JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya mengagalkan cubaan membawa masuk 9,180 kilogram (kg) produk babi dari China tanpa permit import sah di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), kelmarin.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, produk iti dibawa masuk menggunakan kontena yang dimuatkan di dalam 1,125 kotak dengan anggaran nilai RM453,600.

Menurut beliau, perbuatan mengimport produk babi tanpa permit import sah daripada MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), Akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Produk babai dari China itu dibawa masuk menggunakan kontena yang dimuatkan dalam 1,125 kotak dengan anggaran nilai RM453,600

Jelas beliau, tindakan penguatkuasaan sedemikian perlu diambil bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini yang mampu menjejaskan industri penternakan babi Malaysia.

Katanya, antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi salai, sosej babi, produk babi yang ditinkan dan seumpamanya.

“Pihak MAQIS mengambil langkah lebih serius mengenai pengimportan melalui sempadan negara terutamanya isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan biosekuriti serta tahap jaminan keselamatan makanan negara terpelihara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here