Category: Semasa

  • MBAM minta kerajaan campur tangan atasi kenaikan mendadak harga bahan binaan

    MBAM minta kerajaan campur tangan atasi kenaikan mendadak harga bahan binaan

    KERAJAAN diminta segera campur tangan untuk membantu industri pembinaan Malaysia bagi menangani impak daripada kenaikan harga bahan binaan secara mendadak.

    Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, bantuan daripada kerajaan akan membantu kontraktor menyiapkan projek tepat pada masanya dan mengelak projek ditamatkan atau terbengkalai.

    Menurut MBAM, beberapa kontraktor telah mempertimbangkan untuk berhenti membida projek yang ditawarkan oleh pihak berkuasa tempatan berikutan kontrak tersebut memindahkan terlalu banyak risiko kepada kontraktor yang telah mengalami kelewatan dari segi harga yang ditender dan harga semasa sebenar.

    “Perbezaan antara harga sebenar yang ditender dan harga semasa sebenar ini perlu diperbetulkan. Ia tidak tepat dan tidak mencerminkan ketidaktentuan pasaran dengan baik,” menurut MBAM dalam kenyataan, lapor DagangNews.com.

    Kenaikan harga bahan meningkat secara mendadak berikutan pandemik dan peningkatan kos bahan dan tenaga memberi impak negatif kepada kontraktor yang mengendalikan projek kerajaan dan swasta, katanya.

    Oleh itu, MBAM mencadangkan pengeluar dan pembekal perlu ‘mengunci harga’ untuk semua pesanan yang dibuat, jika tidak, ia akan mengatasi tujuan ‘mengunci harga’ untuk projek manakala pesanan baharu tambahan atau bekalan baharu perlu dirundingkan pada harga tersebut.

    “Kami turut berharap pengeluar bahan binaan dapat memberikan pecahan terperinci kos bahan mentah, kos tenaga seperti menambat harga bahan binaan dengan harga antarabangsa dan membolehkannya naik dan turun dengan sewajarnya,” katanya.

    MBAM juga merayu kepada kerajaan mengecualikan sementara duti import bahan mentah dan memberikan subsidi atau geran kepada pengeluar bagi mengurangkan kenaikan kos pengeluaran dan meminta kerajaan memberi subsidi untuk kenaikan kos bahan mentah supaya harga stabil.

    Persatuan turut menggesa semakan semula perubahan harga (VOP) kadar untuk projek kontrak kerajaan, sambil menambah bahawa VOP perlu dilanjutkan sehingga 31 Dis 2022 dan seterusnya, jika perlu.

    MBAM juga mencadangkan kenaikan harga perlu secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga enam bulan berbanding ‘kenaikan yang tinggi secara mendadak sekali gus’ berikutan “ini bukan sahaja akan menghalang turun naik harga yang melampau tetapi turut membantu kontraktor mengurangkan aliran tunai dan kerugian mereka”.

  • Nik Ezanee kembali ke pasukan, PM restui keputusan

    Nik Ezanee kembali ke pasukan, PM restui keputusan

    PEGAWAI polis yang dikagumi ramai, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faizal dilaporkan akan kembali kepada pasukan selepas empat bulan berkhidmat sebagai pegawai pengiring Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (JSJ) itu memberitahu telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan sebaik mendapat restu telah memohon secara rasmi pertukaran secara dalam talian.

    Memberitahu portal The Vibes, Nik Ezanee berkata beliau berasa dirinya ‘milik pasukan (PDRM) dan anggota-anggotanya’.

    “Mereka memerlukan kepemimpinan dan saya mahu bersama mereka (pasukan dan anggota,” katanya.

    Bercerita pertemuannya bersama Perdana Menteri awal bulan ini, Nik Ezanee berkata, Perdana Menteri sangat memahami situasi dirinya.

    “Saya bercakap dengan Perdana Menteri pada 2 April dan memberitahu kemahiran dan bakat yang ada lebih baik digunakan di lapangan sebab itu yang saya boleh lakukan dengan baik.

