi mereka yang terjejas teruk ekoran penutupan sempadan negara sejak hampir dua tahun lalu.

  • Sindiket dadah guna kurier tumpas

    Sindiket dadah guna kurier tumpas

    SATU sindiket penyeludupan dadah menggunakan khidmat syarikat penghantaran menerusi operasi khas di Jalan Tebrau dan sekitar bandar raya Johor Bahru tumpas dalam satu operasi , Sabtu lalu.

    Menerusi operasi itu, lima lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berusia 22 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi bermula pukul 3 petang itu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak 17.70 kilogram (kg) dadah jenis magic mushroom dan 3.02kg serbuk ekstasi bernilai RM1.04 juta berjaya dirampas.

    “Modus operandi sindiket ini adalah menghantar dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran semenanjung, Sabah dan Sarawak.

    “Siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak November tahun lalu dan disyaki menerima bekalan dari negara luar.

    “Turut disita tiga buah kenderaan serta wang tunai RM21,850,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, hasil semakan mendapati lima suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala dua daripada mereka positif methamphetamine.

    Jelasnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 6 sehingga 12 Februari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Guru KAFA cuti bersalin diberi elaun RM1,000

    Guru KAFA cuti bersalin diberi elaun RM1,000

    GURU Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang bersalin bakal menikmati elaun cuti bersalin bermula tahun ini.

    Berita baik itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang mengatakan kumpulan tersebut sebelum ini diberikan cuti bersalin, tetapi tidak layak dibayar elaun RM1,000 setiap bulan.

    Memetik laporan Berita Harian Idris berkata, pembayaran elaun itu adalah usaha kerajaan menjaga kebajikan guru KAFA wanita sepanjang kontrak mereka berkuat kuasa dengan agensi pelaksana KAFA negeri.

    “Elaun yang diterima mereka RM1,000 sebulan sebelum ini berjalan seperti biasa walaupun mereka sedang cuti bersalin,” katanya pada Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Negeri Terengganu Tahun 2022 di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus hari ini.

    Sementara itu, Idris memberitahu, khidmat 1,000 guru takmir akan diperluaskan di agensi kerajaan yang lain berbanding hanya di masjid dan surau sebelum ini yang kuotanya berdasarkan nisbah jumlah institusi terbabit.

    Menurut beliau, pihaknya mahu meluaskan keperluan guru takmir mengajar di agensi lain seperti institusi penjara, institusi kebajikan warga emas Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

    “Tahun ini, terdapat 5,000 guru takmir di seluruh negara, termasuk 1,000 yang baru dilantik dan pengagihan akan dibuat berdasarkan permohonan serta kuota yang kita tetapkan.

    Insya-Allah, nama-nama (guru) kita pun sudah minta daripada pihak berkuasa agama negeri dan kita saringkan nanti,” katanya.

    Untuk rekod, kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM65 juta kepada imam, bilal, guru takmir dan guru KAFA Terengganu pada tahun ini.

  • Terengganu benarkan operasi bazar Ramadan

    Terengganu benarkan operasi bazar Ramadan

    BERITA baik bagi para peniaga kecil dan penjaja di Terengganu apabila kerajaan negeri bersetuju membenarkan bazar Ramadan beroperasi pada tahun ini.

    Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, operasi tersebut perlu mengikut peraturan dan SOP yang ketat bagi mengelak berlakunya jangkitan Covid-19, lapor Sinar Harian.

    Menurut Dr Alias, pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melakukan persiapan mengeluarkan permit kebenaran jualan kepada peniaga yang berminat.

    Katanya, setakat ini bazar Ramadan masih dibenarkan beroperasi dan PBT sudah mengenal pasti lokasi serta jumlah tapak jualan pada tahun ini.

    Namun, ujarnya kebenaran ini bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dan arahan terkini dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan berlakunya penularan varian Omicron.

    Sementara itu, Dr Alias menasihati orang ramai mengambil dos penggalak dan membenarkan anak mereka berusia lima hingga 11 tahun diberi suntikan vaksin bagi melindungi daripada mortaliti dan morbiditi akibat jangkitan Covid-19.

    Menurut beliau, usaha itu penting sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Mei nanti.

    “Hanya 12 peratus atau 21,901 orang dari 124,206 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang layak menerima vaksin Covid-19 negeri ini sudah mendaftar melalui MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin, jumlah ini masih rendah,” katanya.

    Jelas Dr Alias, dengan kenaikan kes mendadak setiap hari berikutan kewujudan gelombang Omicron sekarang, kanak-kanak merupakan golongan rentan yang paling terdedah kepada jangkitan Covid-19 kerana belum mendapat vaksin.

    Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa dapat mengambil peluang menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) yang dianjurkan kerajaan demi kesejahteraan kesihatan anak masing-masing.

