Category: Semasa

  • Kerajaan tarik balik permohonan lucut hak harta RM16 juta milik keluarga Azeez Rahim

    Kerajaan tarik balik permohonan lucut hak harta RM16 juta milik keluarga Azeez Rahim

    KERAJAAN menarik balik permohonan melucut hak wang tunai hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datin Seri Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa keputusan itu dibuat Jabatan Peguam Negara berikutan surat representasi yang dikemukakan oleh responden (keluarga Abdul Azeez)

    “Hari ini ditetapkan untuk sebutan dan terdapat perkembangan dari segi siasatan dan juga adanya surat susulan (berhubung representasi) daripada pihak responden bertarikh 15 Feb 2022 di mana Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk menarik balik permohonan melucut hak harta tersebut.

    “Sehubungan itu, perintah pelepasan (harta) akan dibuat boleh pihak pendakwa raya,” katanya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian membatalkan permohonan kerajaan tersebut dan melapangkan tarikh pendengaran permohonan yang ditetapkan pada 21 Jun ini.

    Peguam Datuk Prem Ramachandran dan Sharvin Raj yang mewakili keluarga Abdul Azeez hadir pada prosiding itu.

    Pada 8 Feb lepas, Nik Haslinie memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara menolak representasi dikemukakan ahli keluarga Abdul Azeez pada 4 Feb lepas berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta tersebut.

    Pada September 2019, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik Khadijah, empat anaknya iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

    Pada 18 Dis 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ahli keluarga Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap Ahli Parlimen Baling itu yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di sini selesai.

    Abdul Azeez, 55, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

    Perbicaraan tersebut, bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan. – BERNAMA

  • Keputusan henti salur air kepada P Pinang bidang kuasa Perak

    Keputusan henti salur air kepada P Pinang bidang kuasa Perak

    KEPUTUSAN kerajaan Perak untuk tidak meneruskan bekalan air mentah kepada Pulau Pinang dibuat atas kapasiti bidang kuasa negeri berkenaan.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hal itu disebabkan sumber air terletak di bawah urusan kerajaan negeri masing-masing, selain Perak juga telah menjelaskan berhubung keputusan itu.

    “Menjelang 2035 dijangka dia (Perak) akan dapat lebih kurang tiga juta rakyat dan oleh itu dia melihat keperluan dalam negeri yang perlu diutamakan dulu,” katanya selepas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram malam tadi.

    Menurut Tuan Ibrahim, rundingan telah dibuat dan kerajaan Perak memaklumkan yang negeri itu memerlukan Loji Rawatan Air (LRA) yang besar di utara Perak.

    Beliau berkata, perjumpaan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah diadakan bagi membincangkan tentang sumber bekalan air.

    Beliau berkata, Pulau Pinang mempunyai rizab simpanan air tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 30 peratus rizab margin berbanding negeri lain.

    Tuan Ibrahim berkata, terdapat alternatif lain yang boleh dilaksanakan Pulau Pinang, antaranya melakukan penerokaan baharu termasuk sumber air bawah tanah.

    Semalam, Perak memuktamadkan tidak mampu membekalkan air mentah dari Sungai Perak seperti yang dicadangkan di bawah Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang, kerana kajian menunjukkan kegunaan air bagi negeri itu tidak mencukupi sepenuhnya. – BERNAMA

  • Kanak-kanak 11 tahun maut dalam kebakaran kilang

    Kanak-kanak 11 tahun maut dalam kebakaran kilang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kanak-kanak berusia 11 tahun maut dalam kebakaran melibatkan sebuah kilang getah sintetik di Bakar Arang dekat Sungai Petani, Kedah awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.11 pagi.

    Setibanya di lokasi kejadian katanya, api didapati sedang marak di kilang tersebut dengan pihaknya turut menerima makluma mengenai keberadaan mangsa di kilang tersebut.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami cuma masuk ke dalam kilang itu bagi memastikan keberadaan mangsa di situ namun usaha itu terbatas akibat api yang terlalu marak.

