Category: Semasa

  • Wang lebih RM400,000 milik isteri Addy Kana dan syarikatnya kini hak kerajaan 

    Wang lebih RM400,000 milik isteri Addy Kana dan syarikatnya kini hak kerajaan 

    WANG milik isteri kepada ‘Datuk Addy Kana’, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff berjumlah RM353,723.81 dan wang RM75,846.82 milik syarikatnya, Nine Nine International yang didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram, kini menjadi harta kerajaan.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan wang itu dilucut hak kepada kerajaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Haslinie Hashim selaku pemohon memaklumkan bahawa Alyaa Syuhaila sebagai responden bersetuju harta tersebut diserahkan kepada kerajaan.

    “Pihak responden telah menghantar representasi pada 26 Nov 2021 dan representasi tersebut telah diterima oleh pihak pemohon (SPRM). Responden bersetuju item-item dalam permohonan (pemohon) dilucut hak.

    “Saya mohon agar permohonan pemohon untuk melucut hak wang milik Alyaa Syuhaila berjumlah RM353,723.81 yang berada di dalam lima akaun banknya dan wang RM75,846.82 milik Nine Nine International dibenarkan,” kata Nik Haslinie.

    Peguam Nur Fatin Najwa Ahmad Zainol yang mewakili Alyaa Syuhaila berkata anak guamnya bersetuju untuk item-item tersebut diserahkan kepada kerajaan.
     
    Pada 29 September tahun lepas, pendakwa raya memfailkan notis usul melucut hak wang milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong berjumlah RM60,232.01 yang disimpan di dalam tiga akaun bank lelaki itu dan wang RM10,588.94 dan RM16,721.75, masing-masing milik syarikatnya iaitu Malaysian House of Internet dan Network Computer.

    Turut dipohon lucut hak wang milik Alyaa Syuhaila berjumlah RM353,723.81 yang berada di dalam lima akaun banknya dan wang RM75,846.82 milik Nine Nine International.

    Permohonan itu difailkan atas alasan wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari 2021 didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram iaitu perjudian secara dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – Bernama

  • Lelaki lempar batu nisan dalam masjid diburu

    Lelaki lempar batu nisan dalam masjid diburu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ENTAH apa yang merasuk dirinya, seorang lelaki bersikap pelik apabila sanggup mencabut batu nisan di tanah perkuburan, sebelum melemparnya ke dalam sebuah masjid di Sungai Kob dekat Kulim, Kedah, awal pagi ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh, kejadian itu disedari oleh seorang jemaah berusia 60-an, yang terkejut melihat batu nisan berkenaan berada di ruang saf depan Masjid Al-Ittihad sewaktu tiba bagi menunaikan solat subuh kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

    “Siasatan awal mendapati batu nisan itu dicabut dari tanah perkuburan yang terletak di sebelah masjid. Akibat kejadian itu, cermin depan masjid berkenaan turut pecah kerana batu nisan berkenaan dilempar melepasinya.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 4 pagi tadi. Motif kejadian setakat ini masih disiasat,” katanya.

    Rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki Melayu emakai jaket dan seluar jeans biru melakukan perbuatan itu

    Menurutnya, setakat ini pihak polis percaya bahawa kejadian ini tiada kaitan dengan isu agama.

    “Suspek dipercayai merupakan seorang lelaki Melayu yang memakai jaket dan seluar jeans biru ketika melakukan perbuatan itu. Usianya dianggarkan antara 30-an hingga 40-an.

    “Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat terhadap rumah ibadat,” katanya.

    Tambahnya, mana-mana pihak yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu diminta untuk menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulim, ASP Asnizaf di talian 013-4358399.

  • Saksi reka cerita Bella disimbah air panas – Peguam Siti Bainun

    Saksi reka cerita Bella disimbah air panas – Peguam Siti Bainun

    PASUKAN pembelaan Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mendera dan mengabaikan seorang remaja perempuan dikenali Bella memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa keterangan saksi pendakwaan yang menyebut mangsa dipancut air panas adalah rekaan semata-mata.

