Category: Semasa

  • Pengurus Syarikat rugi RM1.25 juta terperdaya Macau Scam

    Pengurus Syarikat rugi RM1.25 juta terperdaya Macau Scam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang pengurus syarikat mengalami kerugian sebanyak RM1.25 juta akibat tertipu dengan sindiket Macau Scam yang memperdayanya menerusi panggilan dilakukan beberapa individu sejak Oktober 2021.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Supritendan Elias Omar, penipuan itu bermula sejak mangsa yang merupakan seorang wanita berumur 46 tahun, dihubungi seorang individu bernama Sabrina yang mendakwa dirinya merupakan kakitangan Syarikat Insurans Etiqa pada 18 Oktober 2021.

    Menerusi panggilan tersebut katanya, pengurus syarikat itu diminta membuat pembayaran berjumlah RM70,000 kerana didakwa telah membuat pembelian polisi insurans dari syarikat berkenaan.

    “Mangsa menafikan perkara tersebut sebelum Sabrina mengarahkannya membuat laporan polis. Berikutan itu, panggilan tersebut kononnya disambungkan ke Balai Polis Pudu dan mangsa lalu bercakap dengan beberapa individu memperkenalkan diri sebagai Sarjan Adam, Inspektor Mazlan dan Inspektor Yong.

    “Dalam percakapan itu, mangsa dimaklumkan pula yang terdapat waran tangkap terhadapnya kerana terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram dan pembunuhan. Mangsa lalu sekali lagi menafikan dakwaan dibangkitan itu,” katanya.

    Tidak berakhir di situ katanya, mangsa kemudiannya dihubungi pula seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai timbalan pendakwa raya bernama ‘Puan Mastura’.

    “‘Puan Mastura’ mendakwa dia boleh membuat penangguhan waran tangkap tersebut dengan syarat mangsa memberi kerjasama kepada pihak polis dan melaporkan aktiviti hariannya.

    “Terperdaya dengan kenyataan itu, mangsa kemudiannya mendedahkan maklumat akaun dan kad debit Bank Islam serta Bank Rakyat, selain mendedahkan jumlah wang dalam setiap akaun tersebut termasuk akaun Tabung Haji berjumlah kira-kira RM1 juta kepada suspek,” katanya.

    Tambahnya, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa supaya membuat pindahan dalam akaun Tabung Haji ke akaun Bank Islam mangsa berjumlah RM900,000 dan Bank Rakyat berjumlah RM200,000.

    “Mangsa hanya sedar ditipu apabila dia menyemak kedua-dua akaun terbabit pada 11 April lalu dan mendapati wang tersebut telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga sebanyak RM1.25 juta.

    “Mangsa mendakwa dia tidak pernah mendaftar sebarang perbankan dalam talian dan dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Lunas, semalam,” katanya.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • TMJ cadang 3 perkara untuk pastikan kes Bella tidak berulang

    TMJ cadang 3 perkara untuk pastikan kes Bella tidak berulang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mencadangkan tiga langkah penting yang perlu dilakukan bagi memastikan kes penderaan seperti mengabaikan dan mendera remaja sindrom down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella tidak berulang.

    Pertama kata Tunku Mahkota Johor, pindaan perundangan dan penambahbaikan undang-undang semasa, seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan segera.

    “Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan, untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam.

    “Kedua, penguatkuasaan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.

    “Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” kata Tunku Mahkota Johor dalam satu hantaran menerusi Instagram The Royal Johor, hari ini.

    Perkara ketiga kata Tunku Mahkota Johor, kajian segera juga perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF dan institusi bebas lain.

    “Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera.

    “Saya ingin menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik,” kata Tunku Ismail lagi.

    Tiga langkah itu dicadangkan Tunku Mahkota Johor selepas bertemu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun di Royal Johor Polo Club, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir wakil UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex dan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail.

    Semalam, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan Bella.

    Tunku Ismail menegaskan, akan menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung tawaran itu.

