PKR sebenarnya berhasrat untuk mencalonkan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

Memetik laporan Malaysiakini, Timbalan Ketua Penerangan PKR, G Manivanan berkata, partinya telah melakukan kerja-kerja politik di kawasan tersebut sejak setahun lalu.

“Napsiah juga telah melakukan gerak kerja secara agresif di DUN tersebut dan mempunyai jentera kempen teratur yang diselaraskan untuk tempoh masa melebihi setahun.

“Sekiranya Syed Saddiq menghayati perjuangan ini secara ikhlas dan jujur, seharusnya (Muda) mempertimbangkan untuk memulangkan kerusi tersebut untuk memastikan kemenangan PH atau blok pembangkang,” katanya merujuk kepada Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Manivanan menyatakan pandangan itu dalam sepucuk surat terbuka ditujukan kepada Ahli Parlimen Muar berkenaan.

Semalam, Napsiah meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan keputusan Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada Muda.

Malah, beliau menganggap tindakan itu sebagai satu pengkhianatan.

Kerusi Puteri Wangsa diserahkan kepada Amanah melalui rundingan yang dijalankan dalam kalangan pemimpin parti komponen gabungan tersebut.

Namun, melalui rundingan berasingan yang dilakukan Amanah serta DAP, mereka mencapai persetujuan untuk menyerahkan kerusi tersebut kepada Muda, bersama lima kerusi lain.

Manivanan menambah, dalam beberapa siri perbincangan mengenai pembahagian kerusi sesama Pakatan Harapan (PH) Johor, PKR telah memberikan hujah agar Puteri Wangsa diberikan kepada mereka.

“Bagaimanapun, atas semangat setia kawan, PKR memberikan kerusi tersebut kepada Amanah. Seterusnya pucuk pimpinan tertinggi Amanah dan DAP telah memberikan kerusi ini kepada Muda.

“Sekiranya benar perjuangan Muda berteraskan kefahaman strategik dan matlamat bersama untuk memastikan kemenangan rakyat dan membawa kestabilan politik di Johor, sewajarnya mereka memberikan kerusi Puteri Wangsa kepada Napsiah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here