Category: Semasa

  • KPDNHEP serbu stesen minyak seleweng minyak subsidi

    KPDNHEP serbu stesen minyak seleweng minyak subsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah stesen minyak dipercayai melakukan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Klang.

    Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan tersebut dilakukan pada pukul 10 malam, 7 April lalu .

    “Ketika serbuan terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel di dalam tangki simpanan di stesen minyak berkenaan.

    “Pemandu lori terbabit baru membuat pengisian minyak berjumlah RM250.

    “Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori terbabit telah membuat bayaran berjumlah RM1,000 bagi pengisian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati dua kompartmen tangki simpanan mengandungi minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 5,000 liter.

    Menurutnya, minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan invois berserta dokumen perniagaan yang lain dari stesen minyak berkenaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

    “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM74,862.50 dan lelaki tempatan berusia 60 tahun mengaku pemandu lori tersebut turut ditahan,” katanya.

    Pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli.

    “Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan,” katanya.

  • Doktor diperdaya hampir RM200,000

    Doktor diperdaya hampir RM200,000

    SEORANG doktor rugi hampir RM200,000 selepas diperdaya dengan tawaran kerja sambilan yang diiklankan dalam Facebook pada Jumaat lalu.

    Mangsa berusia 29 tahun sebelum itu berkenalan dengan seorang individu yang dikenalinya melalui laman sosial Instagram.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superitendan Aibee Abd Ghani, individu terbabit menawarkan satu pekerjaan sambilan secara digital marketing.

    “Mangsa yang berminat dengan pekerjaan itu telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang diuruskan oleh seorang lelaki.

    “Mangsa diberi satu tugasan untuk membuat pembelian barangan di laman web berkenaan serta dijanjikan komisen,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Aibee, tugasan pertama mangsa berjumlah RM99 telah dijanjikan komisen sebanyak 10 peratus daripada modal yang dibuat.

    “Selepas itu mangsa diminta membuat tugasan pembelian tujuh barangan lain yang melibatkan pindahan wang ke dalam akaun individu berbeza sebanyak RM173,888.74.

    “Mangsa dijanjikan menerima komisen ke atas pembelian barangan tersebut pada Ahad, namun rasa ditipu setelah diminta membuat pembayaran untuk perlindungan diri sebanyak RM74,872.41 bagi menebus modal dan komisen dijanjikan tersebut,” katanya.

    Sementara itu Aibee berkata, sebanyak 80 kertas siasatan berkaitan tawaran kerja sambilan tidak wujud dibuka dari Januari hingga Ahad yang melibatkan kerugian RM1,103,195.46.

  • Lelaki rempuh sekatan jalan raya dituduh cuba bunuh polis

    Lelaki rempuh sekatan jalan raya dituduh cuba bunuh polis

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis dalam kejadian di sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu pada 3 April lalu.

    Tertuduh, Muhammad Luqman Hakim Mohd. Shukri, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia yang bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah hospital kerajaan di sini didakwa dengan niat telah melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Lans Koperal S. K. Acharaa.

    Kesalahan di bawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 1.05 pagi pada 3 April lalu dalam kejadian di susur keluar lorong motosikal (menghala ke Jambatan Pulau Pinang) di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, maka boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

    Selain itu, beliau turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa memandangkan mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital tempat tertuduh bekerja.

    Bagaimanapun, Hakim Mazdi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan supaya tertuduh atau sesiapa sekalipun yang dikaitkan dengan tertuduh mengganggu mangsa kes tersebut dalam apa-apa cara sekalipun.

    Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan 20 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula.

    Sebelum ini, Lans Koperal Acharaa, 32, dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas dirempuh sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang dipandu seorang lelaki ketika sedang bertugas di sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

    Rempuhan itu menyebabkan anggota polis berkenaan terpelanting dan terjatuh di bahagian belakang sebuah kereta Perodua Axia yang sedang berhenti untuk pemeriksaan.

