Category: Semasa

  • Hashim sifatkan tindakan Khairuddin menggemparkan

    Hashim sifatkan tindakan Khairuddin menggemparkan

    MURSYIDUL Am Pas Datuk Hashim Jasin menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr.Khairuddin Aman Razak keluar daripada Pas adalah sesuatu yang menggemparkan.

    Ia kerana kata beliau, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu pernah berjanji tidak akan meninggalkan Pas.

    “Dia janji dengan saya, apa pun yang jadi, dia tak akan keluar dari Pas. Ini menggemparkanlah apabila dia ambil tindakan begitu (keluar Pas).

    “Tapi ikut janji dia, dia tak akan keluar daripada Pas. Jadi saya akan dapatkan penjelasan daripada dia sendiri,” kata pemimpin tertinggi parti itu kepada Malaysiakini.

    Khairuddin mengumumkan permohonan berhenti daripada menjadi ahli Pas dalam satu sidang media hari ini dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

    Ahli parlimen Kuala Nerus itu berkata surat berhubung perkara tersebut telah pun dikemukakan kepada setiausaha agung Takiyuddin Hassan, mengikut perlembagaan parti.

    “Merujuk perlembagaan Pas, fasal 15 (1) (a) pemberhentian ahli dengan permintaan sendiri. Maka dengan ini saya Mohd Khairuddin Aman Razali pemegang nombor keahlian Pas 313899 memohon untuk berhenti daripada menjadi ahli Pas,” kata bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu.

    Ditanya jika Khairuddin pernah berkongsi apa yang terbuku di hatinya, Hashim tidak mendedahkannya.

    Bagaimanapun, beliau berkata tindakan Khairuddin itu merupakan satu kehilangan dan menyuarakan penghargaan untuk segala pengorbanannya kepada Pas.

    “Sedikit sebanyak (rasa kehilangan) dan terima kasih atas pengorbanan dia dalam jemaah ini,” katanya.

    Ditanya jika beliau akan cuba memujuk Khairuddin untuk menarik balik permohonannya, Hashim berkata ia bergantung kepada keadaan.

    “Kita tengok keadaan macam mana,” katanya ringkas.

  • Jika benar pengeluaran RM10,000, KWSP perlu jual aset luar negara

    Jika benar pengeluaran RM10,000, KWSP perlu jual aset luar negara

    JIKA kerajaan membenarkan satu lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, lebih banyak aset di luar negara perlu dijual bagi mengimbangi portfolionya, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Katanya, KWSP juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM63 bilion untuk 6.3 juta ahli yang dijangka layak sekiranya pengeluaran itu dilaksanakan.

    “Sekiranya dibenarkan pengeluaran RM10,000 secara ‘one off’, bilangan ahli yang layak dijangka berjumlah 6.3 juta orang, ini berkemungkinan melibatkan pengeluaran tambahan sekurang-kurangnya RM63 bilion.

    “Sekiranya pengeluaran tambahan dibenarkan, KWSP perlu melaksanakan pengimbangan portfolio dan impaknya mungkin lebih daripada pengeluaran berjumlah RM63 bilion.

    “Kalau kita nak sediakan pengeluaran berjumlah RM63 bilion, KWSP perlu menjual lebih banyak aset luar negara dalam keadaan pasaran negara tidak menentu,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini, lapor FMT.

    Tengku Zafrul berkata, kadar dividen bagi simpanan konvensional pencarum KWSP untuk 2021 mampu mencecah 6.7% berbanding 6.1% yang diumumkan baru-baru ini, sekiranya tiga pengeluaran khas i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra tidak dibuat.

    Katanya, jurang dividen berjumlah RM5.4 bilion itu menyebabkan 5.3 juta ahli KWSP yang tidak pernah mengeluarkan simpanan mereka menerusi pengeluaran khas sebelum ini terpaksa menerima pulangan rendah bagi simpanan mereka.

    “Saya ingin bertanya kepada YB sekelian yang mewakili pencarum yang tidak perlu mengeluarkan simpanan mereka, adakah ini adil?” soalnya.

    Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng senada dengan Umno dalam memperjuangkan pengeluaran khas KWSP secara “one off” berjumlah RM10,000.