    “Perdana Menteri sangat memahami dan memberitahu tidak ada masalah terhadap permintaan saya. Jadi pada hari sama saya membuat permohonan pertukaran secara dalam talian,” katanya.

    Nik Ezanee merupakan sebahagian daripada lima pegawai kanan PDRM yang terbabit dalam pertukaran pada Disember tahun lalu.

    Sebelum dilantik ke jawatan Ketua JSJ Selangor, Nik Ezanee merupakan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

    Selain etika, karisma dan sikap profesional dalam tugas, Nik Ezanee turut dikagumi dari sisi kemanusiaan, kemasyarakatan dan penampilan segaknya.

    Antara peristiwa yang diingati dan menyebabkan ramai sebak apabila Nik Ezanee membantu ibu tiga anak yang didapati mencuri di sebuah pasar raya.

    Disebalik menghukum, Nik Ezanee memilih jalan luar biasa apabila melihat kes tersebut daripada sisi lebih besar dengan bukan sahaja mengklasifikasikan kes tersebut sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ tetapi mengurus bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk ibu berkenaan.

    Ketika diumumkan pelantikan sebagai pengiring PM, ramai meluahkan kekecewaan dalam media sosial kerana mereka yakin pegawai dengan kualiti dan profesionalisme Nik Ezanee diperlukan dalam pasukan dan masyarakat.

  • Sempat masak juadah berbuka untuk asnaf sebelum meninggal dunia

    Sempat masak juadah berbuka untuk asnaf sebelum meninggal dunia

    SEORANG aktivis kebajikan sempat memasak juadah berbuka puasa kepada 1,000 asnaf beberapa jam sebelum dilaporkan meninggal dunia pada pagi Jumaat di Kota Bharu, Kelantan.

    Pengasas Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan, Allahyarham Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni, 44, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) akibat komplikasi jantung pada jam 2.30 pagi.

    Balu Allahyarham , Zurawati Zulkifli, 44, berkata, sebelum dikejarkan ke hospital suaminya mengadu sakit dada kira-kira pada jam 12 tengah malam dan sukar tidur.

    Katanya, sepanjang perjalanan, suaminya tidak berhenti-henti mengucap dua kalimah syahadah.

    “Apabila tiba di HUSM dia masih boleh berjalan sendiri untuk naik ke katil hospital sebelum pemeriksaan dilakukan dan mendapati bacaan jantung mulai menurun.

    “Pada waktu itu, doktor pula memintanya supaya mengucap dua kalimah syahadah dan selepas mengucap terus dia ‘pergi’.

    “Beberapa hari sebelum ini, kerap dia menyebut soal kematian dan seperti memberitahu ajalnya sudah dekat. Dia pergi dengan mudah pada hari ini,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Jenazah Allahyarham Meor Shamshir disembahyangkan di Masjid Padang Bongor, Kelantan dengan kehadiran lebih 5,000 orang bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

    Allahyarham adalah seorang jurutera yang bergiat aktif dalam banyak kerja kebajikan dan pernah menerima anugerah Tokoh Kebajikan Cakna Asnaf Miskin pada Hari Kebajikan Negeri Kelantan tahun 2020.

    Pemergian arwah meninggalkan dua isteri dan enam anak berusia antara dua tahun sehingga 19 tahun.

  • MOU: Muhyiddin akan dapatkan penjelasan Ismail Sabri

    MOU: Muhyiddin akan dapatkan penjelasan Ismail Sabri

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH).

    Beliau berkata dalam pertemuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail Sabri minggu lepas, perkara itu ada dibincangkan dan dimaklumkan tiada apa-apa perundingan perlu dibuat berhubung MoU tersebut.

    “Jadi saya setuju dengan pendirian itu tetapi hari ini, ada keputusan yang agak berbeza.

    “Kita akan dapatkan penjelasan adakah dia (Ismail Sabri) nak berhenti atau lanjut lagi… wallahualam,” katanya kepada media selepas meninjau keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini susulan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lepas.

    Beliau mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam bahawa MoU itu tidak akan diteruskan selepas tamat pada 31 Julai ini.