    Difahamkan, mangsa sehingga kini masih menerima rawatan di sebuah hospital namun keadaannya dilaporkan stabil.

  • Bersatu tidak setuju defisinasi lompat parti, minta perhalusi

    Bersatu tidak setuju defisinasi lompat parti, minta perhalusi

    BERSATU tidak setuju jika seorang Ahli Parlimen yang dipecat dari partinya atau meninggalkan partinya atas apa juga sebab dikira sebagai  lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya serta-merta, Presidennya, Tan Sri Muhyiddih Yassin.

    Katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh, ada banyak sebab seorang ahli Parlimen dipecat dari parti atau meninggalkan partinya.

    ‘’Ada yang dipecat kerana melanggar disiplin parti atau kerana dengan izin cross the floor atau kerana menyatakan sesuatu yang hak tetapi tidak disenangi oleh pemimpin parti lalu dipecat dari partinya, atau kerana partinya telah lari daripada landasan prinsip perjuangannya yang sebenar serta memudaratkan rakyat dan negara.

    ‘’Keempat-empat situasi ini adalah berbeza. Kalau undang-undang anti lompat parti terpakai dalam semua keadaan tanpa pengecualian, maka undang-undang yang diperkenalkan ini adalah zalim. Maka, pengecualian dan perlindungan tertentu mestilah diberikan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang akan terkesan dengan undang-undang ini,’’ katanya Di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata, dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang yang didapati bersalah oleh mahkamah pun boleh terus kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga kesnya diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, dan sekiranya dia memohon untuk mendapatkan pengampunan, sehingga petisyen pengampunannya diputuskan yang keseluruhan prosesnya mungkin memakan masa bertahun.

    ‘’Tetapi seorang Ahli Parlimen yang menyuarakan kebenaran dan dipecat oleh partinya mesti mengosongkan kerusinya serta-merta. Tidak ada ruang untuk Ahli Parlimen ini mencabar keputusan partinya di mahkamah kerana adanya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966. Rayuan hanya boleh dibuat kepada Majlis Tertinggi parti yang tentunya dikawal oleh pemimpin parti. Adakah ini adil? Is this fair?,’’ katanya.

    Muhyiddin berkata, sekiranya inilah kedudukan undang-undang yang akan terpakai, maka tidak akan ada Ahli Parlimen yang berani menegur pemimpin parti yang melakukan kesilapan dan kemungkaran, yang mengamalkan rasuah dan penyelewengan, kerana bimbang akan dipecat dari parti dan seterusnya hilang kerusi Parlimen yang disandang.

    ‘’Ini akan menjadi suatu titik hitam dalam sejarah amalan demokrasi di negara kita. Dengan izin, members of parliament who represent the will of the people will be muted and silenced by the cabbal who controls a political party. We are putting the interests of a political party first before the people.

    ‘’Oleh yang demikian, sekiranya Rang Undang-Undang ini diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini, saya mencadangkan supaya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dikaji semula untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen yang terkesan dengan undang-undang anti lompat parti mendapat keadilan di mahkamah sebelum beliau dikehendaki mengosongkan kerusinya,’’ katanya.

    Beliau juga berharap mana-mana kerajaan yang memerintah pada masa akan datang tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan undang-undang anti lompat parti yang boleh dipinda dengan sokongan majoriti mudah bagi mendiskriminasi mana-mana Ahli Parlimen.

    ‘’Dalam apa jua keadaan pun, pertimbangan kita yang paling utama mestilah untuk menegakkan hak dan keadilan. Inilah fungsi utama Perlembagaan dan undang-undang di negara kita dan kita sebagai Ahli Parlimen adalah penjaga atau dengan izin, custodian, kepada Perlembagaan dan undang-undang.

    ‘’Oleh itu, walaupun saya secara dasarnya bersetuju supaya pindaan perlembagaan dibuat untuk membolehkan sebuah undang-undang yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri digubal, pindaan perlembagaan ini mestilah dibuat secara berhemah, teliti dan berhati-hati. Justeru saya menyokong Rang Undang-Undang ini dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti,’’ katanya.