    Tawaran tersebut susulan isteri beliau, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dilapor sedia membantu Bella mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

    Che Puan Besar Khaleeda menerusi hantaran di Instagram miliknya memaklumkan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu remaja OKU itu.

    Perbicaraan kes itu turut mendapat perhatian dan menjadi perdebatan bagi rakyat yang melihat seolah-olah nasib Bella seperti tidak diperjuangkan sedangkan remaja berusia 13 tahun itu merupakan seorang OKU dan telah menerima penganiayaan.

    Siti Bainun, 30, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Operasi Lejang:30 ditahan terlibat kecurian kenderaan

    Operasi Lejang:30 ditahan terlibat kecurian kenderaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Siasatan Jenayah Johor (JSJJ) menangkap 30 individu terlibat dalam kesalahan kecurian kenderaan menerusi Operasi Lejang yang diadakan pada 22 Mac lalu hingga kini.

    Ketua JSJJ, Senior Asisten Komisioner Shahrurinain Jais berkata, menerusi operasi tersebut juga pihaknya merampas 24 kenderaan curi dan 117 barangan lain.

    “Menerusi operasi ini 56 pemeriksaan dilakukan dan daripada jumlah itu, 30 individu ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kadar jenayah di negeri itu bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini menurun sebanyak 339 kes bersamaan 22.16 peratus dengan purata kes jenayah 11 kes sehari.

    Katanya, jenayah harta benda juga menunjukkan penurunan 22.55 peratus manakala jenayah kekerasan menunjukkan penurunan 20.54 peratus.

    Jelasnya, secara keseluruhan indeks jenayah di negeri itu masih terkawal dan sebagai persediaan menghadapi musim perayaan dan pembukaan sempadan antarabangsa, JSJJ giat melancarkan pelbagai operasi serta aktiviti cegah jenayah secara agresif.

    “Ini termasuk membanteras kegiatan hiburan, perjudian, dan maksiat. Ini bagi memastikan Johor bebas daripada jenayah, selamat diduduki dan dikunjungi pelancoing dalam dan luar negara,” katanya.

  • [VIDEO] Budak perempuan 2 tahun rentung dalam kebakaran

    [VIDEO] Budak perempuan 2 tahun rentung dalam kebakaran

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan 11 rumah atas air di Kampung Sabah Baru, Jalan Nipah di sini, pagi tadi.

    Mayat Nurul Alisha Putri Abdullah ditemukan selepas operasi pemadaman.

    Bapa saudara mangsa, Alsad Albani, 32, berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas dan dia tidak menyedari berlakunya kebakaran sehinggalah ternampak api marak dari dalam sebuah bilik.

    “Apabila saya nampak api marak, saya berteriak memberitahu ahli keluarga lain supaya menyelamatkan diri, tetapi malangnya kami terlupa Alisha yang tidur dalam buaian di bilik lain,” katanya kepada Bernama dalam nada sebak.

    Menurutnya, apabila mereka menyedari Alisha masih di dalam rumah, laluan untuk memasuki rumah telah dihalang api yang semakin besar.

    “Namun, bapa saya berusia 62 tahun (didorong) naluri hati seorang datuk, masih mencuba memasuki rumah kami, tetapi kami halang sebab keadaan tidak selamat,” katanya.

    Katanya, Alisha dijaga oleh datuknya dan sangat rapat dengan warga emas itu ekoran kedua ibu bapanya bekerja di luar kawasan.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 9.52 pagi dan anggota bertugas bersama jentera telah bergegas ke lokasi.

    Sumsoa berkata, pihaknya mengalami kesukaran memasuki kawasan kebakaran berikutan jambatan usang serta sempit.

    Selain itu, katanya pihak bomba terpaksa ‘membuka’ empat rumah dengan bantuan penduduk kampung bagi mengawal api daripada merebak ke rumah yang lain.

    https://youtu.be/hJe8O9_8nOY

    Kebakaran dapat dikawal pada 10.55 pagi dengan bantuan BBP Kunak termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd, Angkatan Pertahanan Awam, polis serta penduduk kampung, katanya.