    Pada 13 Sept 2021, kerajaan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani oleh Perdana Menteri dan pemimpin parti dalam PH iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 serta Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

     Ismail Sabri hari ini dilaporkan berkata beliau akan akur dengan keputusan itu kerana sebagai Naib Presiden UMNO, beliau tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh MT parti berkenaan.

    Ditanya mengenai MT UMNO yang sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Muhyiddin berkata perkara itu adalah soal parti berkenaan dan PN tidak mengambil pendirian serupa.

    — BERNAMA

  • Remaja putus tiga jari, pecah gegendang telinga akibat mercun bola di Bachok

    Remaja putus tiga jari, pecah gegendang telinga akibat mercun bola di Bachok

    SEORANG  remaja lelaki berusia 14 tahun putus tiga jari tangan kanan, selepas terkena mercun bola di Kampung Lembah Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok, semalam.

    Ketua Polis Daerah Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, ketika kejadian, mangsa yang sedang bermain mercun bola di belakang rumahnya tidak sempat membaling mercun tersebut menyebabkan ia meletup di tangan kanannya.

    “Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar di Tawang pada 4.45 petang semalam oleh keluarganya untuk menerima rawatan awal kerana tahap kecederaan mangsa serius di bahagian tangan kanan akibat bahan letupan itu, selain terdapat kesan luka di leher akibat percikan bahan bakar yang berada di tahap satu.

     “Keadaan mangsa ketika ini stabil selepas menjalani pembedahan membuang ibu jari, jari telunjuk dan tengah di Hospital Universiti Sains Malaysia Kota Bharu, manakala gegendang telinga mangsa juga pecah dan dirujuk pakar di hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Susulan kejadian itu, Ismail berkata, satu pasukan pemantau melibatkan dua pegawai dan lapan anggota ditubuhkan untuk membuat pemantauan bagi mengesan aktiviti bermain mercun di sekitar jajahan Bachok.

    “Saya ingin beri amaran kepada masyarakat supaya sentiasa cakna dan menjaga keselamatan diri supaya tidak sesekali bermain mercun yang boleh mengundang bahaya kepada diri dan orang di sekeliling.”

  • Tiga lelaki ditahan menyamar polis dan samun

    Tiga lelaki ditahan menyamar polis dan samun

    POLIS menahan tiga lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan jenayah mereka dengan menyamar polis, sebelum bertindak mencederakan dan menyamun mangsa, dalam beberapa serbuan di Bayan Lepas dekat sini dua hari lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata tiga lelaki berusia 24 hingga 30-an itu, ditahan secara berasingan bermula pukul 1 tengah hari, susulan laporan polis dibuat seorang lelaki yang menjadi mangsa mereka.

    “Menurut mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Datuk Keramat, di sini pada 11.30 malam 31 Mac lepas, dia didatangi dua lelaki yang mengaku sebagai anggota polis sebelum mereka membawanya ke kawasan gelap di bahagian belakang kedai tersebut.

    “Dua lelaki itu kemudiannya bertindak menumbuk perut mangsa, sebelum memaksanya menyerahkan duit dengan cara pemindahan wang secara dalam talian sebanyak RM1,000 ke satu akaun bank, yang diarahkan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan, bagi mengesan sama ada tiga lelaki itu turut terlibat dalam beberapa kes menyamar polis atau jenayah lain, di Pulau Pinang.

    Rahimi berkata ekoran penahanan tiga lelaki itu, polis merampas dua unit telefon bimbit, satu unit beg, satu paket syabu dan sekeping kad bank, untuk siasatan lanjut.

    “Pemeriksaan mendapati mereka yang ditahan bekerja sebagai pengawal keselamatan, penghantar barang dan penganggur itu, mempunyai dua hingga 10 pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” katanya.

    Katanya tiga lelaki yang positif dadah itu, kini direman sehingga 19 April bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 395 serta 170 Kanun Keseksaan.

