Category: Semasa

  • [VIDEO] Warga emas cedera dipukul semasa pasang bendera PN

    [VIDEO] Warga emas cedera dipukul semasa pasang bendera PN

    SEORANG warga emas yang juga petugas kempen Perikatan Nasional (PN) diserang beberapa individu ketika memasang bendera partinya di Kampung Tebing Runtuh, Gelah Patah, petang semalam.

    Mangsa, Sujali Ahmad mendakwa, lapan individu yang dikaitkan dengan parti lawan melarangnya memasang bendera PN di kampung tersebut.

    Dia yang juga dikenali sebagai Pak Ali Teksi mendakwa, tiga daripada individu terbabit memukul tangan, mencekik leher dan merosakkan kenderaannya.

    “Saya telah didatangi tiga orang, kemudian disusuli lima orang. Sepanjang provokasi, saya telah dikasari tiga orang yang memukul dan memaki hamun serta mengugut saya dengan kata-kata kesat.

    “Akibat kejadian itu, saya mengalami kecederaan di bahagian dada dan kedua belah tangan serta kereta saya dirosakkan,” katanya.

    Dia berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan di di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Scientex Utama Senai, selepas membuat laporan di Balai Polis Iskandar Puteri 10 pagi tadi.

    Video memaparkan beberapa individu bertengkar itu tular di media sosial sejak semalam dan dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang.

    Sujali menambah, jenteranya dilarang memasang bendera di kawasan itu oleh lapan individu terbabit kerana mendakwa PN bukan parti yang mereka sokong.

    “Mereka tak bagi masuk sebab bendera parti kami nak pasang bukan daripada parti dia dengan mendakwa jalan tersebut jalan mereka, sedangkan kami pasang bendera di jalan utama. Kejadian itu tak sepatutnya berlaku, ini pilihan raya, semua bebas berkempen dan pasang bendera,” jelasnya.

    Namun, insiden tersebut tidak mematahkan semangat warga emas berkenaan yang bertekad untuk meneruskan kempen bagi memastikan kemenangan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Sementara itu, Wan Saiful berkata, kejadian yang disifatkannya biadab, ‘gengster’ dan tidak menghormati prinsip demokrasi itu tidak sepatutnya berlaku.

    “Insiden tersebut amat membimbangkan kerana ia juga melibatkan nyawa dan keselamatan petugas PN,” katanya.

  • 1MDB:Dewan Rakyat minta Najib beri penjelasan

    1MDB:Dewan Rakyat minta Najib beri penjelasan

    SPEAKER Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun meminta Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mengemuka penjelasan berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat, minggu lalu.

    Beliau memaklumkan, bekas Perdana Menteri itu perlu memberi penjelasan Rabu ini berkenaan intipati perbahasannya yang menyentuh mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kewangan negara.

    “Sebagaimana amalan biasa, saya sudah menulis kepada Yang Berhormat Pekan untuk meminta penjelasan serta Menteri Kewangan untuk memberi penjelasan apa yang beliau katakan dalam dewan.

    “Saya sedang menunggu jawapan. Saya meminta beliau memberi penjelasan Rabu ini. Tapi tidak tahulah beliau dapat beri penjelasan atau tidak,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

    Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bangun meminta penjelasan Azhar sama ada usul dikemuka Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua untuk merujuk Najib ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sudah diterima atau sebaliknya.

    Usul itu antara lain mendakwa perbahasan Najib berkaitan isu 1MDB serta hutang dan kewangan negara pada minggu lalu, didakwa cuba mengelirukan dewan.

    Rayer juga mendakwa, usul itu perlu diputuskan segera memandangkan ia boleh memberi kesan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, iaitu hari mengundinya ditetapkan pada Sabtu ini.

    Ketika sesi perbahasan Najib minggu lalu, Rayer turut digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama sehari, selepas beliau ingkar arahan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor untuk duduk selepas berkali-kali cuba mengganggu perbahasan Najib.