    “Pihak kami kemudiannya meneruskan usaha untuk memadam kebakaran tersebut dan api dapat dikawal pada pukul 5.10 pagi,” katanya.

    Tambahnya, mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira pukul 7.30 pagi di tingkat atas bangunan tersebut.

    “Setakat ini punca kejadian masih disiasat,” katanya.

  • RM19.4 bilion dana 1MDB diperoleh semula sehingga 31 Januari 2022

    RM19.4 bilion dana 1MDB diperoleh semula sehingga 31 Januari 2022

    KEMENTERIAN Kewangan pada Khamis mengumumkan jumlah dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang telah berjaya diperoleh semula sehingga 31 Januari lalu bernilai kira-kira RM19.14 bilion.

    Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, kementerian itu berkata dana tersebut dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AA MKA).

    Katanya sebahagian besar dana diperoleh adalah daripada lima sumber utama merangkumi AS$1.23 bilion atau RM5.17 bilion daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion) daripada Goldman Sachs, sebagai sebahagian jumlah penyelesaian yang dimuktamadkan pada Julai 2020 dan dikreditkan pada September 2020.

    “Sebanyak AS$80 juta atau RM336 juta diterima daripada Deloitte hasil penyelesaian global pada 24 Mei 2021 (dikreditkan pada Jun 2021); RM2.315 bilion daripada AmBank hasil penyelesaian global pada 5 Mei 2021 (dikreditkan pada Julai dan Disember 2021); dan AS$80 juta atau RM336 juta daripada KPMG hasil penyelesaian global pada 16 Disember 2021 (dikreditkan pada Januari 2022),” menurut kementerian itu.

    Dalam pada itu, katanya 1MDB telah melantik Parker Randall sebagai juruaudit untuk melaksanakan pengauditan ke atas penyata kewangan syarikat termasuk aset dan liabilitinya.

    Bagaimanapun, laporan penyata kewangan beraudit terkini masih belum dapat dimuktamadkan kerana juruaudit lama iaitu KPMG (2010, 2011 dan 2012) dan Deloitte (2013 dan 2014) telah menarik balik laporan dan pandangan mereka terhadap penyata kewangan syarikat.

    “Justeru itu, jumlah kerugian sebenar 1MDB pada masa ini tidak dapat ditentusahkan,” katanya. – Bernama

  • Saksi utama nafi beri keterangan bercanggah untuk selamatkan Bung Moktar, Zizie

    Saksi utama nafi beri keterangan bercanggah untuk selamatkan Bung Moktar, Zizie

    SAKSI utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad hari ini menafikan beliau memberi keterangan bercanggah serta mereka-reka cerita semata-mata untuk menyelamatkan pasangan suami isteri itu.

    Perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa keterangannya adalah benar.

    “Saya tidak berbohong di mahkamah,” katanya ketika dipanggil semula untuk disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How selepas dianggap sebagai saksi belot dalam kes pendakwaan.

    Bagaimanapun, saksi ke-25 pendakwaan itu bersetuju dengan cadangan Law bahawa terdapat percanggahan berhubung keterangannya di mahkamah dengan rakaman percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai permintaan komisen sebanyak RM3.5 juta daripada Bung Moktar.

    Law: Menurut rakaman percakapan SPRM pada 2016, kamu nyatakan wang RM3.5 juta diminta oleh Bung Moktar tetapi ketika memberi keterangan di mahkamah sebelum ini, kamu maklumkan wang itu tidak pernah diminta olehnya. Adakah kamu setuju kedua-dua keterangan ini adalah bercanggah.

    Norhaili: Setuju.

    Kepada cadangan Law bahawa dengan memberi keterangan yang bercanggah di mahkamah dan rakaman percakapan, beliau adalah seorang saksi yang tidak boleh dipercayai dan Norhaili menjawab: “Saya tidak pasti.”

    Law berkata saksi itu memberi keterangan yang tidak memihak kepada pendakwaan dan Norhaili menjawab: “Saya tidak pasti… yang penting, saya bercakap benar.”

    Kepada soalan lain, saksi itu berkata semasa dipanggil oleh SPRM untuk siasatan, beliau berada dalam keadaan tertekan dan takut.