    Muhyiddin menegaskan, pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mestilah jelas maksudnya, iaitu untuk membuat sekatan hanya ke atas Ahli Parlimen yang merupakan ahli sebuah parti politik untuk meninggalkan partinya dan menyertai sebuah parti lain.

    ‘’Pindaan ini tidak boleh merangkumi perkara-perkara lain yang boleh dikira menyekat kebebasan berpersatuan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang,’’ katanya.

  • Polis kesan sindiket bawa PATI guna MPV mewah

    Polis kesan sindiket bawa PATI guna MPV mewah

    POLIS mengesan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah untuk membawa masuk dan keluar mereka melalui jalan tidak diwartakan.

    Pihak polis sudah mempunya maklumat berhubung modus operandi yang digunakan sindiket itu dan akan melalukan pemantauan serta berkongsi risikan bersama pasukan Cawangan Khas dan lain-lain Kontinjen.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, itu merupakan taktik terbaharu sindiket bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

    “Mereka ini dikesan mengambil kesempatan dan sudah tidak melalui laluan tikus. Mereka guna laluan gajah naik kereta mewah.

    “Ada sahaja ruang mereka akan lakukan penyeludupan masuk Pati, tetapi kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Briged Tengah PGA, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu Hazani menyaksikan Majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Komander Briged Tengah PGA dan Komander Unit Tindakhas (UTK).

    Sementara itu, Hazani berkata, tangkapan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan khas lain terhadap Pati turut meningkat.

    “Minggu lalu berlaku peningkatan yang terbaru di Kelantan apabila kita menahan 13 warga Myanmar termasuk ‘transporter,’” katanya.

  • [VIDEO] Pelajar dilanggar kereta tak berhenti lampu isyarat merah

    [VIDEO] Pelajar dilanggar kereta tak berhenti lampu isyarat merah

    SEORANG pelajar sekolah dilanggar oleh sebuah kereta yang didakwa tidak berhenti semasa lampu isyarat berwarna merah di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam, Johor, pagi semalam.

    Kejadian itu dapat disaksikan melalui rakaman video berdurasi 26 saat yang dikongsi dalam laman Facebook ‘Shamsiah Shaaban’ hari ini.

    Dalam video tersebut, dilihat kenderaan yang merakamkan kejadian berhenti sebelum lintasan belang yang terletak di hadapan sekolah berkenaan.

    Walau bagaimanapun, dua buah kereta kelihatan tidak berhenti di mana sebuah kereta berada di lorong paling kiri dan sebuah lagi yang berwarna putih di lorong paling kanan.

    Dalam masa beberapa saat selepas rakaman bermula, dilihat kereta putih terbabit melanggar seorang pelajar sekolah yang sedang melintas jalan.

    Remaja berkenaan kelihatan terbaring di atas jalan raya selepas dilanggar kereta yang berwarna putih itu namun tahap kecederaannya tidak diketahui.

    Berikutan kemalangan tersebut, ‘Shamsiah Shaaban’ meminta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi segera mengambil tindakan.

    “Mohon YB Dato Onn Hafiz buat sesuatu untuk tindakan kawasan ni.. Dah lama pihak sekolah dan ibu bapa murid mohon jejantas..

    “Walau kawasan ni ada lampu isyarat tapi ada segelintir manusia yang tak reti faham bahawa MERAH itu berhenti…ini kejadian pagi semalam..

    “Mohon Dato usahakan jejantas di kawasan ini.. Kejadian depan sekolah SMK Simpang Renggam,” katanya.

    Ramai netizen yang menyaksikan video tersebut meluahkan perasaan kesal dengan sikap buruk pemandu yang tidak memberhentikan kenderaan masing-masing untuk memberi laluan kepada pelajar sekolah melintas.

