Category: Semasa

  • Pecah amanah RM6.6 bilion : Permohonan Najib, Mohd Irwan dilepas tanpa dibebas ditolak

    Pecah amanah RM6.6 bilion : Permohonan Najib, Mohd Irwan dilepas tanpa dibebas ditolak

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dihadapi mereka.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam keputusannya berkata mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan tersebut, mengambil kira faktor pihak pendakwaan telah bersedia dengan perbicaraan.

    “Tarikh perbicaraan selama 32 hari pada September 2021 sudah ditetapkan sebelum ini, namun telah dilapangkan atas permohonan pihak pendakwaan dan ia tidak dibantah oleh pihak pembelaan.

    “Permohonan untuk dilepaskan tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah hanya boleh dibenarkan jika pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes,” katanya dan menetapkan 1 hingga 4 April 2023, 8-11 April dan sepanjang Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan baharu kes tersebut.

    Najib, 68, dan Mohd. Irwan, 63, memohon dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu hari ini, semasa pengurusan kes berkenaan atas alasan mereka telah dituduh sejak 2018 namun masih belum dibicarakan sehingga kini.

    Terdahulu, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib berhujah walaupun selepas didakwa empat tahun lepas, kes terhadap anak guamnya masih tergantung dan perbicaraan belum lagi bermula.

    “Pada masa sama, kami memohon beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, tetapi ia masih belum dilengkapkan. Oleh itu, kami pohon satu perintah lepas tanpa bebas diberikan kepada anak guam kami,” katanya.

    Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan berkata, pihaknya tidak meragui proses mahkamah atau pihak pendakwaan, tetapi kes yang dihadapi anak guamnya masih lagi tergantung dan disebut sebanyak 14 kali di mahkamah sejak Oktober 2018.

    “Kes ini telah tergantung kerana tiada kesesuaian tarikh bicara berikutan tertuduh pertama iaitu Datuk Seri Najib sedang dibicarakan di beberapa mahkamah berbeza, dan pihak kami mendapat makluman daripada peguam beliau, tarikh yang masih tersedia hanyalah pada tahun 2023.

    “Sekiranya Yang Arif membenarkan permohonan ini (lepas tanpa bebas), pihak pendakwaan boleh mengemukakan semula pendakwaan pada bila-bila masa,” katanya.
     
    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi bagaimanapun membantah permohonan itu, atas alasan tidak adil bagi mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan pada peringkat ini (sebelum perbicaraan).

    Beliau berkata, pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes, di mana sudah tiga kali serahan dokumen dibuat mengikut Seksyen 51A  dan mengikut peruntukan undang-undang, mereka boleh mengemukakan dokumen tambahan jika ada sebelum perbicaraan.

    “Pendakwa raya mewakili 34 juta orang awam yang ingin melihat kes ini dibicarakan, bukan boleh dilepas tanpa dibebaskan begitu sahaja. Kami bersedia untuk membuktikan tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh,” katanya.

    Pada 24 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada IPIC.

    Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Malaysia tidak iktiraf tuntutan waris Sultan Sulu-Saifuddin

    Malaysia tidak iktiraf tuntutan waris Sultan Sulu-Saifuddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEPUTUSAN pihak yang mendakwa pewaris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II terhadap Sabah menerusi prosiding timbang tara antarabangsa di Perancis tidak menjejaskan kedaulatan Sabah .

    Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan itu, begitu juga kerajaan Sabah.

    “Kita tidak iktiraf langsung sebaliknya kita teruskan proses mahkamah di Madrid. Jabatan Peguam Negara yang mengetuai kerajaan Malaysia dalam kes tersebut dan kita akan lihat bagaimana.

    “Hakikatnya, tuntutan itu tidak sedikit pun menjejaskan kedudukan Sabah sebagai sebuah wilayah berdaulat dalam Malaysia, kerajaan negeri Sabah tak iktiraf, kerajaan Malaysia juga tak iktiraf tuntutan itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Taklimat sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, hari ini.

    Semalam, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan tidak mengiktiraf tuntutan pihak yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II menerusi prosiding timbang tara antarabangsa di Perancis.

    Menurut kenyataan bersama-sama Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara itu, Malaysia juga tidak mengambil bahagian dalam prosiding oleh waris Sultan Sulu di ibu kota Paris tersebut.

  • Tidak menolak dua lagi rakyat Malaysia ada di Ukraine-Saifuddin

    Tidak menolak dua lagi rakyat Malaysia ada di Ukraine-Saifuddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memaklumkan, terdapat seorang dua lagi rakyat Malaysia yang tidak berdaftar dengan pihak kedutaan masih berada dalam Ukraine.