    “Ini adalah pengalaman kali pertama sepanjang 19 tahun saya berada dalam unit amanah. Saya sedih dan rasa kemurungan seolah-olah saya bersalah sedangkan saya rasa saya sudah buat perkara yang betul,” katanya yang turut memaklumkan SPRM telah mengambil lima rakaman percakapan beliau bermula dari 2016 hingga 2018.

    Norhaili juga bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa RM2.8 juta yang dibayar kepada Zizie Izette adalah wang pengenalan.

    Pada 27 Jan lepas, Norhaili memberitahu mahkamah bahawa pelakon itu layak menerima wang pengenalan kerana telah memperkenal suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Beliau berkata bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette merupakan strategi pemasaran pihaknya apabila wanita itu turut memperkenal seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.

    Terdahulu, Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyoal balas Norhaili yang dianggap sebagai saksi belot berikutan keterangannya di mahkamah pada 14 Feb lepas adalah bercanggah dengan rakaman percakapan semasa disoal siasat oleh SPRM.

    Prosiding soal balas terhadap Norhaili akan bersambung pada 18 Mac ini.

    Peguam Datuk K. Kumaraendran mewakili Zizie Izette manakala Bung Moktar diwakili M. Athimulan.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar, 64, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • Kanak-kanak 11 tahun maut terjatuh tingkat empat

    Kanak-kanak 11 tahun maut terjatuh tingkat empat

    SEORANG budak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat empat di sebuah pangsapuri di Puncak Alam, Sungai Buloh, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 9 pagi.

    Menurutnya, mangsa disyaki terjatuh dari tingkap bilik yang terbuka di kediaman berkenaan dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

    “Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Shafa’aton berkata, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

    “Setakat ini, kita tidak menemui sebarang unsur jenayah, kita sedang menunggu laporan bedah siasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Luar bandar jadi pusat pertumbuhan ekonomi mampan menjelang 2030

    Luar bandar jadi pusat pertumbuhan ekonomi mampan menjelang 2030

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap agar kawasan luar bandar boleh berfungsi sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang mampan, menjelang 2030.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keusahawanan boleh menjadi aktiviti utama masyarakat luar bandar, bagi memastikan penduduk luar bandar juga dapat menikmati kehidupan yang lengkap dan selesa, sama seperti penduduk yang tinggal di bandar.

    “Pembudayaan norma baharu dalam komuniti bagi mencegah penularan COVID-19, telah menjadi faktor menggalak kepada penggunaan teknologi dalam banyak perkara, termasuk dalam bidang keusahawanan.

    “Justeru, usahawan luar bandar mesti diperlengkap dan diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran baharu, mengenai penggunaan teknologi maklumat dan inovasi aplikasi siber bagi menghadapi persaingan yang kompetitif,” katanya pada program Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @Pontian di Stadium Mini Pontian hari ini.

    Beliau berkata, sehingga kini terdapat lebih 64,000 usahawan di bawah KPLB, yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan dan terdapat juga usahawan yang sudah menembusi pasaran antarabangsa.

    “Ini merupakan satu kebanggaan bagi pihak kementerian dalam melahirkan lebih ramai lagi usahawan Rural to Global,” katanya.

    Mahdzir berkata, dengan bimbingan dan kursus pemerkasaan keusahawanan yang dilaksanakan kementerian dan agensi di bawahnya, para usahawan telah membuktikan yang mereka juga mampu menguruskan perniagaan dengan lebih cekap, seterusnya membantu dalam meningkatkan perkembangan ekonomi negara.

    “Penyertaan usahawan luar bandar dalam aktiviti ekonomi seperti ini wajar dipertingkatkan secara lebih menyeluruh, dengan penglibatan semua pihak berkepentingan melalui rangkaian kerjasama strategik antara kementerian dan kerajaan negeri serta pihak swasta.

    “Pemerkasaan aktiviti keusahawanan di luar bandar juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, untuk merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.