    Anwar dan Lim menyokong pengeluaran itu, susulan keluhan rakyat dalam siri jelajah kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

  • Kereta terbakar di stesen minyak disyaki cuba seludup bahan api

    Kereta terbakar di stesen minyak disyaki cuba seludup bahan api

    SEBUAH kereta jenis Perodua Kancil yang terbakar di stesen minyak di Rantau Panjang di Kelantan dalam kejadian 8.30 pagi tadi, disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan bahan api ke negara jiran.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, hasil siasatan dalam kenderaan tersebut turut ditemukan tong plastik terbakar disyaki digunakan untuk mengisi minyak seludup ke negara jiran.  

    Beliau berkata, saksi kejadian yang juga pekerja stesen minyak tersebut mendakwa telah ternampak api menyala daripada bahagian bawah kereta itu ketika pemandunya sedang mengisi minyak. 

    “Api dikatakan telah merebak ke bahagian belakang kereta sebelum lelaki tersebut terus melarikan diri. Saksi juga memaklumkan tiada unsur khianat yang menyebabkan kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Nasaruddin berkata polis kini sedang mengesan suspek berusia 36 tahun berasal dari Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

    Kebakaran yang berpunca daripada kereta tersebut turut menyebabkan sebuah pam minyak musnah.- Bernama

  • Khairuddin keluar Pas, serah surat kepada Takiyuddin

    Khairuddin keluar Pas, serah surat kepada Takiyuddin

    TANPA desas-desus yang bertiup, Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali hari ini mengumumkan beliau telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berhenti menjadi ahli Parti itu atas permohonan sendiri.

    Katanya, tindakan beliau itu selaras dengan Perlembagaan Pas yang mana ahli-ahli parti itu boleh membuat permohonan untuk menjadi ahli.

    ‘’Maka dengan ini saya Khairuddin bin Aman Razali memegang nombor keahlian Pas 3138999 memohon untuk berhenti daripada ahli Pas.

    ‘’Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pas atas peluang menjadi ahli sejak 1989 ketika berusia 16 tahun..selama 33 tahun dalam Pas..seterusnya menjawat pelbagai jawatan dalam kepimpinan sejak tahun 1999 selepas saya pulang dari pengajian di Jordan..AJK dan Ketua Pas kawasan, pimpinan Pemuda Negeri peringkat Wilayah Persekutuan, Dewan Ulama Negeri, Dewan Ulama Pas Pusat, serta Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan juga Ahli Majlis Syura Ulamak dengan jawatan tertinggi Setiausaha Majlis Syura Ulama,’’ katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

    Khairuddin yang turut memaklumkan akan menjadi Ahli Parlimen Bebas berkata, beliau menyerahkan semua elaun bulanan sebagai Ahli Parlimen waktu berbaki sebelum PRU-15 diadakan kepada Pas sebagai memenuhi bait yang dibuat ketika bertanding pilihan raya.

    ‘’Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pas memberikan saya peluang untuk dicalonkan dalam pilihan raya dua kali seterusnya menjadi Ahli Parlimen Kuala Negeru sejak 2013 dan berpeluang menimbang pengalaman sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mac 2020 hingga Ogos 2021.

    ‘’Saya mendoakan Pas akan terus maju jaya sebagai sebuah parti yang membawa agenda Islam. Sebagai Muslim saya akan terus memperjuangkan dasar Pas iaitu Islam, seruan Pas iaitu Allahuakbar, dan tujuan serta usaha Pas sebagaimana termaktub dalam Fasal 3,4,5 dan 6 Perlembagaan Pas yang kesemuanya selaras dengan kehendak Islam.

    ‘’Saya juga menyeru semua ahli Pas, untuk terus istiqamah dengan perjuangan Pas terus memperjuangkan Islam menerusi wadah Pas,’’ katanya.

    Ditanya apakah alasan beliau meninggalkan Pas, Khairuddin berkata, ia sukar dijawab sebab sayangkan Pas.

    ‘’Saya kekal bersama Pas tetapi bukan sebagai ahli, kekal sebagai matlamat perjuangan,’’ katanya sambil menjelaskan agak berat untuk beliau memohon berhenti daripada menjadi ahli Pas.

  • Gaji minimum RM1,500 tidak akan dilaksanakan tahun ini

    Gaji minimum RM1,500 tidak akan dilaksanakan tahun ini

    CADANGAN untuk menetapkan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 tidak akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

    Sebaliknya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan, perkara itu akan diumumkan dalam terdekat memandangkan situasi ekonomi negara ketika ini bertambah baik.

    Katanya, kebanyakan perniagaan juga dilihat berkembang serta menunjukkan trend pemulihan.

