Category: Semasa

  • 2,700 jemaah Malaysia tiba di Madinah sejak 4 Jun

    2,700 jemaah Malaysia tiba di Madinah sejak 4 Jun

    Daripada ZALINA MAIZAN NGAH
    haramain

    SERAMAI 2,700 jemaah haji Malaysia telah tiba di Madinah menerusi 10 penerbangan sejak 4 Jun lepas.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kesemua mereka sudah mula bergerak ke Makkah secara berperingkat menerusi pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

    Beliau berkata, setakat malam tadi seramai 295 jemaah telah selamat tiba di Makkah dan mereka merupakan jemaah haji pertama menerusi penerbangan KT01 dari Malaysia ke Madinah.

    Difahamkan, kesemua jemaah akan ditempatkan di tiga lokasi penginapan iaitu di bangunan Abraj Al Janadriyah, Qasr Al Janadriyah dan Land Premium.

    Sementara itu, rata-rata jemaah haji yang ditemui pemberita meluahkan rasa syukur setelah menunggu dua tahun untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah.

    Muhammad Haziq Azri, 17, berkata dia berpeluang menjejakkan kaki buat pertama kali ke Makkah bersama bapa, ibu dan kakaknya.

    “Alhamdulillah dapat sampai ke Makkah, timbul perasaan tak sabar nak melihat Kaabah. Tak terungkap rasa gembira bila sampai ke sini,” katanya.

    Nazarudin Komari, 40-an pula berkata keletihan perjalanan selama enam jam bagaikan tidak terasa setelah sampai ke Makkah, apatah lagi apabila pergerakan jemaah disusun dengan baik oleh petugas TH.

    Menurut Nazarudin, beliau bukan sahaja terharu dengan usaha dilakukan pihak TH malah bersyukur kerana semua jemaah selamat tiba untuk meneruskan ibadah umrah pertama. – BERNAMA

  • Rumah Bonda saman JKM Wilayah Persekutuan KL

    Rumah Bonda saman JKM Wilayah Persekutuan KL

    PERTUBUHAN Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Rumah Bonda, memfailkan saman terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL), bagi memohon perintah supaya rumah perlindungan itu dibuka semula.

    Saman pemula itu difailkan Rumah Bonda melalui pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali selaku plaintif, melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers di Mahkamah Majistret di sini pada 7 Jun lalu, dengan menamakan Pengarah JKM WPKL sebagai defendan.

    Dalam saman itu, plaintif memohon perintah supaya defendan menanggalkan ‘Lak’ yang telah dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak, dan memohon perintah agar plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain selain daripada pusat jagaan, selain memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Siti Bainun berkata, beliau telah menerima Notis Lak daripada JKM WPKL, yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

    Dakwa Siti Bainun, tindakan lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar, memandangkan JKM WPKL telah mengetahui bahawa rumah perlindungan tersebut sedang dalam proses permohonan pendaftaran.

    “Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022,” katanya menerusi afidavit sokongan.

    Menurut Siti Bainun, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya.

    “Saya sebagai pengerusi Rumah Bonda dan mewakili seluruh ahli jawatankuasa berakujanji bahawa, sekiranya mahkamah memberikan perintah menanggalkan lak tersebut, saya dan Rumah Bonda tidak akan menggunakan premis tersebut sebagai pusat jagaan, sehinggalah premis tersebut didaftarkan di bawah Seksyen 10 Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya.

    Dakwa Siti Bainun selepas tindakan lak dilaksanakan, beliau, ahli jawatankuasa dan sukarelawan tidak lagi mempunyai akses untuk memasuki Rumah Bonda, sekali gus menyukarkan usaha-usaha permohonan pendaftaran rumah perlindungan itu dan tidak boleh menjalankan kerja-kerja amal yang lain, seperti penyediaan makanan bagi gelandangan dan pusat bank makanan.

    “Rumah Bonda sehingga kini terpaksa membayar sewa bulanan bagi premis itu berjumlah RM2,800 sebulan, meskipun tidak dapat menggunakan premis berikutan tindakan Lak oleh JKM WP KL dan sejak 12 Julai 2021, Rumah Bonda telah menanggung kos sewa hampir setahun tanpa peluang memanfaatkan premis berkenaan,” katanya.

    Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda pada 22 Jun ini. – BERNAMA

  • Kes pelajar bergaduh:17 akan dituduh di mahkamah

    Kes pelajar bergaduh:17 akan dituduh di mahkamah

    POLIS sudah menyiapkan kertas siasatan membabitkan kes pergaduhan pelajar sebuah sekolah menengah di bandar Sandakan yang tular pada 22 Mei lalu.

    Pihak polis kini menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa semua suspek ke mahkamah.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Mohd. Hamizi Halim berkata, dalam kes itu, seramai 17 suspek membabitkan remaja berusia 14 hingga 18 tahun bakal didakwa.

    “Mengenai kes itu, kejadian dipercayai bermula dengan gurauan sehingga tercetus pergaduhan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Terdahulu, selepas video pergaduhan pelajar sekolah menengah itu tular, polis mengesan 22 individu termasuk 21 pelajar disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan dengan 17 daripada mereka bakal didakwa.

  • Kerajaan akan tambah baik GST jika diperkenalkan semula

    Kerajaan akan tambah baik GST jika diperkenalkan semula

    KERAJAAN akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Beliau berkata langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam pengkelasan barang yang bercukai dengan tidak bercukai, peningkatan tahap kemahiran pegawai kerajaan, tahap pematuhan peniaga dan tadbir urus keseluruhan GST.

    “Sebarang sistem percukaian baharu juga perlu diluluskan di parlimen dan jika diambil kira keperluan libat urus bersama rakyat serta untuk menambah baik sistem sedia ada, tidak mungkin GST akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat (LKR) ke-98 yang dikeluarkan hari ini.

    Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu meneliti usaha untuk meluaskan asas hasil supaya ia dapat diagihkan dengan lebih bermakna melalui program pembangunan yang bermanfaat untuk seluruh Keluarga Malaysia.

    Katanya, jumlah kutipan hasil negara mencatatkan 15.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan ia agak rendah berbanding kutipan hasil negara lain.

    Sementara itu, hasil cukai negara mencatatkan 11.2 peratus daripada KDNK.

    “Walaupun buat masa ini Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan harga komoditi global, hasil berkaitan komoditi tidak mampan kerana bergantung kepada pergerakan harga pasaran global,” katanya.

    Menurut Tengku Zafrul, ia tidak mampu menampung sepenuhnya peningkatan perbelanjaan yang diperlukan untuk kesejahteraan rakyat.

    “Oleh itu, kerajaan perlu meneroka sumber hasil yang stabil dan lebih meluas seperti cukai kepenggunaan.

    “Namun begitu, sebelum kerajaan memperkenalkan apa-apa cukai baharu, kita perlu memastikan pemulihan ekonomi pasca krisis COVID-19 sudah mencapai landasan yang stabil dan kukuh,” katanya.

    Mengulas mengenai Bajet 2023, Tengku Zafrul berkata tumpuan khas akan diberikan kepada memudah cara segmen pekerjaan atau pekerjaan semula terutamanya siswazah menganggur, wanita yang meninggalkan pasaran kerja, orang kurang upaya dan penganggur jangka masa panjang.

    Selain itu, katanya tumpuan juga akan diberikan kepada program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula, meningkatkan produktiviti menerusi digitalisasi aktiviti ekonomi dan memastikan gaji yang wajar dalam kalangan rakyat termasuk menerusi semakan gaji minimum.

    “Tidak dilupakan intervensi-intervensi yang diperlukan bagi memastikan jaminan makanan asas untuk mengurangkan kenaikan ketara harga barang keperluan dan memastikan sumber kerajaan dibelanjakan kepada mereka yang memerlukan menerusi subsidi bersasar.

    “Bajet 2023 akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, pendapatan dan perlindungan sosial serta menambah baik daya saing perniagaan dan rantaian nilai di samping memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan dan daya tahan negara dalam mendepani kejutan pada masa hadapan,” tambahnya. – Bernama

  • Peniaga kuih didakwa cabul wanita di bilik hotel

    Peniaga kuih didakwa cabul wanita di bilik hotel

    SEORANG peniaga kuih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita di sebuah hotel, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Muhammad Hafiez Z Rosli, 27, membuat pengakuan itu selepas mendengar pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari dalam prosiding didengar Majistret Nabihah Mohd. Noor.

