Category: Semasa

  • Lelaki mabuk samun kedai serbaneka bersenjatakan gergaji kecil

    Lelaki mabuk samun kedai serbaneka bersenjatakan gergaji kecil

    SEORANG lelaki tempatan dalam keadaan mabuk melakukan samun dengan mengacukan gergaji kecil di sebuah kedai serbaneka di Taman Sentosa, Klang, pada jam 12.08 tengah hari kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, semasa kejadian, mangsa yang berusia 19 tahun sedang bekerja sendirian di kedai serbaneka itu sebelum didatangi suspek.

    “Suspek meminta wang daripada mangsa dengan alasan dirinya dirompak bagaimanapun remaja terbabit memaklumkan kedai berkenaan tidak ada wang.

    “Lelaki berkenaan kemudian bertindak mengeluarkan senjata iaitu gergaji kecil dan mengacukan kepada mangsa. Susulan takut dicederakan, mangsa membuka laci tempat simpanan duit dan menyerahkan kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, susulan kejadian itu, kedai berkenaan mengalami kerugian sekitar RM235.15.

    Katanya, suspek difahamkan mempunyai susuk tubuh tinggi dan sedikit berisi, memakai pelitup muka di paras mulut, memakai baju kemeja bercorak kotak, berseluar hitam serta berkasut putih.

    “Mangsa gagal mengecam wajah suspek kerana takut untuk melihatnya dan hasil pemeriksaan juga mendapati tiada kesan geledah serta cap jari suspek ditemui di lokasi.

    “Mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Terdahulu, satu rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) kedai serbaneka tular memaparkan suspek mengacu senjata terhadap pekerja yang berada di kaunter pembayaran kedai berkenaan.

    Berikutan itu, mangsa dilihat membuka laci simpanan wang dan menyerahkan sejumlah wang kepada suspek yang kemudian dilihat beredar dari tempat kejadian.

  • Mercun setengah juta ringgit dirampas di Kempas dan Muar

    Mercun setengah juta ringgit dirampas di Kempas dan Muar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEJUMLAH mercun yang dianggarkan bernilai kira-kira RM531,000 berjaya dirampas Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam dua serbuan berasingan di Johor Bahru dan Muar, semalam.

    Dalam serbuan pertama di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar kira-kira pukul 11 pagi, PGA merampas pelbagai jenis mercun yang bernilai kira-kira RM500,000 selain menahan dua individu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, operasi kedua di Taman Bukit Kempas, Johor Bahru pada pukul 6 petang pula membawa kejayaan merampas sejumlah mercun lagi yang dianggarkan bernilai RM31,000.

    “Dua lagi individu ditahan di Kempas yang menjadikan empat suspek lelaki berusia 27 hingga 41 tahun diberkas di kedua-dua lokasi termasuk salah seorang daripada mereka berasal dari Indonesia.

    “Antara mercun yang dirampas dalam serbuan itu adalah mercun happy boom; mercun thunder clap; mercun bola; crazy robot; happy boom tikus; mercun pop pop dan pelbagai lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dalam serbuan pertama di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar pukul 11 pagi, PGA merampas pelbagai jenis mercun yang bernilai kira-kira RM500,000 selain menahan dua individu.

    Tambah Dimin, pihaknya turut merampas dua buah lori, masing-masing sebuah di Kempas dan sebuah lagi di Muar.

    “Kejayaan tangkapan dan rampasan mercun ini berjaya memutuskan pembekalan mercun di sekitar Kempas dan Muar khususnya menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

    Beliau berkata, kedua-dua kes terbabit akan disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

    Dimin turut menyeru kerjasama awam untuk terus menyalurkan maklumat bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungkan Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA di talian 07-7557280,” jelasnya.

  • Tubuh pasukan atasi kesesakan Tambak Johor

    Tubuh pasukan atasi kesesakan Tambak Johor

    SATU pasukan petugas sudah ditubuh dan digerakkan bagi mencari penyelesaian kesesakan yang sering berlaku di Tambak Johor, terutamanya ketika hujung minggu, menjelang projek Rapid Transit System (RTS) Singapura-Johor Bahru link dijangka siap pada 2026.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam menerusi Facebooknya selepas melawat tapak projek RTS Woodlands North Terminus.

    Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran.

    Beliau berkata, penubuhan pasukan petugas itu adalah bagi penyelesaian jangka pendek.

