JIKA kerajaan membenarkan satu lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, lebih banyak aset di luar negara perlu dijual bagi mengimbangi portfolionya, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Katanya, KWSP juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM63 bilion untuk 6.3 juta ahli yang dijangka layak sekiranya pengeluaran itu dilaksanakan.

“Sekiranya dibenarkan pengeluaran RM10,000 secara ‘one off’, bilangan ahli yang layak dijangka berjumlah 6.3 juta orang, ini berkemungkinan melibatkan pengeluaran tambahan sekurang-kurangnya RM63 bilion.

“Sekiranya pengeluaran tambahan dibenarkan, KWSP perlu melaksanakan pengimbangan portfolio dan impaknya mungkin lebih daripada pengeluaran berjumlah RM63 bilion.

“Kalau kita nak sediakan pengeluaran berjumlah RM63 bilion, KWSP perlu menjual lebih banyak aset luar negara dalam keadaan pasaran negara tidak menentu,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini, lapor FMT.

Tengku Zafrul berkata, kadar dividen bagi simpanan konvensional pencarum KWSP untuk 2021 mampu mencecah 6.7% berbanding 6.1% yang diumumkan baru-baru ini, sekiranya tiga pengeluaran khas i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra tidak dibuat.

Katanya, jurang dividen berjumlah RM5.4 bilion itu menyebabkan 5.3 juta ahli KWSP yang tidak pernah mengeluarkan simpanan mereka menerusi pengeluaran khas sebelum ini terpaksa menerima pulangan rendah bagi simpanan mereka.

“Saya ingin bertanya kepada YB sekelian yang mewakili pencarum yang tidak perlu mengeluarkan simpanan mereka, adakah ini adil?” soalnya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng senada dengan Umno dalam memperjuangkan pengeluaran khas KWSP secara “one off” berjumlah RM10,000.

Anwar dan Lim menyokong pengeluaran itu, susulan keluhan rakyat dalam siri jelajah kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here