Category: Semasa

  • Pelajar Tingkatan 4 tunggang motosikal bapa maut kemalangan

    Pelajar Tingkatan 4 tunggang motosikal bapa maut kemalangan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pelajar tingkatan empat terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan tiga buah kereta di Kilometer 11.9 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth arah Sungai Dua, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa berusia 16 tahun maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada bahagian kepala selepas dipercayai dilanggar beberapa kali.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Bagan Ajam menghala ke Sungai Dua.

    Ketika tiba di lokasi kejadian ujarnya, motosikal mangsa dikatakan menukar haluan dari lorong kiri ke lorong kanan sebelum bergesel dengan sebuah kereta yang datang dari arah belakang.

    “Ketika itu juga dua buah kereta yang datang dari arah belakang gagal mengelak dan melanggar motosikal dinaiki mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

    Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa yang tidak mempunyai lesen memandu menunggang motosikal milik bapanya.

    “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Dr Afifi undur diri gelaran Orang Besar Delapan Perak

    Dr Afifi undur diri gelaran Orang Besar Delapan Perak

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menerima permohonan Datuk Dr Afifi Al-Akiti untuk berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan sebagai Orang Besar Delapan Perak.

    Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayop Hashim berkata, Dr Afifi telah mengutus warkah hari ini, memohon perkenan Sultan Nazrin untuk berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan dan warkah beliau telah diangkat sembah untuk pertimbangan baginda.

    “Baginda menzahirkan penghargaan atas segala khidmat yang diberikan oleh Dr Afifi dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan dan berkenan menerima permohonan itu untuk dikuatkuasakan pada 15 Mei (hari ini),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menerusi warkah yang dilampirkan bersama kenyataan itu, Dr Afifi antara lain menyatakan warkah berkenaan diutuskan susulan penularan bahan-bahan tertentu dalam media sosial bertujuan mencemarkan namanya baru-baru ini.

    “Saya memilih tidak mahu mengulas atau memberi sebarang jawapan yang boleh mencetuskan berlaku perdebatan berpanjangan yang tidak memberikan sebarang manfaat.

    “Bahan-bahan yang ditular juga kelihatan mempersoalkan kesesuaian peranan saya dengan institusi istana dan mempertikaikan peranan saya dengan urusan hal ehwal agama Islam.

    “Menginsafi perkara ini jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan darjat kemuliaan Raja Pemerintah dan institusi istana, saya mengutus warkah ini untuk menyampaikan hasrat ikhlas mahu berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan,” menurut Dr Afifi.

    Dr Afifi berkata, keputusan itu dilakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada Sultannya, demi melindungi darjat kemuliaan Sultan Perak supaya tidak dicacatkan serta bagi mengelakkan institusi istana daripada dicemari.

    Baru-baru ini, tular klip video yang memaparkan seorang lelaki yang dikatakan tokoh agama dan penasihat Sultan, sedang berhibur di sebuah kelab malam. – BERNAMA

  • Ambil nilai murni Kaamatan perkukuh kerjasama kerajaan Sabah – Hamzah

    Ambil nilai murni Kaamatan perkukuh kerjasama kerajaan Sabah – Hamzah

    NILAI murni kebudayaan dan perpaduan dalam Pesta Kaamatan wajar diketengahkan ke peringkat kepemimpinan kerajaan negeri Sabah, bagi memperkukuh kerjasama terutama membabitkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, GRS berjaya membuktikan kemampuan dalam menggabungkan parti di negeri itu atas satu fokus yang sama, iaitu membangun dan melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat.

    “Pesta Kaamatan berupaya merapatkan hubungan masyarakat pelbagai kaum, anutan serta fahaman dan apa yang kita lihat daripada pesta ini adalah sesuatu untuk kita rapatkan silaturahim,” katanya selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Beluran hari ini.

    GRS dianggotai BERSATU Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) bagi mentadbir negeri itu.

