Category: Semasa

  • Rayuan bantuan Keluarga Malaysia dibuka mulai 2 Mei

    Rayuan bantuan Keluarga Malaysia dibuka mulai 2 Mei

    TEMPOH rayuan bagi permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dibuka mulai 2 Mei selama sebulan bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan sebelum ini.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan sedar bahawa mungkin ada rakyat yang layak menerima BKM tetapi masih belum didaftarkan dalam pangkalan data kerajaan.

    “Pemohon boleh mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM). 

    “Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata permohonan rayuan boleh dibuat melalui dua kaedah sama ada secara dalam talian melalui Portal Rasmi BKM LHDNM 2022 di https://bkm.hasil.gov.my atau penghantaran Borang Rayuan BKM 2022 secara manual.

    Penghantaran borang rayuan secara manual boleh diserahkan mulai 9 Mei ke cawangan, Pejabat Satelit (PS), Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM yang berhampiran.

    “Setelah pangkalan data BKM dikemas kini, pembayaran rayuan BKM kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada bayaran Fasa 3 dan Fasa 4 dijadualkan pada September dan Disember 2022,” katanya. 

    Tengku Zafrul berkata kerajaan telah mengemas kini data golongan B40 yang layak menerima BKM dan setakat ini, hampir RM2.0 bilion bantuan Fasa 1 BKM telah disalurkan kepada hampir sembilan juta penerima B40 seluruh negara pada Mac lepas manakala bayaran Fasa 2 sebanyak RM1.1 bilion pula akan dibuat pada Jun. – Bernama

  • Aidilfitri: Bekalan barang keperluan mencukupi – Zawawi

    Aidilfitri: Bekalan barang keperluan mencukupi – Zawawi

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli bahan mentah barangan keperluan dalam kuantiti yang banyak menjelang sambutan Aidilfitri ini.

    Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ia bagi mengelak berlaku ketiadaan bekalan terbabit sehingga mengakibatkan pengguna lain terkesan kerana sukar mendapatkan barangan yang diingini.

    “MAFI telah berbincang dengan syarikat-syarikat pengeluar ayam dan pengimport daging, malah mereka sedia memberi kerjasama memastikan bekalan makanan di musim perayaan mencukupi,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Syawal Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dekat Tunjong, Kota Bharu, hari ini.

    Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, pengguna kini boleh menikmati harga diskaun 10 hingga 20 peratus bagi bekalan bahan mentah itu menerusi pelaksanaan Program My Best Buy Karnival Raya yang membabitkan 797 outlet pemasaran di seluruh negara yang dianjurkan MAFI. – Bernama

  • Waspada penipuan guna e-mel perniagaan

    Waspada penipuan guna e-mel perniagaan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    ORANG ramai diminta agar terus berhati-hati dengan sindiket penipuan secara dalam talian yang menggunakan e-mel perniagaan atau penyamaran sebagai kenalan melalui aplikasi media sosial termasuk Telegram.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusin berkata, polis menerima beberapa aduan daripada pihak syarikat yang mendakwa e-mel mereka diceroboh penyamar.

    Katanya, penipuan menggunakan e-mel perniagaan telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM802,890 sejak 1 Januari hingga 27 April lalu.

    Jumlah berkenaan bagaimanapun berkurang berbanding kerugian bernilai RM3.4 juta yang direkodkan dalam tempoh sama, tahun lalu.

    “Modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan menghantar e-mel menyerupai alamat e-mel sebenar rakan niaga mangsa dan mengarahkan mereka membuat bayaran ke akaun bank lain.

    “Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan peniaga dan pemilik syarikat yang berkomunikasi melalui e-mel untuk lebih berhati-hati apabila menerima e-mel sedemikian rupa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan untuk berhubung dengan CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

  • Balik kampung: Jalan raya utama, lebuh raya sesak

    Balik kampung: Jalan raya utama, lebuh raya sesak

    ALIRAN trafik di beberapa jalan raya utama dan lebuh raya sesak dan perlahan pagi ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan susulan orang ramai yang pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri terutama pergerakan keluar dari Lembah Klang.

    Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata ke arah utara, kesesakan berlaku dari Hospital Sungai Buloh ke Bukit Beruntung, Bukit Tagar ke Tanjung Malim dan Ipoh Selatan ke Sungai Perak. 

    Katanya, pergerakan kenderaan juga perlahan dari Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di Bandar Dalam dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Taman Melawati ke Plaza Tol Gombak terus ke Lentang. 

    Selain itu, katanya trafik juga mulai perlahan di bahagian selatan seperti dari Putra Mahkota ke Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, Port Dickson menuju ke Senawang, dan juga dari Ayer Hitam ke Yong Peng. 

    Tambahnya, jumlah kenderaan dijangka terus meningkat di lebuh raya utama menuju ke selatan dan utara manakala lebuh raya menghala ke Pantai Timur telah mulai perlahan bermula 2 petang semalam tanpa henti hingga pagi ini. 

    “Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan serta berhati-hati memandu,” katanya kepada Bernama. 

    Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik

  • Serbu premis curi air untuk kerja pembinaan banglo

    Serbu premis curi air untuk kerja pembinaan banglo

    SYARIKAT Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) menyerbu sebuah premis yang melakukan penyambungan air secara haram untuk kegunaan pembinaan banglo dalam satu operasi di Port Dickson, pukul 2.30 petang kelmarin.

    Serbuan dilakukan pegawai Unit Penguatkuasaan Sains serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

    Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, siasatan di tapak mendapati penghuni melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip High Density Polyethlene (HDPE) bersaiz 25 milimeter tanpa melalui sebarang meter.

    “Penyambungan itu untuk kegunaan ubahsuai premis dan aktiviti harian pekerja binaan yang tinggal di premis berkenaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Beliau berkata, pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di lokasi terbabit dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

    Menurutnya, pihak SPAN menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti.

    “Sains tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan mencuri air dan akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan berkenaan.

    “Orang ramai juga digalak membantu dengan melaporkan sebarang kes curi air kepada talian bebas tol Sains 1-800-88-6982,” katanya.

  • Dua maut, tiga parah nahas di Jeli

    Dua maut, tiga parah nahas di Jeli

    DUA maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 108, Jalan Raya Timur Barat dekat Jeli, Kota Bharu, kira-kira pukul 11 malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian terdiri daripada pemandu Perodua Alza, Mohd Hazlan Ibrahim @ Saleh, 33, dan pemandu Proton Wira, Muhamad Baijuri Mohd Shariff, 26.

    Beliau berkata, tiga lagi yang parah adalah penumpang Perodua Alza iaitu wanita berusia 31 tahun, dua kanak-kanak berusia lapan dan enam tahun, manakala seorang kanak-kanak berusia satu tahun yang turut terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Alza. Kesemua mangsa kemalangan dibawa ke Hospital Jeli untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Shuhaimi berkata siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Hubungan Malaysia, Singapura tidak terjejas kes Nagaenthran:Saifuddin

    Hubungan Malaysia, Singapura tidak terjejas kes Nagaenthran:Saifuddin

    MENTERI Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah memaklumkan, hubungan Malaysia, Singapura tidak terjejas susulan kes Nagaenthran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura Rabu lalu, selepas didapati bersalah menyeludup dadah ke negara itu pada 2009.

    Jelas beliau, ini kerana kerajaan Malaysia menghormati lunas undang-undang yang dijalankan Singapura, lapor Harian Metro.

    “Daripada segi hubungan diplomatik, ia tidak terjejas kerana saling memahami antara satu sama lain iaitu keperluan setiap kerajaan dan negara untuk menegakkan keluhuran undang-undang masing-masing.

    “Dalam kes Nagaenthran, ini bukan kes pertama rakyat Malaysia menjalani hukuman mati di Singapura,” katanya ketika ditemui pada program MyRakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri di perkarangan Wisma Belia Indera Mahkota, Kuantan, hari ini.

    Nagaenthran, 34, yang berasal dari Perak dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura.

    Nagaenthran sepatutnya dijadualkan menjalani hukuman pada 10 November 2021 tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan dia positif Covid-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.

    Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sekurang-kurangnya dua pusingan dilakukan pihak kerajaan yang mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan keampunan dan dikurangkan hukuman ke atas Nagaenthran.

    “Pada pusingan pertama, saya mengutus surat kepada Menteri Luar Singapura dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob, kepada Perdana Menteri Singapura.

    “Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah juga mengutus surat kepada Presiden Republik Singapura.

    “Pada minggu akhir sebelum hukuman dilaksanakan, Perdana Menteri dan saya mengutus sekali lagi surat termasuk mencadangkan pertukaran banduan. Kedua-dua surat itu dibalas dengan baik oleh kerajaan Singapura,” katanya.

    Berkenaan cadangan pertukaran banduan, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, Malaysia dan Singapura tiada sebarang perjanjian pertukaran banduan itu.

    Katanya, kerajaan mencadangkannya dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan melihat lebih lanjut berhubung perkara itu.

    “Kalau tidak berjaya pada masa ini, mungkin pada masa depan kerana kita bersedia pada tahap adanya pertukaran banduan ini,” katanya.

  • Anwar gesa kerajaan segera perjelas beberapa isu berbangkit

    Anwar gesa kerajaan segera perjelas beberapa isu berbangkit

    KERAJAAN perlu memberi penjelasan berkaitan beberapa perkara yang timbul sejak kebelakangan ini.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat gesaan itu berkata, isu-isu tersebut memerlukan tindakan dan jawapan segera bagi mengelakkan Malaysia sukar untuk bangkit sebagai negara berintegriti dan bertanggungjawab.

    Tegasnya, Perdana Menteri tidak seharusnya berdiam diri tatkala hal-hal mendesak itu terus mencengkam negara dan rakyat serta bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan Memorandum Persefahaman (MoU).

    “Saya fikir sekiranya ia tidak ditangani dan dibetulkan, maka Malaysia akan menemui kepayahan untuk bangkit semula sebagai tatanan yang baik, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu Anwar turut menyenaraikan enam perkara yang dituntut mendapatkan penjelasan segera kerajaan antaranya isu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Badan Kehakiman Negara melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali; skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002 melibatkan dakwaan Mahkamah Perancis terhadap syarikat aset pertahanan, Thales serta pendedahan terkini mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah di New York, Amerika Syarikat.

