Category: Semasa

  • Gajah liar: Penduduk Tok Uban bersengkang mata demi keselamatan

    Gajah liar: Penduduk Tok Uban bersengkang mata demi keselamatan

    SEMINGGU sudah berlalu namun tidur malam kira-kira 147 keluarga dari dua kampung di Tok Uban dan Kubang Kerian, Lata Rek, Kuala Krai, masih dibelenggu kerisauan dan ketakutan kerana beberapa ekor gajah liar masih menceroboh kampung mereka.

    Tinjauan Bernama di Kampung Tok Uban yang terkesan akibat serangan gajah liar, mendapati banyak tanaman telah musnah, pagar rosak akibat rempuhan mamalia itu selain terdapat beberapa kesan tapak kaki dan tompokan najis di kebun pisang seorang penduduk di kampung terbabit.

    Wakil penduduk Kampung Tok Uban, Mohd Ridzuman Hanapi, 37, yang juga peniaga kedai runcit berkata gangguan gajah liar itu bukan sahaja menyebabkan penduduk ketakutan tetapi banyak hasil tanaman mereka rosak dan musnah dimakan haiwan tersebut seperti kelapa sawit, pokok kelapa dan pisang.

    “Semalam, (1 Jun) kami nampak tiga ekor gajah termasuk anaknya telah ceroboh masuk ke kampung kami sebanyak tiga kali sekitar 7 hingga 11 malam.

    “Kami terpaksa halau dengan cara kami supaya gajah tersebut tidak serang orang lain dan tanaman di sekitar,” katanya kepada Bernama, di Kuala Krai, hari ini.

    Bercerita lanjut, Mohd Ridzuman berkata, semenjak 20 ekor gajah liar itu memasuki kampung mereka pada Khamis lepas, penduduk bersepakat menjaga kawasan kampung secara sukarela terutama pada waktu malam untuk memastikan gajah terbabit tidak mengancam manusia serta memusnahkan tanaman.

    “Kami (penduduk) apabila bangun pagi akan fikir mengenai gajah, hendak tidur malam pun terpaksa fikir gajah lagi. Begitulah rutin harian kami sejak seminggu ini apabila gajah liar tiba-tiba muncul semula di kampung kami.

    “Kira-kira 10 hingga 15 penduduk terpaksa berjaga malam secara sukarela dari 10 malam hingga 3 pagi setiap hari demi keselamatan penduduk di kampung ini,” katanya yang menambah kehadiran gajah liar di kampungnya telah berlaku sejak 2018.

    Sementara itu, penoreh getah Mastura Mohd Shamsuddin, 35, pula berkata, waktu untuk pergi menoreh terpaksa dilewatkan ketika ini kerana takut terserempak dengan gajah liar yang berkeliaran di sekitar kawasan terbabit.

    “Sebelum ini, setelah hantar anak ke sekolah, kira-kira 7 pagi saya akan pergi menoreh getah tetapi dalam seminggu ini jadual waktu saya terpaksa berubah kepada 8 pagi kerana takut terjumpa gajah.

    “Baru-baru ini saya telah terserempak dengan gajah kerana saya ingatkan benda yang saya lihat itu adalah kenderaan jenis Toyota Hilux tetapi rupa-rupanya beberapa ekor gajah liar berada dekat dengan kebun getah saya,” katanya yang memaklumkan jarak rumahnya ke kebun getah kira-kira empat kilometer.

    Bagi pekebun, Mohd Rosmizi Rosli, 34, berkata, dia mengharapkan agensi berkaitan supaya menempatkan beberapa anggota untuk ‘bermalam’ di kampung berkenaan bagi memantau keadaan sekeliling dan mengambil tindakan selanjutnya.

    “Cadangan saya kepada agensi berkaitan supaya menempatkan beberapa petugas mereka bersama kami berjaga pada waktu malam kerana sekurang-kurangnya mereka boleh tahu bila waktu haiwan ini akan keluar.

    “Kami tidak mempunyai ilmu mengenai haiwan liar, hutan dan sebagainya, jadi kami harap mereka yang pakar mengenai perkara ini turut serta bersama kami menjaga ketenteraman dan keselamatan penduduk,” katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, kakitangan Perhilitan Daerah Kuala Krai dan UTG Negeri Kelantan telah menjalankan kawalan dan tembak halau gajah liar berkenaan supaya kembali semula ke hutan berdekatan.