    Maklumat itu katanya, diperoleh secara tidak dan mengharapkan jika masih ada rakyat Malaysia di negara tersebut dan memerlukan bantuan, mereka diminta menghubungi kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland.

    “Ketika ini, status kedutaan Malaysia di Ukraine sedang tergantung kerana tiada pegawai bertugas di negara terbabit, namun kita tahu kemungkinan ada seorang dua rakyat Malaysia yang tidak berdaftar masih berada di negara berkenaan.

    “Kita memang tidak pernah wajibkan mana-mana rakyat Malaysia yang keluar negara untuk berdaftar, namun dalam situasi berlaku bencana atau tragedi seperti ini, kita akan tetap cuba membantu mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas taklimat sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, hari ini.

    Mengenai konflik antara Rusia dan Ukraine ketika ini, beliau berkata, Malaysia menyokong resolusi ‘Tindakan Keganasan Ke Atas Ukraine’ bersama 140 negara antarabangsa lain.

    “Dalam undian itu, 141 negara menyokong termasuk Malaysia, lima negara membantah manakala 35 mengambil pendirian berkecuali.

    “Walaupun Malaysia mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara, namun kita tetap berpegang kepada prinsip menghormati kedaulatan, integriti dan kemerdekaan sesebuah negara,” katanya.

    Beliau berkata, Malaysia berpandangan kedua-dua negara terlibat perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai.

    Pada 1 Mac lalu, media melaporkan tujuh rakyat Malaysia bersama-sama dua tanggungan warga asing yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Ukraine telah selamat tiba di tanah air pada pukul 3.06 petang.

  • ‘Itu duit rakyatlah’’ – Muhyiddin bidas Najib

    ‘Itu duit rakyatlah’’ – Muhyiddin bidas Najib

    *Sifatkan jenayah penyelewengan dana 1MDB,SRC International contoh klasik

    ‘’Itu duit rakyatlah’’ kata Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membidas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa hutang 1MDB tidak dibayar menggunkan wang rakyat.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, Najib lupa yang 1MDB menerbitkan bon-bon dijamin kerajaan.

    Apabila 1MDB gagal membayar hutangnya, kerajaanlah yang terpaksa membayar yang keseluruhannya berjumlah RM50 bilion sehingga tahun 2039. Dlm RMK-12, sebanyak RM21 bilion diperuntukkan untuk membayar hutang 1MDB.

    ‘’Apabila 1MDB gagal membayar hutangnya, kerajaanlah yang terpaksa membayar yang keseluruhannya berjumlah RM50 bilion sehingga tahun 2039. Dlm RMK-12, sebanyak RM21 bilion diperuntukkan untuk membayar hutang 1MDB. Ini duit rakyatlah,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Integriti Calon Perikatana Nasional PRN Johor di Johor Bhari ini.

    Muhyiddin berkata, jenayah penyelewengan 1MDB dan SRC adalah antara contoh klasik bagaimana berbilion wang negara hilang begitu sahaja dan sebahagiannya masuk ke dalam akaun Najib.

    ‘’Bayangkan dengan jumlah RM21 bilion (bayar hutang 1MDB) ini, banyak projek-projek pembangunan yang boleh dibina untuk rakyat – sekolah, hospital, jalanraya, landasan keretapi laju, akses internet dan lain-lain. Lebih banyak bantuan prihatin, biasiswa dan subsidi yang boleh disediakan kepada golongan yang memerlukan.

    ‘’Tetapi kerana pemimpin tidak berintegriti, tidak beramanah, puluhan billion wang negara hilang begitu sahaja dan rakyat terpaksa menanggung beban hutang yang ditinggalkan,’’ katanya.

    Beliau juga membidas kenyataan Najib bahawa duit yang dikutip semula daripada Goldman Sachs, Delloit dan lain-lain untuk bayar hutang 1MDB.

    ‘’Inilah dia pemimpin yang bukan sahaja tidak amanah, tetapi tidak tahu malu. Yang pergi cari duit 1MDB yang disorok oleh Najib dan konco-konconya di luar negara itu ialah sebuah Pasukan Petugas Khas yang saya tubuhkan ketika saya menjadi Perdana Menteri.

    ‘’Saya arahkan mereka pergi ke luar negara berunding dengan pihak-pihak berkuasa beberapa buah negara untuk dapatkan kembali duit dan aset yang diseleweng dan masukkan semula ke akaun kerajaan Malaysia. RM20.5 bilion nilai keseluruhannya termasuk aset yang dirampas,’’ katanya.

    Muhyiddin berkata, banyak kerosakan yang telah berlaku dalam negara apabila integriti tidak menjadi pegangan mereka yang diamanahkan untuk memimpin negara.