    Memetik laporan MalaysiaNow, pihak pembelaan menyebut perkara itu dengan hujah bahawa penapis air di rumah tertuduh rosak sejak Mac 2021, sedangkan tempoh penderaan terhadap remaja tersebut direkodkan berlaku antara Februari dan Jun 2021.

    Ketika sesi pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan kelima Yasmin Nahar Mahmood, Peguam Nur A’minahtul Mardiah berkata, saksi berbohong kepada mahkamah dengan kenyataan Bella diikat dengan tali dan dibaringkan sebelum dicurah air panas.

    “Sebab itu, Siti Bainun kena bawa balik termos dari Rumah Bonda ke kondominium. Setuju?”

    Yasmin di kandang saksi berkata tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.

    A’minahtul berkata penapis air jenama Cuckoo itu rosak sejak 11 Mac 2021.

    “Doktor kata, hanya ada dua kesan parut luka di kepala Bella. Itu pun pertama, kesan geseran sebab gatal mungkin Bella garu.

    “Doktor tak ada kata ada kesan dripping (tumpahan) air. Jadi mana datang berita kena pancut, kena simbah air panas ni?,” soalnya.

    “Saya nampak,” kata Yasmin.

    Dalam pada itu, pihak pembelaan juga sekerasnya menolah tuduhan saksi yang sama bahawa Bella diberi makan cili hampir setiap hari.

    A’minatul berhujah bahawa daripada lima laporan perubatan mangsa, tiada laporan yang mengatakan Bella mengalami kerosakan di dalam perut dan melecur lidah akibat memakan makanan yang terlalu pedas.

    Menurut pasukan pembelaan, berikut merupakan kesan sampingan yang ketara sekirangan mangsa benar-benar diperlakukan sedemikian hampir setiap hari.

    Peguam itu menambah, kenyataan saksi mengenai paksaan makan cili juga tidak direkodkan dalam laporan dan keterangan kepada pihak polis.

    “Ini penipuan kerana Bella memang tak pernah disuruh makan cili kerana laporan perubatan kata lidah Bella tidak melecur.”

    Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun, 30, tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.


    Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Bicara kes pendakwah selebriti cabul, lakukan seks luar tabii ditangguhkan

    Bicara kes pendakwah selebriti cabul, lakukan seks luar tabii ditangguhkan

    MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini menangguhkan perbicaraan jenayah seksual membabitkan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atas pertuduhan mencabul dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang penuntut kolej ditangguhkan ke Mei depan selepas mangsa tidak hadir bagi memberi keterangan.

    Sebelum ini mahkamah menetapkan hari ini untuk perbicaraan hari pertama kes, dengan saksi utama iaitu seorang penuntut kolej swasta berusia 24 tahun memberi keterangan.

    Ketika prosiding di hadapan Hakim Jamaludin Mat, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon agar tarikh bicara sebanyak lapan hari pada April dilapangkan dan ditetapkan bicara pada 17 Mei.

    Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal berkata, berhubung permohonan pihak pendakwaan, pihaknya berharap tiada sebarang hak diprejudiskan terhadap anak guamnya.

    “Kami juga tidak membantah sekiranya prosiding dilapangkan,” katanya memetik lapor Sinar Harian.

    Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap seorang wanita ketika kejadian berusia 22 tahun, di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara pukul 3 hingga 4 pagi, 17 Oktober 2020.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, pada tarikh sama di Mahkamah Majistret, dia turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, pada tarikh dan lokasi sama.

    Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

    Pada 19 Mac 2021, Mahkamah Majistret membenarkan kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, untuk dibicarakan bersama.

  • Lelaki mabuk samun bersenjatakan gergaji ditahan

    Lelaki mabuk samun bersenjatakan gergaji ditahan

    POLIS sudah menahan lelaki dipercayai mabuk yang melakukan samun dengan menggunakan gergaji kecil terhadap pekerja kedai serbaneka di Taman Sentosa, Klang, Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam, berdekatan Bandar Puteri.

    “Suspek berusia 45 tahun itu mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dia turut mengaku melakukan jenayah itu sendirian.