    Selain itu Anwar turut menuntut penjelasan mengenai kes melibatkan Serba Dinamik dan Suruhanjaya Sekuriti; projek mega pelaksanaan rangkaian 5G yang dianugerahkan kepada konglomerat Digital Nasional Berhad (DNB) serta kejatuhan matawang ringgit Malaysia akibat hilang keyakinan terhadap dasar dan keupayaan kerajaan dalam mengemudi ekonomi.

    “Yang terakhir adalah berkaitan kos sebenar projek MRT yang kini mencecah RM60 bilion, hal semasa terkait inflasi dan harga barang juga mesti ditangani dengan baik agar beban kepada rakyat dapat dikurangkan.

    “Kelesuan ekonomi saat ini ketimbang negara jiran Indonesia dari segi pelaburan asing (FDI) serta angka-angka melibatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, pertumbuhan ekonomi, kadar kemiskinan serta pengangguran mesti dicerakinkan, diperbetul dan diperkukuhkan.

    “Saya menyeru rakyat supaya sedar dan menolak kelesuan ini serta bangkit menuntut perubahan sebaiknya,” ujarnya.

  • Elak gajah melintas, dua kereta kemalangan

    Elak gajah melintas, dua kereta kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA kereta terlibat dalam kemalangan selepas cuba mengelak seekor gajah yang melintas di Kilometer 70, Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat Kluang pada pukul 9 malam kelmarin.

    Dalam kejadian tersebut, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Alza dan Proton Saga itu berlaku kerana gajah tersebut dikatakan muncul secara tiba-tiba serta kawasan tersebut gelap.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superitendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, nahas berlaku apabila Perodua Alza dipandu seorang wanita warga tempatan berumur 21 tahun dari arah Kluang telah brek mengejut mengelakkan sebuah gajah yang sedang melintas jalan.

    “Kemudian sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki warga tempatan dari arah yang sama gagal mengelak lalu terlanggar Perodua Alza berkenaan.

    “Kedua-dua kereta berkenaan mengalami kerosakan namun tiada kecederaan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59).

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhemah, berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

    “Pengguna jalan raya di daerah Kluang juga dinasihatkan supaya berwaspada di jalan raya tertentu di mana ada lintasan binatang liar seperti gajah, tapir dan lain-lain,” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang masalah boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui

    talian 07-7784256, Direct line:07-7784256, Hotline:07-7766822 atau Tablet DCC:014-3656822.

  • ‘Scammer’ godam aplikasi Telegram, menyamar rakan pinjam wang

    ‘Scammer’ godam aplikasi Telegram, menyamar rakan pinjam wang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENGGODAM akaun Telegram mangsa sebelum menyamar sebagai rakan lalu menghubungi mangsa melalui aplikasi berkenaan bagi meminjam wang.

    Itu merupakan modus operandi terbaharu scammer bagi memperdayakan mangsa yang dikesan melibatkan 39 kes dari 1 Januari hingga Rabu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusin berkata, nilai kerugian mangsa membabitkan RM259,450.

    “Namun terdapat sedikit penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang membabitkan 75 kes membabitkan kerugian RM462,368.90.

    “Walaupun kes pada tahun ini menunjukkan penurunan namun kes berkenaan masih berlaku dan mencatatkan kerugian besar kepada mangsanya.

    “Modus operandi sindiket penyamaran ini adalah dengan menggodam akaun Telegram milik mangsa dan menghubungi senarai rakan mangsa yang diperoleh daripada akaun aplikasi itu,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

    Katanya, sindiket penyamaran itu kemudian menggunakan gambar profil pemilik akaun atau mangsa sebenar yang sebelum memberi mesej kepada rakan mangsa bagi membuat meminjam wang dalam jumlah besar.

    “Pemilik akaun sebenar hanya akan menyedari perkara itu apabila akaun Telegram mereka tidak dapat diakses atau menerima panggilan rakan mengenai kesahihan pinjaman wang yang ingin dibuat,” katanya.

    Justeru, Amran mengingatkan orang awam supaya tidak mudah percaya dengan mesej untuk meminjam wang yang diterima daripada rakan dan kenalan mereka apatah lagi individu tertentu.

    “Hubungi rakan serta kenalan dahulu menggunakan talian telefon biasa untuk pengesahan dahulu sebelum membuat pembayaran wang apatah lagi jika pembayaran diarahkan dibuat atas nama akaun individu lain,” kataya.

    Selain itu katanya, perlu aktifkan penetapan pin keselamatan akaun Telegram masing-masing bagi memastikan keselamatan akaun mereka dapat dipertingkatkan daripada digodam.

    Amran berkata, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 bagi mendapatkan maklumat lanjut atau nasihat berkaitan sindiket berkenaan.

    Tambahnya, gunakan perkhidmatan Semak Mule secara dalam talian bagi membuat semakan sama ada akaun bank atau nombor telefon digunakan itu pernah terbabit dalam jenayah komersil.