KERAJAAN masih perlu menampung kekurangan dana berjumlah RM17 bilion lagi bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM38.8 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2039, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menteri Kewangan itu berkata bagi tujuan itu kerajaan masih perlu menggunakan dana awam yang diperolehi daripada bantuan langsung atau melalui dana pemulihan aset 1MDB untuk menanggung hutang berkenaan.

Kenyataan itu, sekali gus menafikan dakwaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (BN-Pekan) sebelum ini bahawa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan dana awam.

“Pada masa ini dana akaun amanah yang masih berbaki sebanyak RM15.7 bilion tidak cukup untuk lunaskan semua prinsipal hutang 1MDB.

“Berdasarkan aliran tunai penyelesaian hutang 1MDB dengan mengambil kira jangkaan dana penyelesaian yang bakal diterima dari AmBank adalah sebanyak RM515 juta serta baki jaminan pemulihan aset oleh Goldman Sachs sebanyak AS$954 juta.

“Kerajaan masih perlu menampung kekurangan atau ‘shortfall’ keperluan dana berjumlah RM17 bilion bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB sebanyak RM38.8 bilion untuk tempoh 2023 hingga 2039,” katanya, lapor FMT.

Beliau menjawab soalan Ong Kian Ming (PH-Bangi) yang bertanyakan sama ada benar kenyataan Najib bahawa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan dana awam tetapi daripada wang 1MDB yang dikembalikan oleh beberapa entiti seperti Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Zafrul berkata kerajaan telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman dan pendahuluan berjumlah RM10 bilion untuk membayar komitmen dan hutang 1MDB bermula April 2017 hingga Nov 2021.

“Baki komitmen hutang 1MDB yang melibatkan bayaran prinsipal serta faedah tiga bon dan satu sukuk adalah RM38.8 bilion. Kementerian ingin memaklumkan dana awam masih perlu digunakan dan pernah digunakan untuk menanggung hutang 1MDB sama ada dari bantuan langsung atau pun melalui dana pemulihan aset 1MDB.

“Berikutan masalah kewangan yang dihadapi 1MDB, kerajaan dari April 2017 hingga Nov 2021 telah salurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan berjumlah lebih RM10 bilion melalui MoF dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan bagi tujuan bayaran komitmen dan hutang 1MDB,” jelasnya.

Najib pada 2 Mac lalu ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong mendakwa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang rakyat, sebaliknya wang 1MDB yang dikembalikan oleh beberapa entiti berkenaan.

Bagaimanapun, sehari kemudian Zafrul menafikan dakwaan Najib sambil memaklumkan kerajaan sudah mula membayar faedah hutang 1MDB sebanyak RM6.5 bilion.

Zafrul berkata, jumlah keseluruhan hutang 1MDB bernilai kira-kira RM38.8 billion merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here