Category: Semasa

  • Tiga warga asing ditahan terbabit penipuan dalam talian

    Tiga warga asing ditahan terbabit penipuan dalam talian

    TIGA warga asing termasuk seorang wanita ditahan terbabit dengan kegiatan penipuan dalam talian menerusi serbuan di sebuah unit kondominium mewah di Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, serbuan dilakukan di lokasi terbabit pukul 1.30 tengah hari selepas menerima maklumat daripada orang awam.

    “Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki serta seorang wanita yang juga warga asing berusia antara 36 hingga 42 tahun di kediaman berkenaan.

    “Kami turut merampas 32 barangan membabitkan telefon bimbit, iPad (tablet), unit pemprosesan pusat (CPU) monitor komputer, tetikus, papan kekunci serta pemacu simpanan luaran (SSD) yang dipercayai digunakan bagi kegiatan itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Noor Dellhan berkata, siasatan awal dilakukan mendapati sindiket berkenaan menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dengan menjadikan unit kondominium terbabit sebagai pusat operasi.

    “Unit kondominium berkenaan dipilih kerana ia memiliki kawalan keselamatan 24 jam bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa selain menyukarkan kemasukan pelawat.

    “Semua suspek yang ditahan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 18 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau menyeru orang ramai serta pihak pengurusan bangunan supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan termasuk penipuan dalam talian.

    “Orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Walaupun anak KJ difitnah, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin

    Walaupun anak KJ difitnah, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta pihak tertentu supaya tidak mengganggu ibu bapa yang hendak mendapatkan vaksin COVID-19 untuk anak masing-masing menerusi Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-Kanak (PICKids).

    “Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya dicucuk angin, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin. Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka,” katanya menerusi akaun Twitter hari ini.

    Khairy turut memuji sikap profesional jururawat yang menyuntik anaknya Ahad lepas dengan menggunakan taktik mengelakkan anak lelakinya Raif daripada melihat jarum suntikan yang digunakan.

    “Taktik tidak menunjukkan jarum sangat berkesan dan membantu menenangkan anak saya. Semoga semua doktor dan nurse (jururawat) yang terlibat dalam PICKids dilindungi dari fitnah pihak tertentu,” katanya.

    Ahad lepas, Khairy menerusi akaun Twitternya berkongsi gambar anak bongsunya itu menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC), Kuala Lumpur.

    Mengenai liputan PICKids, Khairy berkata peningkatan liputan dan pendaftaran PICKids menunjukkan semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin.

    “Liputan dan pendaftaran PICKids semakin meningkat. Alhamdulillah ibu bapa mahu memberi perlindungan kepada anak,” katanya.

    Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, seramai 246,869 atau tujuh peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dalam negara telah mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 melalui PICKids setakat semalam.

    Sementara itu di KOTA BHARU, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyiasat video tular menerusi media sosial berkaitan dakwaan cecair vaksin COVID-19 yang diberikan kepada anak bongsu Khairy telah dibuang sebelum disuntik.

    Beliau berkata, bagaimanapun setakat ini beliau mengesahkan anak bongsu Khairy telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

    “Kalau saya tengok yang ditunjuk oleh beliau (Khairy Jamaluddin) memang anaknya telah disuntik. Beliau sendiri pun sudah terima vaksin namun kita akan buat siasatan, esok saya akan memaklumkan perkara ini kepada beliau jika video berkenaan telah disunting, kita akan ambil tindakan.

    “Malah, setakat ini pun kita telah banyak siasat dan ambil tindakan. Orang ramai sentiasa mencari salah walhal pengambilan vaksin berkenaan adalah satu daripada usaha kerajaan hanya untuk melindungi kanak-kanak,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin khas (SPPV) di Hospital Raja Perempuan Zainab II hari ini.

    Sebelum ini timbul pelbagai tuduhan dan spekulasi bahawa jururawat yang melaksanakan vaksinasi terhadap anak bongsu Khairy membuang cecair vaksin terlebih dahulu sebelum melakukan suntikan.

    Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi meminta masyarakat supaya tidak mendengar berita-berita palsu membabitkan vaksin COVID-19 terutama daripada mereka yang bukan pakar dalam bidang berkenaan.

    “Tidak ada sesiapa yang ingin melindungi apa-apa. Tidak mungkin KKM menipu dan sebagainya selain kita juga sentiasa peka berkaitan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dan hanya mahu memberikan yang terbaik demi kesihatan masyarakat,” katanya.

    Beliau berkata, untuk meyakinkan masyarakat tentang penerimaan vaksin COVID-19, pihaknya juga telah menggerakkan unit komunikasi strategik bagi memberi penjelasan berkaitan fakta dan data mengenai vaksin COVID-19.

    Katanya, selain itu, KKM turut menjemput pakar kanak-kanak dan sebagainya untuk memberi penerangan di stesen televisyen mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksin demi kebaikan kesihatan masyarakat sekali gus melindungi mereka. – BERNAMA

  • Telegram dan WhatsApp Zahid Hamidi digodam

    Telegram dan WhatsApp Zahid Hamidi digodam

    AKAUN media sosial Telegram dan WhatsApp Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    Perkara itu disahkan beliau sendiri menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, ketika ini beliau sedang dalam proses untuk mendapatkan semula akaunnya.

    “Akaun Telegram dan Whatsapp saya telah digodam. Kepada rakan dan kenalan yang menerima mesej tidak berkaitan sila abaikan,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

    Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualan individu yang menyamar sebagai diri beliau.

    Menerusi perbualan itu, individu dipercayai penggodam akaun tersebut turut meminta bantuan kewangan sebanyak RM5,000 dan disertakan nombor akaun Maybank dengan pemilik nama Zainal Abidin.

    “Nak minta tolong boleh ke? Boleh tolong pindahkan duit RM5,000 ye, insya-Allah petang sikit saya pindah balik,” katanya menerusi Telegram Ahmad Zahid.

  • Mahkamah Singapura tangguh hukuman mati pemuda IQ rendah

    Mahkamah Singapura tangguh hukuman mati pemuda IQ rendah

    MAHKAMAH Tinggi Singapura hari ini membenarkan penangguhan interim bagi hukuman mati ke atas warga Malaysia dari Sabah yang lembam atau memiliki tahap IQ rendah, Pausi Jefridin, serta rakyat Singapura, Roslan Bakar, susulan satu rayuan yang difailkan.

    Memetik laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT), hari ini, Pausi dan Roslan yang juga mempunyai tahap IQ rendah, dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah pada 2010.

    Kedua-duanya dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati, hari ini.

    Zaid Malek daripada Lawyers for Liberty memberitahu FMT, kos keselamatan sebanyak S$20,000 (RM62,000) perlu disediakan sebelum jam 1.45 tengah hari tadi.

    Peguam mewakili Pausi dan Roslan telah memfailkan semakan kehakiman yang baharu, petang semalam, dalam usaha menghentikan pelaksanaan hukuman itu, selepas cubaan sama terdahulu pada hari sama ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura.

    Kedua-dua lelaki itu berada dalam senarai menunggu hukuman mati sejak 12 tahun lalu, dan dilaporkan hanya dimaklumkan pada Rabu minggu lalu bahawa mereka akan menjalani hukuman itu, hari ini.

    Pausi dan Roslan didapati bersalah menyeludup dadah jenis diamorfin seberat 96.07 gram (g) dan methamphetamine seberat 76.37g pada 2010.

    Media sebelum ini melaporkan kenyataan Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) bahawa walaupun Pausi disahkan kurang upaya intelektual dengan IQ pada tahap 67, masalah kurang upaya itu ditolak hakim mahkamah.

    Penghakiman dilapor menyatakan bahawa ‘tahap IQ yang rendah bukan bukti minda tidak normal.’

    Sebelum ini, seorang lagi warga Malaysia dengan IQ rendah, Nagaenthran K. Dharmalingam, turut berdepan hukuman mati pada 10 November 2021.