    Dalam pada itu, beliau turut berharap Pesta Kaamatan dapat diketengah di peringkat lebih tinggi terutama dalam usaha menarik pelancong luar untuk melihat keunikan kebudayaan masyarakat Sabah yang masih mengekalkan kebudayaan dan warisan turun-temurun.

    Dalam perkembangan berasingan, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya akan memastikan pembinaan sebuah markas bagi menempatkan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Beluran direalisasikan secepat mungkin.

    Ketika ini, batalion itu beroperasi di bangunan yang disewa berhampiran Sandakan.

    Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee pula berkata, Pesta Kaamatan yang sentiasa disambut meriah oleh semua masyarakat di Sabah, berjaya memupuk perpaduan dan nilai saling menghormati.

    Mengulas pembinaan markas Batalion 20 di Beluran, beliau menyambut baik rancangan itu untuk direalisasikan secepat mungkin bagi memastikan operasi PGA berjalan lancar dan keselamatan masyarakat di daerah itu terjamin.

    “Beluran terdedah kepada perairan Laut Sulu yang terdedah kepada ancaman keselamatan dan perlu dilindungi,” katanya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan. – Bernama

  • 49 PATI diberkas di ladang getah

    49 PATI diberkas di ladang getah

    SERAMAI 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan ketika cuba merentasi sempadan Malaysia-Thailand di kawasan ladang getah, Bukit Kayu Getah, pukul 9.30 pagi tadi.

    Semua PATI termasuk 12 wanita berusia antara 15 hingga 48 tahun itu ditahan dalam Op Benteng di bawah kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, kehadiran kumpulan PATI itu dikesan Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) dalam keadaan mencurigakan ketika berjalan kaki merentasi sempadan negara.

    “Hasil pemeriksaan mendapati mereka adalah warga Myanmar dan masing-masing tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

    “Anggota bertugas kemudian menahan semua, sebelum diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Selain tangkapan, katanya pihaknya turut merampas 37 telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Malaysia, Thailand dan Myanmar serta 2 beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM15,878.

  • Pejabat kesihatan daerah tentukan TASKA, TADIKA ditutup-KJ

    Pejabat kesihatan daerah tentukan TASKA, TADIKA ditutup-KJ

    KEPERLUAN keperluan menutup sesebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) susulan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan diputuskan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di kawasan terlibat.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjangkakan peningkatan kes HMFD akan berlaku apabila sektor pendidikan dibuka dan kanak-kanak kembali ke sekolah dan TASKA.

    “Sejak awal tahun ini hingga semalam, kes HFMD mencatatkan peningkatan apabila merekodkan sebanyak 28,957 kes di seluruh negara pada minggu epid ke-19 dan secara perbandingan untuk keseluruhan tahun lalu hanya 4,239 kes.

    “Memang peningkatan kes agak mendadak tetapi dijangkakan kerana sepanjang tahun lalu banyak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh keluar, sekarang ini dibenarkan keluar, lebih-lebih lagi dibuka dengan sektor pendidikan dan sebagainya maka kes HFMD akan meningkat.

    “Namun untuk menentukan keperluan atau kewajaran menutup TASKA atau TADIKA akan ditentukan oleh PKD dan sekiranya keadaan memerlukan penutupan, keputusan akan dibuat di peringkat PKD,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri KKM di Padang Sekolah Menengah Dato Mohd Yatim Gadong, Kota di Rembau, hari ini, lapor Berita Harian.

    Dalam laporan media sebelum ini, KKM merekodkan sebanyak 22,463 kes penyakit HFMD pada Minggu Epid 17/2022.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, ia membabitkan peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2021 dengan hanya mencatatkan 1,752 kes.

    Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kerjasama semua pihak penting dengan memastikan premis dalam keadaan bersih selain orang ramai sentiasa peka terhadap penyakit endemik yang lain seperti demam denggi dan HFMD.

    Beliau bagaimanapun berkata, KKM akan mengawal penularan wabak berkenaan melalui hebahan kepada orang ramai mengenai titik panas HMFD ini dan ia boleh dilihat melalui aplikasi MySejahtera terhadap keadaan kes berkenaan di sesuatu kawasan.

