PASUKAN pembelaan Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mendera dan mengabaikan seorang remaja perempuan dikenali Bella memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa keterangan saksi pendakwaan yang menyebut mangsa dipancut air panas adalah rekaan semata-mata.

Memetik laporan MalaysiaNow, pihak pembelaan menyebut perkara itu dengan hujah bahawa penapis air di rumah tertuduh rosak sejak Mac 2021, sedangkan tempoh penderaan terhadap remaja tersebut direkodkan berlaku antara Februari dan Jun 2021.

Ketika sesi pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan kelima Yasmin Nahar Mahmood, Peguam Nur A’minahtul Mardiah berkata, saksi berbohong kepada mahkamah dengan kenyataan Bella diikat dengan tali dan dibaringkan sebelum dicurah air panas.

“Sebab itu, Siti Bainun kena bawa balik termos dari Rumah Bonda ke kondominium. Setuju?”

Yasmin di kandang saksi berkata tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.

A’minahtul berkata penapis air jenama Cuckoo itu rosak sejak 11 Mac 2021.

“Doktor kata, hanya ada dua kesan parut luka di kepala Bella. Itu pun pertama, kesan geseran sebab gatal mungkin Bella garu.

“Doktor tak ada kata ada kesan dripping (tumpahan) air. Jadi mana datang berita kena pancut, kena simbah air panas ni?,” soalnya.

“Saya nampak,” kata Yasmin.

Dalam pada itu, pihak pembelaan juga sekerasnya menolah tuduhan saksi yang sama bahawa Bella diberi makan cili hampir setiap hari.

A’minatul berhujah bahawa daripada lima laporan perubatan mangsa, tiada laporan yang mengatakan Bella mengalami kerosakan di dalam perut dan melecur lidah akibat memakan makanan yang terlalu pedas.

Menurut pasukan pembelaan, berikut merupakan kesan sampingan yang ketara sekirangan mangsa benar-benar diperlakukan sedemikian hampir setiap hari.

Peguam itu menambah, kenyataan saksi mengenai paksaan makan cili juga tidak direkodkan dalam laporan dan keterangan kepada pihak polis.

“Ini penipuan kerana Bella memang tak pernah disuruh makan cili kerana laporan perubatan kata lidah Bella tidak melecur.”

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun, 30, tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.


Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here