Oleh RIZQI ZABIDI

HANYA dalam tempoh tiga hari, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kedah dan Perlis berjaya menumpaskan dua sindiket melibatkan rampasan dadah seberat 258 kilogram bernilai RM7.74 juta di Kedah dan Pulau Pinang.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan berkata, kejayaan merampas dadah jenis syabu seberat 212 kilogram dan 46 kilogram ganja itu dibuat menerusi dua operasi, melibatkan lima serbuan yang dijalankan antara 16 hingga 18 April lalu.

Kata beliau, polis turut menahan sembilan suspek berusia antara 31 hingga 52 yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah tersebut.

Dalam operasi pertama pada 16 April lalu kata Ayob, polis menahan empat suspek di Kepala Batas, Pulau Pinang yang membawa kepada serbuan di satu kawasan perumahan di Sungai Petani.

“Dari situ, pihak kami telah melaksanakan serbuan di satu kawasan perumahan di Sungai Petani yang membawa kepada penemuan lebih 200 kilogram dadah jenis syabu.

“Menerusi operasi kedua yang dilancarkan pada 18 April pula, kita menahan lima lagi suspek di Kulim selain merampas beberapa lagi kilogram dadah di situ,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di Alor Setar, hari ini.

Ayob berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada ejen insurans, mekanik, jurujual dan penganggur dengan tujuh daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine.

Selain itu katanya, semakan mendapati empat suspek yang ditahan, memiliki rekod lampau dalam kes dadah serta jenayah.

“Jika terlepas ke pasaran, dadah ini boleh digunakan lebih 1.15 juta penagih. Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan suspek direman selama lima hingga tujuh hari bermula 17 dan 18 April lalu.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di mana JSJN setakat ini telah menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM423,000,” katanya.

Antara aset yang disita termasuk tujuh kenderaan antaranya BMW, Honda Civic serta beberapa motosikal selain wang tunai berjumlah RM4,000.

Dalam pada itu katanya, sindiket terlibat dipercayai mula aktif dalam kegiatan haram tersebut sejak pertengahan 2021.

“Modus operandinya adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran menerusi Kelantan, sebelum dibawa menggunakan jalan darat ke negeri-negeri utara termasuk Kedah dan Pulau Pinang.

“Melalui dua operasi yang dijalankan ini, kita percaya telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan ganja untuk pasaran tempatan terutama di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here