Category: Semasa

  • Kerani, petani kerugian hampir RM43,000 mangsa terbaharu scammer

    Kerani, petani kerugian hampir RM43,000 mangsa terbaharu scammer

    SINDIKET penipuan tawaran kerja palsu terus mencari mangsanya dan kali ini dua individu, iaitu seorang kerani dan petani berjaya diperangkap.

    Kedua-dua mangsa terpaksa berputih mata akibat kerugian hampir RM43,000 setelah masing-masing tertipu dengan tawaran kerja sambilan palsu serta pinjaman wang tidak wujud, lapor Berita Harian.

    Dalam kes pertama, kerani berusia 24 tahun itu terperdaya selepas tertarik dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang menjanjikan komisen 10 peratus.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, mangsa terlebih dahulu diumpan dengan dua tugas yang diberi komisen sebagaimana dijanjikan.

    Menurut beliau, mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Bentong itu kemudian diberikan tugas baharu sehingga dia diperdaya memasukkan wang ke dalam dua akaun berasingan melalui lapan transaksi.

    Katanya, disebabkan terlalu mempercayai janji manis suspek, mangsa akhirnya kerugian RM30,692 dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam.

    “Modus operandi suspek ialah memperdaya dengan tawaran kerja sambilan palsu sehingga mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank diberikan suspek,” katanya.

    Menurut Mohd Wazir, dalam kes berasingan pula, seorang pekebun tanaman organik di Bukit Tinggi, Bentong, kerugian RM12,070 akibat tertipu dengan tawaran pinjaman wang tidak wujud.

    Beliau berkata, terdahulu mangsa berumur 34 tahun itu berminat meminjam RM10,000 lalu menghubungi suspek melalui WhatsApp.

    Katanya, mangsa kemudian diminta membuat pembayaran kononnya bagi proses permohonan pinjaman, menggunakan tiga akaun berasingan membabitkan lapan transaksi.

    “Mangsa mengesyaki diri tertipu apabila gagal mendapat wang pinjaman itu, sebaliknya kerugian RM12,070. Mangsa juga tampil membuat laporan di IPD Bentong, semalam.

    Tambah beliau, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • JAS nafi tumpahan minyak di Pelabuhan Tanjung Bruas

    JAS nafi tumpahan minyak di Pelabuhan Tanjung Bruas

    JABATAN Alam Sekitar (Jas) Melaka menafikan dakwaan terdapat kesan tumpahan minyak dari kapal dikesan setakat ini seperti didakwa berlaku di perairan Selat Melaka di Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling, Melaka.

    Pengarah JAS negeri Rosli Osman berkata, pemantauan bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Laut malam tadi tidak menemui kesan tompokan minyak hitam seperti didakwa pengadu dalam video berdurasi satu minit 24 saat yang tular sejak semalam.

    Menurutnya, bertindak atas maklumat itu pihaknya turut melakukan pemantauan menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh sekiranya berlaku pencemaran minyak di laut.

    Katanya, tinjauan turut dilakukan di Pantai Puteri, Pantai Rombang, Pantai Kundur, Pantai Klebang selain kawasan pantai di Shah Beach Resort dan di Taman Spring Garden.

    “Namun, kita tidak mengesan sebarang aktiviti pembuangan minyak mahupun tompokan minyak hitam di kawasan jeti Tanjung Bruas.

    “Selain itu tiada lelehan minyak daripada dua kapal yang sedang berlabuh di jeti terbabit seperti dakwaan beberapa pekerja am pelabuhan di dalam video tular itu,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Menerusi video tular itu beberapa individu dipercayai pekerja di jeti pelabuhan terbabit mendakwa berlaku aktiviti membuang sisa minyak pada waktu malam membabitkan sebuah kapal.

    Mengulas lanjut, Rosli berkata, pihaknya turut mengambil sampel daripada kedua-dua kapal berlabuh di pelabuhan itu.