    Dalam perbahasan Najib itu, Rayer dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkali-kali membangkitkan isu 1MDB dan meminta Ahli Parlimen Pekan itu supaya menghentikan perbahasannya.

    Najib bagaimanapun, tidak memberi laluan kepada sebarang pencelahan.

  • Pasangan kekasih antara tiga ditahan, dadah hampir 5 kg dirampas

    Pasangan kekasih antara tiga ditahan, dadah hampir 5 kg dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEPASANG kekasih antara tiga individu yang ditahan polis di Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat di Langkawi petang semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah sejak sekian lama di destinasi pelancongan terkenal itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari, penahanan tiga individu berkenaan dibuat menerusi serbuan dilakukan di rumah tersebut kira-kira pukul 5 petang semalam.

    Katanya, selain penahanan tiga individu tersebut, pihaknya turut menemukan dadah jenis heroin dan syabu seberat hampir lima kilogram.

    “Kami mulanya menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun di luar rumah. Selepas itu, seorang lagi lelaki serta seorang perempuan yang masing-masing berumur 27 dan 41 tahun, ditahan dalam rumah tersebut.

    “Pemeriksaan dijalankan dalam rumah tersebut mendapati terdapat beg galas berwarna kelabu mengandungi 10 peket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk berwarna putih, disyaki dadah jenis heroin seberat hampir 4.1 kilogram.

    “Selain itu terdapat juga beg plastik bercorak kartu berwarna putih dan hitam mengandungi 15 peket plastik lutsinar berisi bahan kristal, disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 776 gram dalam rumah itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, hari ini.

    Tambahnya, nilai heroin tersebut dianggarkan sebanyak RM53,600 manakala harga bagi syabu pula dianggarkan kira-kira RM20,000 bagi pasaran tempatan.

    “Ujian urin dijalankan terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine. Selain dadah, pihak kami turut menyita sebuah kenderaan jenis Honda City bagi membantu siasatan.

    “Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini dan siasatan lanjut masih berjalan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

  • Pemilik syarikat keselamatan didakwa terima rasuah tutup kes kematian Covid-19

    Pemilik syarikat keselamatan didakwa terima rasuah tutup kes kematian Covid-19

    SEORANG pemilik syarikat kawalan keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM200,000 untuk menutup kes kematian seorang pekerja warga Bangladesh akibat COVID-19, tahun lepas.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, C. Mahenthiran, 51, didakwa menerima suapan berjumlah RM200,000 daripada pemilik kilang air batu sebagai dorongan bagi membantu lelaki itu daripada dikenakan tindakan dan menutup kes kematian pekerja warga asing akibat COVID-19.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah premis di Taman Sri Ehsan dan di hadapan sebuah bank di Kepong, Kuala Lumpur pada 29 Julai dan 3 Ogos 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi,  jika sabit kesalahan.

    Mahenthiran turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan iaitu memperdayakan mangsa sama sehingga mendorongnya menyerahkan wang itu supaya tidak dikenakan tindakan daripada Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada tempat, tarikh dan masa sama dan pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa SPRM Selangor Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan memohon kes yang dihadapi tertuduh hari ini dipindahkan ke Mahkaman Sesyen Shah Alam kerana ia melibatkan siasatan dan saksi-saksi yang sama.

    Peguam Datin M. A. Navamani yang mewakili Mahenthiran tidak membantah permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes ke Shah Alam dan memohon mahkamah mengguna pakai wang jaminan sama iaitu RM40,000 seperti yang dikenakan di Mahkamah Sesyen itu.

    “Sepanjang siasatan dijalankan, anak guam saya memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa dan kes yang dipertuduhkan hari ini berkaitan dengan kes sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan pasportnya juga telah diserahkan kepada mahkamah,” kata peguam itu.

    Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh mengguna pakai jaminan sama iaitu RM40,000 dan memerintahkan kes yang dihadapi tertuduh di mahkamah ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam selain menetapkan 25 Mac untuk sebutan semula kes itu di mahkamah berkenaan.

    Pada 25 Feb lepas, Mahenthiran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 16 pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM630,000 untuk menutup kes kematian seorang pekerja warga Bangladesh akibat COVID-19. – Bernama

  • Ahmad Zahid arah bekas SU Sulit keluarkan surat iringan lanjut kontrak UKSB

    Ahmad Zahid arah bekas SU Sulit keluarkan surat iringan lanjut kontrak UKSB

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan bekas Setiausaha Sulit Kanannya mengeluarkan surat iringan bagi melanjutkan tempoh pelaksanaan Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan eVisa kepada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) selama enam tahun bermula 2019. 

    Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Operasi Kementerian Sumber Manusia berkata beliau telah diarahkan oleh bekas timbalan perdana menteri itu untuk mengeluarkan surat tersebut kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertarikh 14 Februari 2017. 

    “Bersama-sama surat tersebut, saya kepilkan sepucuk surat UKSB kepada Datuk Seri Ahmad Zahid bertajuk Lanjutan Tempoh Pelaksanaan Sistem VLN dan Evisa Bagi Tempoh Enam Tahun bermula 31 Oktober 2019 sehingga Tahun 2025 Adalah Sejajar Dan Seiring Dengan Pembangunan Dan Pelaksanaan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bertarikh 8 Februari 2017,” katanya.

    Saksi kesembilan itu berkata sedemikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong.

    Pada 22 Disember tahun lepas, saksi pendakwaan keenam, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Ahmad Zahid yang melanjutkan kontrak UKSB bagi pelaksanaan sistem VLN kerana terlalu awal sedangkan tempoh tamat kontrak itu masih panjang.

    Muhd Khair, 56, berkata Ahmad Zahid juga mengarahkannya supaya mengeluarkan dua lagi surat iringan kepada KSU KDN, pada 16 Mei dan 16 Jun 2017.

    Surat bertarikh 16 Mei adalah bagi permohonan melanjutkan tempoh pelaksanaan kontrak perkhidmatan One Stop Centre (OSC) Bagi Kemudahan Visa di China untuk tempoh enam tahun manakala surat bertarikh 16 Jun mengenai cadangan lanjutan tempoh pelaksanaan kontrak perkhidmatan itu selama tiga tahun bermula15 Mei 2018.

    Sementara itu saksi kelapan, Datuk Abdul Halim Mohammad, 55, berkata beliau menandatangani surat iringan bertarikh 24 Okt 2016 yang dimajukan kepada KSU KDN (Alwi) berhubung permohonan kelulusan untuk melanjutkan kontrak VLN dan Evisa bagi tempoh enam tahun kepada UKSB. 

    “Surat iringan ini merupakan rutin yang diurus pejabat menteri bagi pengesahan bahawa surat telah sampai kepada pejabat menteri,” kata Abdul Halim iaitu bekas setiausaha politik kepada Ahmad Zahid.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. – Bernama

  • Tiada alasan kerajaan lengah buka sempadan negara

    Tiada alasan kerajaan lengah buka sempadan negara

    TAN Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) sekali lagi menggesa agar kerajaan membuka sempadan negara sepenuhnya sekarang seperti yang disyorkan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Beliau yang juga Pengerusi MPN berkata, tiada alasan untuk kerajaan tidak melaksanakan syor pembukaan sempadan negara tersebut.

    “MPN telah mencadangkan supaya pembukaan sempadan negara sepenuhnya dilaksanakan mulai awal Mac dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan supaya industri pelancongan, perdagangan dan sektor ekonomi yang berkaitan dapat dirancakkan kembali.