    ‘’Jenayah rasuah dan pecah amanah berlaku dalam skala yang besar apabila pemimpin tidak berintegriti dan tidak beramanah. Berbilion wang rakyat dan aset negara lesap begitu sahaja dan institusi negara rosak dirompak oleh pemimpin yang tidak amanah. Negara menanggung malu dan rakyat menanggung beban hutang yang ditinggalkan oleh pemimpin yang pecah amanah,’’ tegasnya.

  • Lokman Adam nafi fitnah Khairy, hanya mahu penjelasan

    Lokman Adam nafi fitnah Khairy, hanya mahu penjelasan

    DATUK Lokman Noor Adam menafikan beliau memfitnah Khairy Jamaluddin berhubung isu vaksin COVID-19, sebaliknya meminta Menteri Kesihatan itu memberi penjelasan kepada masyarakat berkaitan perkara berkenaan kerana ia merupakan kepentingan awam.

    Lokman, 49, menerusi pernyataan pembelaan difailkan semalam (2 Mac) mendakwa beliau bukanlah seorang antivaksin dan pernyataan-pernyataan yang dikeluarkannya mempunyai justifikasi dan komen yang adil.

    “Saya menegaskan bahawa pernyataan-pernyataan yang dipersoalkan oleh plaintif (Khairy) bukanlah fitnah kerana ia hanya untuk menggesa beliau memberi penjelasan dan penerangan berkenaan isu viral yang mana terdapat rakaman video menunjukkan vaksin yang ingin diberikan kepada penerima vaksin telah tamat tempoh luput,” dakwa Lokman menerusi pernyataan pembelaan itu bagi menjawab saman yang difailkan Khairy terhadapnya.

    Lokman selaku defendan mendakwa beliau mempunyai tanggungjawab secara sosial dan moral untuk memaklumkan kepada orang ramai berkenaan isu vaksin itu bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.

    Pada 25 Jan lepas, Khairy, 46, yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Jan lepas, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Jan.

    Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

    Khairy mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

    Pada 3 Feb lepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi ex-parte oleh Khairy antaranya supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

  • 4 wanita antara 10 suspek sindiket ah long online

    4 wanita antara 10 suspek sindiket ah long online

    SERAMAI empat wanita tempatan merupakan antara 10 individu warga tempatan yang ditahan selepas disyaki menjadi ahli sindiket yang menawarkan pinjaman wang secara haram di Pulau Pinang.

    Kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan BSJK IPD Seberang Perai Selatan (SPS) di sebuah premis di Nibong Tebal kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Lee Chong Chern berkata, serbuan menerusi Op Vulture itu turut menemukan sejumlah peralatan elektronik yang mencurigakan.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis mengesyaki premis berkenaan menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang secara online tanpa lesen dan pusat panggilan bagi kegiatan mengutip hutang.

    “Selain menahan kesemua individu terbabit, kita turut merampas peralatan seperti komputer riba, telefon bimbit dan kad prabayar yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

  • Dakwaan Najib hutang 1MDB belum dibayar tidak berasas – Tengku Zafrul

    Dakwaan Najib hutang 1MDB belum dibayar tidak berasas – Tengku Zafrul

    DAKWAAN  hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) belum lagi dibayar adalah tidak berasas memandangkan hutang berkenaan hanya akan matang pada 2039.

    Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata hutang prinsipal 1MDB adalah sebanyak RM32.3 bilion, sementara RM6.5 bilion lagi adalah bayaran faedahnya.

    “Dakwaan bahawa belum lagi kita bayar hutang 1MDB ini adalah tidak berasas memandangkan prinsipal hutang berkenaan hanya akan matang lambat lagi.

    “RM32.3 bilion ini tarikh matang dia di antara 2022 hingga 2039. Jadi, belum lagilah dibayar, ini prinsipalnya, tapi kita sudah mula membayar faedahnya,” katanya menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, lapor Berita Harian.

    Guan Eng meminta penjelasan sama ada benar dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa kerajaan masih belum membayar sebarang hutang prinsipal 1MDB.

    Menurut Tengku Zafrul, prinsipal hutang 1MDB merangkumi bon terbitan 1MDB Enegry Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Global Investment Ltd sebanyak RM12.6 bilion dan sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note) bernilai RM5 bilion.

  • Tokoh seniman Rahman B meninggal dunia

    Tokoh seniman Rahman B meninggal dunia

    TOKOH Seniman Negara Abdul Rahman Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Rahman B meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 4.33 petang tadi.

    Berita pemergian Rahman B. dimaklumkan cucunya Hussein Abdul Salam.

    Beliau memberitahu Rahman B., 87, meninggal dunia akibat pendarahan beku di paru-paru.