    “KKM ingin memaklumkan terutamanya kepada ibu bapa gunalah ciri penyakit berjangkit dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapat tahu jumlah kes di kawasan berhampiran masing-masing. Sekiranya tinggi berhati-hatilah dan perlu berwaspada.

    “Sentiasalah menjaga kebersihan diri kerana mungkin selama dua tahun ini kita tak fikirkan penyakit berjangkit yang lain, kita beri tumpuan pada penyakit COVID-19.

    “Namun hakikatnya, memang ada secara endemik penyakit-penyakit lain seperti denggi, HFMD dan sebagainya. Jadi jangan kita lupa dengan adanya COVID-19 dan sudah dapat diurus dengan baik, kita kembali semula berdepan dengan penyakit-penyakit yang lain,” katanya.

    Khairy berkata, kes HMFD akan naik turun dari semasa ke semasa dan kes dapat dikawal jika ada kesedaran terhadapnya.

    “Disebabkan kehidupan yang kembali normal dan ini adalah sebahagian daripada pergerakan manusia,” katanya.

  • KPWKM erat kerjasama dengan D11 Bukit Aman: Rina

    KPWKM erat kerjasama dengan D11 Bukit Aman: Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengeratkan kerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman dalam pemantapan keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak dan wanita di negara ini.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, beliau bersama Ketua Setiausaha serta Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengadakan perbincangan dengan Bahagian D11 semalam bagi meneruskan sesi libat urus dan kolaboratif berhubung perkara itu.

    Menerusi perkongsian di Facebook, Rina berkata, perbincangan dimulakan dengan pembentangan modus operandi terkini Nur Alert dan statistik semasa berkaitan kanak-kanak hilang.

    “Dalam pertemuan itu, saya memaklumkan bahawa kami telah menubuhkan Jawatankuasa Bersepadu Pengurusan Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak di Media Sosial yang bermatlamat untuk menggembleng tenaga pakar dari PDRM (Polis Diraja Malaysia), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkepentingan supaya memastikan keselamatan kanak-kanak di media sosial terpelihara,” katanya.

    Menurut Rina, jawatankuasa itu merupakan platform untuk memantapkan usaha kerajaan dalam membanteras jenayah seksual kanak-kanak di media sosial dengan penganjuran kempen dan program advokasi.

    Katanya, PDRM juga bersedia untuk bekerjasama dalam penggubalan Dasar Kanak-Kanak Negara yang kini sedang dilaksanakan bagi menggantikan dasar sedia ada dan ia turut menerima input daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

    Beliau berkata, PDRM juga menyatakan kesediaan untuk melatih Skuad Waja bagi membolehkan ia menjadi pasukan petugas pada peringkat pusat.

    “Saya yakin idea ini amat baik dalam memperkasakan peranan Skuad Waja yang berperanan sebagai ejen antijenayah dalam komuniti bagi menangani isu-isu berkaitan keganasan terhadap wanita,” katanya. – Bernama

  • Galak pelajar eksplorasi bidang sains, teknologi-Radzi

    Galak pelajar eksplorasi bidang sains, teknologi-Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa menggalakkan eksplorasi bidang sains dan teknologi dalam kalangan pelajar sekolah seluruh negara menerusi Konsep Sekolahku Sejahtera.

    Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, galakan dan pendekatan tersebut sejajar dengan arus kemodenan dan digitalisasi dalam banyak aspek kehidupan masa kini.

    “Bidang sains dan teknologi adalah salah satu daripada 14 elemen yang diperkenalkan dalam konsep tersebut bagi menghidupkan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan untuk anak-anak.

    “Sama ada suka atau tidak, kita sekarang ini bersaing atas tapak digitalisasi dan bidang ini akan terus menjadi tunjang pemodenan dunia manakala anak-anak perlu dipastikan mempunyai minat dalam bidang ini.

    “Jadi kita perlu mewujudkan persekitaran sekolah yang menyeronokkan sehingga membuatkan murid-murid rasa kosong sekiranya tidak hadir ke sekolah. Justeru, konsep Sekolahku Sejahtera pastinya akan digunakan untuk merapatkan anak-anak dan sekolah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, Bachok hari ini, lapor Sinar Harian.