    KUD merupakan satu program pemasaran di bawah KPLB yang bertujuan untuk memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar, melalui perluasan akses pasaran serta peningkatan aktiviti pemasaran.

    Mini KUD@Pontian merupakan antara inisiatif di bawah Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) untuk memperkasa sistem pembiayaan kewangan, kemudahan fizikal dan sistem sokongan luar bandar.

    Mini KUD@Pontian menyasarkan 10,000 pengunjung yang akan hadir ke tapak karnival sepanjang program bermula hari ini sehingga Sabtu di Stadium Mini Pontian. – BERNAMA

  • Fokus siasatan SPRM kenal pasti dan pemulangan dana terkait 1MDB

    Fokus siasatan SPRM kenal pasti dan pemulangan dana terkait 1MDB

    FOKUS siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan suami bekas Gabenor Bank Negara adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB.

    SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendedahan Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat dalam kes berkaitan dana 1MDB yang melibatkan Datuk Dr Tawfiq Ayman, bukan sesuatu yang baharu.

    SPRM berkata, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas pada hujung 2018 telah menyelaraskan koordinasi siasatan antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan kes melibatkan Tawfiq itu.

    Menerusi koordinasi itu, fokus SPRM adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB termasuk sejumlah AS$15.4 juta, yang melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq.

    “SPRM telah mengeluarkan kenyataan media mengesahkan pemulangan tersebut,” kata suruhanjaya itu, menjelaskan bidang siasatannya dalam kes berkenaan.

    Menerusi koordinasi berkenaan Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan PDRM untuk menumpukan kepada aspek kesalahan jenayah berhubung penerimaan wang itu ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura, dan siasatan masih berjalan sehingga kini, kata SPRM.

    Menurutnya, penyelarasan itu untuk mengelak pertindihan dalam siasatan melibatkan pengumpulan bukti-bukti dan keterangan mereka yang terlibat, serta sebagai kemudahan untuk berurusan dengan pihak Singapura yang memberi keutamaan kepada satu agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan kesalahan jenayah.

    “Sehubungan itu, tidak timbul isu kegagalan mana-mana agensi penguat kuasa untuk mengesan, menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan dalam transaksi kewangan berkenaan seperti yang dibangkitkan oleh segelintir pihak,” kata SPRM.

    Pada Selasa lepas (1 Mac), Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Tawfiq kini disiasat oleh PDRM dan SPRM hanya diberi tanggungjawab untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari Singapura.

    Media melaporkan Leissner semasa prosiding perbicaraan yang dikaitkan dengan 1MDB di New York mendakwa suami bekas Gabenor Bank Negara menerima rasuah. Namun, Tawfiq dalam kenyataan melalui firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menegaskan beliau tidak pernah menerima rasuah sepanjang hidup malah tidak mengenali Leissner. – BERNAMA

  • Pegawai penguat kuasa direman, miliki lombong bitcoin, terima bayaran bulanan sindiket

    Pegawai penguat kuasa direman, miliki lombong bitcoin, terima bayaran bulanan sindiket

    SEORANG pegawai penguat kuasa di Perak ditahan awal pagi tadi kerana disyaki melindungi pusat-pusat perlombongan bitcoin dengan bayaran RM12,000 sebulan di negeri itu.

    Menurut sumber, suspek yang berusia 34 tahun itu juga disyaki memiliki sebuah pusat perlombongan bitcoin yang mencuri bekalan elektrik, dan penahanannya dibuat susulan soal siasat ke atas seorang taikun yang mengawal 500 premis perlombongan bitcoin di seluruh negara.

    Beliau berkata suspek kini direman selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengenai kegiatan sindiket perlombongan bitcon, dan disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    “Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Jenayah 1, Ipoh. Selain itu, hasil soal siasat juga mendedahkan bahawa wujud kegiatan pemilikan pusat-pusat perlombongan bitcoin dalam kalangan pegawai tinggi agensi penguatkuasa, namun pusat-pusat ini dijalankan oleh ahli sindiket bagi pihak pegawai terbabit,” kata sumber itu kepada Bernama.

    “Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak bahawa akan ada lagi tangkapan berhubung perkara ini dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” tambahnya.