    Namun, dia diberi penangguhan pelaksanaan hukuman oleh Mahkamah Rayuan dan bakal berdepan proses rayuan.

  • Perniagaan sate ditutup, pasangan suami isteri OKU bergantung bantuan kerajaan

    Perniagaan sate ditutup, pasangan suami isteri OKU bergantung bantuan kerajaan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Peribahasa itu sesuai bagi menggambarkan kesengsaraan lima beranak yang kini hanya bergantung bantuan kerajaan untuk meneruskan kehidupan.

    Lebih menyedihkan, pasangan suami isteri yang juga orang kurang upaya (OKU) itu terpaksa akur apabila perniagaan sate diusahakan mereka tidak dapat diteruskan.

    Ia selepas ketua keluarga itu, Zulkifli Ainul Mokhsein, 34, disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat yang menyebabkan dia tidak dapat melakukan kerja-kerja berat kerana akan terasa sakit di bahagian dada.

    Bapa kepada tiga anak yang mengalami masalah pertuturan itu berkata, sebelum ini dia berniaga sate dengan menyewa tapak perniagaan berhampiran sebuah hotel di pusat bandar Johor Bahru.

    “Apabila sakit datang ketika berniaga, saya perlu upah pekerja dengan bayaran RM40 sehari, jadi ia amat sukar. Buat masa ini, saya hanya berehat di rumah kerana tidak mampu melakukan kerja-kerja berat.

    “Kami sekeluarga kini hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu RM400 masing-masing buat saya dan isteri,” katanya yang hanya boleh mendengar pada jarak dekat dan kuat.

    Menurut Zulkifli, isterinya, Siti Nuratika Mohd. Suhaimi, 30, yang juga OKU pekak dan bisu tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anak mereka berusia lima bulan hingga enam tahun.

    Tambah Zulkifli, dia dalam proses membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan bagi rawatan penyakit kanser yang dihidapinya.

    Malah, mereka juga perlu menanggung kos sewa rumah sebanyak RM250 sebulan di Taman Setia Indah, Johor Bahru.

    Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi yang turut memaklumkan, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menghulur bantuan bulanan sebanyak RM400 kepada mereka.

    “Saya terharu bertemu dengan keluarga seperti ini, suami isteri kedua-duanya pekak dan bisu manakala ketiga-tiga anak mereka pula normal.

    “Saya akan pastikan MAINJ memberi perhatian kepada keluarga ini dan keluarga-keluarga lain yang berdepan situasi sama kerana tanpa bantuan, mungkin kehidupan mereka akan lebih sukar,” katanya.

    Tosrin berkata, pihaknya juga akan berurusan dengan pemilik rumah berkenaan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan) sekiranya bayaran sewa bulanan boleh dimansuhkan bagi meringankan beban yang ditanggung.

    Orang ramai yang berhasrat untuk membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 101280031978 atas nama Zulkifli.

  • Gajah mati disyaki termakan baja atau racun tumbuhan

    Gajah mati disyaki termakan baja atau racun tumbuhan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TERMAKAN baja atau racun tumbuhan disyaki menjadi punca kematian gajah betina yang ditemui di tepi jalan di tepi Jalan Empangan Pedu, berdekatan Kampung Pinang, Pedu, Padang Terap pagi semalam.

    Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, pihaknya mengesyaki perkara itu selepas terdapat satu kes anak gajah turut ditemui mati akibat termakan baja tumbuh-tumbuhan di kawasan itu pada tahun lalu.

    “Bagaimanapun sampel gajah berusia 20 tahun itu sudah diambil oleh pegawai bahagian forensik Perhilitan dan dibawa ke makmal di Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

    “Untuk mengetahui punca sebenar kematian mamalia ini akan mengambil sedikit masa. Kita mengesyaki punca haiwan liar itu mati akibat termakan baja atau racun tumbuhan yang terdapat di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.

    Justeru, Jamalul Nasir menasihatkan agar petani yang mengusahakan tanaman di kawasan itu menyimpan baja atau racun tumbuhan di tempat yang selamat daripada haiwan.