    Menurut laporan media, dianggarkan lebih 300,000 rakyat Malaysia menyeberangi Tambak Johor setiap hari, menjadikannya laluan menyeberangi sempadan paling sibuk di rantau ini.

    Beliau dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula 17 April dan ia adalah lawatan rasmi sulungnya ke Singapura sejak dilantik menjadi Menteri Besar pada Mac.

    Onn Hafiz yakin sistem pengangkutan moden yang bakal siap dalam tempoh empat tahun itu dapat mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor.

    “Saya turut yakin apabila projek RTS siap kelak, projek ini akan membawa limpahan ekonomi kepada rakyat dan Negeri Johor, khususnya di Johor Bahru,” katanya.

    RTS Link, perkhidmatan ulang-alik sepanjang empat kilometer antara perhentian Singapura di stesen Woodlands North dan perhentian Malaysia di stesen Bukit Chagar di Johor Bahru.

    Ia mampu menampung sehingga 10,000 penumpang sejam untuk setiap laluan.

    Penumpang bakal menikmati pengalaman perjalanan yang pantas dan lancar antara Singapura dan Johor Bahru dengan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen. – Bernama

  • Permaisuri Johor ingatkan jangan salah guna kurniaan istana

    Permaisuri Johor ingatkan jangan salah guna kurniaan istana

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN seorang individu ‘ghairah’ menayang hadiah kurniaan Istana Johor memakan diri apabila menerima teguran Pemaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

    Baginda bertitah sebarang kurniaan daripada Istana Johor tidak sepatutnya disalah gunakan untuk meraih populariti di media sosial.

    Raja Zarith bertitah demikian merujuk kepada pemilik akaun bernama ‘Shafeqyahya’ di TikTok yang telah menayang beberapa hadiah kurniaan daripada Istana Bukit Serene.

    Titah Raja Zarith, Baginda tidak mengenali individu pemilik akaun tersebut.

    “Saya tahu hadiah-hadiah itu dan ia sebenarnya hadiah kurniaan kepada sesetengah pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Johor sebagai penghargaan ikhlas atas perkhidmatan mereka.

    “Saya tidak mengenali siapa ‘Shafeqyahya’ ini dan saya mengesyaki hadiah-hadiah itu disalah gunakan untuk meraih ikutan dan populariti di media sosial.

    “Seolah-olah (dia) mempunyai hubungan yang rapat dengan Keluarga Diraja Johor,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

    Permaisuri Johor turut bertitah, satu laporan polis akan dibuat untuk menyiasat sama ada wujudnya elemen salah guna ataupun menyamar sebagai pegawai kerajaan Johor.

    Pemilik akaun tersebut sebelum ini memuat naik beberapa video yang memaparkan barangan kurniaan Istana Johor antaranya syiling emas dan pelbagai lagi.

    Sementara itu, semakan di aplikasi TikTok mendapati, pemilik akaun berkenaan dipercayai sudah menukar mod kepada ‘private’ susulan isu terbabit.

  • RM9.55 juta kerugian akibat ditipu Macau Scam di Johor

    RM9.55 juta kerugian akibat ditipu Macau Scam di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 209 kes melibatkan Macau Scam dilaporkan di Johor sejak awal tahun sehingga semalam yang membabitkan kerugian RM9.55 juta.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusin berkata, statistik tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu hanya mencatatkan 90 kes.

    Beliau memberitahu, jumlah kerugian yang ditanggung pula berjumlah RM9.5 juta dalam tahun ini setakat ini berbanding tempoh sama tahun lalu RM2.8 juta, sekali gus mencatatkan peningkatan RM6.6 juta.

    “Terdapat beberapa modus operandi yang dilakukan Macau Scam antaranya mangsa menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali sama ada secara terus atau melalui mesin operator.

    “Mangsa akan diberitahu mempunyai tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa. Apabila mangsa menafikan, akan dinasihatkan supaya membuat laporan polis secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada pihak polis dan agensi lain sebelum diberitahu terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dengan nama mereka telah disenaraihitamkan dan waran akan dikeluarkan serta akaun bank turut dibekukan.

    Menurutnya, mangsa kemudian diarahkan memindahkan semua wang ke dalam akaun tertentu atau ke akaun mangsa sendiri dengan cara memuat naik satu aplikasi dengan mendaftarkan butiran akaun termaksuk akses dalam talian.

