Category: Semasa

  • Tiada arahan rasmi polis trafik iring kenderaan didakwa anak Ahli Parlimen

    Tiada arahan rasmi polis trafik iring kenderaan didakwa anak Ahli Parlimen

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SIASATAN dalaman yang dijalankan Polis Pulau Pinang mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi daripada mana-mana pegawai kanan, Ibu Pejabat atau Kontinjen Pulau Pinang bagi tugasan mengiringi anak Ahli Parlimen yang videonya tular di laman sosial sejak semalam.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dua anggota polis trafik yang terlibat dalam insiden tersebut kini telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes berkenaan selesai.

    Tegas beliau, kedua-dua anggota trafik berkenaan telah dilucut sementara daripada menjalankan penugasan hakiki dan ditempatkan di bahagian pentadbiran sehingga siasatan selesai.

    “Kertas siasatan tatatertib telah dibuka dan siasatan terperinci berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi memberikan keadilan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

    Semalam, satu rakaman video yang memperlihatkan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dinaiki anak Ahli Parlimen di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang tular di dalam media sosial.

    Video itu mendapat kecaman dan mengundang kritikan netizen yang mempersoal bagaimana anak Ahli Parlimen berkenaan boleh mendapat keistimewaan tersebut apatah lagi ada yang mendakwa dilakukan hanya untuk mengelak kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.

    Menurut Mohd. Shuhaily, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah mengeluarkan serta menjelaskan prosedur berhubung penugasan untuk mengiringi mana-mana pihak pada 18 Mac lalu untuk perhatian para anggota.

    Sehubungan itu tegas beliau, polis sentiasa memandang serius kesalahan melaksanakan tugas tanpa arahan rasmi sama ada daripada pegawai kanan atau penyelia.

    “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku bertentangan dengan prosedur yang ditetapkan,” katanya.

    Tambah beliau, polis juga akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana melibatkan kesalahan menggunakan media sosial dan siasatan juga akan melihat kepada elemen sama ada dilakukan bagi menjatuhkan imej polis.

  • Biarlah Ismail Sabri tentu bila PRU-15…

    Biarlah Ismail Sabri tentu bila PRU-15…

    KETIKA Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semakin tenang menguruskan negara bersama dengan barisan Kabinet yang terdiri daripada pelbagai parti, masih ada suara-suara yang mahukan PRU-15 diadakan secepat mungkin.

    Mungkin menyedari keadaan itulah Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan, kestabilan yang sedang dikecapi sekarang tidak perlu dikucar-kacirkan dengan desakan agar Parlimen dibubarkan.

    Kata beliau, jika UMNO mahu Parlimen dibubarkan ketika ini, rakyat akan menghukum parti yang mengkucar-kacirkan kestabilan yang sedang dinikmati. Nazri turut mengingatkan titah Yang di-Pertuan Agong yang manu melihat sebuah kerajaan stabil.

    Kalau diperhatikan, biarpun ketika ini parti-parti tidak kira pembangkang atau yang berada dalam kerajaan tetap melakukan persediaan bagi menghadapi PRU-15, namun mereka tidak mahu ia diadakan dalam terdekat, mereka mahu kerajaan sedia ada dibenarkan menguruskan negara sehingga penggal berakhir.

    Tetapi malangnya yang buat kecoh dan sentiasa  berada dalam keadaan bagaikan ‘cacing kepanasan’ ialah segelintir pemimpin UMNO. Ada antara mereka adalah dalam kalangan disebut ‘kluster mahkamah’ . Mereka inilah yang teruja sangat mahu PRU-15, motifnya kita tidak pasti.

    Namun yang pasti mereka terlalu teruja dengan kemenangan di PRN Johor dan Melaka, walaupun pemerhati politik malah dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri menganggap kemenangan itu terutama di Johor tidak boleh dijadi ukuran kekuatan BN, tetapi fakta itu seolah-olah tidak dipedulikan.

    Kelompok pemimpin yang tempoh  ‘kuasa kepemimpinan’ mereka dalam parti sudahpun berakhir mahu PRU-15 tetapi terlalu takut mengadakan pemilihan dalam parti. Andaian kononnya pemilihan parti akan membawa perpecahan hanya alasan, sebenarnya mereka bimbang dengan kedudukan, kewibawaan dan populariti Ismail Sabri, apatah lagi keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang menamakan Ahli Parlimen Bera itu sebagai calon PM bagi BN dalam PRU-15.