    Selasa lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mendedahkan sindiket melombong bitcoin yang mencuri bekalan elektrik dari 2018 hingga 2021 mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian mencecah RM2.3 bilion.

    Susulan itu SPRM menahan 18 lelaki warga tempatan termasuk dalang berusia antara 30-an hingga 60-an di seluruh negara.

    Sementara itu di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur seorang pengarah syarikat pendawaian direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) membabitkan sindiket melombong bitcoin yang mencuri bekalan elektrik.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Farahain Roslan selepas membenarkan permohonan reman oleh SPRM.

    Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009. – Bernama

  • Boleh solat tarawih di masjid, surau Ramadan ini

    Boleh solat tarawih di masjid, surau Ramadan ini

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad hari ini memberi jaminan solat sunat tarawih dibenarkan dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negara pada bulan Ramadan ini.

    Idris berkata, pelaksanaan solat Tarawih berkenaan akan dilaksanakan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) lebih longgar yang akan diumumkan kelak.

    Menurutnya, setakat ini SOP itu masih belum diputuskan, namun operasi masjid akan berjalan seperti biasa meskipun ketika ini situasi COVID-19 dalam negara masih mencatatkan angka melepasi 20,000.

    “SOP nanti akan agak longgar, bergantung kepada keadaan semasa. Kita akan ikut nasihat daripada KKM (Kementerian Kesihatan ) dan buat panduan Tarawih dari situ,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sumbangan Tablet kepada Pelajar dan Bantuan WiFi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Surau Jumaat At-Taqwa, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg Baru Air Panas, Kuala Lumpur.

    Menurutnya, SOP dikeluarkan KKM itu akan dibincangkan bersama pihak berkuasa agama Islam negeri untuk tindakan selanjutnya mengikut negeri masing-masing.

    “Insya Allah imarah masjid tahun ini akan berjalan. Kita doa kepada Allah SWT supaya COVID-19 (penularan) tidak serius. Kalau semakin teruk, kita akan ikut nasihat KKM dan bila sudah ada SOP baharu, kita akan jaga elok-elok,” katanya.

    Sementara itu, Idris berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyumbang tablet beserta pakej data internet bernilai RM9.3 juta, kepada 5,000 pelajar asnaf di Wilayah Persekutuan.

    Beliau berkata, sumbangan hasil kutipan zakat MAIWP itu, akan membantu pelajar kurang berkemampuan menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara lebih berkesan.

    “Saya sedar banyak kekangan dalam melaksanakan PdPR kerana tidak semua ada akses internet yang baik, malah tidak semua mempunyai peranti yang sesuai.

    “Jadi program hari ini adalah tanggungjawab sosial kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan menerusi kutipan zakat MAIWP,” katanya.

    Beliau berkata, sumbangan tersebut juga bukti komitmen MAIWP sebagai pemegang amanah pengeluar zakat, untuk disampaikan kepada mereka yang berhak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

    “Sumbangan ini akan meliputi kesemua Wilayah Persekutuan yang berada bawah MAIWP. Namun, keadaan di Kuala Lumpur adalah yang ketara memerlukan bantuan ini,” katanya sambil menambah jumlah penerima sumbangan akan ditambah pada masa hadapan.

    Sementara itu, Idris berkata, bantuan WiFi juga akan dipasang di 10 buah PPR terpilih di Wilayah Persekutuan, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM600,000.

    “WiFi akan dipasang di dewan atau ruang serbaguna di surau di setiap blok perumahan PPR. Diharapkan pemasangan WiFi ini akan memudahkan pelajar mendapat capaian internet untuk belajar, sekali gus menghidupkan suasana di surau,” katanya.

    Pada majlis sama, Idris turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM614,000 kepada Pertubuhan Dana Kita bagi projek Pusat Komuniti Bergerak MAIWP, iaitu sebuah bas dijadikan makmal internet bergerak yang akan berada di kediaman penduduk di Kuala Lumpur secara berkala, untuk meluaskan jaringan internet kepada golongan asnaf dan B40. – BERNAMA