    “Kerajaan mengambil maklum permintaan beberapa pihak untuk menyegerakan pelaksanaan gaji minimum baharu kepada kadar lebih tinggi berikutan keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat. 

    “Namun, kadar gaji minimum yang baharu hanya akan dilaksanakan dengan melihat keperluan sebenar rakyat dan kemampuan majikan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai cadangan kerajaan melaksanakan kadar gaji minimum sekitar RM1,500.

  • Tiga termasuk ‘Datuk Seri’ didakwa pecah amanah wang sewa pejabat

    Tiga termasuk ‘Datuk Seri’ didakwa pecah amanah wang sewa pejabat

    TIGA  individu termasuk seorang pengarah syarikat hartanah bergelar ‘Datuk Seri’ dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat membabitkan wang sewa sebuah unit pejabat berjumlah RM52,000, tahun lepas.

    Datuk Seri Chua Eng Wan, 48, Teh Guat Wei, 31, dan Chua Jia Meng, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Kamarudin Kamsun.

    Di hadapan Sabariah, Eng Wan didakwa sebagai pengarah di sebuah syarikat diamanahkan dengan penguasaan wang berjumlah RM52,000 yang merupakan wang sewa sebuah unit pejabat di Arkadia Desa Park City Kepong, telah melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Arkadia Desa Park, Sentul pada 11 Okt 2021 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

    Di hadapan Kamarudin, Teh dan Jia Meng masing-masing didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Eng Wan bagi melakukan pecah amanah terhadap sebuah unit pejabat sama dengan jumlah sewa RM52,000, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Aqilah Ishak menawarkan jaminan RM10,000 terhadap Chua manakala TPR Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 ke atas Teh dan Ji Meng namun peguam Felix Saw Chia Hui yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak akan melarikan diri dan akan hadir ke mahkamah.

    Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 dan 20 April depan untuk sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • Kerajaan perlu tampung RM17 bilion baki hutang 1MDB, kata Tengku Zafrul

    Kerajaan perlu tampung RM17 bilion baki hutang 1MDB, kata Tengku Zafrul

    KERAJAAN masih perlu menampung kekurangan dana berjumlah RM17 bilion lagi bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM38.8 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2039, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Menteri Kewangan itu berkata bagi tujuan itu kerajaan masih perlu menggunakan dana awam yang diperolehi daripada bantuan langsung atau melalui dana pemulihan aset 1MDB untuk menanggung hutang berkenaan.

    Kenyataan itu, sekali gus menafikan dakwaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (BN-Pekan) sebelum ini bahawa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan dana awam.

    “Pada masa ini dana akaun amanah yang masih berbaki sebanyak RM15.7 bilion tidak cukup untuk lunaskan semua prinsipal hutang 1MDB.

    “Berdasarkan aliran tunai penyelesaian hutang 1MDB dengan mengambil kira jangkaan dana penyelesaian yang bakal diterima dari AmBank adalah sebanyak RM515 juta serta baki jaminan pemulihan aset oleh Goldman Sachs sebanyak AS$954 juta.

    “Kerajaan masih perlu menampung kekurangan atau ‘shortfall’ keperluan dana berjumlah RM17 bilion bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB sebanyak RM38.8 bilion untuk tempoh 2023 hingga 2039,” katanya, lapor FMT.

    Beliau menjawab soalan Ong Kian Ming (PH-Bangi) yang bertanyakan sama ada benar kenyataan Najib bahawa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan dana awam tetapi daripada wang 1MDB yang dikembalikan oleh beberapa entiti seperti Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

    Mengulas lanjut, Zafrul berkata kerajaan telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman dan pendahuluan berjumlah RM10 bilion untuk membayar komitmen dan hutang 1MDB bermula April 2017 hingga Nov 2021.

    “Baki komitmen hutang 1MDB yang melibatkan bayaran prinsipal serta faedah tiga bon dan satu sukuk adalah RM38.8 bilion. Kementerian ingin memaklumkan dana awam masih perlu digunakan dan pernah digunakan untuk menanggung hutang 1MDB sama ada dari bantuan langsung atau pun melalui dana pemulihan aset 1MDB.

    “Berikutan masalah kewangan yang dihadapi 1MDB, kerajaan dari April 2017 hingga Nov 2021 telah salurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan berjumlah lebih RM10 bilion melalui MoF dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan bagi tujuan bayaran komitmen dan hutang 1MDB,” jelasnya.

    Najib pada 2 Mac lalu ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong mendakwa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang rakyat, sebaliknya wang 1MDB yang dikembalikan oleh beberapa entiti berkenaan.