    Kecuali mangsa, tiada kecederaan dilaporkan memandangkan penduduk lain sempat menyelamatkan diri.

    Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat. – BERNAMA

  • Anak Zahid Hamidi nafi keluarga lindungi Siti Bainun

    Anak Zahid Hamidi nafi keluarga lindungi Siti Bainun

    ANAK perempuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan keluarganya melindungi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali yang kini didakwa atas tuduhan mengabaikan dan mendera remaja sindrom down berusia 13 tahun.

    Nurul Hidayah Ahmad Zahid menjelaskan, keluarganya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Siti Bainun, meskipun mengakui mereka pernah kenal rapat sebelum ini.

    Jelasnya, pendedahan itu bukan untuk mengaibkan sesiapa dan sebagai anak kepada Zahid Hamidi merasa bertanggungjawab dan wajib mempertahankan maruah keluarganya daripada terus tercalar.

    “Kami sekeluarga tiada kena mengena dengan orang kena tahan (OKT) atau dengan pemahaman lain, kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT.

    “Benar kami pernah kenal dan rapat. Sebagai seorang yang pernah rapat saya merasakan dikhianati kerana selama ini OKT yang saya anggap sebagai insan yang suka membantu orang lain sebenarnya mempunyai satu lagi personaliti yang tidak terbayang dek akal saya,” tulisnya pada menerusi satu hantaran dalam Instagram miliknya, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu, gara-gara foto yang tular, timbul dakwaan kononnya Siti Bainun adalah anak angkat kepada Ahmad Zahid.

    Mengulas lanjut, Nurul Hidayah juga tidak faham dengan motif dan fokus #justiceforbella sekarang ini untuk membuktikan siapa pelaku atau siapa yang pernah rapat dengan OKT.

    “Saya tidak berhajat untuk menulis lebih panjang kerana sebagai manusia, hati saya tidak mampu menahan emosi melihat orang yang pernah rapat dengan kita suatu ketika dahulu didakwa atas tuduhan mendera,” katanya.

    Dalam hantaran sama, Nurul Hidayah turut memuat naik tangkap layar perbualan melalui WhatsApp antara beliau dengan Siti Bainun.

    Pihaknya tidak memaksa untuk orang lain mempercayainya, tetapi cukup sekadar menjelaskan bahawa beliau sekeluarga tidak pernah melindungi OKT.

    “Jika ada cerita yang menyatakan sebaliknya, bukan kami yang melindungi OKT, mungkin ia adalah salah satu cara seseorang itu memberitahu yang dia adalah seorang yang ‘kebal’.

    “Tiada yang kebal dan kuat jika bersandarkan kepada manusia, kecuali ALLAH yang Maha Mengetahui dan Maha Melindungi,” tulisnya lagi.

  • [VIDEO] Lelaki Kanada tunjuk isyarat lucah, polis buka kertas siasatan

    [VIDEO] Lelaki Kanada tunjuk isyarat lucah, polis buka kertas siasatan

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang lelaki warga Kanada yang mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Jalan Ampang di Kuala Lumpur, akibat ditegur kerana tidak memakai pelitup muka.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah berkata, lelaki Kanada berumur 44 tahun itu hadir ke balai polis berkenaan pada 8.30 malam tadi bagi memberi keterangan setelah menyedari video memaparkan dirinya itu viral di media sosial.

    “Suspek yang menetap dan bekerja di negara ini, disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peratuan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau talian penting polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, suspek ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

    Ahad lepas, tular sebuah video berdurasi 18 saat dimuat naik dua pemilik akaun TikTok memaparkan tindakan agresif suspek terhadap pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang. – BERNAMA

  • Pelabur gaharu kerugian RM22.6 juta dakwa pihak berkuasa lambat bertindak

    Pelabur gaharu kerugian RM22.6 juta dakwa pihak berkuasa lambat bertindak

    PELABUR yang terlibat dalam skim pelaburan tanaman pokok gaharu di Thailand yang dijalankan Asia Plantation Capital (APC) menggesa pihak polis melakukan siasatan terhadap syarikat itu.

