Category: Semasa

  • Polis belum terima laporan 2,000 babi ‘hilang’ di Port Dickson

    Polis belum terima laporan 2,000 babi ‘hilang’ di Port Dickson

    POLIS Negeri Sembilan masih belum menerima sebarang laporan berhubung isu2,000 ekor babi di 19 ladang tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah A, Port Dickson yang didakwa dibawa keluar tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

    Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid, bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan sekiranya menerima laporan polis mengenai kejadian terbabit, lapor Sinar Harian.

    “Kita akan semak berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang berhubung isu 2,000 babi yang dipercayai dibawa keluar tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan.

    Katanya, kerajaan negeri khuatir haiwan yang dibawa keluar itu akan mencetuskan jangkitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) ke negeri lain.

    Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Ruslan berkata, seorang lagi banduan reman yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada 10 April lepas dan masih bebas sudah disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki polis.

    “Usaha untuk mengesan banduan berkenaan telah dipergiatkan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

    Polis giat memburu seorang daripada tujuh banduan iaitu Muhammad Syafiq Rohmat, 32, dengan nama gelaran Umai yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada 10 April lepas selepas enam daripadanya berjaya ditahan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai banduan ini, boleh salurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran ataupun ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Inspektor Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.

    Pada 18 April lepas, enam banduan yang ditahan semula itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, namun kesemua mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Dilaporkan siasatan polis mendapati kejadian kira-kira pukul 6 pagi pada 10 April itu berlaku di Blok Muhasabah 2, institusi berkenaan yang kesemua tujuh banduan reman terbabit ditempatkan.

    Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju semak di belakang penjara itu.

  • 9.2 tan produk babi dari China tanpa permit sah dirampas

    9.2 tan produk babi dari China tanpa permit sah dirampas

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya mengagalkan cubaan membawa masuk 9,180 kilogram (kg) produk babi dari China tanpa permit import sah di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), kelmarin.

    Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, produk iti dibawa masuk menggunakan kontena yang dimuatkan di dalam 1,125 kotak dengan anggaran nilai RM453,600.

    Menurut beliau, perbuatan mengimport produk babi tanpa permit import sah daripada MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), Akta yang sama.

    “Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Produk babai dari China itu dibawa masuk menggunakan kontena yang dimuatkan dalam 1,125 kotak dengan anggaran nilai RM453,600

    Jelas beliau, tindakan penguatkuasaan sedemikian perlu diambil bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini yang mampu menjejaskan industri penternakan babi Malaysia.

    Katanya, antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi salai, sosej babi, produk babi yang ditinkan dan seumpamanya.

    “Pihak MAQIS mengambil langkah lebih serius mengenai pengimportan melalui sempadan negara terutamanya isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

    “Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan biosekuriti serta tahap jaminan keselamatan makanan negara terpelihara,” katanya.

  • Kes penemuan mayat wanita, rangka budak: Tertuduh tukar pengakuan

    Kes penemuan mayat wanita, rangka budak: Tertuduh tukar pengakuan

    SEORANG tertuduh untuk kes penemuan mayat wanita di Bukit Putus dan penemuan rangka kanak-kanak berusia lima tahun di Jalan Bukit Zamrud, Seremban menukar pengakuan tidak bersalah bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang wanita, Siti Syarifah Aibiddin.

    Harian Metro melaporkan, tertuduh, Khalid Redza Shuib, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh di Mahkamah Majistret Seremban selepas pertuduhan dibacakan kali kedua pada prosiding sebutan semula, hari ini.

    Mengikut fakta kes, pada 23 Mac lalu, doktor di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa mendapati dia mengalami luka melecur baru dan lama di seluruh badan seperti ditekap objek panas selain patah tulang femur sebelah kanan dan luka kecil di muka.

    Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

    Khalid pada 13 Mei lalu dilaporkan mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah, 35, yang dilakukan di sebuah rumah di Taman Nee Yan, Seremban antara 1 Disember 2021 hingga 23 Mac 2022.

    Terdahulu, Siti Syarifah dilihat hadir ke mahkamah kira-kira jam 10 pagi dengan berkerusi roda sambil diiringi bapanya dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Siti Syarifah sepatutnya memberikan kenyataan impak dan mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, namun tidak dapat berbuat demikian selepas tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah.

    Tertuduh tidak diwakili peguam manakala peguam Datuk Hanif Hassan mewakili keluarga Siti Syarifah.

    Hanif berkata, sepatutnya mangsa hadir ke mahkamah hari ini untuk mengemukakan kenyataan impak dengan kerelaannya sendiri.

    “Nampak semangat mangsa yang tinggi (untuk hadir) dan kini dia dijaga oleh keluarga,” katanya ketika ditemui di luar kamar mahkamah, hari ini.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 17 Mei depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam serta tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

    Media pada 13 April lalu melaporkan Khalid dan anaknya yang berusia 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

    Menurut pertuduhan, mereka secara bersama-sama pada 3 Mac 2022 kira-kira 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5.