    “Jangan kita mengambil mudah tentang perkara ini, apatah lagi dalam beberapa bulan lagi kita akan menyambut Ramadan dan Hari Raya, jadi pastikan anak-anak kita juga mempunyai pelindung daripada jangkitan Covid-19,” ujar beliau.

  • Polis tumpaskan sindiket peras ugut guna video bogel

    Polis tumpaskan sindiket peras ugut guna video bogel

    POLIS menahan tiga wanita termasuk dua warga Indonesia dipercayai menjadi dalang sindiket pemerasan melalui panggilan video berunsur lucah menerusi enam serbuan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor pada 16 Januari lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, turut ditahan tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia menerusi Op Bugil.

    “Modus operandi digunakan sindiket terbabit adalah dengan mengumpan mangsa kebiasaannya lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun untuk melakukan panggilan video menerusi aplikasi MiChat, WeChat dan juga Whatsapp.

    “Mangsa kemudian akan diperdaya untuk berbogel dan melakukan adengan-adengan lucah yang mana perbuatan itu dirakam ahli sindiket.

    “Sindiket berkenaan kemudiannya akan menggunakan rakaman tersebut untuk mengugut mangsa dengan wang ringgit dan jika tidak dibayar, rakaman berkenaan akan ditularkan di media sosial,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, hasil daripada tangkapan sindiket terbabit, polis berjaya menyelesaikan 25 kes berkaitan jenayah mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

    “Polis menerima sebanyak 368 aduan daripada mangsa melibatkan ugutan penyebaran video bogel dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM485,013 sejak Januari 2021 hingga kini.

  • Penahanan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh dibuat mengikut perundangan- Hamzah

    Penahanan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh dibuat mengikut perundangan- Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini mengesahkan penahanan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, M. Khairuzzaman dan dilakukn mengikut perundangan.

    “Mengikut perundangan kalau ada kesalahan kita tangkap. Kalau ada permintaan dari negara asal, kita rasa ada kebenarannya kita lakukan (tangkapan). Segala apa yang kita lakukan adalah mengikut prosedur,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) bilangan satu tahun 2022 di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan bahawa pihak berkuasa telah menahan Khairuzzaman yang tinggal di negara ini sebagai pelarian.

    Mengenai Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono yang dilaporkan tidak berpuas hati dengan memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan dan penempatan pembantu rumah kerana Jabatan Imigresen Malaysia hanya terbabit dalam beberapa siri rundingan, beliau agak terkejut dengan perkara itu.

    “Dia tidak berpuas hati? Saya nak maklumkan yang berbincang ini antara saya dengan menteri dia.

    “Kalau dia tidak tahu, dia tanyalah dengan menteri dia. Takkan saya menteri, saya jumpa menteri dia, saya kena beritahu (Hermono).

    “Siapa lebih besar, menteri dia lebih besar atau dia yang lebih besar?” soalnya.

    Hermono dilapor menyatakan bahawa Indonesia memerlukan komitmen politik dari Malaysia bahawa MoU berhubung pengambilan dan penempatan pembantu rumah warga republik itu dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya sebelum ia dimeterai.

    Beliau berkata, pada masa ini, Indonesia hilang kepercayaan terhadap komitmen itu kerana pihak utama yang akan menguatkuasakan MoU berkenaan iaitu Jabatan Imigresen Malaysia hanya terbabit dalam beberapa siri rundingan.

  • Taktik baharu seludup PATI guna bas persiaran

    Taktik baharu seludup PATI guna bas persiaran

    TINDAKAN sindiket penyeludupan membawa 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menggunakan bas persiaran bagi mengaburi mata pihak berkuasa menemui kegagalan apabila mereka dicekup pada tengah malam kelmarin.

    PATI berusia antara 15 hingga 30 tahun itu ditahan pada pukul 12.30 tengah malam oleh anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) selepas bertindak mengejar mereka sejauh 30 kilometer, lapor Harian Metro.

    Turut ditahan ialah dua lelaki tempatan termasuk pemandu bas berusia 30-an yang dipercayai sebagai tekong darat.

    Menurut Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib, pihaknya mula mengesan bas persiaran dan kereta jenis BMW yang disyaki tonto di Pohon Tanjung, Kelantan sebelum bertindak mengekori mereka.

    Menurut beliau, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu bas dan kereta terbabit memecut dengan laju.

    Katanya, ketika tiba di Jalan Baroh Pial menghala Tanah Merah, kereta BMW itu berhenti dan apabila anggota keluar untuk pemeriksaan, pemandunya cuba melanggar anggota menyebabkan kita terpaksa melepaskan dua das tembakan.

    Namun ujarnya, pemandu kereta tersebut terus memecut sebelum kenderaannya terbabas dan dia melarikan diri, manakala bas yang dinaiki PATI berjaya dipintas di hadapan sebuah pasar raya di Tanah Merah.