    Mengikut pertuduhan dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 26 tahun dengan mencabul mangsa di bilik sebuah hotel di Taman Melaka Raya, Melaka Tengah, pada 19 Oktober 2020, lapor Harian Metro.

    Muhammad Hafiez didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang berasal dari Kampung Sri Repah, Tampin, Negeri Sembilan merayu jumlah itu dikurangkan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan diarah tidak mendekati atau mengganggu mangsa.

    Kes disebut semula 25 Julai depan untuk lantikan peguam bela.

  • Taburan bunga, manisan sambut ketibaan jemaah Malaysia

    Taburan bunga, manisan sambut ketibaan jemaah Malaysia

    Daripada ZALINA MAIZAN NGAH
    haramain

    DISAMBUT dengan taburan bunga mawar, alunan doa dan dihidangkan dengan pelbagai jenis manisan serta air zam-zam.

    Ia merupakan momen yang akan menjadi kenangan manis buat kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang tiba di Makkah malam tadi dan diberikan sambutan meriah di bangunan Abraj Al Janadriyah yang merupakan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) serta hotel penginapan jemaah di Tanah Suci.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ketibaan seramai 295 jemaah itu disambut meriah, bukan sahaja oleh pihak pengurusan Lembaga TH tetapi juga Syarikat Tewafah Asia Tenggara yang terlibat secara langsung dalam pergerakan jemaah haji Malaysia.

    “Kesemua jemaah ini merupakan kumpulan pertama yang bergerak dari Madinah dan mereka yang bertolak kira-kira pukul 2 petang tadi (waktu Arab Saudi), selamat tiba pada pukul 10 malam.

    “Alhamdulillah jemaah haji disambut baik dengan aturan dan persediaan yang dibuat oleh TH dan Syarikat Tewafah Asia Tenggara. Ia menunjukkan kerjasama baik antara kedua-dua pihak dalam menyantuni tetamu Allah pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di Makkah.

    Datuk Seri Syed Saleh berkata, setiap jemaah yang baru tiba di Makkah, sama ada pada waktu siang ataupun malam, akan diberi layanan istimewa oleh Syarikat Tewafah Asia Tenggara dengan hidangan nasi beriani bersama pelbagai minuman.

    Lebih istimewa, makanan tersebut akan dihantar terus ke bilik masing-masing bagi membolehkan jemaah berehat seketika sebelum mengerjakan umrah, kira-kira dua jam selepas ketibaan.

    Sementara itu, Pengerusi Syarikat Tewafah Asia Tenggara, Adnan Husin Abdullah Mandura berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan kedatangan jemaah haji kali ini sangat istimewa setelah tertunda hampir dua tahun akibat pandemik.

    Katanya, bagi memastikan jemaah Malaysia dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna, pihaknya akan menyediakan pelbagai keperluan serta mengatur persiapan dengan lebih tersusun.

    “Kita berusaha memberi perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji Malaysia dan menjaga hubungan baik dengan TH…Insya-Allah kita akan sediakan perkhidmatan kepada jemaah haji ke arah untuk mendapatkan haji yang mabrur.

    “Pihak syarikat dan semua petugas akan bekerja keras memberi perkhidmatan terbaik pada tahun ini setelah terhenti akibat wabak COVID-19…pihak kami mengalu-alukan kedatangan dan berdoa supaya jemaah peroleh haji yang diterima Allah,” katanya. – BERNAMA

    * Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • 10 lelaki didenda gagal perjelas wang RM3.14 juta dalam akaun

    10 lelaki didenda gagal perjelas wang RM3.14 juta dalam akaun

    MAHKAMAH Majistret Ampang hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan penjara tiga bulan terhadap setiap seorang daripada 10 keldai akaun selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memberi penjelasan berhubung perolehan wang dalam akaun bank membabitkan jumlah RM3.14 juta.

    Pertuduhan terhadap lelaki berusia antara 29 hingga 51 tahun itu membabitkan pemandu lori, kontraktor, nelayan, pengawal keselamatan dan peniaga dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim, lapor Harian Metro.

    Tertuduh terdiri daripada Mohamad Saifuddin Ismail, Mohammad Anas Kamarudin, Muhammad Ariff Ahmad Tajuddin, Muhamad Helmi Ahmad, Mohd. Syukur Maula Muhamad Desa, Mohd. Hafiz Kamis, Muhammad Ikhwan Iswandy Ramli, Mohd. Nizam Mat Jasat, Khairul Mizan Mohamad Johari dan S. Vikneswaran.

