Category: Semasa

  • YouTuber ditahan kes teman wanita mati dipukul

    YouTuber ditahan kes teman wanita mati dipukul

    SEORANG pempengaruh atau YouTuber lelaki dari Pulau Pinang ditahan polis bagi membantu siasatan kematian teman wanitanya yang dilaporkan maut akibat dipukul.

    Suspek yang mempunyai lebih 100,000 pengikut di laman sosial YouTube itu ditahan bersama tiga lagi rakannya yang kesemuanya berusia 20-an di daerah Barat Daya semalam dan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, penahanan keempat-empat suspek termasuk YouTuber berkenaan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau (HBP) mengenai seorang pesakit wanita yang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal pada 2 April lalu.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa berusia 20 tahun itu mendapati kesan-kesan lebam lama dan baharu pada seluruh anggota badan wanita berkenaan.

    Jelasnya, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan disahkan meninggal dunia pada hari sama.

    “Bertindak atas maklumat itu, polis menahan kekasih wanita itu bersama tiga lagi rakannya yang dipercayai berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

    “Mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan kekerasan atau objek tumpul. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif sebenar kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarul Rizal memberitahu, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

    Difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah kediaman kenalan mereka di Teluk Kumbar Sabtu lalu dan pasangan kekasih berkenaan dikatakan berkenalan ketika masing-masing berada di sebuah sekolah pemulihan akhlak di Melaka.

  • Semua Ahli Parlimen PH sokong RUU Anti Lompat Parti

    Semua Ahli Parlimen PH sokong RUU Anti Lompat Parti

    PAKATAN Harapan (PH) menyatakan komitmen penuh bahawa kesemua ahli Parlimen gabungan itu akan memberi sokongan terhadap meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan Isnin depan.

    Majlis Presiden PH dalam kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan komitmen bahawa tiada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat dijadualkan 11 April ini.

    Menurut Majlis Presiden PH, komitmen itu disuarakan Perdana Menteri dalam pertemuan bersama pimpinan utama PH pagi tadi.

    Majlis Presiden PH berkata, pertemuan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung status pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti) pada 11 April ini.

    “Perdana Menteri telah memberi komitmen bahawa tidak ada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April seperti mana yang telah diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen.

    “Majlis Presiden PH memberi komitmen penuh bahawa kesemua ahli Parlimen PH akan memberi sokongan bagi tujuan meluluskan pindaan Perlembagaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan pimpinan utama PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfried Madius Tangau.

    Kenyataan itu turut memaklumkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut membangkitkan isu aplikasi MySejahtera yang didakwa dimiliki sebuah syarikat negara asing.

    Majlis Presiden PH beranggapan, isu tersebut perlu diberi penjelasan penuh kepada Dewan Rakyat.

    Pada 24 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan keputusan Perdana Menteri supaya satu Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang itu yang akan diadakan pada 11 April ini.

    Namun, ia tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 6 April ini, katanya.

  • Guru,jurukimia jadi mangsa ‘love scam’ rugi RM72,000

    Guru,jurukimia jadi mangsa ‘love scam’ rugi RM72,000

    SEORANG guru wanita terpaksa menanggung kerugian RM42,000 apabila terpedaya dengan jerat ‘love scam’ lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata mangsa berusia 27 tahun itu telah berhubung dengan suspek bernama Albert A Adams melalui aplikasi WhatsApp dan sepanjang perkenalan, suspek turut memberitahu ingin memberi hadiah barangan berjenama serta wang tunai.

    “Antara hadiah dijanjikan suspek sebagai tanda perkenalan ialah kasut jenama Dior, iPad Pro, kasut Adidas, barangan kemas, pakaian dan wang tunai AS$3,000 (RM12,631).

    “Pada 29 Mac lepas, suspek memberitahu bahawa barangan tersebut telah dihantar ke alamat mangsa dan wanita itu mengesahkan sememangnya ada barangan yang telah sampai di Kuala Lumpur melalui semakan laman sesawang ‘Fast Express Shipping’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Sundra Rajan berkata bagaimanapun barangan itu telah ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana mempunyai wang tunai yang banyak dan tiada sijil pengesahan.

