KEPUTUSAN akhir pembukaan semula sempadan negara akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri atau mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Pemulihan COVID-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, isu pembukaan semula sempadan negara itu bukan perkara mudah dan memerlukan pertimbangan menyeluruh dari semua aspek.
Dalam masa sama, beliau menegaskan tidak timbul isu perbezaan pendapat berhubung cadangan itu yang disyorkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan Menteri Kuartet Covid-19 seperti dibangkitkan pihak tertentu memandangkan ada dalam kalangan anggota MPN dan Menteri Kuartet Covid-19 itu merupakan individu sama.
“Itu perkara biasa jika ada pihak cuba melaga-lagakan kita. Ia tidak pelik dan mudah dijawab kerana Jawatankuasa Pemulihan Negara turut dianggotai Menteri Kesihatan, Menteri Kanan Pertahanan dan Menteri Kewangan yang juga ahli kuartet.
“Kalau nak kata kita tidak berkomunikasi, ahlinya sama. Cuma di peringkat jawatankuasa pemulihan tiada mandat membuat keputusan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Pengenalan Pesawat AW139 dan meninjau projek perumahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang selesai dinaik taraf di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Kelmarin, MPN mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, syor itu adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan selain mampu menarik pelabur asing ke negara ini.
Bagaimanapun, syor itu mendapat reaksi pelbagai dengan ada yang mempertikaikannya memandangkan peningkatan kes Covid-19 yang meningkat mendadak ketika ini ekoran penularan varian Omicron.
Dalam masa sama, pihak-pihak yang terbabit dalam sektor penerbangan dan perhotelan pula menyambut baik syor itu yang disifatkan mampu merancakkan semula ekonomi mereka yang terjejas teruk ekoran penutupan sempadan negara sejak hampir dua tahun lalu.