    Khalid Redza turut didakwa membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, pada tarikh antara 15 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama namun tiada pengakuan direkodkan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

    Media sebelum ini melaporkan polis menemukan rangka milik kanak-kanak perempuan di Jalan Bukit Zamrud, 7 April lalu selepas operasi pencarian dilakukan sejak 28 Mac lalu.

  • Bapa tetak anak gara-gara selisih faham berkenaan wang

    Bapa tetak anak gara-gara selisih faham berkenaan wang

    HANYA kerana berselisih faham berkenaan wang, seorang bapa berusia 40-an tergamak menetak anak kandung sendiri menggunakan senjata tajam di rumah mereka di Kampung Teluk Awak, Teluk Bahang, Pulau Pinang.

    Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin itu menyebabkan anak kandung suspek yang berusia 20-an mengalami kecederaan di bahagian belakang badan.

    Difahamkan berlaku perselisihan faham antara kedua-dua beranak itu melibatkan wang sehingga menyebabkan suspek berang lalu menyerang serta menetak anaknya itu.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, susulan kejadian itu suspek yang bekerja sendiri ditahan polis selepas penduduk kampung membuat laporan berhubung kejadian tersebut.

    “Bertindak berdasarkan laporan itu, polis telah menahan suspek berusia 40-an kerana disyaki menetak anaknya dan suspek kini direman bagi membantu siasatan.

    “Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah Kamarul Rizal, ujian saringan awal air kencing suspek mendapati negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

  • Pemilik akaun TikTok disiasat isu provokasi larangan azan

    Pemilik akaun TikTok disiasat isu provokasi larangan azan

    POLIS menyiasat seorang pemilik akaun TikTok disiasat selepas mengulas secara provokasi isu larangan laungan azan menggunakan pembesar suara di Pune, India kerana mungkin boleh menggugat ketenteraman kaum di negara ini.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

    Beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

    Abd Jalil turut mengesahkan kenyataan berhubung larangan laungan azan menggunakan pembesar suara itu bukan dikeluarkan di Malaysia.

    “Arahan tersebut dibuat oleh Presiden Maharashtra Navnirman Sena (MNS), Raj Thackeray. Beliau turut mengarahkan membuang semua pembesar suara di masjid sebelum 3 Mei ini dan perkara itu dilaporkan dalam portal The New Indian Express pada 17 April lalu.

    “Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

    “Kita turut menasihatkan orang ramai supaya prihatin terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar harian.

  • KP imigresen boleh bebaskan warga asing dari depot tahanan

    KP imigresen boleh bebaskan warga asing dari depot tahanan

    SEORANG peguam yang berpengalaman dalam kes imigresen, Harpal Singh memaklumkan, warga asing yang sepatutnya dihantar pulang boleh dilepaskan daripada tahanan bagi mengelakkan kesesakan di depot imigresen.

    Beliau berkata, itu berdasarkan peruntukan dalam Seksyen 34 Akta Imigresen memberi kuasa kepada ketua pengarah untuk menggunakan budi bicaranya bagi membebaskan warga asing yang ditahan di depot jika dia diberi beberapa bentuk jaminan keselamatan.

    “Peraturan 14 di bawah Peraturan Imigresen juga membenarkan ketua pengarah mengeluarkan pas khas kepada warga asing untuk berada di luar depot tersebut,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

    Katanya, kerajaan boleh menjimatkan banyak dana penyelenggaraan sekiranya jumlah warga asing yang dihantar pulang lebih sedikit.

    Jelasnya, kos makanan dan menjaga tahanan itu adalah kira-kira RM35 sehari dan semua itu ditanggung oleh pembayar cukai.

    Minggu lalu, seramai 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari depot imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu, Kedah. Enam daripadanya mati selepas dilanggar kereta ketika cuba melintasi lebuh raya. Selebihnya pula berjaya ditahan semula kecuali 72 lagi yang masih bebas.

    Harpal berkata, ketidakpastian mengenai berapa lamakah mereka akan ditahan menyebabkan kekecewaan dalam kalangan tahanan.

    “Tetapi beberapa komandan depot bersikap proaktif dengan bekerjasama dengan kedutaan asing bagi memastikan tahanan berlepas pulang secepat mungkin,” katanya.

    Seorang lagi peguam, Varghese Onny berkata, pelarian dan pencari suaka mengambil masa untuk mendapatkan kad UNHCR, iaitu dokumen identiti yang sah walaupun ia tidak melayakkan pemegangnya mendapatkan pekerjaan.

    “Ia boleh menjadi sangat mengecewakan untuk kekal di depot selama-lamanya sementara menunggu untuk mendapatkan kad itu,” katanya.

    Menurutnya, warga asing tersebut harus dibenarkan bekerja untuk menyara hidup sementara UNHCR berusaha menempatkan mereka di negara ketiga.

    Tambahnya, perlu ada kawalan ketat di kawasan sempadan bagi menghalang kemasukan warga asing ke negara ini.

  • Penghantar makanan raba payudara wanita didenda RM4,000

    Penghantar makanan raba payudara wanita didenda RM4,000

    TINDAKAN SEORANG penghantar makanan yang meraba payudara seorang wanita pada 20 April lalu membawa padah apabila didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown hari ini.