    Katanya, suspek telah meminta mangsa untuk membuat bayaran bagi melepaskan barangan itu dan mangsa yang percaya mengikut arahan suspek dengan membuat bayaran secara berperingkat bermula 30 Mac hingga 1 April lepas berjumlah RM42,000 atas pelbagai alasan.

    “Selepas pembayaran dibuat, suspek menjanjikan barangan itu akan sampai ke alamat rumah pengadu pada 1 April, namun sehingga kini barangan itu tidak diterima mangsa malah suspek masih memintanya membuat bayaran RM5,000 untuk kos penghantaran.

    “Bagaimanapun, mangsa tidak mengikut arahan itu kerana percaya dirinya telah diperdaya dan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada 2 April,” katanya.

    Sementara itu dalam kes penipuan lain, Sundra Rajan berkata seorang jurukimia wanita berumur 37 tahun kerugian RM30,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar kononnya daripada pihak HSBC Bank.

    Beliau berkata mangsa dihubungi pada 1 April menerusi panggilan telefon memaklumkan dia mempunyai tunggakan ‘coin base’ berjumlah RM4,663 selain terdapat transaksi menggunakan namanya tetapi mangsa menafikan tidak pernah membuka akaun bank itu.

    “Mangsa telah disambungkan kepada Bank Negara Malaysia untuk tujuan kemas kini maklumat peribadi kemudian diminta membeli insurans perlindungan.

    “Panggilan seterusnya, mangsa disambungkan kepada pegawai polis dan memintanya menyerahkan maklumat akaun bank dan tanpa rasa curiga mangsa menyerahkan maklumat perbankannya termasuk nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC),” katanya.

    Beliau berkata selepas urusan itu, mangsa membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati terdapat pengeluaran wang berjumlah RM30,000 dan mangsa yang berasa diperdaya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada 2 April. 

    Katanya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    — BERNAMA

  • Kelindan maut tercampak dari lori langgar treler di lorong kecemasan

    Kelindan maut tercampak dari lori langgar treler di lorong kecemasan

    SEORANG kelindan maut selepas tercampak keluar dari lori membawa muatan besi besi aluminium apabila kenderaan itu melanggar sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer (km) 250 Lebuhraya Utara-Selatan, di Seremban pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa Mohamad Nur Imran Hamidun 23, bersama pemandu lori jenis Hino, Muhamad Afzan Zakaria, 31, sedang dalam perjalanan dari Alor Gajah menuju ke Seremban.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah treler jenis Scania membawa muatan getah industri seberat 26 tan metrik yang berhenti di lorong kecemasan kerana dikatakan mengalami kerosakan.

    “Akibat pelanggaran yang kuat itu, Mohamad Nur Imran tercampak keluar ke atas lebuh raya dan mengalami kecederaan parah di seluruh badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Muhamad Afzan hanya cedera ringan di tangan manakala pemandu treler berusia 57 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Mayat kelindan terbabit dibawa ke Jabatan forensik Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Kemalangan tersebut turut mengakibatkan kesesakan sepanjang kira-kira empat km iaitu selama hampir dua jam. – BERNAMA

  • Tradisi makan colek selepas tarawih kembali meriah

    Tradisi makan colek selepas tarawih kembali meriah

    FASA Peralihan ke Endemik memberi nafas baharu kepada peniaga colek di daerah ini yang tidak menang tangan melayan kunjungan pelanggan yang memenuhi gerai jualan selepas menunaikan solat tarawih.

    Seorang peniaga Nor Azizah Mohd Nor, 44, yang menjalankan perniagaan di Melor, dekat sini, berkata beliau menyediakan 30 jenis colek tahun ini bagi memenuhi permintaan pelanggan.

    Bercakap kepada Bernama, Nor Azizah berkata antara colek yang menjadi kegemaran ialah celup tepung seperti udang, paru, ikan, bebola ikan, sosej, isi ketam, isi udang, keropok lekor, popia dan colek ‘malas’ (jemput-jemput diperbuat daripada tepung) serta buah-buahan.

    “Colek ini dijual dengan harga serendah RM1 hingga RM5 setiap satu.