    “Tujuannya jika kita temui tumpahan minyak di laut nanti kita akan bandingkan dengan sampel diambil daripada kapal terbabit bagi mengetahui puncanya,” katanya sambil memaklumkan orang ramai boleh menghubungi 06-2345720 untuk aduan berkaitan.

    Sementara itu, Sidang Kampung Tanjung Kling, Aziz Japar meminta pihak berwajib memandang serius dan melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan pencemaran minyak itu.

    “Walaupun siasatan JAS dan Jabatan Laut tidak jumpa apa-apa bukti tumpahan minyak, saya berharap siasatan menyeluruh dilakukan,” katanya

  • Tahanan maut ketika terima rawatan kerana Covid-19

    Tahanan maut ketika terima rawatan kerana Covid-19

    SEORANG lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) yang menerima rawatan di hospital kerana positif Covid-19 meninggal dunia, semalam.

    Siasatan polis mendapati OKT itu dihantar ke Hospital Kota Tinggi, Johor, pada Rabu lalu, bagi menerima rawatan kerana demam dan muntah.

    Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata, hasil ujian saringan dilakukan mengesahkan OKT berusia 43 tahun itu positif wabak terbabit sebelum ditahan di wad Covid 19 untuk rawatan lanjut.

    “OKT berkenaan disahkan meninggal dunia, jam 4.15 pagi, dan punca sebenar kematiannya masih belum diketahui,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Azri berkata, OKT itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Johor, mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 21 Januari lalu.

    “Lelaki itu direman empat hari dan didakwa di mahkamah pada 25 Januari lalu. Jamin ditawarkan, namun OKT gagal menyediakan penjamin menyebabkannya diperintahkan ditahan reman di penjara.

    “Tarikh sebutan kes itu ditetapkan pada 1 Februari dan bicara pula pada 28 Februari ini. Bagaimanapun, OKT ditumpangkan sementara dalam lokap polis susulan penularan Covid-19 di penjara.

    “Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan melakukan siasatan berhubung kes kematian berkenaan,” katanya.

  • Rokok seludup bernilai RM525,000 dirampas PPM Wilayah Tiga

    Rokok seludup bernilai RM525,000 dirampas PPM Wilayah Tiga

    SEBANYAK 70 kotak rokok seludup bernilai RM525,000 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga dalam serbuan dilakukan di sebuah pondok di Batu 14, Gambang, Kuantan malam tadi.

    Dalam serbuan pada pukul 12.10 tengah malam itu, dua individu yang berada di pondok berkenaan sempat melarikan diri ke dalam hutan berhampiran, lapor Sinar Harian.

    Menurut Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, sepasukan anggota bersama pegawai dari Unit Risikan Marin yang sedang menjalankan Ops Kontraban bertindak menyerbu lokasi berkenaan atas maklumat awam.

    Menurut beliau, selepas menyedari kehadiran anggota, dua individu dipercayai ahli sindiket terbabit terus melarikan diri.

    Katanya, anggota bertindak mengejar dan mengesan suspek, namun gagal ekoran keadaan di kawasan itu yang terlalu gelap.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan di pondok berhampiran sebuah tokong itu, anggota menemui 70 kotak berisi 3,500 karton rokok putih dipercayai tidak bercukai yang ditutup dengan kanvas,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

    Menurut Norzaid, pihaknya menunggu selama 30 minit, namun tiada pihak datang menuntut barangan tersebut sebelum semuanya dibawa ke Markas PPM Wilayah Tiga untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,

    “Kes itu kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut,” ujar beliau.

    Beliau berkata, PPM Wilayah Tiga sentiasa menjalankan operasi secara berterusan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

    “Orang ramai juga diminta agar membantu dengan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti itu kepada pihak berkuasa khususnya PPM Wilayah Tiga di talian 09-5137726,” tambah beliau.

  • Mayat mangsa lemas ditemukan tersangkut pada saluran paip penyedut pasir

    Mayat mangsa lemas ditemukan tersangkut pada saluran paip penyedut pasir

    MAYAT seorang lelaki yang lemas ketika mandi di sungai Kampung Rajawali, Dungun petang semalam ditemukan hari ini.