    “Difahamkan, suspek berjalan ke Bandar Puteri selepas menyamun dan menggunakan duit tersebut untuk membeli makanan dan arak,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 25 April untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

    Media semalam melaporkan remaja perempuan 19 tahun berdepan detik cemas apabila diacu dengan gergaji kecil oleh lelaki yang dalam keadaan mabuk ketika sedang bekerja di sebuah kedai serbaneka pada 12.08 tengah hari, Ahad lalu.

  • ‘PATI mungkin akan menceroboh, mencuri kerana lapar’ – Polis Kedah

    ‘PATI mungkin akan menceroboh, mencuri kerana lapar’ – Polis Kedah

    TAHANAN etnik Rohingya yang masih bolos selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, di Bandar Baharu, disifatkan berbahaya kerana mereka boleh melakukan apa saja untuk menyelamatkan diri.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata dalam keadaan diri sedang kelaparan, mereka dibimbangi akan menceroboh rumah penduduk atau melakukan sebarang tindakan luar kawalan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

    “Kita khuatir kemungkinan akan wujud elemen jenayah dilakukan mereka, seperti menceroboh atau mencuri di rumah penduduk.

    “Tidak mustahil mereka juga akan bertindak di luar kawalan demi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, hari ini, lapor Satu Berita.

    Setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 147 KK,” katanya.

    Wan Hassan berkata, hasil siasatan mendapati ketika kejadian, ada seramai 23 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertugas mengawal kawasan depot.

    SEBAHAGIAN Pati yang melarikan diri dari Depot Sementara Imigresen Relau berjaya ditahan semula pihak polis pagi tadi. Foto Ihsan pembaca

    “Namun dalam rusuhan itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan hanya berlaku sedikit kerosakan kecil di pintu utama serta pagar.

    “Disebabkan terlalu ramai tahanan dengan kawasan yang agak sempit, ia menjadi tidak terkawal dan tahanan mengambil kesempatan melarikan diri,” katanya.

    Setakat ini, beliau berkata, seramai 176 daripada 528 tahanan yang melarikan diri itu sedang diburu, dengan mereka dipercayai masih berada di kawasan sekitar.

    “Kebanyakan tahanan yang masih bebas ini hanya berkaki ayam dan agak mudah untuk dikenal pasti berdasarkan pemakaian mereka.

    “Kita percaya ada segelintir daripada mereka menahan dan menumpang kenderaan orang ramai. Justeru, diharapkan mereka yang menumpangkan golongan ini segera menghubungi polis,” katanya.

    Selain itu, Wan Hassan berkata, pihaknya melancarkan Op Cantas yang turut membabitkan kontinjen Pulau Pinang untuk mengesan tahanan masih bebas.

    Dalam pada itu, beliau memaklumkan, enam tahanan terdiri daripada dua lelaki, dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki serta perempuan, meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Jawi.

  • Dua penyelia ditahan SPRM buat tuntutan palsu lebih RM25,000

    Dua penyelia ditahan SPRM buat tuntutan palsu lebih RM25,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan dua penyelia sebuah persatuan sukarelawan beruniform kerana dipercayai mengemukakan tuntutan elaun penugasan palsu berjumlah lebih RM25,000.

    Suspek berusia 38 dan 56 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Seremban, Seremban pada pukul 2 petang ketika hadir memberikan keterangan.

    Harian Metro melaporkan, kedua-duanya direman sehingga 26 April ini bagi membantu siasatan.

    Permohonan reman terhadap kedua-dua lelaki dibuat Pegawai Pendakwa Mohd Khairi Abdul Karim di hadapan Majistret Intan Syafinaz Ros’lin di Mahkamah Khas Trafik Seremban, hari ini.

    Menurut sumber, tuntutan palsu itu membabitkan tuntutan penugasan di sebuah pusat pendidikan di Bandar Baru Enstek, Nilai, sedangkan kedua-duanya tidak hadir bertugas ketika itu.

