SEBANYAK 70 kotak rokok seludup bernilai RM525,000 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga dalam serbuan dilakukan di sebuah pondok di Batu 14, Gambang, Kuantan malam tadi.

Dalam serbuan pada pukul 12.10 tengah malam itu, dua individu yang berada di pondok berkenaan sempat melarikan diri ke dalam hutan berhampiran, lapor Sinar Harian.

Menurut Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, sepasukan anggota bersama pegawai dari Unit Risikan Marin yang sedang menjalankan Ops Kontraban bertindak menyerbu lokasi berkenaan atas maklumat awam.

Menurut beliau, selepas menyedari kehadiran anggota, dua individu dipercayai ahli sindiket terbabit terus melarikan diri.

Katanya, anggota bertindak mengejar dan mengesan suspek, namun gagal ekoran keadaan di kawasan itu yang terlalu gelap.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di pondok berhampiran sebuah tokong itu, anggota menemui 70 kotak berisi 3,500 karton rokok putih dipercayai tidak bercukai yang ditutup dengan kanvas,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Menurut Norzaid, pihaknya menunggu selama 30 minit, namun tiada pihak datang menuntut barangan tersebut sebelum semuanya dibawa ke Markas PPM Wilayah Tiga untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,

“Kes itu kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut,” ujar beliau.

Beliau berkata, PPM Wilayah Tiga sentiasa menjalankan operasi secara berterusan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

“Orang ramai juga diminta agar membantu dengan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti itu kepada pihak berkuasa khususnya PPM Wilayah Tiga di talian 09-5137726,” tambah beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here