    Mengikut kertas pertuduhan, semua lelaki itu tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana memperoleh sejumlah wang milik guru swasta berusia 31 tahun berjumlah antara RM40,000 hingga RM2.3 juta di dua bank di Ampang, antara 20 Februari hingga 4 April lalu.

    Oleh demikian, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

    Mengikut fakta kes pula, guru itu menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri kononnya sebagai ketua pegawai operasi dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Februari lalu.

    Lelaki itu menyatakan guru berkenaan mempunyai tunggakan cukai selama 15 bulan berjumlah RM17,600.76 atas syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

    Guru itu kemudian diminta membuka akaun bank baharu sebelum maklumat perbankan diserahkan kepada lelaki berkenaan.

    Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili semua tertuduh itu, Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak memohon hukuman denda seringan-ringannya tanpa dipenjara selepas anak guam mengaku bersalah yang secara tidak langsung menjimatkan masa mahkamah.

    “Hukuman juga perlu mengambil kira pendapatan dan tanggungan di bawah mereka.

    “Dalam kes ini, anak guam adalah mangsa dan tidak sedar akaun bank digunakan pihak ketiga. Mereka tidak memperoleh apa-apa manfaat atas kerugian yang ditanggung pengadu,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran memohon hukuman dikenakan terhadap semua tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan pengajaran.

    “Selaku pemegang akaun, tertuduh perlu mengambil tahu transaksi yang berlaku dalam bank sendiri lebih-lebih lagi jika ia membabitkan jumlah yang besar.

    “Mahkamah juga perlu mengambil kira kekerapan kes yang mana hampir setiap hari kes ini dituduh di mahkamah, selain kerugian yang ditanggung oleh mangsa,” katanya.

  • Imigresen tempatkan pegawai khas urus pasport:KP JIM

    Imigresen tempatkan pegawai khas urus pasport:KP JIM

    JABATAN Imigresen Malaysia (Imigresen) akan mula menempatkan pegawai khas di pejabat Imigresen sekitar Lembah Klang dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

    Jelas beliau, usaha tersebut bagi mengatasi masalah kesesakan berhubung urusan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

    “Inisiatif tersebut akan melibatkan pegawai Imigresen yang tugasnya khusus berkaitan kelulusan PMA sahaja.

    “Ujian percubaan yang dijalankan pihak kami di kaunter Imigresen di Johor menunjukkan perkembangan positif dalam usaha mengurangkan kesesakan.

    “Lapan pegawai Imigresen sudah dihantar ke Johor dan tugas mereka adalah untuk memberi kelulusan (pasport) sahaja dan tidak membabitkan lain-lain urusan.

    “Formula ini juga akan digunakan untuk Lembah Klang yang akan bermula minggu hadapan. Kami sedang mengumpulkan pegawai dari negeri lain untuk dibawa ke kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kerajaan Parcel D, Putrajaya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pada masa sama, katanya, pihak Imigresen turut mengkaji untuk menggunakan gambar sedia ada di dalam sistem bagi pemohon berusia 30 tahun ke atas yang mahu memperbaharui pasport mereka untuk mempercepatkan proses kelulusan.

    Bagaimanapun katanya, pemohon masih perlu hadir ke kaunter untuk mengambil pasport yang sudah diluluskan namun tidak perlu menunggu lama di kaunter.

    “Pasport tidak boleh dihantar secara pos kerana ia dokumen keselamatan yang tinggi selain ia amat dikehendaki oleh orang luar. Sebab itu kadangkala (kelulusan) lambat kerana pemeriksaan juga perlu dibuat,” ujarnya.

  • Wanita ditemukan mati dibunuh, dibakar tidak hamil, temui bukti baharu

    Wanita ditemukan mati dibunuh, dibakar tidak hamil, temui bukti baharu

    POLIS menemukan beberapa penemuan bukti baharu yang memerlukan siasatan lanjut berhubung kes wanita yang ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu, pada Selasa lalu.

    Sehubugan itu kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, teman lelaki wanita itu disambung enam hari lagi sehingga 16 Jun depan.

    Pada masa sama beliau menafikan khabar angin yang berlegar di media sosial kononnya mangsa dirogol ataupun mengandung.