    Mayat Ahmad Solihin Ishak, 22, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 9.25 pagi ini, lapor Harian Metro.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika ditemui, mayat mangsa didapati tersangkut pada saluran paip penyedut pasir sekitar 700 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

    Katanya, sebelum kejadian, mangsa ada memberitahu keluarganya untuk ke sungai pada pukul 4 petang semalam.

    Bagaimanapun katanya, sehingga 7 malam, mangsa tidak pulang menyebabkan ahli keluarganya mencari di kawasan tersebut, namun gagal menemuinya.

    Baharudin berkata, keluarga mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Daerah Dungun.

    “Sebaik menerima laporan, polis, bomba dan penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) segera melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

    “Kita percaya mangsa mandi di kawasan beting pasir dan ketika cuba menyeberang ke sebuah lagi beting pasir, mangsa dipercayai dihanyutkan arus,” ujar beliau.

    Menurut Baharuddin, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

  • 19 PATI ditahan termasuk tekong, pemandu van persiaran

    19 PATI ditahan termasuk tekong, pemandu van persiaran

    SERAMAI 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan bersama-sama seorang lelaki warga Thailand yang bertindak sebagai tekong darat selepas menahan sebuah van persiaran jenis Era Komuter di Kampung Lubok Kawah, Pasir Mas, pukul 5.45 pagi kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya turut menahan pemandu van tersebut yang berusia 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung penahanan PATI berkenaan.

    “Sekitar pukul 5 pagi pihak polis telah membuat rondaan sejurus menerima maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan migran di kawasan Kampung Siram, Pasir Mas.

    “Semasa melakukan rondaan, anggota berkenaan telah terserempak dengan sebuah van persiaran berwarna putih hijau dan kereta jenis Audi A4 berwarna putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada jam 5.45 pagi.

    “Menyedari kehadiran anggota polis, kedua-dua kenderaan tersebut cuba melarikan diri. Bagaimanapun van persiaran berjaya ditahan di Kampung Lubok Kawah sementara kereta Audi A4 gagal dikesan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas van persiaran tersebut menemui sembilan wanita dan 10 lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 39 tahun.

    Beliau berkata, van persiaran tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan dari Padang Serai, Kedah.

    Katanya, hasil siasatan terhadap pemandu tersebut pihaknya berjaya menahan seorang warga Thailand berusia 42 tahun dipercayai menjadi tekong yang membawa masuk PATI ke negara ini.

    “Kesemua suspek telah ditahan di bawah Seksyen 51 (3) Akta Imigresen (Pindaan 2002) iaitu peruntukan menahan warganegara asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Kewangan negara ‘tidak semolek’ digambar – Muhyiddin

    Kewangan negara ‘tidak semolek’ digambar – Muhyiddin

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak akan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang didakwa “tidak semolek” seperti digambarkan.

    Bekas Perdana Menteri itu, berkata sekiranya mandat diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sekali lagi, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku kepada negara yang sudah dirosakkan.

    “Nak pulihkan negara yang telah dirosakkan. Saya semalam minta satu laporan untuk sampaikan pada saya oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul  Tengku Abdul Aziz.

    “Nanti, satu ketika saya akan bocorkan bagaimana kedudukan kewangan negara kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran PN Johor yang disiarkan di laman Facebooknya, lapor FMT

    Muhyiddin juga menambah, berapa lama lagi negara boleh bertahan dengan hasil yang dikutip setiap tahun.

    Beliau mempersoalkan sama ada hasil negara itu cukup untuk menampung pembayaran gaji, termasuk pembangunan negara.

    “Berapa lama lagi kita boleh bertahan. Banyak mana hasil negara kita kutip tiap-tiap tahun cukup untuk menampung pembayaran gaji dan pembangunan negara.

    “Apa wang yang ada untuk membiayai bayaran pencen-pencen yang banyak. Saya cakap setakat itu sahaja kerana saya faham situasi negara tak semolek digambarkan. Itu cabaran besar,” katanya.