    “Kalau boleh simpan lah baja dan racun di tempat yang tidak boleh diselongkar haiwan, ini kerana Hutan Pedu merupakan kawasan habitat gajah dan sudah pasti haiwan itu akan berkeliaran di kawasan berdekatan.

    “Saya difahamkan ada petani yang menyimpan racun atau baja hanya di bawah pokok sahaja, ia akan memberi risiko kepada gajah yang berkeliaran termakan bahan itu,” katanya.

    Gajah dianggarkan seberat dua tan itu sudah ditanam di satu lokasi berdekatan menggunakan jentolak kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

  • Kes kematian tular di kedai makan bukan disebabkan Covid-19

    Kes kematian tular di kedai makan bukan disebabkan Covid-19

    POLIS menafikan kematian seorang lelaki di hadapan sebuah kedai makan di Taiping yang tular dalam media sosial disebabkan Covid-19.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kes itu sebenarnya disebabkan sakit jantung.

    “Kes ini kejadiannya semalam, 15 Februari. Kematian bukan sebab Covid-19 tetapi disebabkan oleh sakit jantung,” katanya memetika laporan Astro Awani, hari ini.

    Terdahulu, tular dalam media sosial kononnya seorang lelaki berbangsa Cina meninggal dunia di hadapan sebuah kedai makan, disebabkan Covid-19.

    Dalam rakaman video itu, lelaki yang dipercayai merakam kejadian tersebut mendakwa, mangsa terjatuh lalu pengsan dan meninggal dunia disebabkan Covid-19.

    Sehubungan itu, lelaki berkenaan menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah, jika tiada urusan penting di luar.

  • Pesakit mental dituduh serang 4 anggota polis dengan pisau panjang

    Pesakit mental dituduh serang 4 anggota polis dengan pisau panjang

    SEORANG lelaki sakit mental didakwa di Mahkamah Majistret Tumpat hari ini atas pertuduhan mencederakan empat anggota polis termasuk dua pegawai dengan sebilah pisau panjang, Sabtu lalu.

    Tertuduh yang juga merupakan penganggur, Mohamad Azizi Seman, 42, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Kamarul Hasyimie Rosli.

    Memetik laporan Harian Metro, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Chong Yeong Ren, Mohd Afifi Jamaludin, Mohamad Firdaus Mohd Jamil dan Muhammad Anuar Saidi Azmi dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah pisau panjang lebih kurang 18 sentimeter yang boleh menyebabkan kematian.

    Perbuatan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sedar, kira-kira jam 9 malam, pada 12 Februari lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh didapati mengamuk di sebuah rumah selepas tidak mendapat wang untuk membeli dadah.

    Bertindak atas maklumat itu, Inspektor Chong dan Inspektor Mohd Afifi bersama dua anggota polis, Koperal Mohamad Firdaus serta Lans Koperal Muhammad Anuar Saidi ke lokasi kejadian.

    Namun, tertuduh tidak memberi kerjasama kepada polis sebelum melibas sebilah pisau sehingga menyebabkan pegawai serta anggota polis cedera pada bahagian kepala, belakang badan lengan dan tangan.

    Kesemua mangsa dirujuk ke Hospital Tumpat di sini untuk rawatan lanjut.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sharil Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Muhammad Sharil memohon tertuduh supaya dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan psikiatri kerana lelaki itu adalah pesakit mental.

    Muhammad Sharil tidak menawarkan sebarang jaminan sementara pihak pendakwaan menunggu laporan psikiatri dari pihak hospital.

    Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Hilux terjunam dalam sungai, pemandu hilang, isteri selamat

    Hilux terjunam dalam sungai, pemandu hilang, isteri selamat

    SEORANG pemandu pacuan empat roda dikhuatiri lemas selepas kenderaan dinaiki terjunam ke dalam sungai di Kampung Tembila, Besut, hari ini.

    Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6 pagi ketika mangsa, Shukri Wahab, 52, bersama isterinya, Azizah Mohamad Yusof, 51, dalam perjalanan dari Tawang Bachok, Kelantan menghala ke Kuala Terengganu, lapor Berita Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 7.25 pagi dan berdasarkan maklumat, pemandu tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika sampai di jambatan Tembila lalu terlanggar besi penghadang sebelum ia terjatuh ke dalam sungai.

    Menurut beliau, sehingga kini, pemandu kenderaan itu masih belum ditemui manakala penumpang yang juga isteri mangsa berjaya diselamatkan.

    Abdul Rozak ketika dihubungi berkata, sebaik diselamatkan isteri mangsa yang hanya mengalami kecederaan ringan terus dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan.

    Saksi kejadian, Zulkifli Kassim, 51, dari Kampung Pengkalan Kubur mengaku terdengar bunyi seakan benda jatuh yang kuat dari arah sungai sekitar 500 meter dari rumahnya, ketika dia bersiap menunaikan solat subuh.

    Katanya, selepas solat, dia keluar ke tepi sungai, namun tidak nampak sebarang kesan lalu balik semula ke rumah.

    “Ketika di rumah, saya terdengar ada suara memanggil dari arah sungai dan menyangka ia hanya kera. Selepas mendapati suara itu berterusan, saya minta anak melihatnya dan mendapati seorang wanita tersangkut dan berpegang pada pokok.

    “Pihak bomba yang dihubungi membantu menyelamatkan wanita itu dengan membawanya menaiki bot ke seberang sungai.

    “Wanita itu memaklumkan dia sendiri tidak tahu bagaimana boleh keluar daripada kenderaan dan tersangkut pada pokok. Dia cuma tanya bagaimana keadaan suaminya,” katanya.

    Anak mangsa, Mohamad Sollahudin, 22, berkata ketika kejadian kedua-dua orang tuanya dalam perjalanan untuk mengambil keropok di Kuala Terengganu.

    “Mereka biasa berulang-alik melalui laluan ini untuk mengambil stok keropok. Kali terakhir saya jumpa mereka semalam dan mengetahui kejadian ini daripada doktor yang merawat ibu pagi tadi,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Besut, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.52 pagi dan 24 anggota termasuk dari Jertih terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

    “Mangsa wanita ditemui selamat berpegang pada pokok pada pukul 9 pagi dan dibawa menaiki bot untuk ke tepi sungai sebelum dia dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    “Operasi mencari pemandu kenderaan masih diteruskan,” ujarnya.

  • Pemilik syarikat pelancongan hadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram RM1.15 juta

    Pemilik syarikat pelancongan hadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram RM1.15 juta

    SEORANG pemilik syarikat pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM1.15 juta.

    Norani Ismail, 66, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, wanita itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM1.15 juta daripada akaun semasa Malayan Banking milik syarikatnya, Inter City Services & Travel Sdn Bhd yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun semasa Maybank Berhad dan akaun simpanan Malayan Banking Islamic Berhad milik seorang anak tertuduh, akaun semasa Malayan Banking Berhad dan CIMB Bank Berhad milik tertuduh dan satu akaun semasa Hong Leong milik syarikatnya.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Bukit Bintang di sini, antara 25 Jan hingga 3 Okt 2019.

    Pertuduhan dikemukakan di bawah perenggan 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan kerana kesalahan itu adalah serius.

    Beliau berkata tertuduh menghadapi satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan memohon supaya  kes pengubahan wang haram itu dipindahkan ke mahkamah tersebut untuk didengar bersama kerana melibatkan transaksi yang sama.

    “Saya juga mohon sebutan kes ini (pengubahan wang) ditetapkan pada 8 Mac, sama dengan sebutan kes  di Mahkamah Sesyen Shah Alam,” katanya.

    Peguam Vinod Sharma yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengguna pakai wang jaminan RM15,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

    Hakim Ahmad Kamar membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengguna pakai jaminan RM15,000  serta  menetapkan 8 Mac untuk sebutan semula kes.

    —  BERNAMA