    Mereka berharap agar jejantas segera dibina di lokasi tersebut manakala pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya termasuk melanggar lampu isyarat dikenakan tindakan setimpal.

  • Empat GRO warga asing ditahan JIM

    Empat GRO warga asing ditahan JIM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    EMPAT gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di sebuah premis hiburan di Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Timbalan Pengarahnya, Rosmaliza Mohamed Rashid berkata, keempat-empat wanita berkenaan terdiri daripada dua warganegara Laos dan dua lagi warganegara Thailand didapati tinggal melebih tempoh dibenarkan di negara ini selain tidak memiliki permit pekerjaan yang sah.

    Katanya, keempat-empat warga asing tersebut merupakan sebahagian daripada 36 individu yang diperiksa di premis berkenaan.

    “Serbuan ini dilakukan setelah kita menerima maklumat menyatakan terdapat wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO di sini.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pintu rahsia menghubungkan pusat hiburan tersebut yang berada di tingkat atas premis, dengan tingkat bawah dipercayai bagi memudahkan GRO terlibat melarikan diri,” katanya.

    Premis terbabit beroperasi di lot kedai dua tingkat yang baharu dibuka dengan kewujudannya mungkin tidak akan terlihat hanya dengan sekali pandang.

    Difahamkan GRO terbabit menawarkan khidmat ‘fly’ dari bilik ke bilik dengan mengenakan bayaran tertentu kepada pelanggan.

    Mengulas lanjut katanya, keempat-empat GRO berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala pemilik premis terlibat, turut disaman.

    “Semua wanita itu dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Wanita tunggang motosikal maut digilis lori

    Wanita tunggang motosikal maut digilis lori

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas digilis kenderaan berat dipercayai lori di Kilometer 28 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, di Ipoh, pukul 4.31 pagi tadi.

    Mazaitul Hafiszan Ma’an, 38, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, semasa pihak bomba tiba, terdapat mayat mangsa yang dipercayai dilanggar dan digilis kenderaan berat.

    Penunggang motosikal maut selepas digilis kenderaan berat dipercayai lori di KM 28 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, Ipoh awal pagi tadi

    Bagaimanapun, katanya, tiada kenderaan itu mahupun kenderaan lain yang berkemungkinan terbabit dengan kemalangan di lokasi kejadian.

    “Mangsa telah disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan, manakala anggota melakukan pembersihan di lokasi.

    “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

  • Pengurus lombong bijih rugi RM40,000 ditipu ‘LHDN’

    Pengurus lombong bijih rugi RM40,000 ditipu ‘LHDN’

    LAGI mangsa penipuan membabitkan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Kali ini ia ‘menjerat’ pula seorang pengurus lombong bijih di Gua Musang, Kelantan yang kerugian RM40,000 akibat diperdaya sindiket tersebut pada Sabtu lalu.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Wazir Mohd. Yusof, mangsa berusia 36 tahun yang berasal dari Kota Bharu itu menerima panggilan daripada ‘pihak LHDN’ pada lukul 5.20 petang.

    Katanya, pihak ‘LHDN’ itu memberitahu mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai sebanyak RM98,000 dan kemudiannya menyambung panggilan itu ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah.

    “Dalam perbualan itu ‘pihak LHDN’ mengtaakan mangsa telah terlibat dalam kes penggubalan wang haram dan jenayah berkait dengan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Mohd. Wazir, mangsa telah diminta untuk membuka satu akaun bank baharu bagi menjalankan siasatan.

    Lantaran itu katanya, mangsa telah membuka akaun baharu di Bank Islam Gua Musang sekitar pukul 12 tengah hari.

    “Mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM40,000 daripada Tabung Haji ke dalam akaun Bank Islam tersebut,” katanya.

    Beliau berkata, selepas itu, mangsa telah diberikan satu link aplikasi Bank Negara Malaysia versi 1 dan diminta untuk mengisi kesemua maklumat akaun (Bank Islam) dan pengenalan diri.

