Category: Semasa

  • Rasuah: Bekas Timbalan Pengarah DBKL diarah bela diri

    Rasuah: Bekas Timbalan Pengarah DBKL diarah bela diri

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh membela diri atas dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 18 Disember 2020, yang melepas dan membebaskan Sabudin daripada dua pertuduhan tersebut.

    “Rayuan dibenarkan, keputusan Mahkamah Sesyen diketepikan dan kes ini dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk responden (Sabudin) membela diri,” kata Hakim Mohamed Zaini.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, TPR Natrah Fareha Rahmat dan TPR Mohd Shahrom Idris manakala peguam K.Theivaendran mewakili Sabudin.

    Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Sabudin daripada pertuduhan tersebut di akhir kes pendakwaan.

    Seramai enam saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sabudin, 60, yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan iaitu wang tunai berjumlah RM200,000 daripada Wong May Kuan, subkontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan ‘Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)’ sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

    Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di dalam kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di Kuala Lumpur dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694)  yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Lelaki sebabkan kematian gelandangan dipenjara 18 tahun

    Lelaki sebabkan kematian gelandangan dipenjara 18 tahun

    SEORANG lelaki yang sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menyebabkan kematian ke atas gelandangan itu, empat tahun lalu.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Choon Wei How, 46, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan itu.

    Aslam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, sebaliknya membuktikan kes prima facie untuk suatu pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara hukuman penjara maksimum 30 tahun atau denda.

    “Setelah meneliti keterangan kes pendakwaan termasuk hujahan kedua-dua pihak (pendakwaan dan pembelaan), mahkamah mendapati pihak pendakwaan tidak berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap tertuduh mengiku Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Bagaimanapun, mahkamah mendapati terdapat elemen mengikut Seksyen 304(a) kanun sama.

    “Sehubungan itu, mahkamah menawarkan suatu pertuduhan pilihan terhadap tertuduh di bawah Sesyen 304 (a) Kanun Keseksaan. Memandangkan tertuduh membuat pengakuan salah terhadap pertuduhan pilihan tersebut dan suatu nyawa telah hilang, suatu hukuman pemenjaraan yang panjang dikenakan terhadap tertuduh,” kata Aslam ketika membuat keputusan di akhir kes pendakwaan.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 31 Oktober 2018.

    Choon didakwa dengan niat menyebabkan kematian Lee Khim Kiat, 66, di hadapan sebuah rumah kedai di Jalan Genting Klang, Setapak di Kuala Lumpur, pada 11.03 malam.

    Seramai 14 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 24 Februari 2021.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Kitson Foong dan Vam Shir Mooi.

  • Tarikh lihat anak bulan Ramadan 1 April

    Tarikh lihat anak bulan Ramadan 1 April

    TARIKH melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa tahun ini ialah pada petang Jumaat, 1 April 2022 Masihi bersamaan 29 Syaaban 1443 Hijriah, menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. 

    Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan hari ini menyebut, tarikh permulaan puasa akan diisyitharkan pada malam itu melalui radio dan televisyen.

    Menurut kenyataan itu, jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut di 29 lokasi di seluruh negara iaitu Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.

    Jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan juga diperkenankan melihat anak bulan di Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

    Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

    Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu, Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.

    Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching serta Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak dan Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah, Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berinchang, Cameron Highlands dan  Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.

    Turut menjadi lokasi melihat anak bulan Ramadan ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan;  Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.

    “Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab,” katanya. – Bernama

  • Polis nafi terlibat kes pukul penunggang motosikal

    Polis nafi terlibat kes pukul penunggang motosikal

    POLIS Pahang menafikan rakaman video memaparkan kejadian sekumpulan individu memukul seorang penunggang motosikal yang tular dalam Facebook dan TikTok sejak beberapa hari lalu, dilakukan anggota mereka sebagaimana didakwa.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu menjelaskan, perbuatan tersebut sebenarnya dilakukan orang awam dan tiada mana-mana anggota polis terlibat.

    “Kumpulan itu sebenarnya cuba membantu polis menahan lelaki tersebut kerana telah melanggar seorang anggota polis trafik yang bertugas dalam sekatan jalan Ops Motosikal di lokasi itu pada hari kejadian, malam Ahad lalu.

    “Kejadian itu berlaku ketika pihak polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sedang menjalankan operasi motosikal di Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan.

    “Lokasi tersebut dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan ‘mat rempit’ melakukan aksi menunggang secara bahaya dan menduga kelajuan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Wan Mohd. Zahari berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, seorang penunggang telah bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga

    melanggar salah seorang anggota trafik yang bertugas.

