SEORANG Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di Banting, Selangor hari ini atas pertuduhan membunuh pasangan kembarnya, di Kampung Bukit Cheeding, 11 Mac lepas.

Pekerja kebun sayur, B. Velukumar, 37, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret Khairul Farhi Yusob.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Velukumar didakwa membunuh B. Velakumar di tepi Jalan Sri Cheeding, Kampung Bukit Cheeding, Banting, Kuala Langat antara 4 hingga 5 petang, 11 Mac lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26 Mei depan untuk serahan laporan bedah siasat dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 12 Mac lepas, media melaporkan bahawa polis menahan seorang lelaki yang disyaki menikam mati pasangan kembarnya di rumah sewa mereka di Kampung Seri Cheeding, Banting.

Lelaki itu ditahan selepas dia dibawa majikan si mati ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Kuala Langat pada 10.45 malam hari yang sama.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here