    Kesalahan dilakukan daripada Mei hingga November 2021.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Kes dera Bella: 4 peguam pemerhati TMJ hadir ikuti prosiding

    Kes dera Bella: 4 peguam pemerhati TMJ hadir ikuti prosiding

    EMPAT peguam pemerhati (watching brief) lantikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini bagi mengikuti perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali.

    Keempat mereka ialah Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd. Radzi Yatiman.

    Terdahulu pada Ahad, media melaporkan kesudian Tunku Ismail untuk menawarkan perkhidmatan peguam-peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati berhubung kes penderaan Bella.

    Menerusi satu hantaran di Facebook, Tunku Ismail berkata akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung perkara itu.

    Tunku Ismail memberitahu, kes pendakwaan pada ketika ini melibatkan dua pihak iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan atau awam dan peguam bela yang dilantik untuk mewakili orang kena tuduh (OKT).

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Dua sindiket tumpas, 258 kilogram dadah RM7.74 juta dirampas

    Dua sindiket tumpas, 258 kilogram dadah RM7.74 juta dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HANYA dalam tempoh tiga hari, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kedah dan Perlis berjaya menumpaskan dua sindiket melibatkan rampasan dadah seberat 258 kilogram bernilai RM7.74 juta di Kedah dan Pulau Pinang.

    Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan berkata, kejayaan merampas dadah jenis syabu seberat 212 kilogram dan 46 kilogram ganja itu dibuat menerusi dua operasi, melibatkan lima serbuan yang dijalankan antara 16 hingga 18 April lalu.

    Kata beliau, polis turut menahan sembilan suspek berusia antara 31 hingga 52 yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah tersebut.

    Dalam operasi pertama pada 16 April lalu kata Ayob, polis menahan empat suspek di Kepala Batas, Pulau Pinang yang membawa kepada serbuan di satu kawasan perumahan di Sungai Petani.

    “Dari situ, pihak kami telah melaksanakan serbuan di satu kawasan perumahan di Sungai Petani yang membawa kepada penemuan lebih 200 kilogram dadah jenis syabu.

    “Menerusi operasi kedua yang dilancarkan pada 18 April pula, kita menahan lima lagi suspek di Kulim selain merampas beberapa lagi kilogram dadah di situ,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di Alor Setar, hari ini.

    Ayob berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada ejen insurans, mekanik, jurujual dan penganggur dengan tujuh daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine.

    Selain itu katanya, semakan mendapati empat suspek yang ditahan, memiliki rekod lampau dalam kes dadah serta jenayah.

    “Jika terlepas ke pasaran, dadah ini boleh digunakan lebih 1.15 juta penagih. Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan suspek direman selama lima hingga tujuh hari bermula 17 dan 18 April lalu.

    “Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di mana JSJN setakat ini telah menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM423,000,” katanya.

    Antara aset yang disita termasuk tujuh kenderaan antaranya BMW, Honda Civic serta beberapa motosikal selain wang tunai berjumlah RM4,000.

    Dalam pada itu katanya, sindiket terlibat dipercayai mula aktif dalam kegiatan haram tersebut sejak pertengahan 2021.

    “Modus operandinya adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran menerusi Kelantan, sebelum dibawa menggunakan jalan darat ke negeri-negeri utara termasuk Kedah dan Pulau Pinang.

    “Melalui dua operasi yang dijalankan ini, kita percaya telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan ganja untuk pasaran tempatan terutama di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

  • Empat wanita ditahan terbabit aktiviti pelacuran

    Empat wanita ditahan terbabit aktiviti pelacuran

    POLIS menahan empat wanita warga asing ditahan polis di sebuah premis di Kampung Jambu, Taiping, kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti persundalan di daerah tersebut.

    Harian Metro melaporkan, turut dirampas peralatan yang digunakan untuk kegiatan pelacuran seperti minyak urut, tuala, kondom, wang tunai dan resit bayaran.

    “Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping untuk tindakan lanjut,” menurut satu kenyataan dimuat naik dalam Facebook rasmi Polis Daerah Taiping, hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 372A dan 372B Kanun Keseksaan, serta Seksyen 55(b) dan Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1959/63.