SEORANG nelayan, iaitu juragan bot hilang manakala dua yang lain (awak-awak) terselamat apabila bot mereka karam di perairan Pulau Kapas dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari semalam.

Menurut Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli, mangsa yang hilang merupakan tekong (juragan) bot, Wan Mustapha Ayob, 62.

Menurut beliau, bot nelayan tempatan kelas B dengan nombor pendaftaran TRF 1027 dilaporkan karam pada kedudukan lapan batu nautika dari Pulau Kapas.

Katanya, kejadian berlaku ketika tiga lelaki berusia antara 48 hingga 62 tahun itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di lokasi berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal, dua mangsa kecuali tekong sempat diselamatkan kerana memakai jaket keselamatan,” katanya dalam kenyataan, pada hari ini.

Muhammad Suffi berkata, KM REDANG diatur gerak sejurus Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima maklumat.

Ujarnya, usaha mengesan dan mencari mangsa yang disyaki hilang diteruskan hari ini dengan bantuan nelayan tempatan.

Justeru katanya, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat kecemasan dan salah laku di talian MERS 999 atau 09-6223657 (Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here