    “Saya tidak nampak alasan kenapa keputusan membuka sempadan ini hendak dilengah-lengahkan lagi, sedangkan negara-negara lain yang program vaksinasinya tidak sehebat negara kita sudah pun berbuat demikian,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Muhyiddin menambah, Pelan Pemulihan Negara telah meletakkan proses pemulihan pada landasan yang betul dengan tiga aspek pemulihan iaitu pemulihan jumlah pengeluaran, pemulihan jumlah pekerjaan dan kualiti hidup.

    Beliau memberitahu, aspek kedua dan ketiga memerlukan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

    “Ini saya istilahkan sebagai `Recovery Plus Plus (Recovery++). Recovery++ ini memerlukan polisi dan program yang mantap berteraskan kepada pelaburan yang berkualiti, produktiviti yang tinggi serta penciptaan dan peluasan perdagangan agar pertumbuhan ekonomi bagi tempoh 2023 – 2025 dan seterusnya, mantap dan mampan.

    “Jika tidak, kita mungkin terperangkap dalam `double-dipped growth’, iaitu pertumbuhan ekonomi yang merosot dua kali, atau istilah ekonominya disebut W-shaped Recovery,” jelasnya.

    Muhyiddin telah mengesyorkan kepada kerajaan supaya memulakan segera agenda Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN 2.0) yang mempunyai dasar dan strategi yang sesuai serta tuntas dengan berpaksikan, ‘quality investment, high productivity, and trade creation’.

    “Saya mengesyorkan agar PPN 2.0 yang terasnya adalah Recovery++ perlulah bersifat inklusif dan melibatkan pihak-pihak berkepentingan melalui pendekatan bersepadu seluruh negara atau, `whole of nation approach’,” jelasnya.

    Beliau menegaskan bahawa usaha-usaha pemulihan perlulah bersifat luar biasa, ‘out of the box’ dan ‘surpetition’ bagi mewujudkan pertumbuhan yang mantap dan gemilang serta mampu meletakkan Malaysia kembali di landasan yang betul untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

    “Usaha-usaha pemulihan ekonomi ini juga mestilah dilaksanakan secara bertanggungjawab oleh kepimpinan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat,” ujarnya.

  • Kes bicara pinda audit 1MDB Najib ditangguh, peguam masih di London 

    Kes bicara pinda audit 1MDB Najib ditangguh, peguam masih di London 

    PERBICARAAN kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan lagi hari ini, ia susulan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berada di London dan akan pulang esok.

    Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melapangkan tarikh perbicaraan perbicaraan audit 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu bermula hari ini sehingga Khamis memandangkan Shafee perlu menjalani kuarantin wajib selepas tiba dari London nanti.

    Memetik laporan Agendadaily, pasukan peguam Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengesahkan penangguhan kes perbicaraan berhubung pindaan audit tersebut.

    Untuk rekod, Shafee sebelum dilaporkan bertemu bakal peguam Diraja United Kingdom (QC) yang akan mewakili Najib dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Rahmat Hazlan berkata Shafee dijangka tiba di Malaysia esok dan masih perlu menjalani kuarantin selama lima hari, bermula esok.

    Selain itu, tarikh perbicaraan juga dilapangkan minggu ini berikutan peguam Arul Kanda, N. Sivananthan, mempunyai urusan mahkamah lain untuk diselesaikan.

    Ketika dihubungi, Sivananthan serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam mengesahkan tarikh prosiding minggu ini dilapangkan.

    Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan dimaklumkan juga ditetapkan untuk disambung semula pada 28 Mac.

    Najib dan Arul Kanda dilihat berada di galeri awam Mahkamah Tinggi, ketika pasukan peguam dan pendakwa raya menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya dengan jurubahasa mahkamah.

    Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

    Pihak pendakwaan berhujah keputusan untuk melakukan pindaan itu dibuat semasa mesyuarat pada 24 Feb 2016, di pejabat Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Ali Hamsa.

    Pindaan itu didakwa dilakukan bagi mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan isu kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

  • 4 lelaki aktif edar syabu, heroin ditahan

    4 lelaki aktif edar syabu, heroin ditahan

    POLIS Pulau Pinang menahan empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 31 tahun yang dipercayai anggota sindiket yang aktif mengedar dadah jenis syabu dan heroin di negeri itu.