    Menurut mereka, ini kerana pihak berkuasa tidak menunjukkan komitmen menyiasat kes tersebut meskipun pelabur yang diwakili peguam berjaya mendapatkan perintah mahkamah supaya polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Sebelum ini dilaporkan seramai 180 inidivdu kerugian RM22.6 juta apabila projek dilaksanakan APC dipercayai sejak 2011, tidak menjadi.

    Mereka mendakwa, syarikat itu melanggar pelbagai perjanjian urus niaga dan memberikan pelbagai alasan apabila gagal membayar semula modal dan keuntungan kepada pelabur selepas mencapai tempoh kematangan.

    Susulan itu, pelabur-pelabur tersebut yang diwakili barisan peguam memfailkan permohonan kepada Mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur untuk mengarahkan polis menyiasat kes itu selepas ia dikategorikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).

    Doktor gigi yang juga seorang pelabur APC, Dr. P. Mahendran, memaklumkan sehingga ke hari ini, tiada perkembangan dikongsikan meskipun pihak peguam yang mewakili kumpulan pelabur tersebut sudah membuat permohonan untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak polis.

    “Sejak kami memfailkan permohonan di mahkamah, masih tiada apa-apa perkembangan dari polis.

    “Sekiranya pihak polis bersetuju untuk berjumpa dengan pihak kami, saya bersama peguam akan berjumpa mereka, tetapi setakat ini tiada apa-apa,” katanya memetik laporan MalaysiaNow, hari ini.

    Menurut ahli jawatankuasa pelabur APC, Arichandran Kandih, dianggarkan seramai 30 pelabur sudah membuat laporan polis di balai polis berbeza sekitar Lembah Klang sejak beberapa tahun lalu.

    “Memandangkan kami sudah bawa kes ini ke mahkamah, maka kami serahkan urusan ini kepada peguam untuk berurusan dengan Bukit Aman atau pihak berkuasa lain,” katanya.

    Sementara itu, usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan maklum balas polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung kes ini gagal apabila emel yang dihantar sejak Mac tidak dibalas.

    Tinjauan yang dilakukan MalaysiaNow ke pejabat Asia Plantation Capital Berhad (APCB) – kini dikenali sebagai Agarwood Originals Malaysia Berhad – di G Tower di ibu negara turut mendapati sudah tutup.

    Penjaga kaunter yang bertugas di bangunan itu memberitahu MalaysiaNow pejabat yang terletak di tingkat 21 itu sudah lama ditutup.

    Tinjauan seterusnya ke Bangsar South – alamat yang didaftarkan di dokumen SSM susulan pertukaran nama kepada Agarwood Originals – turut mendapati lokasi itu hanyalah pejabat syarikat setiausaha (secretary company) yang dikenali sebagai Tricor Services (Malaysia) Sdn Bhd.

    Turut dimaklumkan bahawa Tricor bertindak sebagai wakil APCB dan perlu melalui mereka sekiranya ingin berurusan dengan APCB.

    Hasil penemuan ini disifatkan sebagai perkembangan mengejutkan dalam kalangan pelabur apabila mereka mendakwa tidak pernah mendengar kewujudan syarikat tersebut dan hanya berurusan secara langsung dengan APCB berkaitan hal ehwal pelaburan sebelum ini.

    Pelabur dari Pulau Pinang, Khoo Hock Kheng, 48, mendedahkan dia juga tidak pernah dimaklumkan bahawa APCB menukar nama kepada Agarwood Originals pada 23 Disember 2021, dan hanya ketahui perkara itu ketika dihubungi MalaysiaNow.

    “Ini adalah maklumat baru, saya tidak pernah tahu APCB ada syarikat setiausaha.

    “Saya tidak pernah dengar atau berurusan dengan Tricor Services,” katanya.