    “Saya jual colek dengan harga murah kerana niat untuk membolehkan penduduk di sekitar Melor, Ketereh, Kadok, Mahligai, Gunong dan Pasir Puteh dapat sama-sama menikmati keenakannya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

    Ditanya mengenai keistimewaan colek jualannya, Nor Azizah atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Zah Petron Melor berkata beliau menawarkan tiga jenis rasa iaitu colek nisey kerek (gula melaka), colek pedas yang diletakkan cili kering dan colek manisan gula.

    “Saya buka perniagaan bermula 8 malam hingga 12 tengah malam. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan sejak hari pertama puasa.

    “Saya rasa sangat bersyukur tahun ini dapat berniaga seperti biasa berbanding hanya pembelian secara bungkus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya yang dibantu tujuh pekerja setiap hari.

    Di Kelantan, aktiviti makan colek popular khususnya selepas menunaikan solat tarawih.

    — BERNAMA

  • Ambil peluang Ramadan latih diri amal gaya hidup sihat

    Ambil peluang Ramadan latih diri amal gaya hidup sihat

    ELAK makan berlebihan dan ambil peluang berpuasa pada bulan Ramadan ini sebagai satu latihan mengamalkan diet yang seimbang serta menurunkan berat badan bagi menjamin kesihatan yang baik, kata pakar kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM, Prof Dr Suzana Shahar berkata, separuh daripada jumlah orang dewasa di negara ini mengalami masalah obesiti atau setiap dua rakyat Malaysia, seorang daripadanya mengalami masalah berat badan berlebihan.

    “Sepatutnya pada bulan Ramadan ini seseorang individu boleh mengurangkan kira-kira 500 kalori sekiranya kita tidak makan pada waktu siang berbanding hari biasa.

    “Kebiasaannya pada hari-hari lain, kita akan memperoleh 2,000 hingga 3,000 kalori sehari dengan lima kali waktu makan berbanding waktu makan pada bulan puasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Suzana berkata, walaupun ada yang berupaya dan berjaya mengurangkan berat badan pada bulan puasa, mungkin tidak ramai yang mampu mengekalkan berat badan berkenaan kerana ia akan meningkat semula pada hari raya.

    “Paling penting sewaktu berbuka, dinasihatkan untuk berbuka secara bersederhana, perkara ini boleh dikawal dengan pengambilan makanan menggunakan konsep suku-suku, contohnya suku nasi iaitu satu senduk nasi penuh, suku ayam atau ikan sepotong, sayur serta buah-buahan.

    “Sebaiknya pada waktu berbuka itu dimulakan dengan makanan gula segera iaitu ‘fast release sugar’ seperti kurma dalam tiga biji dan minum air panas atau suam terlebih dahulu,” katanya.

    Jelas beliau lagi, selepas solat maghrib barulah disarankan mengambil makanan mengandungi karbohidrat yang tinggi seperti nasi, pasta dan beberapa hidangan yang lain.

    “Selain itu, masalah keracunan makanan pada bulan puasa sering kali berlaku, diingatkan kepada orang ramai untuk masak sendiri dan hanya beli juadah yang sukar dimasak sahaja,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pencegahan Obesiti Kanak-Kanak dan Dewasa, Kevin Zahri berkata bagi mengekalkan tenaga sepanjang bulan Ramadan ini, orang ramai disarankan mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks.

    “Contohnya ‘brown bread’, oat, nasi perang atau makanan yang berserat kerana makanan-makanan seperti ini akan dihadam dengan perlahan dan membekalkan tenaga yang berkekalan.

    “Selain itu, protein juga dapat mengenyangkan sementara gula ringkas seperti kuih, biskut, nasi putih kurang mengenyangkan dan membekalkan tenaga yang cepat,” katanya.

    Kevin yang juga terkenal sebagai guru kecergasan dalam media sosial turut berkongsi jenis senaman yang boleh diamalkan ketika Ramadan iaitu sebelum dan selepas berbuka puasa.

    “Sebelum berbuka, lakukan senaman yang rendah intensiti dan tidak memudaratkan seperti berjalan kaki manakala selepas berbuka pula dibenarkan untuk tinggi intensiti contohnya lompat tali dapat membantu membakar kalori yang banyak,” katanya.

    Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk menggunakan kelebihan bulan Ramadan agar sentiasa cuba membaiki kesihatan diri secara menyeluruh merangkumi mental, fizikal dan spiritual. – BERNAMA

  • Bantuan Khas Aidilfitri RM500 penjawat awam, RM250  pesara – PM

    Bantuan Khas Aidilfitri RM500 penjawat awam, RM250  pesara – PM

    KERAJAAN bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan juga akan memberikan bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

    “Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji April iaitu pada 25 April 2022.

    “Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Ismail Sabri berkata pengumuman Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Aidilfitri.

    Katanya, pemberian itu juga sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

    Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas tersebut dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

    — BERNAMA

  • Cemas! Kanak-kanak tersangkut dalam mesin basuh

    Cemas! Kanak-kanak tersangkut dalam mesin basuh

    SEORANG kanak-kanak lelaki berhadapan saat cemas selepas terperangkap di dalam bahagian pengering mesin basuh di rumahnya di Kuala Paka, Dungun, malam tadi.

    Bagaimanapun suasana getir itu berakhir apabila mangsa berusia 4 tahun berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka, 9.30 malam tadi.

    Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias, sebelum kejadian, kanak-kanak berkenaan dikatakan cuba mengambil lampu suluh miliknya yang terjatuh ke dalam mesin basuh itu.

    Lalu katanya, mangsa masuk ke dalam mesin basuh tersebut sebelum tersangkut pada bahagian pengering mesin basuh separa automatik itu.

    “Mangsa didapati tersangkut dari bahagian kaki hingga paras pinggang, menyebabkan pihak kami terpaksa memotong dram mesin basuh terbabit menggunakan peralatan khas,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro Online.

    Beliau berkata, kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian.

    Katanya, mangsa tidak tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya.

  • Skandal projek solar: Mahkamah benar pendakwaan fail hujah tambahan kes Rosmah

    Skandal projek solar: Mahkamah benar pendakwaan fail hujah tambahan kes Rosmah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk memfailkan hujahan tambahan dalam kes Datin Seri Rosmah Mansor, yang berdepan pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas prosiding kes tersebut yang berlangsung di dalam kamar Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini, yang turut dihadiri peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, mewakili Rosmah.

    Poh berkata, pihaknya perlu memfailkan hujahan tambahan pada 22 April dan 12 Mei untuk pembelaan menjawab hujahan itu.

    “12 Mei juga ditetapkan untuk sebutan kes,” katanya.

    Sepatutnya, hari ini ditetapkan untuk mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

    Rosmah, 70, yang memakai baju kurung merah dan selendang sepadan hadir di mahkamah hari ini.

    Pada 23 Feb lepas, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi, Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

    Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

    Beliau berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin.

    Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khas beliau, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. – BERNAMA

  • Bekas inspektor dituduh terima rasuah RM500

    Bekas inspektor dituduh terima rasuah RM500

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bekas inspektor polis mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM500 pada 2015, yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

    Tertuduh, Mohamad Hilmi Abd. Hamid, 38, minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

    Menerusi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 3.45 petang, 17 April 2015, dengan wang berkenaan didakwa diterimanya dari seorang lelaki dalam sebuah kereta Honda Civic di depan kedai makan Cili Merah, Kampung Ceruk Bemban di Kupang, Baling.

    Wang rasuah tersebut didakwa sebagai dorongan buat tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, untuk membantu seorang lelaki lain berusia 46 tahun yang didapati positif morphine untuk menjalani hukuman pengawasan dan tidak dihantar ke pusat serenti.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala tertuduh diwakili peguam, S. Parameswaran.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

    Terdahulu, Zulfadli memohon supaya kadar jaminan ditetapkan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain mahkamah turut diminta agar meletakkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport dan melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sungai Petani sekali setiap bulan.

    Parameswaran kemudiannya membuat rayuan agar kadar jaminan ditetapkan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin memandangkan tertuduh sudah berhenti daripada bertugas sebagai anggota polis dan hanya bekerja sebagai pegawai keselamatan dalam sektor swasta di Pulau Pinang dengan gaji sebanyak RM3,000 sebulan.

    Hakim pada akhirnya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh turut diarah untuk menyerahkan pasport serta melapor diri di Pejabat SPRM Sungai Petani, setiap dua bulan sekali.