    Katanya, terdapat beberapa faktor menyebabkan gajah masih berada di kawasan kampung berkenaan antaranya pengecilan kawasan habitat hidupan liar tersebut serta sumber makanan yang mudah diperoleh di kawasan kampung kerana penduduk mengusahakan tanaman tebu, timun dan pisang.

    “Selain itu, terdapat kebun yang semak samun dan tiga keadaan ini mendatangkan risiko lebih tinggi kepada gangguan gajah-gajah liar ini.

    “Perhilitan telah memberi khidmat nasihat kepada penduduk kampung supaya memasang unggun api di kawasan kediaman masing-masing dan di laluan gajah liar masuk ke kampung serta kebun selain sentiasa membersihkan kawasan kediaman, ladang dan kebun,” katanya. – Bernama

  • 5 sekeluarga maki, ugut polis didenda RM12,500

    5 sekeluarga maki, ugut polis didenda RM12,500

    LIMA sekeluarga dijatuhkan hukuman denda RM12,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam termasuk mengeluarkan perkataan kesat dan mengugut polis pada Mac lalu.

    Majistret Nabihah Mohd. Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Hafizi Zakaria, 25; Zakaria Kadir KV Raja, 60; Putrawirawan Irwan, 40; Ahmad Hafizan Zakaria, 19 dan Nor Ain Zakaria, 36, selepas menerima pengakuan bersalah dan mensabitkan mereka dengan pertuduhan.

    Nabihah bagaimanapun membenarkan seorang lagi tertuduh iaitu juvana lelaki berusia 15 tahun yang mengaku bersalah atas tuduhan itu, dilepaskan dengan jaminan RM1,000 dan menetapkan sebutan kes pada 4 Julai depan untuk fakta dan hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lapor Berita Harian.

    Mengikut pertuduhan, keenam-enam mereka yang mempunyai hubungan ayah, anak, menantu dan cucu didapati dengan sengaja menghalang tugas empat anggota polis berpangkat koperal di pekarangan Balai Polis Batu Berendam pada jam 1 pagi 26 Mac lalu.

    Susulan itu, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

    Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga anggota polis cuba meleraikan kekecohan dicetuskan sekumpulan individu di tempat dan pada tarikh seperti pertuduhan.

    Seorang daripada kumpulan berkenaan bagaimanapun mengeluarkan kata-kata kesat dan ugutan menyebabkan polis terpaksa menahan semua tertuduh.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada semua tertuduh kerana kesalahan dilakukan terhadap penjawat awam adalah serius.

    Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan secara berasingan, meminta hukuman ringan dengan alasan tidak bekerja, menghidap pelbagai penyakit kronik, selain perlu menyara empat anak masih bersekolah.

    Selepas menimbangkan rayuan tertuduh dan hujah pemberat hukuman oleh pendakwaan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 kepada setiap tertuduh atau empat bulan penjara jika gagal membayar.

    Sementara itu, Ahmad Hafizi turut didenda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar atas pertuduhan berasingan iaitu mencederakan seorang lelaki, Muhammad Firdaus Azmy,52, di kepala dengan menggunakan tangan pada masa, tarikh dan di tempat sama.

    Kesalahan Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

  • Kumpulan ah long simbah cat, ugut dan khianat dengan api tumpas

    Kumpulan ah long simbah cat, ugut dan khianat dengan api tumpas

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan kumpulan yang menawarkan pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang aktif di negeri itu menerusi Op Cantas Khas pada 24 Mei lalu.

    Kumpulan ah long itu turut dikesan terlibat dalam beberapa kejadian khianat simbah cat, khianat dengan api dan ugutan jenayah di sekitar negeri ini.

    Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, menerusi operasi itu seramai sembilan suspek lelaki berusia antara 22 hingga 36 tahun termasuk ketua sindiket berusia 28 tahun turut ditahan dalam beberapa serbuan.

    Jelas beliau, siasatan mendapati tujuh daripada suspek berkenaan juga mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, pemberian pinjaman dan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

    “Turut dirampas dalam serbuan ini adalah beberapa dokumen yang dipercayai melibatkan kegiatan pemberian pinjaman wang tanpa lesen,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) polis Pulau Pinang hari ini.

    Jelas beliau, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan selain Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

    Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) polis Pulau Pinang turut membuka sebanyak 77 kertas siasatan tatatertib terhadap anggota dan pegawai polis negeri itu.

    Daripada jumlah itu katanya, kes salah laku paling tinggi dicatatkan iaitu 48 kesalahan membabitkan enam pegawai dan 69 anggota.