    Kata Mohd. Radzi, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi menarik minat murid dan pelajar menjelajah bidang sains dan teknologi.

    Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 25 guru dari seluruh negara menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 atas usaha mereka mencipta inovasi, akses pembelajaran dan meningkatkan kecemerlangan akademik.

    “Kesemua guru yang menerima anugerah ini adalah mereka yang menggunakan pendekatan dan ruang sewaktu di sekolah untuk mewujudkan elemen yang menyeronokkan kepada anak-anak.

    “Kejayaan ini sangat berkait rapat dengan konsep Sekolahku Sejahtera yang diperkenalkan oleh KPM dan memberi manfaat terbaik kepada murid serta pelajar,” katanya.

  • Jangan terburu-buru tanam ketum, tunggu keputusan kerajaan – Mahdzir

    Jangan terburu-buru tanam ketum, tunggu keputusan kerajaan – Mahdzir

    PENDUDUK luar bandar di negeri ini dinasihatkan tidak terburu-buru mengusahakan penanaman pokok ketum di kawasan tanah milik mereka walaupun ada cadangan agar daun ketum dibenarkan dieksport ke luar negara bagi tujuan perubatan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penduduk sebaiknya perlu menunggu keputusan rasmi kerajaan persekutuan berkaitan perkara berkenaan yang setakat ini belum ditentukan.

    “Kita boleh menjadi seorang yang positif dan progresif dalam urusan berkaitan dengan ketum tapi kita tunggulah sampai keputusan dibuat kerajaan.

    “Jadi kalau kata keputusan kerajaan nanti, jika dibenarkan (eksport daun ketum) barulah kita, bertindak mengikut lunas undang-undang ditetapkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Padang Terap, Kuala Nerang, hari ini.

    Beliau diminta mengulas laporan berita mengenai kegiatan penanaman ketum yang didakwa berleluasa selain terdapat pembukaan kebun atau ladang ketum baharu negeri ini khususnya di daerah Padang Terap.

    Mahdzir berkata penanaman pokok ketum oleh penduduk luar bandar khususnya di daerah ini sudah lama dijalankan namun beliau menolak dakwaan terdapat kebun atau ladang baharu dibuka.

    Menurutnya, apabila terdapat cadangan agar daun ketum dibenarkan dieksport penduduk luar bandar atau penanam ketum melihatnya sebagai peluang untuk untuk mengusahakan tanaman tersebut.

    “Jadi ia bukanlah pertambahan tapi apabila ada perkhabaran-perkhabaran baik walaupun belum tentu lagi kepastian ataupun kelulusan tapi pada mereka ia dianggap sebagai positif, jadi dia betulkan (menguruskan semula) ladang-ladang dia (yang sebelum ini tidak diuruskan),” katanya.

    Dalam isu lain, Mahdzir berkata Yayasan Pelajaran MARA (YPM) telah menyalurkan bantuan persekolahan kepada 53,741 pelajar di seluruh negara melibatkan peruntukan sebanyak RM4.1 juta pada tahun lalu.

    Katanya, bantuan itu antaranya melibatkan bantuan kewangan secara sekali beri barangan dan kelengkapan persekolahan yang disumbangkan kepada pelajar kurang berkemampuan bagi memulakan sesi persekolahan.

    “Bagi tahun ini, kita jangka jumlah peruntukan bantuan YPM yang sama akan disalurkan kepada pelajar kurang berkemampuan,” katanya. – Bernama

  • Timbang dengan teliti sebelum kerajaan ambil alih Sapura Energy-Tok Pa

    Timbang dengan teliti sebelum kerajaan ambil alih Sapura Energy-Tok Pa

    KERAJAAAN perlu membuat pertimbangan yang teliti mengenai prestasi kewangan negara sekiranya mahu mengambil alih Sapura Energy Bhd. (Sapura Energy) bertujuan mengelak daripada syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu diisytihar muflis.