    — BERNAMA

  • 13 individu ditahan seludup kontraban, bunga api, bitcoin bernilai RM10.1 juta

    13 individu ditahan seludup kontraban, bunga api, bitcoin bernilai RM10.1 juta

    POLIS menahan 13 individu dalam 13 serbuan kerana disyaki terlibat kegiatan penyeludupan kontraban, bunga api dan perlombongan bitcoin di sekitar Lembah Klang dalam Op Kontraban mulai 5 April lepas dengan rampasan hampir RM10.1 juta.

    Mereka yang ditahan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas dan Pasukan Gerakan Khas dalam operasi 10 hari itu terdiri daripada 11 lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berumur lingkungan 20 hingga 50-an.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata dalam serbuan pertama pada 5 April lepas, polis menahan seorang lelaki bersama 1,079 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM318,634.40 serta sebuah kenderaan di Kajang, Selangor.

    Susulan serbuan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan serbuan kedua di lokasi sama dengan merampas 2,800 karton rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1.1 juta menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kedua-dua serbuan dianggarkan RM1.5 juta.

    “Serbuan ketiga dijalankan di Klang dan polis menahan seorang lelaki dan merampas 264 kotak mercun pelbagai jenis diangggarkan bernilai RM800,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata dalam serbuan keempat pada Rabu lepas, sebuah premis perindustrian di sekitar Lembah Klang dikesan menjalankan kegiatan pengilangan dan pembungkusan rokok yang didapati tidak mendapat kelulusan kastam.

    “Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang bertanggungjawab ke atas premis itu dan merampas sejumlah 15,600 karton rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM6.2 juta.

    “Premis itu didapati menyalahgunakan kelulusan sedia ada dengan membuat pembungkusan dan pengedaran rokok tanpa kelulusan kastam,” katanya.

    Sementara itu, Hazani berkata polis meneruskan operasi mengekang kegiatan perlombongan bitcoin dan bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan operasi membanteras kegiatan mencuri dan membuat penyambungan tidak sah elektrik.

    Beliau berkata dalam operasi khas itu, sembilan premis diserbu dan polis merampas 515 unit mesin bitcoin yang dianggarkan bernilai melebihi RM1.5 juta dan menahan tujuh lelaki tempatan bersama dua lelaki warga asing.

    “Operasi khas itu berjaya mengekang kerugian berjumlah 374,353.10 kwh per bulan dengan nilai RM190,545.70 per bulan kepada pihak TNB,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Hazani berkata berdasarkan statistik keberhasilan bermula Januari hingga 15 April lepas, polis melancarkan 35 serbuan dan menahan 51 individu manakala nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM38 juta.

    — BERNAMA

  • CEO didenda RM80,000 gagal lapor pemberian rasuah

    CEO didenda RM80,000 gagal lapor pemberian rasuah

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendenda ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat pembekal kandungan bagi sebuah syarikat telekomunikasi sebanyak RM80,000 kerana gagal melaporkan pemberian rasuah berjumlah RM26,000.

    Hukuman itu dijatuhkan ke atas Lim Eng Hoong, 46, selepas dia mengaku bersalah atas lapan pertuduhan pilihan gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung permintaan wang daripada seorang kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi.

    “Pemberian wang itu sebagai balasan kerana memberi maklumat aduan pelanggan syarikat telekomunikasi bagi Elite Entertainment Sdn Bhd daripada portal sistem perkhidmatan pengurusan pelanggan syarikat telekomunikasi terbabit,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini, lapor FMT

    Pertuduhan utama terhadap Lim dibuat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009 pada 26 Jan lalu.

    Lapan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 25 (3) Akta SPRM 2009 dibacakan hari ini, ia membabitkan nilai rasuah sebanyak RM26,000 kerana tidak melaporkan permintaan wang daripada K Theva Kumar tanpa alasan munasabah.

    Hakim Rozina Ayob menjatuhkan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan pilihan itu dan penjara empat bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

    Tertuduh telah membayar denda sebanyak RM80,000 dan baki 18 pertuduhan menggunakan “take into consideration (TIC)” mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Asri Abd Rahman Sidik, manakala tertuduh diwakili peguam Emily Tan.