    Dalam situasi itu, mereka mungkin bimbang Ismail Sabri akan mendapat sokongan padu ahli-ahli UMNO untuk menjadi Presiden parti itu. Jika itu terjadi ia bukanlah janggal malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pasti memahami itulah cara terbaik untuk memperkukuhkan parti yang mana UMNO kembali kepada ‘tradisi’ iaitu Perdana Menteri adalah Presiden UMNO.

    Lagipun dengan menamakan Ismail Sabri sebagai calon PM, sewajarnya beliau diberi kuasa penuh untuk pasukannya dalam UMNO dan pada masa sama tidak diganggu oleh mana-mana pemimpin UMNO yang mendesak PRU-15 diadakan secepat mungkin.

    Ismail Sabri dikatakan orang parti dan amat setia kepada parti. Tetapi perlu difahami sebagai Perdana Menteri, beliau juga perlu mengambil kira kedudukan rakyat dan negara yang baru sahaja mahu bangkit semula selepas dilanda pandemik Covid-19. Justeru adalah tidak wajar jika rakyat mahu diseret ke medan pilihan raya.

    Kalau ada yang ‘dok teruja’ nak berdebat tu, biarkan saja…anggaplah itu ‘hiburan malam’. Apa yang penting Ismail Sabri tidak diganggu sama ada dari dalam atau luar parti ketika menguruskan negara. Bila pilihan raya mahu diadakan, biarlah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri menentukannya.

    Lagipun setakat ini, Ismail Sabri tidak menghadapi apa-apa masalah dalam menguruskan negara bersama-sama rakan daripada Perikatan Nasional (PN) dan parti dari Sabah serta Sarawak. Keadaan itulah memberi keyakinan kepada pihak luar bahawa politik Malaysia semakin stabil.

    Namun penulis percaya kelompok ‘cacing kepanasan’ tidak akan duduk diam. Mereka akan mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen. Jika itu situasi itu berlaku terserahlah kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukannya. Kalau beliau merasakan hujung tahun selepas Bajet 2023 dibentangkan…silakan saja…tetapi pastikan dulu manuver oleh segelintir pemimoin dalam parti sendiri tidak berlaku.

    Tidak dapat dinafikan banyak usaha dilakukan oleh Ismail Sabri semakin menambat hati rakyat terhadap kepemimpinannya tetapi bukan bermaksud dalam partinya semua gembira! Kenapa? Fikirlah sendiri…jadi beliau harus berhati-hati..

  • Kanak-kanak jatuh sungai: Permainan bermotor dihentikan sementara

    Kanak-kanak jatuh sungai: Permainan bermotor dihentikan sementara

    MAJLIS Bandaraya Ipoh (MBI) mengeluarkan arahan penutupan sementara operasi permainan bermotor di Amusement Park, Kinta Riverwalk di Ipoh, bagi menjalankan siasatan susulan insiden seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai, malam tadi.

    Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata kini siasatan sedang dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan kanak-kanak itu yang berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas ibu bapanya dan bantuan orang ramai.

    “Pihak MBI mengeluarkan arahan penutupan operasi permainan kanak-kanak itu mulai hari ini bagi menjalankan siasatan berkaitan isu kereta mainan bermotor kanak-kanak di Kinta Riverwalk itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata MBI melantik syarikat berkaitan bagi menjalankan aktiviti permainan kanak-kanak di Kinta Riverwalk itu mulai 1 Januari tahun ini dengan menetapkan garis panduan keselamatan untuk beroperasi.

    Semalam, tular video berdurasi 29 saat menunjukkan kenderaan mainan dinaiki seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai, sebelum diselamatkan oleh ibu bapa mangsa dan orang ramai yang berada di tempat kejadian daripada dihanyutkan arus sungai.

    Turut kelihatan dalam video itu, kehadiran ambulans yang memberikan rawatan kepada mangsa dan mereka yang cedera.