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, terdapat banyak industri yang terjejas termasuklah perkhidmatan O&G sama ada daripada syarikat kecil atau besar.

    “Industri itu adalah strategik dan Sapura Energy pula adalah sebuah syarikat terbesar di dunia dalam bidang berkenaan.

    “Sebarang bantuan yang diberikan itu jika tidak membabitkan kerajaan sekali pun, bagaimanapun Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) adalah milik kerajaan, oleh itu ia perlu diteliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

    “Seminggu lalu, pihak kami juga sudah mengadakan perjumpaan dengan syarikat O&G yang terjejas dan mereka menceritakan masalah yang dihadapi khususnya sejak Covid-19 apabila harga minyak merudum,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Projek Jambatan Sungai Nibong, Kuala Balah, di Jeli, hari ini, lapor Harian Metro.

    Media sebelum ini melaporkan, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya PETRONAS mengambil alih Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) untuk mengelak daripada syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu diisytihar muflis.

    Sementara itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, penantian selama 40 tahun 6,000 penduduk di Kampung Balah akan berakhir apabila kerajaan meluluskan projek pembinaan jambatan Sungai Nibong bernilai RM10.17 juta.

    “Projek pembinaan jambatan Sungai Nibong sepanjang 237 meter itu sudah bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2024.

    “Jambatan yang menghubungkan Kuala Balah dengan kawasan estet ini penting bagi kesinambungan projek dan meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat serta memudahkan mereka mengeluarkan hasil getah dan kelapa sawit.

    “Sebelum ini penduduk yang memiliki tanah kebun di kawasan seberang sungai terpaksa menggunakan bot untuk berulang alik, namun apabila jambatan ini siap ia sekaligus akan memudahkan urusan pergerakan mereka khususnya kepada penduduk kampung untuk meningkatkan pendapatan mereka untuk membawa hasil daripada kebun,” katanya.

    Katanya, Kuala Balah mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian memandangkan kawasan ini pengeluar utama tanaman jagung, labu dan tembikai dan pembinaan infrastruktur yang lebih baik di kawasan berkenaan akan meningkatkan lagi pendapatan penduduk.

  • Kes HFMD di Pahang terus meningkat, 6 kali ganda berbanding tahun lepas

    Kes HFMD di Pahang terus meningkat, 6 kali ganda berbanding tahun lepas

    KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pahang masih menunjukkan peningkatan sepanjang minggu ini dan situasi itu dijangka akan terus meningkat jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil.

    Sebanyak 1,288 kes HFMD dicatatkan sehingga 12 Mei berbanding 1,142 kes setakat 7 Mei, kata Pengarah Kesihatan Pahang Dr. Nor Azimi Yunus.

    Ini menunjukkan peningkatan lebih enam kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas, yang mencatatkan hanya 200 kes.

    “Sebanyak 138 kes atau 10.7% dikenal pasti hasil daripada penularan yang berlaku di 27 buah taska, tadika dan prasekolah seluruh negeri, manakala 1,150 kes (89.3%) berlaku secara sporadik,” kata Nor Azimi, menurut laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, tiada rawatan khusus atau rawatan alternatif untuk merawat jangkitan HFMD dan rawatan yang diberikan hanya untuk mengurangkan gejala.

    “Tindakan pencegahan adalah kaedah terbaik bagi mengelakkan jangkitan HFMD,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan pesakit untuk minum banyak air kosong bagi mengelakkan dehidrasi sepanjang tempoh jangkitan dan rehat secukupnya, selain mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengekalkan kebersihan di rumah dan persekitaran.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko dijangkiti, antaranya basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak,” katanya.

    Ibu bapa turut dinasihatkan segera membawa anak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mengalami gejala jangkitan.

    Pengusaha dan penjaga di taska, tadika, tabika dan prasekolah turut diminta agar sentiasa memastikan kebersihan premis, terutamanya peralatan dan perkakasan yang digunakan kanak-kanak.

    “Saringan juga perlu dibuat di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tiada tanda-tanda jangkitan HFMD,” kata Nor Azimi.