Category: Semasa

  • Seorang daripada 4 penyelam warga Eropah ditemukan masih hidup

    Seorang daripada 4 penyelam warga Eropah ditemukan masih hidup

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG daripada empat penyelam warga Eropah yang hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing tengah hari semalam, sudah ditemukan dalam keadaan masih hidup.

    Mangsa pertama yang ditemukan merupakan jurulatih penyelam ‘Dive Master’ dari Norway, Kristine Grodem, 35.

    Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), mangsa berkenaan akan dibawa ke Stadium Mersing dengan menggunakan pesawat udara Maritim Malaysia.

    Satu sidang akhbar akan diadakan pihak Maritim di Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC), Jeti Awam Majlis Daerah Mersing pada petang ini.

    Semalam dilaporkan empat penyelam warga asing dipercayai hilang semasa melakukan aktiviti latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol.

    Operasi mencari tiga lagi mangsa yang hilang masih dilakukan dengan bantuan beberapa agensi yang lain

    Untuk rekod, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.35 petang sebelum operasi mengesan mangsa dilancarkan.

    Selain Kristine, mangsa lain terdiri daripada dua lelaki yang juga anak beranak iaitu warga Britain, Adrian Peter, 46, dan Nathan Renze, 14, merupakan warga Belanda.

    Sementara seorang lagi mangsa dikenal pasti sebagai wanita warga Perancis, Alexia Alexandra, 18.

  • Juragan hilang, 2 awak-awak selamat, bot karam di perairan Pulau Kapas

    Juragan hilang, 2 awak-awak selamat, bot karam di perairan Pulau Kapas

    SEORANG nelayan, iaitu juragan bot hilang manakala dua yang lain (awak-awak) terselamat apabila bot mereka karam di perairan Pulau Kapas dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari semalam.

    Menurut Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli, mangsa yang hilang merupakan tekong (juragan) bot, Wan Mustapha Ayob, 62.

    Menurut beliau, bot nelayan tempatan kelas B dengan nombor pendaftaran TRF 1027 dilaporkan karam pada kedudukan lapan batu nautika dari Pulau Kapas.

    Katanya, kejadian berlaku ketika tiga lelaki berusia antara 48 hingga 62 tahun itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di lokasi berkenaan.

    “Berdasarkan maklumat awal, dua mangsa kecuali tekong sempat diselamatkan kerana memakai jaket keselamatan,” katanya dalam kenyataan, pada hari ini.

    Muhammad Suffi berkata, KM REDANG diatur gerak sejurus Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima maklumat.

    Ujarnya, usaha mengesan dan mencari mangsa yang disyaki hilang diteruskan hari ini dengan bantuan nelayan tempatan.

    Justeru katanya, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat kecemasan dan salah laku di talian MERS 999 atau 09-6223657 (Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu).

  • PGA tahan empat PATI warga Thailand

    PGA tahan empat PATI warga Thailand

    HASRAT empat wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Thailand yang cuba pulang ke negara asal tidak kesampaian apabila ditahan pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah, semalam.

    Anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dan PGA8 yang sedang bertugas mengesan pergerakan mereka pukul 9.14 pagi sebelum menahan semua suspek dalam sebuah Proton Exora kerana sebelum itu dilihat keadaan mencurigakan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota membuat pemeriksaan ke atas pemandu yang juga lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang membawa empat wanita dipercayai PATI warga Thailand berusia 29 sehingga 38 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut pada penumpang mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai cuba masuk ke negara asal melalui pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.

    “Hasil siasatan, kesemua PATI itu dibawa dari Pulau Pinang dan Selangor. Mereka membayar wang yang agak tinggi kepada pemandu yang juga bertindak sebagai ‘transporter’.

    “Lelaki serta empat Pati berkenaan ditahan manakala kereta dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanah Merah bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Azhari berkata, turut dirampas ialah enam telefon bimbit serta wang tunai bernilai RM4,643.

    “Kesemua suspek turut menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan anggota serta pegawai.