    “Ekoran kejadian, beberapa orang awam yang berada di lokasi operasi bertindak memukul penunggang tersebut ketika cuba membantu polis menahannya.

    “Bagaimanapun anggota polis yang dilanggar dan penunggang tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Beliau berkata, susulan video berdurasi 33 saat yang tular itu, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati dan menyalahkan pihak polis dengan gambaran yang kurang tepat.

    Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat berhubung penyebaran video tersebut.

    “Penunggang terbabit telah diambil tindakan saman atas kesalahan meggunakan motosikal tanpa cermin sisi, ubah suai struktur kenderaan dan tiada nombor pendaftaran.

    “Dalam operasi sama, sebanyak 34 motosikal telah ditahan dan 74 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

    Wan Mohd. Zahari mengingatkan orang ramai khususnya penunggang motosikal supaya tidak terlibat dengan aktiviti ‘mat rempit’ kerana perbuatan itu akan membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan yang lain.

    “Amaran turut diberikan kepada penyebar berita palsu kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu satu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

    “Jika sabit kesalahan, pihak terlibat berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Tambah beliau, pihak terlibat juga boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

  • Pekerja kebun sayur didakwa bunuh pasangan kembarnya

    Pekerja kebun sayur didakwa bunuh pasangan kembarnya

    SEORANG Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di Banting, Selangor hari ini atas pertuduhan membunuh pasangan kembarnya, di Kampung Bukit Cheeding, 11 Mac lepas.

    Pekerja kebun sayur, B. Velukumar, 37, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret Khairul Farhi Yusob.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Velukumar didakwa membunuh B. Velakumar di tepi Jalan Sri Cheeding, Kampung Bukit Cheeding, Banting, Kuala Langat antara 4 hingga 5 petang, 11 Mac lepas.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26 Mei depan untuk serahan laporan bedah siasat dan asid deoksiribonukleik (DNA).

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada 12 Mac lepas, media melaporkan bahawa polis menahan seorang lelaki yang disyaki menikam mati pasangan kembarnya di rumah sewa mereka di Kampung Seri Cheeding, Banting.

    Lelaki itu ditahan selepas dia dibawa majikan si mati ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Kuala Langat pada 10.45 malam hari yang sama.- Bernama

  • Ahli politik, bekas pegawai tinggi kerajaan mangsa godam scammer

    Ahli politik, bekas pegawai tinggi kerajaan mangsa godam scammer

    POLIS mengesan akaun aplikasi WhatsApp dan Telegram milik ahli politik, bekas pegawai tinggi kerajaan dan golongan kenamaan antara digodam sindiket penipuan yang menyamar sebagai rakan untuk meminjam wang.

    Mendedahkan perkara tersebut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket terbabit akan menggodam aplikasi telefon pintar milik mangsa sebelum mengambil alih akaun tersebut untuk menghubungi rakan mangsa bagi tujuan mendapatkan wang.

    Beliau berkata, mangsa diarahkan untuk menghantar mesej kata laluan sekali guna (OTP) dan kata laluan aplikasi kepada sindiket bagi membolehkan mereka dapat mengambil alih aplikasi itu dengan mudah.

    “Sindiket akan menghantar mesej kepada setiap senarai kenalan dalam telefon bimbit mangsa untuk meminjam wang.

    “Mangsa tidak sedar dia menjadi mangsa godam sehinggalah rakan yang menerima mesej memaklumkan ada individu menyamar sebagai dirinya untuk meminjam wang,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mohd Kamarudin berkata, susulan modus operandi itu, pihaknya menerima 1,710 laporan membabitkan kerugian RM11.47 juta sejak 2020 sehingga Februari lepas.

    Beliau berkata, pengguna telefon pintar dinasihatkan untuk berhati-hati apabila menerima mesej daripada individu tidak dikenali meminta kata laluan yang dihantar ke nombor telefon pengguna.

    Sementara itu, JSJK Bukit Aman menerusi pasukan CCID Scam Response Center akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi menangani jenayah penipuan dalam talian dengan lebih pantas.

    Mohd Kamarudin berkata, kerjasama tersebut dapat membantu mempercepatkan tindakan susulan ke atas mangsa penipuan terutamanya mengesan ‘money trail’ kerana proses sindiket mengeluarkan duit begitu pantas dari akaun mangsa ke akaun lain.

    “Proses kerjasama serta mengeratkan lagi sistem sedia ada itu sedang berlangsung dan kami menjangka kedua-dua agensi itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan CCID Scam Response Center pada Jun ini,” katanya.

