POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah terancang selepas menahan 11 suspek dalam siri serbuan di sekitar negeri itu bermula pukul 12 tengah hari pada 24 Mei lalu.
Turut dirampas daripada kumpulan tersebut yang juga aktif mengedar dadah dipercayai sehingga ke pasaran antarabangsa itu adalah sebutir bom tangan; enam pucuk senjata api dan 185 butir peluru hidup.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia antara 29 hingga 61 tahun.
Jelasnya, mereka ditahan menerusi Op Cantas Tanjung (lll) yang dijalankan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang turut mendapat kerjasama anggota dari Bahagian Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman.
“Siasatan mendapati kumpulan terbabit dipercayai telah bergiat aktif di negeri ini sejak tahun lalu dan kita turut merampas sebanyak 158 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM5.6 juta,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, bom tangan dan dua pucuk pistol semi auto jenis Glock dan Beretta bersama 90 butir peluru hidup 9mm dijumpai disorok di dalam sebuah dusun durian di Teluk Bahang hasil soal siasat ke atas suspek yang ditahan.
Beliau memberitahu, siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 manakala
kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang.
“Suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari mulai 24 Mei hingga 21 Jun ini,” tambahnya.