    “PGA terus mengetatkan kawalan di sempadan melalui Op Wawasan Kelantan terutama bagi mengekang kemasukan Pati melalui jalan sungai di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

  • Jurujual diperdaya Macau Scam menyamar ‘pegawai LHDN’

    Jurujual diperdaya Macau Scam menyamar ‘pegawai LHDN’

    SEORANG jurujual lelaki mengalami kerugian sebanyak RM15,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pada Isnin lalu.

    Sebelum itu mangsa yang berusia 30 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Steven bertugas sebagai pegawai LHDN.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, Steven kemudian memberitahu bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM52,000 iaitu cukai syarikat.

    “Mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut. Lelaki itu memberitahu berkemungkinan maklumat pengadu telah disalah guna oleh individu dan menasihati lelaki berkenaan untuk membuat laporan polis.

    “Panggilan telefon mangsa kemudian telah disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan mangsa telah bercakap dengan seorang perempuan yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat sarjan bagi membuat semakan dan siasatan.

    “Hasil semakan dibuat, ‘sarjan’ berkenaan memberitahu mangsa bahawa telah terlibat pengubahan wang haram dan pengedaran dadah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, sekali lagi talian telefon mangsa telah disambung kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.

    Pegawai polis itu katanya, kemudian memberitahu bahawa kes jenayah melibatkan mangsa adalah kesalahan besar.

    “Jika ingin mendapatkan bantuan, mangsa perlu berhubung dengan pegawai polis berpangkat Datuk.

    “Datuk tersebut memberikan mangsa pilihan sama ada waran tangkap dikeluarkan atau beliau membuat semakan akaun kerana mangsa dikatakan telah terima wang rasuah dan wang hasil kegiatan jenayah,” katanya.

    Menurutnya, mangsa yang bersetuju membuat semakan akaun kemudian diminta memuat naik aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat semakan, namun dia tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mempunyai kemudahan perbankan internet.

    “Pegawai polis tersebut meminta mangsa pergi ke bank terdekat untuk memohon perbankan internet.

    “Mangsa telah pergi ke Public Bank, Tanah Merah dan telah membuat perbankan internet. Selepas itu, mangsa telah mengisi semula maklumat akaun bank dan perbankan internet sebagaimana mana diminta oleh Datuk tersebut,” katanya.

    Mohd. Wazir berkata, mangsa telah diberitahu supaya menunggu selama 15 minit dan pegawai terbabit akan menghubunginya semula.

    “Mangsa yang berasa curiga dan membuat semakan akaun dapati wang telah berkurangan sebanyak RM15,000.

    “Selepas itu mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Tanah Merah selepas menyedari dia telah ditipu,” katanya.

  • Pelitup muka MS SIRIM: Jangan sampai harga meningkat – Pakar

    Pelitup muka MS SIRIM: Jangan sampai harga meningkat – Pakar

    PERAKUAN dan penandaan MS SIRIM bagi pelitup muka bukan perubatan yang akan dikuatkuasakan mulai 4 Julai depan, diharap tidak akan menyebabkan kenaikan harga produk itu di pasaran.

    Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatik) Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata ini kerana sesuatu produk yang perlu mendapat verifikasi atau disahkan oleh agensi tertentu, adakalanya harganya akan menjadi lebih mahal.

    “Keputusan kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ini memang baik untuk memastikan keselamatan individu dari dijangkiti COVID-19 selain mengelakkan lambakan pelitup muka yang tidak berkualiti di pasaran.

    “Pewartaan ini adalah wajar dan sepatutnya dilaksanakan lebih awal lagi…cuma saya harap penguatkuasaannya nanti perlu menjurus kepada pengurusan kawalan wabak dan bukannya memberi beban kepada peniaga atau pengguna,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas ketetapan KPDNHEP pada Selasa (5 April) bahawa semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd berkuat kuasa 4 Julai depan.