    Muhyiddin berkata, sekiranya di peringkat nasional sudah bermasalah, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

    Beliau menyarankan rakyat Johor memilih PN dan beranggapan BN dan Umno sudah berlalu di Johor.

    Katanya, juga istilah Umno-BN sebagai kubu kuat di Johor tidak boleh dipakai lagi kerana rakyat telah menolak parti itu, pada PRU14.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi PN, Hadi Awang berkata, rakyat Johor perlu berani membuat perubahan seperti di Sabah.

    Beliau mengingatkan juga kepada anak muda tidak termakan umpan DAP yang disifatkan sebagai parti ekstrem.

    Katanya, parti MUDA merupakan anak kepada DAP.

    “MUDA anak DAP. Ingat jangan makan umpan,” katanya.

    .

  • Bayi ‘terkeluar’ daripada kandungan antara 3 maut nahas motosikal di Pasir Mas

    Bayi ‘terkeluar’ daripada kandungan antara 3 maut nahas motosikal di Pasir Mas

    BAYI lelaki yang “terkeluar” daripada kandungan ibunya dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Lumpur, Pasir Mas, Kelantan, 7 malam semalam meninggal dunia kira-kira 12 tengah malam tadi.

    Bapanya, Mohd Khairi Hasbullah, 31, sempat mengazankan anak keempatnya itu sebelum bayi berkenaan dilaporkan meninggal dunia, lima jam selepas kemalangan

    “Saya reda apabila anak kami turut pergi bersama ibunya,” katanya lapor Berita Harian.

    Dalam kejadian itu isterinya, Nur Hasliza Yazaib, 25, yang sarat mengandung sembilan bulan, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah motosikal lain.

    Remaja lelaki yang menunggang motosikal itu turut meninggal dunia di hospital.

    Khairi hanya mampu menangis sebaik dipanggil doktor dan dimaklumkan bayinya gagal diselamatkan.

    Ketika ini, beliau hanya memikirkan anak kedua, Nurul Iman Maisara, 6, yang membonceng bersama isterinya dan dilaporkan parah di kepala serta ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

    “Doakan supaya Nurul Iman selamat dan saya diberi kekuatan demi dua lagi cahaya mata berusia lapan dan tiga tahun,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir, mengesahkan nahas berkenaan kini mengorbankan tiga nyawa dengan kematian bayi itu.

    Katanya, penunggang motosikal, Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, dilaporkan meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM). “Remaja itu dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar motosikal ditunggang mangsa wanita sarat mengandung bersama seorang anak perempuan,” katanya

  • Ceramah, ziarah ke rumah, aktiviti ‘walkabout’ dibenarkan

    Ceramah, ziarah ke rumah, aktiviti ‘walkabout’ dibenarkan

    itik patah kaki

    PENGANJURAN ceramah, ziarah ke rumah dan aktiviti ‘walkabout’ antara yang dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor, bulan depan.

    Bagaimanapun, penganjuran ceramah hanya dibenarkan di pejabat dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan tidak melebihi 100 orang, termasuk penganjur, penceramah, urusetia dan peserta.

    SOP dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, pihak penganjur perlu mendapatkan permit daripada polis dan tempoh setiap sesi ceramah hanya dibenarkan selama dua jam sahaja dan tidak melebihi jam 10 malam.

    “Ceramah premis yang terbuka atau tempat umum tidak dibenarkan,” katanya dalam senarai SOP yang dikeluarkan, hari ini, lapor portal FMT.

    “Calon dibenarkan berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu ditetapkan dalam permit seperti dikeluarkan pihak polis.”

    Bagi kempen ziarah ke rumah, hanya lima orang dibenarkan menyertainya dan tidak dibenarkan memasuki atau berjumpa pemilik rumah.

    “Sebarang aktiviti mengedarkan risalah atau bahan kempen hendaklah dibuat di luar pagar dengan sentiasa memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter,” katanya.