    “Siasatan masih lagi diteruskan dan kita belum tahu lagi apa motif sebenarnya kejadian ini tetapi kita yakin ada kaitan dengan teman lelaki, yang pertama kita tangkap itu.

    “Dari ‘post mortem’ yang dibuat, tak ada laporan daripada pakar perubatan mengatakan mangsa ni mengandung dan sebagainya. Ini hanya spekulasi yang diadakan oleh orang-orang tertentu di media sosial,” katanya.

    Beliau ditemui selepas di majlis pembukaan bilik VVIP sebuah restoran popular di Ipoh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Pada 31 Mei lalu, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang wanita tanpa identiti dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu.

    Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa telah mati dibunuh dan dibakar di lokasi sama.

    Polis turut menjumpai seketul batu konkrit dengan kesan darah berhampiran mayat, yang dipercayai senjata digunakan untuk mencederakan kepala wanita itu.

    Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa, didapati punca kematian adalah hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk.

    Minggu lalu, Mahkamah Majistret Kuala Kangsar membenarkan teman lelaki mangsa yang berusia 20 tahun direman seminggu sehingga hari ini.

    Polis turut menahan empat orang lagi bagi membantu siasatan dan reman ke empat-empat mereka akan berakhir 13 Jun ini.

  • JIM tumpas dua sindiket RTK, 6 ditahan termasuk warga Bangladesh

    JIM tumpas dua sindiket RTK, 6 ditahan termasuk warga Bangladesh

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan dua sindiket Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) selepas menahan enam individu menerusi serbuan di dua premis berasingan di Jalan Lumut, Kuala Lumpur dan Pandan Cahaya, Ampang, Selangor.

    Serbuan dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas pada Rabu lalu itu mendapati kedua-dua sindiket berkenaan berselindung di sebalik agensi pekerjaan haram dan syarikat pembinaan yang mengaut keuntungan melebihi RM2 juta.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, satu daripada sindiket itu didalangi warga Bangladesh berusia 42 tahun serta berstatus pemegang Pemastautin Tetap (MyPR) yang berkahwin dengan seorang warga tempatan.

    Sindiket kedua didalangi seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang berkahwin dengan seorang warga Bangladesh yang mempunyai pas lawatan sosial jangka panjang.

    “Berdasarkan bayaran yang dikenakan serta jumlah rampasan pasport, setiap individu dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,200.

    “Taktik sindiket ini adalah menubuhkan syarikat pembinaan dan agensi pekerjaan haram bagi mengaburi pihak berkuasa dengan meyakinkan pelanggan untuk urusan pengambilan pekerja asing, khususnya melalui RTK yang dimulakan sejak tahun lalu,” katanya pada sidang media di Purtajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Hasil serbuan di dua lokasi itu, Imigresen merampas 488 naskhah pasport antarabangsa terdiri daripada 457 pasport Bangladesh, masing-masing lapan naskhah pasport Indonesia, India dan Pakistan, enam pasport Myanmar dan sekeping pasport Nepal.

    Turut dirampas 12 cap syarikat, dua set komputer dan wang RM38,308 hasil keuntungan daripada aktiviti berkenaan.

    Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan siasatan, pemilik premis pada serbuan pertama di Jalan Lumut adalah warga Bangladesh yang mendapat MyPR pada 2015.

    Turut ditahan pada serbuan pertama adalah seorang pekerja warga Bangladesh.

    “Hasil risikan yang dijalankan selama dua bulan mendapati, syarikat pembinaan itu beroperasi sejak 2014 dan disyaki menjalankan aktiviti sebagai ejen menguruskan permohonan pekerja asing sekitar tahun lalu,” katanya.

    Menurut beliau, pada operasi kedua, pihaknya memeriksa sebuah premis yang menjalankan aktiviti sama sebelum menahan seorang wanita tempatan yang juga pemilik syarikat pembinaan bersama suaminya.

    Katanya, turut ditahan di premis itu adalah dua lelaki warga Bangladesh berusia 36 hingga 52 yang berperanan sebagai pengantara syarikat dan pelanggan.

    “Kes masih dalam siasatan dan kesemua pasport yang dikeluarkan itu akan dibatalkan.

    “Enam individu berusia 36 hingga 52 tahun itu ditahan di lokap Jabatan Imigresen mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(1) (f) Akta Pasport 1966.

    “Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.