    Ujarnya, mangsa kemudian diberitahu siasatan akan dijalankan selama tiga hari dan boleh mengambil kembali wang tersebut.

    “Selepas sejam kemudian mangsa yang mula curiga dan segera menghubungi pusat khidmat pelanggan Bank Islam untuk mendapatkan maklumat,” ujarnya.

    Bagaimanapun katanya, mangsa diberitahu baki wang yang ada dalam akaun tersebut adalah sebanyak RM100.

  • Kerosakan sistem ‘pitot static’ punca pesawat MAS menjunam

    Kerosakan sistem ‘pitot static’ punca pesawat MAS menjunam

    Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengenal pasti kerosakan sistem “pitot static” sebagai punca sebuah pesawat Malaysia Airlines ke Tawau berpatah balik ke KLIA Ahad lalu, selepas dilaporkan “menjunam” secara tiba-tiba.

    Berdasarkan laporan awal perakam data penerbangan (FDR), Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Chester Voo berkata, isu teknikal itu berpunca daripada kerosakan sistem pitot-static, instrumen penting bagi mengukur perbezaan tekanan untuk menentukan kelajuan angin dan ketinggian pesawat di udara.

    Portal FMT melaporkan, Chester berkata, Boeing 737-800 yang terjejas itu direhatkan sehingga diberitahu kelak dan syarikat pengeluar pesawat terbabit sedang menjalankan analisis teknikal.

    Selain mengarahkan Malaysia Airlines membuat kajian semula dengan CAAM berhubung laporan kebolehpercayaan yang memfokuskan isu sama ke atas semua Boeing 737-800, CAAM juga mahu syarikat penerbangan itu memeriksa sistem pitot-static pada semua Boeing 737-800nya.

    Voo berkata, kerosakan yang dialami penerbangan MH2664 pada Ahad lalu menghasilkan petunjuk kelajuan palsu yang menyebabkan pesawat itu terbang lebih tinggi dan fungsi ‘autopilot’ dinyahaktifkan.

    Bertindak balas terhadap keadaan itu, katanya, juruterbang segera mengawal pesawat terbabit semula.

    “Ini penting bagi memastikan pesawat kekal di bawah kawalan juruterbang berdasarkan baki petunjuk tapat menggunakan baki instrumen.

    “Ketika dalam keadaan tidak stabil itu, data keselamatan menunjukkan input mendadak daripada juruterbang ketika cuba mendapatkan kawalan semula.

    “Bagaimanapun, gerakan ini menyebabkan perubahan ketinggian dan ‘pitch’ pesawat yang seiring laporan juruterbang dan pengalaman penumpang dalam pesawat.”

    Katanya, gerakan pembetulan itu ditambah cuaca buruk menyebabkan penumpang dalam kabin tidak selesa.

    Voo berkata, tindakan awal anak kapal dan pelaksanaan senarai semak pemulihan tidak normal mengikut prosedur operasi standard mencukupi berdasarkan laporan siasatan awal CAAM dan FDR.

    Katanya, program “Upset Prevention and Recovery Training (UPRT)” Malaysia Airlines perlu ditingkatkan untuk memberi penekanan kepada tindakan awal dan masa diambil untuk bertindak balas terhadap sesuatu isu, serta CAAM akan mewajibkannya kepada semua pengendali pesawat komersial.

    Awal minggu ini, Malaysia Airlines mengesahkan penerbangan MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau berpatah balik ke KLIA pada 3 April lalu akibat “isu teknikal”, di mana penumpang dilaporkan berkata pesawat itu tiba-tiba “menjunam” sebelum berpatah balik.

    Menurut laporan Bernama, seorang penumpang “melambung” dari tempat duduknya ketika insiden itu berlaku kerana tali pinggang keledarnya dibuka akibat isyarat itu dipadamkan ketika itu.

    Tiga penumpang penerbangan itu membuat laporan polis mendesak siasatan ke atas insiden itu.