    Tambah beliau, kes lain adalah membabitkan kesalahan jenayah iaitu 12 masing-masing melibatkan seorang pegawai dan 31 anggota; 11 kes dadah melibatkan anggota dan kesalahan tidak hadir bertugas melibatkan dua pegawai dan empat anggota.

    Tegas beliau, JIPS Pulau Pinang sentiasa menjalankan siasatan tatatertib yang telus dan adil dalam memastikan tindakan sewajarnya ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dalam kesalahan jenayah tersebut.

    “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku yang bertentangan dengan undang-undang serta prosedur operasi standard yang telah ditetapkan,” katanya.

  • 4 termasuk suami isteri warga emas ditahan, dadah RM1.25 juta dirampas

    4 termasuk suami isteri warga emas ditahan, dadah RM1.25 juta dirampas

    POLIS menahan suami isteri warga emas bersama-sama anak lelaki dan seorang rakan anaknya di sekitar Bandar Raya Johor Bahru kerana disyaki terlibat sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak empat bulan lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka ditahan menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar bandar raya itu bermula pukul 3.30 petang antara semalam dan kelmarin.

    “Serbuan ini turut melibatkan pemeriksaan di sebuah pangsapuri dan sebuah rumah dipercayai dijadikan stor penyimpanan bahan terlarang itu.

    “Kita menahan tiga suspek yang merupakan ahli keluarga iaitu lelaki berusia 73 tahun, isterinya berusia 70 tahun dan anak lelakinya berusia 36 tahun.

    “Selain itu, seorang lagi suspek yang merupakan rakan kepada anak pasangan itu yang juga berusia 36 tahun turut ditahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, dalam serbuan dilakukan, polis telah menemui dan merampas pelbagai jenis dadah berupa 14.31 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 4.06kg ketamin, 3.76kg ekstasi dan 1.65kg (6,440 biji) pil eramin 5 yang dianggarkan bernilai RM1.25 juta.

    “Hasil ujian air kencing dilakukan turut mendapati dua suspek disahkan positif dadah jenis methamphetamine selain seorang suspek turut memiliki rekod jenayah lampau bersabit kes dadah,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi kegiatan berkenaan adalah dengan menjadikan kediaman mereka sebagai stor penyimpanan dadah untuk memenuhi pasaran tempatan.

    “Kalau lihat daripada cara mereka membungkus dadah ini, kita percaya rumah-rumah ini hanya digunakan sebagai stor. Bagaimanapun kita akan siasat sama ada suspek turut terlibat dengan kegiatan memproses dadah.

    “Kita percaya dadah-dadah ini adalah untuk menampung pasaran di kelab-kelab malam sekitar bandar raya ini dengan jumlah pengguna kira-kira 200,000 orang,” katanya.

    Katanya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 1 Jun bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Kumpulan jenayah terancang tumpas, bom tangan, pistol dan peluru antara dirampas

    Kumpulan jenayah terancang tumpas, bom tangan, pistol dan peluru antara dirampas

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah terancang selepas menahan 11 suspek dalam siri serbuan di sekitar negeri itu bermula pukul 12 tengah hari pada 24 Mei lalu.

    Turut dirampas daripada kumpulan tersebut yang juga aktif mengedar dadah dipercayai sehingga ke pasaran antarabangsa itu adalah sebutir bom tangan; enam pucuk senjata api dan 185 butir peluru hidup.

    Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia antara 29 hingga 61 tahun.

    Jelasnya, mereka ditahan menerusi Op Cantas Tanjung (lll) yang dijalankan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang turut mendapat kerjasama anggota dari Bahagian Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman.

    “Siasatan mendapati kumpulan terbabit dipercayai telah bergiat aktif di negeri ini sejak tahun lalu dan kita turut merampas sebanyak 158 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM5.6 juta,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang hari ini.

    Mohd. Shuaily menunjukkan barang rampasan yang ditemukan dalam sebuah dusun, pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang

    Menurut Mohd. Shuhaily, bom tangan dan dua pucuk pistol semi auto jenis Glock dan Beretta bersama 90 butir peluru hidup 9mm dijumpai disorok di dalam sebuah dusun durian di Teluk Bahang hasil soal siasat ke atas suspek yang ditahan.

    Beliau memberitahu, siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 manakala
    kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang.

    “Suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari mulai 24 Mei hingga 21 Jun ini,” tambahnya.

  • Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Dr Abdul Rahman meninggal dunia

    Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Dr Abdul Rahman meninggal dunia

    BEKAS Panglima Angkatan Tentera ke-11, Jen (B) Tan Sri Dr Abdul Rahman Abdul Hamid, 83, meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman di paru-paru.

    Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memaklumkan Allahyarham dimasukkan ke HTTM pada 25 Mei lepas dan kesihatannya mulai merosot semalam dan meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi.

    “Jenazah akan disolatkan di Masjid Khalid Al Walid di Kementerian Pertahanan di sini selepas zuhur dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sakinah Raudah, Sungai Besi petang nanti,” menurut kenyataan itu.

    Abdul Rahman menyertai ATM pada 1955, dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera pada April 1992 dan bersara pada Februari 1994.

    Abdul Rahman meninggalkan isteri iaitu Puan Sri Rosilah Ahmad dan empat orang anak.

    Sementara itu dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi ATM, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang dan Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera, Puan Sri Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah serta seluruh warga ATM merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

    “Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala jasa-jasa Allahyarham. Marilah kita bersama-sama membaca ummul kitab Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin,” menurut hantaran itu. – Bernama

  • Nazri bidas ahli Parlimen gesa adakan PRU-15

    Nazri bidas ahli Parlimen gesa adakan PRU-15

    AHLI Parlimen Padang Rengas Datuk Nazri Aziz membidas tindakan ahli-ahli politik yang menggesa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan ketika negara berhadapan dengan inflasi.

    Beliau menyifatkan golongan tersebut penting dan tidak memikirkan situasi yang dihadapi oleh rakyat.

    Sehubungan itu beliau menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam wawancara bersama akhbar kewangan Nikkei dua hari lalu yang menegaskan akan menunggu “masa yang sesuai” untuk membubarkan Parlimen.

    “Saya setuju dengan Perdana Menteri. Keutamaan kita sekarang adalah kesusahan rakyat dan kita semua tahu inflasi berlaku sekarang, jadi kita kena utamakan rakyat. Kita perlu cari jalan untuk mengatasi inflasi dan memastikan rakyat ada wang yang cukup untuk menyara kehidupan.

    “Itu lebih penting berbanding mementingkan diri sendiri secara politik dengan merasakan ini waktu yang sesuai untuk PRU,” katanya lapor Malaysiakini.

    Mengulas lanjut, Nazri mengkritik pihak dalam partinya yang merasakan kini waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU, dengan keadaan pembangkang yang goyah dan kemenangan UMNO dalam beberapa PRN sebelum ini sebagai pertimbangan.

    “Jika itu yang anda fikir, yang inflasi bukan perkara penting dan pilihan raya lebih penting, itu mementingkan diri sendiri. Ahli parlimen dari kedua-dua pihak kini menyokong perdana menteri jadi tiada sebab langsung untuk buat pilihan raya.

    “Bagaimana Ahli Parlimen daripada pihak lain sokong Perdana menteri, tetapi parti Perdana Menteri sendiri tidak menyokongnya?” soal Nazri.

    Dengan keadaan ekonomi semasa, katanya lagi, negara perlu bersedia untuk menangguhkan pilihan raya, malah sehingga akhir penggal ini jika perlu.

    ‘’Apabila penggal sudah tamat dan pilihan raya perlu diadakan, Umno tidak akan dipersalahkan atas perkara itu,’’ katanya.

  • Pemandu lori, rakan didakwa samun, cederakan wanita

    Pemandu lori, rakan didakwa samun, cederakan wanita

    DUA sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas tuduhan merompak dan mencederakan seorang wanita, dua bulan lalu.

    Tertuduh, P. Sathiah, 43, dan A. Sithambaram, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

    Harian Metro melaporkan, berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama melakukan rompakan terhadap harta milik seorang wanita iaitu wang tunai Singapore Dollar (SGD) 110,000 (RM345,730) di belakang kedai pengurup wang berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Senyum, Johor Bahru.

    Dalam kejadian pada pukul 10.10 pagi, 29 April lalu itu, kedua-dua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas wanita terbabit .

    Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurhayati Muhammad Fathullah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin.

    Bagaimanapun, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

    Peguam Syufri A. Samad yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan yang minimum diberikan kepada anak guamnya dengan alasan mereka masing-masing mempunyai tanggungan.

    “Sathiah bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,600 sebulan dan menanggung isteri serta dua anaknya masing-masing berusia enam dan lapan tahun.

    “Sithambaram pula tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menanggung ibunya berusia 55 tahun yang menghidap kencing manis serta asma,” katanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM12,000 setiap seorang berserta syarat tambahan lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

    Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 5 Julai depan.