    “Hasil pemeriksaan di dalam bas mendapati terdapat 20 warga Myanmar termasuk seorang wanita. Kita turut menahan pemandu bas dan seorang lagi lelaki yang kedua-duanya dipercayai tekong,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Menurut Mannadzar, pihaknya percaya sindiket itu telah menyewa khas bas berkenaan untuk membawa semua PATI itu ke Kuala Lumpur di mana mereka masuk ke Malaysia dengan menggunakan pengkalan haram di Pohon Tanjung.

    “Taktik sindiket menggunakan bas persiaran dari pangkalan haram adalah modus operandi baharu bagi mengaburi pihak berkuasa, berbanding sebelum ini kebanyakan mereka menggunakan kenderaan biasa.

    “Kesemua Pati berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala tekong terbabit disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

    Tambah beliau, bas persiaran yang dirampas itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.

  • Puteri Balqis, Mia Sara perang dingin gara-gara komen media sosial

    Puteri Balqis, Mia Sara perang dingin gara-gara komen media sosial

    KURANG senang dengan komen yang diterima membuatkan pelakon Puteri Balqis meluahkan kekecewaannya apabila dikritik rakan artis.

    Semua bermula apabila pelakon Mia Sara Nasuha membuat kenyataan mengatakan Balqis tidak dibesarkan dengan cara Islamik membuatkan dia menjadi seperti dirinya hari ini.

    Namun, kesalahan tersebut tidak harus diletakkan sepenuhnya kepada pelakon berkenaan kata Mia Sara berdasarkan komen yang ditinggalkan.

    “Saya baru tahu mengenai perkara ini. Kenapa selebriti Mia Sara menulis perkara buruk tentang saya dan kehidupan saya di TikTok dan memberi komen sebegitu sehingga saya dikutuk ramai orang.

    “Jauh di sudut hati, ia sangat menyakitkan saya. Anda telah mengatakan tentang ibu saya, satu-satunya wanita yang paling menyayangi saya. Ia satu kesakitan yang sukar untuk ditanggung,” luahnya menerusi perkongsian di Instagram.

    Menariknya komen tersebut sudah dibuat berbulan-bulan lalu namun hanya sekarang baru mendapat perhatian dan trending di Twitter.

    Dalam hantaran yang sama, Puteri Balqis menegaskan dengan memakai tudung bukanlah bermakna boleh sewenang-wenangnya untuk mengutuk orang lain.

    Pelakon berkenaan juga menasihati Mia Sara supaya memperbetulkan tatabahasa terlebih dahulu sebelum mengata sesuatu yang buruk tentang dirinya.

    “Dengan segala hormat dan hormatnya, sila betulkan tatabahasa anda sebelum mengatakan sesuatu yang buruk tentang saya.

    “Ibu saya seorang pakar dalam mendidik saya bahasa Inggeris yang betul. Kami tidak menggunakan sebarang slang ‘rempit’ seperti yang anda lakukan di TikTok dan Twitter anda,” tambahnya.

  • 6 individu mengaku tidak bersalah bergaduh rebut pelanggan di Padang Kota Lama

    6 individu mengaku tidak bersalah bergaduh rebut pelanggan di Padang Kota Lama

    ENAM individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan terlibat dalam insiden pergaduhan di Astaka Medan Renong, Padang Kota Lama pada 1 Februari lalu.

    Tertuduh, Anwar Ibrahim Noorkan, 39; Rais Ahmad Mohamed Hussain, 38; Jamil Kader Gani, 36; Mohamad Ridzuan Rawther, 33; Mohamad Khrom Mohamad Salam, 32; dan Ridzuan Mohamad Salam, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan ‘gaduh gempar’ mengganggu ketenteraman iaitu bergaduh di antara satu sama lain dalam di kedai Astaka Medan Renong, Padang Kota Lama, kira-kira pukul 11.40 malam pada 1 Februari lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin ahli keluarga manakala 16 Mac ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Anil Singh Khera.

    Dalam kejadian malam 1 Februari lalu, kawasan tumpuan pelancong di Astaka Medan Renong, Padang Kota Lama itu kecoh apabila beberapa peniaga bergaduh sesama sendiri.

    Kejadian itu turut tular di dalam media sosial selepas pengunjung yang membuat rakaman insiden terbabit memuat naik video selama kira-kira seminit ke laman sosial Facebook.

    Siasatan polis kemudian mendedahkan pergaduhan itu tercetus disebabkan perebutan pelanggan oleh dua peniaga di medan selera tersebut yang turut menyimpan dendam lama antara satu sama lain.

    Akibat kejadian tersebut juga, kesemua individu yang terlibat mengalami kecederaan iaitu luka ringan dan calar pada bahagian badan.