TIGA sekeluarga termasuk dua kanak-kanak melecur selepas terbabit dalam kebakaran deretan empat rumah di Hala Taman Meru 10, Taman Meru 2B, Jelapang, Ipoh malam tadi.

Insiden itu membabitan suami isteri berusia 32 dan 26 tahun serta anak perempuan mereka berusia lima tahun mengalami melecur di bahagian badan manakala anak lelaki berusia tiga tahun terhidu asap.

Susulan itu sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.04 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Shahrudi Muhamad Halil berkata, setibanya di lokasi, pasukan dimaklumkan terdapat seorang lelaki masih terperangkap dan empat anggota telah membuat penyelamatan di rumah berkenaan.

“Mangsa ditemui di bahagian dapur berhampiran bilik air. Anggota kemudiannya berjaya membawa keluar mangsa sebelum diberi rawatan awal.

“Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, isteri mangsa dan anak bongsu berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu manakala anak perempuan mereka diselamatkan oleh orang awam.

“Lelaki terbabit mengalami melecur tahap 3, isterinya melecur di bahagian muka dan tangan serta anak perempuan melecur di kaki tahap 1.

“Keempat-empat mangsa diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum mendapatkan rawatan lanjut di HRPB,” katanya.

Shahrudi berkata, kekuatan 26 anggota dengan bantuan dari BBP Ipoh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Chemor meneruskan operasi memadam kebakaran.

“Pemadaman dilakukan pada dua rumah yang mengalami kemusnahan sebanyak 80 dan 60 peratus serta membuat ‘fire break’ di rumah bersebelahan yang musnah 5 peratus.

“Sembilan penghuni di tiga rumah terlibat terselamat dalam kejadian itu. Operasi diteruskan hingga tamat pada pukul 2.20 pagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here