    Ia susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

    Mengulas lanjut Dr Malina berkata sekiranya berlaku peningkatan harga, ia sudah pasti memberi kesan kepada pengguna kerana pelitup muka kini merupakan keperluan asas yang digunakan secara harian dan bagi peniaga pula, mereka mungkin akan mengalami kerugian sekiranya stok pelitup muka sedia ada tidak dapat dihabiskan sehingga tempoh penguatkuasaan 4 Julai depan.

    Mengenai tempoh tiga bulan yang diberikan sebelum perkara itu dikuatkuasakan, Dr Malina berkata tempoh itu adalah wajar dan kerajaan juga pastinya telah membuat kajian mengenai tempoh sesuai sebelum ia dikuatkuasakan.

    “Secara umumnya, sama juga dengan penguatkuasaan produk lain di mana ada pertimbangan kepada peniaga untuk menghabiskan stok sedia ada dan sekiranya ia tidak dapat dihabiskan selepas 4 Julai, saya harap ada satu mekanisme diperkenalkan supaya pelitup muka yang tiada MS SIRIM ini tidak dilupuskan begitu sahaja.

    “Mungkin boleh saring pelitup muka yang boleh ‘diselamatkan’ agar dapat digunakan namun ini perlu mendapat persetujuan daripada pihak yang telah dipertanggungjawabkan,” katanya.

    Mengulas mengenai denda yang bakal dikenakan sekiranya gagal mematuhi perintah ini, Dr Malina berharap ia tidak dikenakan kepada pengguna yang memakai pelitup muka tanpa tanda MS SIRIM.

    Sementara itu, Pakar Perubatan Klinikal dan Ketua Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah Dr Alvin Oliver Payus berkata meskipun pewartaan ini bertujuan memastikan pelitup muka di pasaran memenuhi piawaian namun, adalah tidak wajar sekiranya berlaku kenaikan harga kerana ia tidak mempengaruhi proses pembuatan dan penghantaran.

    “Hanya yang diperlukan adalah satu badan untuk memantau kualiti pelitup muka yang berada di pasaran… Saya setuju dengan penguatkuasaan ini dalam usaha memastikan orang ramai memakai pelitup muka yang mempunyai perlindungan terbaik.

    “Meskipun negara dalam tempoh fasa peralihan ke endemik tetapi pemakaian pelitup muka masih dikekalkan, kita tidak seperti Amerika Syarikat (AS), rakyatnya tidak lagi perlu memakai pelitup muka,” katanya.

    Menurutnya pelitup muka yang berada di pasaran terutama yang dijual secara dalam talian dan dibeli terus dari negara China sebagai contoh, agak diragui tahap keselamatannya.

    “Pelitup muka bukan perubatan ada sesetengahnya mempunyai standard piawaian tertentu seperti KN95 ia memenuhi standard piawaian negara China manakala N95 memenuhi standard negara AS termasuk Malaysia namun, ada pelitup muka yang dijual secara dalam talian yang terus dari China sukar untuk kita pastikan kualitinya,” katanya.

    Dr Alvin dalam pada itu berharap agar kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada peniaga untuk menghabiskan stok sedia ada yang telah dibeli sebelum pengumuman pewartaan ini dibuat, selepas 4 Julai depan. – Bernama

  • Identiti empat penyelam warga Eropah yang hilang dikenal pasti

    Identiti empat penyelam warga Eropah yang hilang dikenal pasti

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    EMPAT empat penyelam warga Eropah yang hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing tengah hari semalam, sudah pun dikenal pasti.

    Mangsa terdiri daripada dua lelaki yang juga anak beranak iaitu warga Britain, Adrian Peter, 46, dan Nathan Renze, 14, merupakan warga Belanda.

    Sementara dua lagi mangsa dikenal pasti sebagai wanita warga Perancis, Alexia Alexandra, 18 dan jurulatih penyelam ‘Dive Master’ dari Norway, Kristine Grodem, 35.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesemua penyelam mempunyai lesen menyelam dan berpengalaman.