    Kesemua mereka ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar daerah Timur Laut, Georgetown sewaktu operasi yang bermula pukul 12 tengah hari sehingga lewat malam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah dadah jenis heroin serta syabu yang keseluruhannya seberat 4.2 kilogram (kg) dan bernilai RM79,116.

    Menurut beliau, dadah itu dipercayai diperoleh sindiket berkenaan daripada pihak lain sebelum dibungkus semula oleh kesemua suspek ya dan mengedarkannya semula kepada pembeli.

    “Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak 2013 selain pernah ditahan beberapa kali sebelum ini.

    “Selain rampasan dadah, kita turut menyita empat buah kenderaan dan pelbagai barang kemas daripada suspek yang kesemuanya bernilai RM65,445,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

    Menurut Soffian, ujian air kencing mendapati tiga suspek yang ditahan turut positif dadah selain mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

    Katanya, kesemua suspek kini direman sehingga 9 Mac dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Manfaat WCaRe, saringan awal kanser percuma untuk wanita Johor

    Manfaat WCaRe, saringan awal kanser percuma untuk wanita Johor

    LEBIH 7,500 wanita di Johor bakal menerima manfaat pembiayaan percuma bagi saringan awal kanser payudara (ujian mamogram) dan kanser serviks (ujian HPV DNA) pada tahun ini.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata inisiatif menerusi Program Woman Cancer Reproductive (WCaRe) anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu bertujuan memberi kesedaran kepada kaum hawa mengenai kepentingan penjagaan kesihatan reproduktif mereka.

    “Bagi Johor sahaja, seramai 3,520 wanita akan menerima manfaat bagi ujian mamogram manakala seramai 3,960 orang lagi bagi ujian HPV DNA.

    “Kementerian saya juga akan terus komited untuk memastikan usaha ini berterusan dan tidak terhenti pada angka tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Tautan Kasih Sihat Ceria LPPKN @KPWKM di Segamat hari ini.

    Beliau juga berkata empat Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Jabatan Kebajikan Masyarakat di Johor turut menerima bantuan kewangan keusahawanan di bawah inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

    Katanya bagi fasa pertama inisiatif itu, keempat-empat PAWE menerima peruntukan sebanyak RM60,015 manakala 10 keluarga yang baru menimang cahaya mata menerima Kit Dana KASIH berupa keperluan ibu berpantang dan barangan bayi. – BERNAMA

  • Kerajaan pantau kenaikan harga minyak, gandum, bijirin – Tok Pa

    Kerajaan pantau kenaikan harga minyak, gandum, bijirin – Tok Pa

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia turut memberikan cabaran kepada pengurusan kewangan negara.

    Selain kenaikan harga minyak mentah katanya, harga komoditi lain seperti gandum, bijirin dan sebagainya sentiasa dipantau kerajaan.

    “Sebagai contoh, RON95 subsidinya ditanggung kerajaan dimana kebanyakan negara sedang mengalami kenaikkan bahan api itu sehingga mencecah RM10 seliter.

    “Banyak negara harga minyak sudah mencecah RM10 untuk satu liter terutama di Amerika dan Eropah serta negara-negara lain yang tidak mempunyai subsidi.

    “Hal ini kerana minyak yang dijual di negara berkenaan mengikut harga pasaran dunia,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, hari ini.

    Mustapa berkata, kerajaan akan memanfaatkan kenaikan harga komoditi lain seperti minyak kelapa sawit dan getah untuk menampung subsidi yang diberikan kepada rakyat.

    Terdahulu dilaporkan harga minyak mentah melonjak pada paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun susulan krisis Rusia-Ukraine.

    Harga minyak mentah brent meningkat melepasi paras AS$96 setong, paras tertinggi sejak 2014.