    Bagaimanapun, sehari kemudian Zafrul menafikan dakwaan Najib sambil memaklumkan kerajaan sudah mula membayar faedah hutang 1MDB sebanyak RM6.5 bilion.

    Zafrul berkata, jumlah keseluruhan hutang 1MDB bernilai kira-kira RM38.8 billion merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah.

  • Tuntutan waris Sultan Sulu: Kedudukan Sabah dalam Malaysia tidak terjejas

    Tuntutan waris Sultan Sulu: Kedudukan Sabah dalam Malaysia tidak terjejas

    ‘FINAL award’ berhubung isu tuntutan waris Sultan Sulu yang dikeluarkan dalam prosiding timbang tara di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis tidak akan menjejaskan kedudukan Sabah sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Beliau berkata, Malaysia telah banyak kali menegaskan tidak mengiktraf dan melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah, yang telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai antara yang menubuhkan Persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963. 

    “Ingin ditegaskan kerajaan Malaysia tidak berdiam diri, sebaliknya telah mengambil beberapa langkah perlu untuk menghentikan prosiding tuntutan itu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini. 

    Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang) berkata kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dan prosiding timbang tara berkaitan arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion ($14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu itu.

    Ini memandangkan lantikan penimbang tara yang dilantik, Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

    Berhubung isu Pulau Pisang di Johor, beliau menjelaskan kedaulatan pulau itu tidak dipertikaikan Singapura, dan ia adalah hak milik Malaysia, malah Singapura juga mengiktiraf hak kedaulatan itu berdasarkan perjanjian dimeterai antara Almarhum Sultan Ibrahim dan Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir James Alexander Sweethenham pada 6 Okt 1900.

    “Hanya pengurusan rumah api di sana berada di bawah pengurusan dan pentadbiran Maritime and Port Authority of Singapore,” katanya. 

    Saifuddin berkata Malaysia mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap Pulau Pisang dan pekerja di rumah api itu perlu mendapat kebenaran negara serta perlu melalui laluan imigresen Malaysia di Kukup, Johor untuk keluar dan masuk ke kawasan rumah api itu.

    Berkaitan keselamatan pejabat dan kakitangan kedutaan  yang berada di luar negara,  beliau berkata kerajaan sama sekali tidak berkompromi terhadap keselamatan mereka misalnya dengan melakukan proses evakuasi jika perlu. 

    “Pada waktu sama dari semasa ke semasa kita juga menaik taraf sistem keselamatan pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di luar negera contohnya seperti kamera litar tertutup, kad akses dan pendaftaran pelawat,” katanya. 

    Menyentuh konflik Rusia-Ukraine, Saifuddin berkata Malaysia telah menyatakan pendirian di pelbagai peringkat untuk sentiasa berkecuali, namun sentiasa menghormati hak kemerdekaan sesebuah negara dan integriti sempadan. – Bernama

  • Penjual besi buruk tetak mangsa didakwa

    Penjual besi buruk tetak mangsa didakwa

    SEORANG penjual besi buruk tidak mengaku bersalah Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan sebilah parang pada minggu lalu.

    Tertuduh, Mohamad Shahzrie Sham Sabudin, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Astro Awani melaporkan, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Faain Adha Azliza, 30, dengan menggunakan sebilah parang.

    Kesalahan itu dilakukan olehnya di Sungai Bechah, Gunong, Bachok pukul 12.10 tengah malam pada 8 Mac lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Sekyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan atas kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.

    Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

    Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

  • Kes kehilangan Eric kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh

    Kes kehilangan Eric kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh

    POLIS kini mengklasifikasikan kes kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie, sebagai kes bunuh.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ashmon Bajah berkata berdasarkan siasatan terkini, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berbanding sebelum ini iaitu ia disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    “Dua suspek iaitu pasangan penjaga yang telah ditangkap akan terus direman untuk siasatan lanjut.

    “Usaha pencarian kini diperluas dengan bantuan pasukan Marin Wilayah 5 Kuching serta bantuan jabatan bomba serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar perairan sungai Muara Tebas dan kawasan sekitar,” katanya menerusi satu kenyataan di Kuching, malam tadi.

    Sebelum ini, Eric telah dilaporkan hilang dari sebuah rumah di kawasan perumahan Bintawa, Kuching, pada 7 Mac lepas.

    Sementara itu, Ashmon menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan.- Bernama