    Beliau berkata, sejak penubuhan CCID Scam Response Center pada Februari tahun lepas, 2,399 panggilan diterima dengan 1,530 panggilan atau 63.4 peratus adalah tentang pertanyaan berkaitan modus operandi jenayah macau scam, love scam, belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan dan ah long serta 869 panggilan berkaitan lain-lain pertanyaan, penyaluran maklumat jenayah dan sebagainya.

    Katanya, CCID Scam Response Center merupakan sebuah pusat panggilan yang ditubuhkan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat untuk berkomunikasi secara langsung dengan JSJK, dan beroperasi bermula 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

    Beliau berkata, melalui penugasan di CCID Scam Response Center, seramai 969 individu berjaya mengelak daripada menjadi mangsa jenayah komersial.

    “Orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika menjadi mangsa penipuan atau menerima panggilan yang mencurigakan supaya JSJK dapat membantu kepada proses seterusnya,” katanya.

    Selain itu, orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – BERNAMA

  • Polis marin rampas peralatan vape lebih RM500,000

    Polis marin rampas peralatan vape lebih RM500,000

    PELBAGAI peralatan rokok elektronik e-rokok atau vape yang dianggarkan bernilai RM519,300 dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan semalam.

    Rampasan itu dilakukan pada pukul 5 petang di sebuah kedai kosong di Kampung Simpangan, dipercayai dijadikan lokasi transit sebelum diseludup ke Thailand, lapor Harian Metro.

    Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, dalam penugasan Op Landai/Op Kontraban, anggotanya ada menerima aduan sebelum menjalankan pemantauan di lokasi tersebut.

    Katanya, apabila sampai di premis tersebut, didapati pintunya tidak berkunci dan tiada penghuni sebelum anggota terbabit masuk bagi menjalankan pemeriksaan.

    “Hasil pemeriksaan menemui sejumlah pod vape, katrij serta cecair untuk kegunaan rokok elektronik itu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM519,300,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Norzaid, pihaknya menunggu hampir satu jam, namun tiada sesiapa tampil untuk mengaku sebagai pemilik peralatan vape yang dirampas itu.

    Beliau berkata, kesemua barang rampasan telah dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

    Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.

    “Kami percaya semua barangan rampasan ini akan diseludup ke Thailand dan premis itu dijadikan sebagai stor simpanan sementara atau transit,” jelasnya lagi.

  • Terengganu minta kerajaan Persekutuan bayar baki hutang RM1.43b tunai

    Terengganu minta kerajaan Persekutuan bayar baki hutang RM1.43b tunai

    KERAJAAN Terengganu berhasrat untuk mendapatkan bayaran balik baki hutang daripada kerajaan Persekutuan dalam bentuk tunai dan bukannya melalui pembangunan projek-projek di negeri itu.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah keseluruhan tuntutan balik hutang daripada kerajaan pusat bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) itu adalah sebanyak RM1.85 bilion.

    Katanya, bayaran balik yang telah dilunaskan adalah sebanyak RM418.5 juta dalam bentuk projek iaitu Jalan FT3 Awana Kijal bernilai RM118.5 juta dan Projek Perumahan Mampu Milik (RM100 juta) dan pendahuluan tunai (RM200 juta).

    “Jumlah yang masih berbaki adalah sebanyak RM1.43 billion… pihak kerajaan telah melakukan beberapa kali sesi perbincangan dan perundingan, termasuklah jawapan daripada kementerian pada Oktober tahun lalu, yang saya kategorikan sebagai ‘tidak produktif’.

    “(Tapi) kini sudah ada petanda yang lebih positif, di mana perbincangan antara Menteri Kewangan dan saya untuk penyediaan Kertas Kabinet mengenai isu Hutang LPT2 akan diadakan pada 28 Mac nanti di Putrajaya,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, hari ini.

    Sehubungan itu, Ahmad Samsuri berharap agar keputusan yang terbaik untuk Terengganu akan dapat dicapai selepas pertemuan itu.

    Sementara itu, pada sesi penggulungan tersebut juga beliau turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu rakyat Terengganu semasa berhadapan dengan bencana banjir baru-baru ini.

    “Musibah yang tidak kita jangka, banjir besar yang luar biasa. Terima kasih terutamanya kepada semua termasuk Perdana Menteri yang telah melakukan lawatan singkat (ke daerah Hulu Terengganu) pada 2 Mac yang lalu.

    “Semoga Allah membalas jasa baik tuan-tuan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda,” katanya sambil meminta semua ahli dewan berdiri dan memberikan tepukan sebagai tanda penghargaan dari Terengganu.