    “Jenazah akan dibawa dari HKL ke Masjid Jamek Kampung Baru untuk dimandi dan dikafankan. Setelah itu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas Zohor esok,” katanya ketika dihubungi malam ini.

    Dilahirkan pada 18 Mei 1935 di Kapar, Klang, Rahman B. merupakan penerima Anugerah Seniman Negara 2004.

    Allahyarham berkecimpung dalam dunia bangsawan sejak berusia lapan tahun iaitu bermula awal 1940-an dan mewarisi darah seni yang dimiliki oleh ibu bapanya yang juga penggiat bangsawan, Abu Bakar Saleh dan Kasminah Taib. – Bernama

  • KKM rampas produk kesihatan tidak berdaftar hampir RM24 juta

    KKM rampas produk kesihatan tidak berdaftar hampir RM24 juta

    BAHAGIAN Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) merampas produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM23,956,851 menerusi serbuan di 1,332 premis sepanjang 2021 hingga 31 Januari tahun ini.

    Menurut jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini, KKM memaklumkan serbuan berterusan ke atas premis-premis atau penjual tersebut berdasarkan pemantauan dalaman dan pengesahan ke atas aduan yang diterima daripada orang awam.

    “Syarikat atau individu yang didapati memiliki atau menjual produk kesihatan tidak berdaftar akan disiasat dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” menurut KKM menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang mahu kementerian itu menyatakan pemantauan penjualan ubat-ubatan dalam talian memandangkan masih banyak produk berbahaya dan tidak berdaftar diiklankan secara berleluasa.

    KKM memberitahu Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga meningkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melibatkan pengiklanan dan penjualan ubat tidak berdaftar secara dalam talian.

    Sejak 2020, pihak syarikat pengendali platform telah diarahkan untuk menyekat sebarang produk ubat-ubatan tidak berdaftar dan sebanyak 8,145 iklan produk tidak berdaftar telah diarahkan untuk diturunkan di platform e-dagang dalam negara sepanjang 2021.

    “Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga terlibat dalam operasi dan aktiviti antarabangsa yang memberi tumpuan kepada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan yang berbahaya seperti Operasi Pangea, Projek Energia dan penyediaan Toolkit to Combat Illegal Internet Medical Product Sales.

    “Begitu juga kerjasama dengan pihak Interpol (Polis Antarabangsa) dan agensi penguatkuasaan lain dalam dan luar negara juga diadakan secara berkala bagi memastikan ubat-ubatan yang dijual secara dalam talian tidak dapat dibawa masuk ke Malaysia,” menurut KKM. – Bernama

  • Pakar ekonomi sangkal kenyataan Najib hutang 1MDB tak guna dana awam

    Pakar ekonomi sangkal kenyataan Najib hutang 1MDB tak guna dana awam

    KENYATAAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak benar dan tepat.

    Pakar ekonomi, Datuk Dr. Nungsari Ahmad Radhi menegaskan, semua hutang 1MDB mempunyai kadar faedah yang perlu dilangsaikan dan itu perlu dibayar oleh kerajaan.

    “Dalam konteks 1MDB, syarikat pelaburan tersebut juga mengeluarkan bon untuk berhutang.

    “Jadi dakwaan Najib tidak betul. Bon itu ada faedah. Jadi, siapa yang membayar faedah ini? Kerajaanlah yang bayar.

    “Ini tak termasuk dengan duit pokok (prinsipal). Hutang ini perlu dibayar pada ketika ia matang. Mungkin pada tahun ini, tahun depan atau tahun seterusnya.

    “Perlu diingat 1MDB mengeluarkan bon menggunakan jaminan kerajaan. Oleh itu ia dikira sebagai liabiliti kerajaan. 1MDB tidak ada duit nak bayar, sebab itu kerajaan yang kena bayar,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Bon merujuk kepada sijil pelaburan yang dikeluarkan oleh kerajaan atau perbadanan, yang menunjukkan bahawa sejumlah wang telah dipinjamkan dan akan dibayar balik berserta faedah.

    Najib pada sidang Parlimen pada Rabu memberitahu, tiada satu sen dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.

    Bagaimanapun, Nungsari berkata, dalam mahkamah di Amerika Syarikat, bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner mengaku membantu menggelapkan berbilion dolar daripada dana 1MDB.

    “Malah pada tahun lalu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan juga mengumumkan telah memperoleh semula RM1.9 bilion lagi dana 1MDB yang dicuri dengan bantuan DOJ yang menyerahkan wang itu ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia.

    “Jadi, wang dan harta yang disita daripada individu yang mencuri duit 1MDB datang secara berperingkat. Ini akan melibatkan beberapa tahun setelah bon dikeluarkan,” katanya.