    Kelmarin, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan media memaklumkan polis menahan suspek kes samun itu pada 23 Mei lalu dan merampas semula sejumlah wang disamun serta motosikal digunakan ketika kejadian.

    Beliau berkata, mangsa dalam insiden itu cedera di bahagian tangan kiri dan menerima 37 jahitan.

  • PGA rampas pelbagai barangan bernilai hampir RM17 juta di sempadan negara

    PGA rampas pelbagai barangan bernilai hampir RM17 juta di sempadan negara

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM17 juta dalam tiga operasi yang dijalankan di kawasan sempadan negara sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mei lepas.

    Komander Briged Utara PGA SAC Nordin Manan berkata dalam tiga operasi itu, iaitu Op Wawasan Kedah-Perlis, Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah, seramai 333 individu termasuk tiga kanak-kanak telah ditahan atas pelbagai kesalahan, lapor Astro AWANI.

    “Bagi tempoh itu, sebanyak 195 kes melibatkan pelbagai kesalahan antaranya di bawah Akta Racun 1952 membabitkan 93 kes, Akta Imigresen 1959/63 sebanyak 39 kes, sebanyak lapan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (tiga kes).

    “Selain itu di bawah Akta Kastam 1967 (12 kes), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (sembilan kes), Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 (tiga kes) dan lain-lain akta (28 kes) ,” katanya dalam sidang media di Bukit Kayu Hitam.

    Tambahnya, rampasan tertinggi di bawah Akta Kastam 1967 membabitkan pelbagai barangan seperti rokok, minuman keras dan lima buah kenderaan yang keseluruhannya bernilai lebih RM8.9 juta.

    Ini diikuti rampasan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang melibatkan rampasan dadah bernilai RM4.77 juta.

    Selain itu, sepanjang tempoh operasi itu juga, lebih 34 tan daun ketum serta 50 kenderaan yang digunakan untuk menyeludup keluar daun itu juga dirampas di bawah Akta Racun 1952 yang melibatkan nilai melebihi RM2 juta.

    “Turut dirampas pelbagai jenis barang kosmetik dan makanan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan makanan negara serta 19 buah kenderaan terlibat dengan nilai rampasan bernilai RM1.19 juta,” katanya.

    Nordin berkata bagi tangkapan pula, sebahagian besar iaitu 251 orang telah ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala selebihnya ditahan mengikut akta berkaitan.

    Beliau turut mengingatkan bahawa pasukannya akan terus mengawal ketat sempadan negara bagi mengelak segala aktiviti penyeludupan serta pencerobohan yang mampu menggugat keselamatan negara.

    “Masyarakat diminta terus menyalurkan maklumat kepada PGA di talian 04-9222152 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk sama-sama membendung jenayah rentas sempadan dan berkaitan penyeludupan,” katanya.

  • SPRM buka 25 kertas siasatan kes pembelian sektor kesihatan-Azam Baki

    SPRM buka 25 kertas siasatan kes pembelian sektor kesihatan-Azam Baki

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 25 kertas siasatan membabitkan pembelian dalam sektor kesihatan negara yang dikesan terbabit rasuah ketika pandemik Covid-19 pada 2020.

    Pegawai SPRM akan memanggil beberapa individu tertentu dalam tempoh terdekat termasuk kemungkinan kenamaan bertaraf menteri.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, setakat ini pihaknya juga sedang menilai agensi-agensi tertentu yang mempunyai kaitan dengan pengurusan Covid-19 dalam tempoh berkenaan.

    “Setakat ini (SPRM) sedang menyiasat pelbagai isu berkaitan (pembelian dalam sektor kesihatan negara) khususnya berkaitan pengurusan Covid-19 ketika tempoh wabak itu berlaku hingga sekarang.

    “Setakat ini kita sudah menerima pelbagai laporan daripada pelbagai pihak dan kita sudah membuka sebanyak 25 kertas siasatan namun saya tidak mahu menamakan mana-mana agensi.

    “Siasatan ini adalah berkaitan pengurusan COVID-19 sehingga tempoh sekarang dan pelbagai aspek akan kita maklumkan,” katanya kepada pemberita, selepas merasmikan Program Pemantapan Wartawan Bersama SPRM, di Putrajaya, hari ini, lapor Berita Harian.

    Bulan lalu, Azam mengesahkan SPRM sedang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ini ketika pandemik Covid-19 melanda yang dipercayai ada membabitkan rasuah.

    Kata Azam, perbuatan itu menunjukkan ada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk membuat wang haram daripada kesakitan dan kemalangan orang ramai.