    Selepas mempunyai kawalan ke atas akaun bank mangsa, semua wang daripada akaun bank tersebut akan dikeluarkan melalui perbankan internet tanpa pengetahuan mangsa, katanya.

    “Pihak JSJK ingin berkongsi beberapa tips bagi mengelak menjadi mangsa iaitu jangan melayan panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali. Perlu diingat bahawa siasatan polis tidak dilakukan secara dalam talian.

    “Jangan dedahkan maklumat bank kepada mana-mana pihak. Jangan panik, bertenang dan buat semakan dengan agensi berkaitan apabila menerima panggilan seperti itu dan gunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan JSJK,” katanya.

    Antara perkhidmatan itu katanya, Semak mule, CCID scam response centre, CCID infoline dan Facebook JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan maklumat berkaitan jenayah komersil.

  • Pemandu treler maut tersepit rempuh belakang treler lain

    Pemandu treler maut tersepit rempuh belakang treler lain

    SEORANG pemandu treler maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang treler lain yang berhenti di laluan kecemasan di Kilometer 1.5 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) di Shah Alam, hari ini.

    Kemalangan yang berlaku dari arah Shah Alam menuju Subang itu mengakibatkan seorang mangsa, 59, tersepit di bahagian pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.37 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Siasatan awal mendapati sebuah treler berhenti di laluan kecemasan berikutan mengalami kerosakan.

    “Bagaimanapun treler yang dipandu mangsa dari arah sama tidak sempat mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang kenderaan berkenaan, akibatnya mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Katanya, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dan kemudian menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Rugi RM20,000 sarang madu kelulut dimusnah beruang

    Rugi RM20,000 sarang madu kelulut dimusnah beruang

    SEORANG pengusaha madu kelulut di Kampung Geretak Kangkong, Kuala Krai kerugian RM20,000 apabila 30 daripada 180 sarang kelulutnya dimusnahkan beruang sejak akhir tahun lepas.

    Che Awang Mat Zin, 69, yang mengusahakan madu kelulut di tanah seluas 0.4 hektar berkata kejadian terbaharu berlaku semalam.

    Menurutnya, selain log kelulut, haiwan liar itu turut merosakkan pagar yang dibina di kawasan madu kelulutnya itu. 

    “Setiap satu log berharga RM700, akibat serangan haiwan liar itu saya kerugian kira-kira RM20,000.

    “Akibat kejadian itu hasil tuaian dan pendapatan saya terjejas, sebelum ini saya mampu meraih pendapatan RM1,500 hingga RM2,000 sebulan hasil jualan madu kelulut,” katanya kepada pemberita di Kuala Krai, hari ini.

    Che Awang berkata sebelum ini dia pernah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan segera.

    “Perhilitan telah mengambil tindakan dengan memasang perangkap haiwan itu beberapa bulan lepas namun tidak berhasil kerana haiwan itu ‘cerdik’.

    “Jika haiwan ini berterusan berkeliaran bukan sahaja sarang kelulut saya musnah, malah penduduk dan kebun penduduk di sini turut terancam, saya harap pihak berwajib akan terus mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini,” kata pesara kerajaan itu. – Bernama

  • 2,350 saman dikeluarkan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan

    2,350 saman dikeluarkan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 2,350 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan polis Johor dalam Operasi Khas Samseng Jalanan selama seminggu bermula 9 April lalu hingga semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, operasi bersepadu itu turut menahan 42 individu berusia 14 hingga 53 tahun mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Beliau memberitahu, menerusi operasi khas itu, 12,815 individu dan 10,035 kenderaan, termasuk 3,723 motosikal diperiksa.

    “Daripada jumlah berkenaan, 208 kenderaan telah diambil tindakan sita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 untuk siasatan dan tindakan lanjut.

    “Operasi khas ini bertujuan menangani isu mat rempit yang sangat sinonim dengan aktiviti lepak, konvoi, ubah suai motosikal dan berani melakukan aksi-aksi berbahaya seperti lumba haram, ‘wheelie’, ‘superman’ dan lain-lain yang jelas membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.

    “Menjadi kebanggaan dalam kalangan mereka apabila berjaya melakukan aksi-aksi terbabit untuk dimuat naik dalam media sosial seperti Tik Tok, Instagram dan lain-lain platform media sosial.

