SEORANG lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) yang menerima rawatan di hospital kerana positif Covid-19 meninggal dunia, semalam.

Siasatan polis mendapati OKT itu dihantar ke Hospital Kota Tinggi, Johor, pada Rabu lalu, bagi menerima rawatan kerana demam dan muntah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata, hasil ujian saringan dilakukan mengesahkan OKT berusia 43 tahun itu positif wabak terbabit sebelum ditahan di wad Covid 19 untuk rawatan lanjut.

“OKT berkenaan disahkan meninggal dunia, jam 4.15 pagi, dan punca sebenar kematiannya masih belum diketahui,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Azri berkata, OKT itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Johor, mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 21 Januari lalu.

“Lelaki itu direman empat hari dan didakwa di mahkamah pada 25 Januari lalu. Jamin ditawarkan, namun OKT gagal menyediakan penjamin menyebabkannya diperintahkan ditahan reman di penjara.

“Tarikh sebutan kes itu ditetapkan pada 1 Februari dan bicara pula pada 28 Februari ini. Bagaimanapun, OKT ditumpangkan sementara dalam lokap polis susulan penularan Covid-19 di penjara.

“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan melakukan siasatan berhubung kes kematian berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here