    “Aktiviti ‘walkabout’ sepanjang tempoh pilihan raya dibenarkan namun perlu mematuhi SOP iaitu hanya lima orang peserta atau kurang dibenarkan menyertainya.

    “Sidang media selepas mesyuarat parti dibenarkan dengan kehadiran individu terhad kepada mereka yang hadir semasa mesyuarat dan wartawan”.

    Sementara itu, hanya satu bilik gerakan parti dibenarkan untuk beroperasi dalam satu daerah mengundi bagi setiap calon sepanjang tempoh berkempen.

    “Had kapasiti bilik tersebut ialah 50% daripada kapasiti ruang dan penjarakan fizikal,” katanya.

  • Tuduhan remaja bunuh bayi boleh dikaji semula – AGC

    Tuduhan remaja bunuh bayi boleh dikaji semula – AGC

    JABATAN Peguam Negara (AGC) masih boleh meneliti dan mengkaji semula pertuduhan membunuh bayi lelaki baru dilahirkan yang dikenakan terhadap seorang remaja, kepada pertuduhan lain.

    AGC menerusi kenyataan memaklumkan ia setelah mengambil kira perkembangan tambahan termasuk hasil siasatan kejadian rogol ke atas remaja perempuan itu yang berumur 14 tahun 11 bulan.

    Jabatan berkenaan memaklumkan remaja berkenaan akan diadili melalui proses keadilan mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memandangkan orang yang dituduh itu adalah seorang kanak-kanak seperti mana takrifan di bawah Akta 611 dan jika disabitkan kanak-kanak itu akan diperintahkan untuk ditahan di bawah Seksyen 97(2).

    Di bawah seksyen itu pesalah muda ditahan di penjara selama perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut di mana kesalahan itu berlaku.

    Menurut AGC, pertuduhan ke atas remaja itu adalah satu proses keadilan jenayah yang telus tanpa dipengaruhi oleh apa-apa dorongan dan berasaskan kepada keterangan semata-mata.

    “Maklumat mengenai kejadian rogol hanya diketahui selepas remaja tersebut ditangkap, di mana satu laporan polis dibuat olehnya pada 8 Feb 2022. Susulan daripada laporan polis itu satu kertas siasatan dibuka dan siasatan masih dijalankan,” menurut jabatan itu.

    Menurut AGC, laporan polis berkaitan kertas siasatan itu telah dibuat pada 8 Feb lepas oleh seorang pegawai perubatan yang memaklumkan bahawa pada hari berkenaan 9 pagi, semasa sedang bertugas di Klinik Kesihatan Seri Bandi, Kemaman, Terengganu beliau telah dimaklumkan mengenai satu kes bersalin di rumah.

    “Pada jam lebih kurang 9.10 pagi, pengadu bersama pasukan telah ke lokasi dan terlihat satu perempuan sedang memegang bayi berhampiran sinki dapur. Pengadu juga mendapati tali pusat bayi telah dipotong dengan menggunakan benda tajam.

    “Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan yang dikemukakan, Pejabat Pengarah Pendakwan Negeri telah memberi kebenaran untuk pertuduhan ke atas remaja itu yang berumur 14 tahun 11 bulan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kematian bayi dilahirkan itu,” menurut kenyataan itu.

    Jabatan itu menyatakan bahawa, pertuduhan dibuat berasaskan keterangan saksi-saksi dan dokumentasi serta keterangan pegawai forensik dan pengesahan pakar patologi bahawa bayi yang mati itu berumur antara 38 hingga 40 minggu dengan berat 2.49 kg semasa dilahirkan dengan tali pusat telah dipotong dengan benda tajam dan terdapat kecederaan lain termasuk satu tikaman pada bahagian badan bayi tersebut.

    Pada 15 Feb lepas, remaja itu didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman di Terengganu atas pertuduhan dengan sengaja membunuh bayi itu di sebuah rumah di Seri Bandi di negeri itu antara 7 hingga 9 pagi, 8 Feb lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut di mana kesalahan itu berlaku. – BERNAMA