    Malah, perkara ini turut disahkan beberapa pelabur APCB yang dihubungi termasuk Mahendran dan mereka turut menyatakan nama syarikat itu tidak pernah disebut dalam kontrak urus niaga yang ditandatangani pelabur.

  • 11 pelajar lelaki direman bantu siasatan kes pukul

    11 pelajar lelaki direman bantu siasatan kes pukul

    POLIS menahan 11 pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Kuala Nerus, Terengganu bagi membantu siasatan kes pukul membabitkan rakan sekolah mereka.

    Kesemua mereka berusia 14 hingga 17 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu antara pukul 12 tengah hari hingga 1 tengah hari semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, kejadian dipercayai berlaku pukul 11.30 malam pada Khamis lalu apabila kumpulan suspek dikatakan memukul dan menyepak mangsa yang berusia 14 tahun.

    Menurut beliau, kejadian pukul itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ringan dan lebam pada peha kiri dan kanan.

    Katanya, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis pada pukul 9.40 malam kelmarin (Ahad).

    “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara mereka. Semua suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, kesemua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah reman.

    Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu Norina Maludin kemudian membenarkan kesemua mereka direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi siasatan lanjut.

  • Kakitangan JKM berstatus OKU maut kemalangan

    Kakitangan JKM berstatus OKU maut kemalangan

    SEORANG pekerja am di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam kejadian di Jalan Kuil Pengkalan, Alor Gajah, pukul 8.30 malam tadi.

    Mangsa, K. Mahendran, 40, yang juga orang kurang upaya (OKU) maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal yang merupakan pekerja kilang cedera parah.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa OKU yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan ke arah Pengkalan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

    Menurut Arshad, pada masa sama sebuah motosikal jenis Honda yang dalam perjalanan menuju ke arah Alor Gajah gagal menggelak lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami cedera parah di kepala manakala pekerja kilang yang cedera parah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Kata Arshad, kedua-dua motosikal ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)

    Kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Polis lepaskan lima das tembakan selepas dirempuh

    Polis lepaskan lima das tembakan selepas dirempuh

    POLIS terpaksa melepaskan lima das tembakan bagi menyelamatkan diri selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh pemandu kereta Proton Perdana di Lorong Air Putih 130 di Kuantan malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku ketika dua anggota polis sedang melaksanakan Op Sarang di Jalan Air Putih, sekitar 12 tengah malam dan cuba menahan kenderaan suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

    Bagaimanapun, setelah menyedari kehadiran polis, pemandu tersebut memecut kenderaan dan memasuki jalan mati di Lorong Air Putih 130.

    “Nekad untuk melepaskan diri, pemandu kenderaan itu telah mengundur dan merempuh kenderaan pasukan polis beberapa kali sehingga berjaya meloloskan diri.

    “Anggota polis telah melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran dan mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya, tetapi tidak diendahkan dan memaksa anggota tersebut melepaskan tiga lagi tembakan pada bahagian tayar kiri hadapan kereta itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Namun, suspek berjaya melarikan diri dan kenderaannya telah ditinggalkan kira-kira 400 meter dari tempat kejadian malah suspek juga gagal dikesan, katanya.

    Akibat kejadian itu, kenderaan pasukan polis telah mengalami kerosakan kemek di bahagian hadapan hingga ke belakang akibat dirempuh manakala anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Tambah Wan Zahari, hasil siasatan dan pemeriksaan telah menjumpai beberapa dokumen dalam kereta itu atas nama Shaizul Aziram, 46, beralamat terakhir di Taman Seri Muda,Shah Alam, Selangor dan Abdullah Fahmi bin Salleh @ Muhammad,36, beralamat di Kampung Genting, Tumpat,Kelantan.

    Susulan itu, beliau berkata kedua-dua individu berkenaan dikehendaki tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan (IPD) atau menghubungi hotline PDRM IPD Kuantan di talian 09-5652222 bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan. – BERNAMA