  • 4 cedera, letupan gas memasak rosakkan tiga buah rumah

    4 cedera, letupan gas memasak rosakkan tiga buah rumah

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEBANYAK tiga buah rumah mengalami kerosakan dengan sebahagian dinding runtuh dalam kejadian letupan berpunca daripada gas memasak di sebuah rumah di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal, Pulau Pinang malam tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.57 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati tiga buah rumah yang setiap satu berkeluasan kira-kira 74 meter persegi mengalami kesan kemusnahan pada beberapa bahagian.

    Kesan kejadian itu seakan terkena bahan letupan di bahagian bumbang dan struktur dinding rumah yang berkemungkinan berpunca daripada kebocoran gas memasak.

    “Kesan itu seakan terkena bahan letupan di bahagian bumbang dan struktur dinding rumah yang berkemungkinan berpunca daripada kebocoran gas memasak.

    “Peratusan kemusnahan pada rumah yang terlibat adalah dianggarkan kira-kira 70 peratus dan 10 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Difahamkan, sekurang-kurangnya empat penghuni dilaporkan mengalami kecederaan akibat kejadian itu dan mereka kini mendapat rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

  • Anak Ahli Parlimen tumbuk, ludah muka kawan lama

    Anak Ahli Parlimen tumbuk, ludah muka kawan lama

    ANAK seorang Ahli Parlimen di Melaka didakwa menumbuk dan meludah muka seorang rakan lamanya di sebuah rumah di Pernu, baru-baru ini.

    Memetik laporan Harian Metro, kejadian yang dipercayai akibat perselisihan faham itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 2 Mei lalu.

    Anak Ahli Parlimen terbabit dikatakan menghubungi mangsa yang berumur 49 tahun dan meminta dia datang ke rumahnya.

    Menurut sumber, perselisihan faham tercetus setelah mangsa dituduh bersikap kurang ajar terhadap ibu suspek ketika berada di kedai ikan bakar di Umbai sebelum itu.

    “Ketika sampai di rumah berkenaan, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek menumbuk kepala mangsa.

    “Malah suspek turut dikatakan menghantukkan kepalanya ke muka mangsa hingga menyebabkan kecederaan di bahagian hidung selain meludah muka mangsa,” katanya.

    Difahamkan, mangsa meminta untuk bertemu ibu suspek bagi mengetahui perkara sebenar namun dihalau keluar dari kediaman itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan dibuat pengadu pada 6 Mei lalu di Balai Polis Kandang.

    Menurut beliau, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

    “Setakat ini polis sudah selesai merakam keterangan individu terbabit. Kedua-dua mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.

    “Namun saya tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan lanjut masih dijalankan,” jelasnya.

  • 2 suspek rompakan RM1 juta kedai pajak gadai ditahan

    2 suspek rompakan RM1 juta kedai pajak gadai ditahan

    POLIS Kelantan menahan dua individu bagi membantu siasatan kes rompakan wang tunai bernilai RM1 juta serta barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai di Pasir Mas, dekat sini, yang berlaku Khamis (5 Mei) lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, lelaki dan wanita warga tempatan berusia 30-an itu ditahan sehari selepas kejadian (6 Mei) dan kini direman hingga 12 Mei ini.

    Beliau berkata, pihaknya masih mencari bukti-bukti baharu bagi membantu siasatan selain turut memerlukan saksi lain tampil untuk memberi maklumat.

    “Kita masih mencari bukti-bukti baharu dan dalam kes ini beberapa kenyataan yang telah dibuat oleh saksi sebelum ini kita perlu sahkan memandangkan pada peringkat awal terdapat pencanggahan maklumat.

    “Setakat ini, kita sedang menunggu keputusan daripada bahagian forensik membabitkan bukti-bukti yang ada dan setakat ini ia masih dalam tindakan makmal, kita jangka kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

    Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Tumpat antara Supt Tan Seng Lee yang memangku jawatan itu sebelum ini kepada pemangku ACP Amran Dolah.

    Media sebelum ini melaporkan, polis memburu tiga lelaki disyaki terbabit rompakan wang tunai RM1 juta dan pelbagai barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai. – BERNAMA

  • Cabul penumpang wanita: Pemandu kedua bas ekspres direman

    Cabul penumpang wanita: Pemandu kedua bas ekspres direman

    SEORANG pemandu kedua sebuah bas ekspres direman bagi membantu siasatan kes cabul seorang penumpang wanita yang sedang tidur ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke Melaka awal pagi semalam.