    “Budaya ini menjadi trend semasa, malah mereka tidak serik walaupun beberapa kali kemalangan dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa atas kesalahan sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, fokus operasi itu juga adalah di lebuh raya, khusus mengesan kumpulan penunggang motosikal berkonvoi dan melakukan aksi bahaya seperti yang selalu tular di media sosial.

    “Operasi ini akan terus dijalankan dalam memastikan budaya ini dapat dibendung dan dikekang secara serius,” katanya.

  • Awas tawaran ‘Geran Membaiki Kediaman’, taktik curi data peribadi di media sosial

    Awas tawaran ‘Geran Membaiki Kediaman’, taktik curi data peribadi di media sosial

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik terbaharu cubaan untuk mendapatkan data peribadi (phishing) melalui hantaran mesej di media sosial.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata berdasarkan risikan dilakukan pihaknya, pengguna laman sosial akan menerima mesej daripada individu tidak dikenali yang seterusnya menawarkan geran kewangan dinamakan ‘Home Improvement Grant’.

    “Geran tersebut didakwa sebagai program dikendalikan beberapa agensi kerajaan dengan kerjasama bank dunia untuk membantu individu yang memerlukan bantuan kewangan.

    “Sekiranya berminat, pemohon diminta mengisi maklumat peribadi termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, status perkahwinan dan beberapa maklumat lain yang dinyatakan dalam borang permohonan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Mohd Kamarudin bagaimanapun berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan perkara itu, namun mengingatkan orang ramai bahawa tindakan mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali adalah satu tindakan berbahaya.

    Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berwaspada kerana maklumat peribadi merupakan data yang berpotensi untuk disalahgunakan seandainya diperoleh pihak tidak bertanggungjawab.

    Katanya, orang ramai boleh membuat semakan secara terus dengan agensi atau kementerian yang bertanggungjawab bagi tujuan permohonan bantuan ataupun geran daripada pihak kerajaan dan tidak sesekali mempercayai mesej diterima daripada pihak ketiga.

    Bagi sebarang nasihat atau kemusykilan berkaitan jenayah komersial, orang ramai boleh merujuk kepada CCID Scam Response Center menerusi talian 03-26101559 atau 03- 26101599. – Bernama

  • Sambutan Nuzul al-Quran tahun ini lebih meriah

    Sambutan Nuzul al-Quran tahun ini lebih meriah

    KELONGGARAN yang dinikmati oleh umat Islam untuk meraikan sambutan Nuzul al-Quran secara beramai-ramai di masjid dan surau tahun ini adalah hasil tindakan pantas kerajaan terdahulu di bawah Perikatan Nasional (PN) melaksanakan program imunisasi besar-besaran.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia berasa sungguh beruntung kerana tahun ini mereka dapat melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan sambutan Nuzul al-Quran sebagaimana biasa seperti majlis tadarus dan tadabur serta majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai di masjid atau di surau.

    “Alhamdulillah, saya difahamkan hampir kesemua masjid dan surau di negara ini menganjurkan majlis seperti ini.

    “Keadaan ini berbeza ketika negara berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 dua tahun lalu yang mana semua majlis sedemikian hanya boleh diadakan di rumah masing-masing sahaja.

    “Ini adalah hasil tindakan pantas dan drastik Kerajaan ketika itu memperkenalkan program imunisasi besar-besaran kepada rakyat jelata yang menyaksikan hampir kesemua populasi dewasa sudah menerima dos lengkap vaksinasi masing-masing.

    “Keadaan ini membolehkan seluruh sektor kehidupan dibuka sepenuhnya seperti sediakala,” katanya dalam hantaran sempena sambutan Nuzul al-Quran di laman Facebook beliau, malam ini.

    Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Perdana Menteri menyeru umat Islam agar menggunakan peluang itu untuk melipatgandakan amalan yang dituntut seperti solat fardu berjemaah, solat tarawih, qiamullail di masjid atau surau serta bersedekah terutama kepada golongan yang memerlukan.

    Muhyiddin berkata, sesungguhnya amalan tersebut sangat dituntut dan dijanjikan ganjaran besar oleh Allah SWT.

    “Selain menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa Nuzul al-Quran ini, marilah kita sama-sama memanfaatkannya dalam kehidupan seharian. Semoga kita memperoleh keberkatan daripadanya.

    “Saya juga berdoa semoga kita semua diberi kesihatan dan dipermudahkan Allah untuk menunaikan ibadah sepanjang Ramadan ini, insya-Allah,” jelasnya.