    Sidang DUN Terengganu ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan ditentukan kelak. – BERNAMA

  • Johor siap sedia sempadan Malaysia-Singapura dibuka

    Johor siap sedia sempadan Malaysia-Singapura dibuka

    JOHOR sedang melakukan persiapan bagi memastikan keselesaan rakyat Malaysia dan Singapura apabila sempadan negara dibuka 1 April ini.

    Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan Persekutuan turut memberi bantuan agar persiapan yang terbaik dapat dilakukan.

    “Insya-Allah, Johor dengan bantuan kerajaan Pusat sedang membuat segala persiapan yang termampu untuk memastikan keselesaan rakyat Johor, Malaysia dan Singapura apabila sempadan kita dibuka nanti.

    “Saya telah mengadakan mesyuarat penyelarasan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar bagi melihat persediaan pembukaan semula sempadan negara.

    “Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bersama,” katanya menerusi muat naik terbaharu dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mencadangkan sempadan dibuka mulai 1 Mac lalu.

    Selepas beberapa kali desakan Muhyiddin dan penangguhan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lalu memaklumkan sempadan negara akan mula dibuka pada 1 April ini.

    Onn Hafiz bertemu Ismail membincangkan berkenaan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura di Kuala Lumpur

    Sementara itu dalam ‘posting’ berlainan, Onn Hafiz memaklumkan berpeluang berjumpa dan berbincang dengan Ismail Sabri tentang pembukaan semula sempadan Johor-Singapura di Kuala Lumpur, hari ini.

    “InsyaAllah, ada berita baik berkenaan pembukaan semula sempadan Johor-Singapura dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

    “Semoga setiap apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik demi Bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

  • CAP bimbang kit ujian kendiri, calitan hidung Covid-19 beri ujian berbeza

    CAP bimbang kit ujian kendiri, calitan hidung Covid-19 beri ujian berbeza

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kebimbangan dengan peningkatan aduan daripada orang ramai berhubung keberkesanan ujian kit kendiri Covid-19 yang memberikan keputusan berbeza dengan ujian calitan hidung.

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadeer berkata, orang ramai mengadu ujian calit hidung menunjukkan mereka positif Covid-19 sementara ujian air liur menunjukkan keadaan sebaliknya iaitu negatif.

    “Mereka melakukan sendiri ujian itu berikutan ahli keluarga mereka positif Covid-19 dengan bergejala sementara yang lain melakukannya kerana mereka juga mempunyai gejalanya.

    “Namun, dalam kedua-dua kes, hasil ujian menunjukkan negatif palsu dalam ujian air liur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Apa yang dibimbangkan tambah Mohideen, jika kit ujian kendiri kurang sensitif dengan memberikan hasil negatif yang palsu, orang mungkin beranggapan gejala yang dialami tiada kaitan dengan Covid-19.

    Keadaan itu ujar beliau, membuatkan mereka mungkin tidak menjalani kuarantin diri dengan itu menyebarkan virus tersebut dalam komuniti.

    “Satu hal lagi yang dibimbangi juga ialah penghidap asma yang hasil ujian kendiri menunjukkan negatif palsu mungkin tidak melakukan kuarantin diri,” katanya.

    Justeru ujarnya, tindakan kerajaan menyerahkan tanggungjawab kepada orang ramai untuk melakukan sendiri ujian mengesan covid tidak berkesan untuk mengasingkan mereka yang dijangkiti dari orang lain.

    Dalam masa sama kata beliau, tindakan bergantung kepada laporan kendiri KKM juga memberikan perbezaan yang besar dalam pengumpulan statistik.

    “Jika benar kit ujian kendiri itu tidak sensitif, maka kenapa pihak KKM meminta masyarakat melakukannya sendiri?

    “Orang yang perlu mempunyai kontak sosial ketika bertugas telah membeli dan menguji diri mereka sendiri dari semasa ke semasa.

    “Mungkin pihak kementerian perlu meyakinkan mereka bahawa perbuatan mereka adalah sia-sia sahaja. Jika ujian air liur tidak sesensitif calitan hidung, mengapakah mereka perlu mendapatkan kit ujian air liur jika ia sememangnya tidak memenuhi tujuannya?” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa bimbang mengenai virus baharu yang mungkin dibawa masuk ke negara ini apabila sempadan dibuka sekiranya kit ujian berkenaan tidak cukup sensitif untuk mengenal pasti pelancong yang dijangkiti dan menghalang mereka daripada masuk ke negara ini.