    Perintah tahanan reman selama empat hari hingga Khamis itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Hairul Azhar Mohamad terhadap lelaki berumur 27 tahun itu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, setelah mendapat permohonan daripada polis bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

    Dalam kejadian itu, seorang penumpang wanita berusia 21 tahun mendakwa diraba pemandu kedua bas ekspres semasa kenderaan itu berhenti rehat di Ajil, Hulu Terengganu kira-kira 4 pagi Ahad.

    Berdasarkan maklumat itu, pihak polis terus menahan pemandu kedua yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu, sebaik sahaja bas tiba di Terminal Melaka Sentral, kira-kira 10.30 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud semasa dihubungi mengesahkan penahanan suspek bagi membantu siasatan kes yang melibatkan penuntut (mangsa) maktab perguruan di Melaka itu. – BERNAMA

  • Remaja lemas jatuh sungai ketika berhari raya

    Remaja lemas jatuh sungai ketika berhari raya

    KEGEMBIRAAN sebuah keluarga melakukan ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri bertukar menjadi tragedi apabila seorang remaja lelaki lemas selepas tergelincir dari jambatan di Kampung Banting, Sipitang, pukul 12 tengah hari semalam.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang pada pukul 12.20 tengah hari sebelum enam anggota bergegas ke lokasi yang terletak sejauh 20 kilometer dari BBP Sipitang.

    Ketua BBP Sipitang, Syahdennie Alidinsah berkata, remaja lelaki berusia 15 tahun itu ditemui lemas oleh ahli keluarganya di sekitar lokasi dia jatuh pada pukul 1.21 petang.

    “Pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa namun disahkan meninggal oleh pasukan perubatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Sipitang untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 2.03 petang.

  • Kes SRC: Rayuan akhir Najib bermula 15 Ogos, selama 10 hari

    Kes SRC: Rayuan akhir Najib bermula 15 Ogos, selama 10 hari

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Perkara itu dimaklumkan melalui surat bertarikh 29 April yang disediakan kepada media, dan ditandatangani oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Hafiizullaah Omar@ Md Salleh yang memaklumkan tarikh bagi mendengar rayuan bekas perdana menteri itu ialah pada 15 hingga 19 Ogos dan 22 hingga 26 Ogos.

    Menurut surat itu, kedua-dua pihak (pembelaan dan pendakwaan) turut diarah mengemukakan hujahan bertulis sebelum 31 Julai.

    Pada 25 April, Najib telah mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya mengenai mengapa beliau harus dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng RM42 juta dalam dana SRC International Sdn Bhd.

    Antara alasan yang dibangitkan dalam petisyen itu ialah Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap perayu (Najib) atas kesemua tujuh pertuduhan dan memanggilnya untuk membela diri.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Mahkamah Persekutuan merupakan jalan terakhir bagi Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International itu. – BERNAMA

  • Mekanik didakwa bunuh isteri sehari sebelum Aidilfitri

    Mekanik didakwa bunuh isteri sehari sebelum Aidilfitri

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di Kajang hari ini atas satu pertuduhan membunuh isterinya, sehari sebelum Aidilfitri lalu.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh, Mohd. Syawalludin Ismail, 38, yang memakai baju kemeja hitam, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada bapa kepada empat anak itu kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian Siti Nadirah Mohd. Nazul, 28, di sebuah rumah di Taman Koperasi Maju Jaya, Kajang antara pukul 12 tengah malam hingga 3.30 pagi, 1 Mei lalu.

    Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh, Mohd Syawalludin Ismail di dakwa atas kesalahan membunuh isterinya sehari sebelum Aidilfitri selepas berang hubungan sulit dimuat naik di media sosial ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 14 Jun depan untuk serahan dokumen.

    Pada 6 Mei lalu, media melaporkan, seorang suri rumah maut dipercayai dipukul selepas mendakwa suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain dalam kejadian di sebuah rumah flat di Batu 9 di sini, sehari sebelum sambutan Hari Raya.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Kajang pukul 9.16 pagi berkaitan mangsa yang dihantar dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital berkenaan.

    Difahamkan, pasangan suami isteri itu mempunyai empat anak berusia tujuh, enam dan tiga tahun manakala bongsu berusia enam bulan.