    “Kita berduka cita kerana ada empat individu yang kita sedang cari di kepulauan Mersing terutama di Kepulauan Sanggol. Mereka semua adalah pelancong dan salah seorang jurulatih.

    “Mereka ini adalah pelajar tetapi mereka ini bukan pertama kali menyelam. Mereka semua berpengalaman dalam selaman dan sedang dalam menaik taraf sijil kelayakan menyelam (‘upgrading certification’). Hubungan kedua lelaki itu adalah bapa dan anak,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau operasi carilamat di Pengkalan hadapan carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, Mersing pada pagi ini.

    Onn Hafiz (tengah) diberi taklimat berkenaan operasi mencari dan menyelamat empat penyelam warga Eropah yang hilang dan masih belum ditemukan

    Sementara itu menerusi Facebook miliknya, Onn Hafiz memberitahu, Ops Carilamat yang bersambung pada pukul 7 pagi tadi membabitkan seramai 90 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk 30 penyelam dan 18 aset.

    Menteri Besar itu turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar di atas kurniaan baginda meminjamkan dua bot milik baginda untuk Op Carilamat.

    Semalam dilaporkan empat penyelam warga asing dipercayai hilang semasa melakukan aktiviti latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol.

    Untuk rekod, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.35 petang sebelum operasi mengesan mangsa dilancarkan.

    “Pihak kerajaan dan Agensi sedang berusaha sedaya upaya untuk mencari mereka. Saya berharap dan berdoa agar ahli keluarga terus tabah dan bersabar pada ketika ini.

    “Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan mencari dan menyelamat ini,” katanya lagi.

  • Tangguh lagi bentang RUU Anti Lompat Parti

    Tangguh lagi bentang RUU Anti Lompat Parti

    KABINET tidak bersetuju dengan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Jelas beliau, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas akan datang sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti.

    “Ya, ia telah ditangguhkan,” katanya, menurut Sinar Harian yang memetik laporan The Star.

    Wan Junaidi bagaimanapun berkata, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat itu dibentangkan kelak.

    Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

    Keputusan itu bermakna RUU akan ditangguhkan buat kali kedua.

    Ia pertama kali dijadualkan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu, hari terakhir sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini.

  • Miliki 500 gram kokain: Warga Israel dihukum mati di UAE

    Miliki 500 gram kokain: Warga Israel dihukum mati di UAE

    SEBUAH mahkamah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang wanita warga Israel selepas dia didapati bersalah memiliki 500 gram kokain.

    Portal SaudiGazette melaporkan, wanita yang dinamakan oleh media Israel sebagai Fidaa Kiwan, 43 kini sedang membuat rayuan terhadap hukuman tersebut.

    Media di Israel berkata Kiwan mempunyai sebuah studio fotografi di Haifa di Utara Israel. Wanita 43 tahun itu terbang ke Dubai tahun lepas atas urusan kerja.

    Seminggu kemudian, dia ditahan polis selepas mereka menjumpai kokain itu di pangsapurinya, bagaimanapun Kiwan menafikan dadah itu miliknya.

    Pembentukan hubungan diplomatik antara Israel dan negara yang dibuat melalui perjanjian damai pada 2020 memungkinkan peningkatan kedatangan warganegara Israel dan banyak dalam kalangan mereka bukan pelancong dan ahli perniagaan.

    “Pejabat kami di Dubai mengesan kenaikan kadar kes jenayah yang melibatkan warga Israel,” kata Ziv Agmon, peguam Israel dan pakar undang-undang Emiriah.

    “Orang Israel perlu memahami bahawa penguatkuasa undang-undang di Dubai memandang serius kes-kes melibatkan dadah,” katanya.

  • Lapan kedai hangus terbakar

    Lapan kedai hangus terbakar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    HARI keempat Ramadan memberi ujian kepada lapan pemilik kedai di Jalan Alsagoff, Pontian apabila premis mereka musnah 100 peratus dalam kebakaran, petang tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, antara kedai yang terbakar adalah menjual barangan persiapan haji dan umrah, tudung, basikal dan bengkel motosikal.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Azhar Abd. Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.47 petang memaklumkan kebakaran rumah kedai yang berusia lebih 40 tahun itu.

