ANAK seorang Ahli Parlimen di Melaka didakwa menumbuk dan meludah muka seorang rakan lamanya di sebuah rumah di Pernu, baru-baru ini.

Memetik laporan Harian Metro, kejadian yang dipercayai akibat perselisihan faham itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 2 Mei lalu.

Anak Ahli Parlimen terbabit dikatakan menghubungi mangsa yang berumur 49 tahun dan meminta dia datang ke rumahnya.

Menurut sumber, perselisihan faham tercetus setelah mangsa dituduh bersikap kurang ajar terhadap ibu suspek ketika berada di kedai ikan bakar di Umbai sebelum itu.

“Ketika sampai di rumah berkenaan, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek menumbuk kepala mangsa.

“Malah suspek turut dikatakan menghantukkan kepalanya ke muka mangsa hingga menyebabkan kecederaan di bahagian hidung selain meludah muka mangsa,” katanya.

Difahamkan, mangsa meminta untuk bertemu ibu suspek bagi mengetahui perkara sebenar namun dihalau keluar dari kediaman itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan dibuat pengadu pada 6 Mei lalu di Balai Polis Kandang.

Menurut beliau, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

“Setakat ini polis sudah selesai merakam keterangan individu terbabit. Kedua-dua mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.

“Namun saya tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan lanjut masih dijalankan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here