    Tertuduh, Muhammad Falihin Abdul Talib, 28, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

    Mengikut kertas pertuduhan, kira-kira pukul 12.30 tengah hari pengadu menunggang motosikal berhampiran lampu isyarat Jalan Bukit Gambir arah Sungai Nibong sebelum tertuduh yang turut menunggang motosikal dengan berpakaian kerja datang dari arah belakang menuju ke sebelah kanan sebelum menghimpit kenderaan dinaiki mangsa.

    Harian Metro melaporkan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan cara meraba payudara dengan niat untuk mencabul kehormatan wanita warga Indonesia itu.

    Susulan laporan polis dibuat mangsa, tertuduh berjaya memberkas di tepi Lorong Singgora, Georgetown, Ahad lalu.

    Muhammad Salihin didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nazri Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam S. Bommy.

    Peguam tertuduh merayu hukuman diringankan memandangkan anak guamnya mempunyai seorang anak berusia setahun dan pencari nafkah tunggal selain isterinya sedang hamil lima bulan.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM4,000 atau penjara tiga bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Difahamkan, tertuduh membayar denda.

  • Tiga melecur, empat rumah terbakar

    Tiga melecur, empat rumah terbakar

    TIGA sekeluarga termasuk dua kanak-kanak melecur selepas terbabit dalam kebakaran deretan empat rumah di Hala Taman Meru 10, Taman Meru 2B, Jelapang, Ipoh malam tadi.

    Insiden itu membabitan suami isteri berusia 32 dan 26 tahun serta anak perempuan mereka berusia lima tahun mengalami melecur di bahagian badan manakala anak lelaki berusia tiga tahun terhidu asap.

    Susulan itu sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.04 malam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Shahrudi Muhamad Halil berkata, setibanya di lokasi, pasukan dimaklumkan terdapat seorang lelaki masih terperangkap dan empat anggota telah membuat penyelamatan di rumah berkenaan.

    “Mangsa ditemui di bahagian dapur berhampiran bilik air. Anggota kemudiannya berjaya membawa keluar mangsa sebelum diberi rawatan awal.

    “Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, isteri mangsa dan anak bongsu berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu manakala anak perempuan mereka diselamatkan oleh orang awam.

    “Lelaki terbabit mengalami melecur tahap 3, isterinya melecur di bahagian muka dan tangan serta anak perempuan melecur di kaki tahap 1.

    “Keempat-empat mangsa diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum mendapatkan rawatan lanjut di HRPB,” katanya.

    Shahrudi berkata, kekuatan 26 anggota dengan bantuan dari BBP Ipoh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Chemor meneruskan operasi memadam kebakaran.

    “Pemadaman dilakukan pada dua rumah yang mengalami kemusnahan sebanyak 80 dan 60 peratus serta membuat ‘fire break’ di rumah bersebelahan yang musnah 5 peratus.

    “Sembilan penghuni di tiga rumah terlibat terselamat dalam kejadian itu. Operasi diteruskan hingga tamat pada pukul 2.20 pagi,” katanya.

  • TikTok: Pegawai polis narkotik wanita dipindahkan ke Johor – Razarudin

    TikTok: Pegawai polis narkotik wanita dipindahkan ke Johor – Razarudin

    SEORANG pegawai polis wanita daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika operasi di sebuah pusat hiburan kini dipindahkan ke jabatan lain.

    Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama pagi ini mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan pegawai polis wanita itu akan berpindah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

    Pada Isnin lepas, Pengarah JSJN Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan tindakan pegawai polis berkenaan menerusi akaun TikTok miliknya bersifat peribadi dan hanya bertujuan untuk mempromosikan akaun TikToknya.

    Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat ASP menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

    PDRM sebelum ini telah mengeluarkan tiga arahan mengenai tatacara penggunaan media sosial iaitu pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021 selain tindakan sedemikian tidak dibenarkan.

    Berikutan itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman diarah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung kes berkenaan.

    — BERNAMA

  • Nagaentran jalani hukuman mati di Penjara Changi

    Nagaentran jalani hukuman mati di Penjara Changi

    RAKYAT Malaysia Nagaentran Dharmalingam menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura , pagi ini dan mayatnya akan dihantar pulang ke Ipoh hari ini.

    Perkara itu telah disahkan adiknya Navin Kumar kepada Bernama.

    Ketika dihubungi, Navin masih berada di Penjara Changi untuk menuntut mayat abangnya.  Nagaentran, 34, anak kedua daripada empat beradik.

    Pada Selasa (26 April), Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

    Panchalai Supermaniam memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan-rakan dan aktivis tanpa diwakili mana-mana peguam.

    Perbicaraan didengar di hadapan tiga Hakim iaitu Andrew Phang; Judith Prakash; dan Belinda Ang

    Asas kepada cabaran undang-undang itu ialah Hakim Sundaresh Menon yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini merupakan Peguam Negara yang telah mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.

    Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaentran berpegangan tangan dengan tujuh ahli keluarganya yang hadir di kamar mahkamah.

    Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

    Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 Nov 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

    Pada 7 Nov 2021, dilaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.

    Sementara itu, pada 3 Dis, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata Nagaenthran telah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.

    — BERNAMA