    Menurut beliau, seramai 24 anggota BBP Pontian, BBP Pontian Baru dan BBP Pekan Nanas terlibat dalam operasi pemadaman api dengan bantuan tiga jentera FRT dan satu Lori tangki.

    “Lapan kedai terbabit telah hangus 100 peratus, manakala dua kedai batu empat tingkat tidak terjejas”, katanya.

    Menurut Azhar, api marak begitu cepat disebabkan struktur bangunan separuh kayu dan batu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setelah peniaga dan pekerja yang berada dalam premis berjaya menyelamatkan diri.

    Sementara itu, seorang pekerja kedai tudung, Khadijah Misnon, 21, berkata, kejadian terbabit berlaku terlalu pantas sehingga menyebabkan barangan yang diletakkan di dalam stor tidak sempat diselamatkan.

    “Tiba-tiba pemilik kedai barangan haji dan umrah yang terletak di sebelah kedai kami memanggil saya dan dua lagi rakan supaya segera menghubungi bomba.

    “Dia beritahu, terdengar bunyi letupan yang kuat. Tidak lama selepas itu, kami nampak asap. Kami cuba selamatkan barang di dalam kedai sambil turut dibantu orang awam,” katanya.

    Sementara itu, Noratika Tik, 24, yang merupakan cucu kepada pemilik kedai barangan haji berkata, kedai neneknya mula diusahakan sejak 12 tahun lalu dan warga emas itu kini berada dalam keadaan trauma.

    “Stok barangan umrah dan haji seperti songkok, kurta, selipar, kain, tudung, telekung dan sebagainya yang baharu dibeli telah hangus terbakar. Hanya dapat selamatkan sedikit dengan bantuan orang ramai.

    “Dianggarkan kerugian mencecah RM50,000 setakat ini dan kami pun tidak pasti apa puncanya,” katanya.

  • Azan Maghrib awal 4 minit, bilal  mohon maaf

    Azan Maghrib awal 4 minit, bilal  mohon maaf

    BILAL Surau Al-Qadir di Guchil 7, Kuala Krai, dipercayai melaungkan azan Maghrib lebih awal empat minit daripada waktunya semalam sehingga kejadian itu tular di media sosial.

    Imam Masjid Bandar Kuala Krai, Armin Azahari Mamat berkata, ketika kejadian bilal berkenaan tidak menyedari bahawa beliau telah melaungkan azan Maghrib pada 7.17 malam menyebabkan segelintir penduduk percaya telah masuk waktu berbuka puasa.

    “Saya telah dimaklumkan oleh penduduk bahawa tok bilal dari Surau Al-Qadir di Guchil 7, Kuala Krai telah melakukan kesilapan tersebut dan beliau telah memohon maaf atas kecuaian yang dilakukannya tanpa disengajakan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Justeru beliau berkata, mengikut hukum syarak, penduduk di sekitar kawasan itu yang telah berbuka puasa mengikut laungan azan tersebut, puasanya dikira terbatal dan wajib digantikan selepas berakhirnya Ramadan nanti.

    Semalam tular di media sosial yang mengatakan penduduk di sekitar Guchil 5, 6 dan 7 di Kuala Krai perlu menggantikan puasa selepas dipercayai azan Maghrib yang menandakan waktu berbuka puasa berkumandang lebih awal daripada waktu sebenarnya.

    Mengulas lanjut, Armin menasihati semua anggota masyarakat supaya peka dengan waktu berbuka puasa dan tidak bergantung semata-mata kepada alunan azan yang berkumandang di masjid, surau mahupun stesen televisyen atau radio.

    Ahad lalu, penyampai radio Tawau FM memohon maaf selepas menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal menyebabkan ada penduduk yang berbuka puasa.

    Susulan itu, beliau memohon maaf menerusi pengkongsian di Facebooknya pada hari sama.