  • MPN yakin proses pemulihan ekonomi kembali rancak

    MPN yakin proses pemulihan ekonomi kembali rancak

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) yakin proses pemulihan ekonomi negara akan kembali rancak dalam tempoh beberapa bulan akan datang susulan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April.

    Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prosedur operasi standard untuk pengembara yang dipermudah akan menggalakkan lebih ramai pelancong kembali mengunjungi negara ini.

    Beliau berkata, difahamkan 50 syarikat penerbangan kembali mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ini merupakan petanda baik.

    “Pelawat juga lebih 250,000 orang sehingga hari ini tapi jumlah itu masih rendah daripada sasaran. Setelah negara ditutup kepada dunia sekian lama, kita tidak boleh jangka dua minggu mencacak naik,” katanya kepada media selepas meninjau situasi di KLIA hari ini.

    Muhyiddin berkata, proses itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun sebelum negara pulih seperti dahulu.

    Beliau berkata, memandangkan sektor pelancongan, yang menyumbang RM80 bilion setahun kepada negara, adalah antara yang terkesan teruk ekoran pandemik COVID-19, satu taklimat akan diadakan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi meneliti proses pemulihan sektor itu yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk kembali pulih. – BERNAMA

  • Tertarik langsir punca Siti Bainun ‘naik hantu’, pukul Bella

    Tertarik langsir punca Siti Bainun ‘naik hantu’, pukul Bella

    KEJADIAN tertarik langsir sehingga besi penggantung langsir tercabut menjadi punca pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mula ‘naik hantu’ dan bertindak memukul serta memarahi remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

    Yasmin Nahar Mahmood, 19, penghuni Rumah Bonda, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa Siti Bainun mula mendera remaja itu secara fizikal pada Mac 2021.

    Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Asiah Abdul Jalil yang mewakili Siti Bainun, saksi pendakwaan kelima itu berkata susulan kejadian tertarik langsir itu, Bella diberi layanan berbeza oleh tertuduh yang dipanggil bonda oleh remaja itu.

    Asiah: Pada bulan Mac, apa yang berlaku sehingga menyebabkan Siti Bainun tak suka pada Bella?

    Yasmin: Bella masuk bilik kedua, dia tertarik langsir sampai putus, bila Siti Bainun tahu, dia marah dan pukul Bella.

    Asiah: Bilik siapa?

    Yasmin: Bilik tidur saya dan adik-adik saya yang lain.

    Ditanya peguam itu selepas kejadian tersebut, adakah Bella terus didera dengan air panas, Yasmin berkata: “Didera tetapi belum disimbah air panas”.

    Yasmin juga mengekalkan keterangannya sebelum ini bahawa Siti Bainun menyuruhnya menyimbah air panas ke atas Bella sebanyak tiga kali seminggu menggunakan cawan plastik yang tidak bertangkai berwarna kuning dan picagari.

    Selain itu, Yasmin turut mengekalkan keterangannya sebelum ini bahawa Bella akan dibogelkan, diikat dan dibaringkan sebelum dicurahkan air panas berwap daripada mesin air pada bahagian tertentu badan remaja itu.

    Asiah: Jika Bella dibogelkan sebelum dicurah air panas, kenapa bahagian punggung tidak kena?

    Yasmin: Sebab masa itu, Bella pakai pampers (lampin pakai buang).

    Semasa ditunjukkan gambar kecederaan pada badan Bella, Yasmin menyatakan parut yang jelas kelihatan adalah di paha kanan, pergelangan kaki dan lutut akibat kesan dipijak.

    Yasmin turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kejadian dera itu berlaku di bahagian bilik dobi, ruang tamu dan tandas di rumah tersebut, namun saksi itu tidak mengetahui motif Bella didera.

    Kepada soalan lain, Yasmin memberitahu, beliau tidak pasti sama ada jiran di kondominum (tempat Bella tinggal) ada mendengar atau melihat remaja itu didera antara Mac hingga Jun 2021.

    Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa jika pintu gelongsor di ruang tamu dibuka, sesiapa sahaja boleh mendengar jeritan kanak-kanak menangis atau muzik daripada jiran-jiran sekeliling.

    Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Rabu depan. – BERNAMA